Home Novel Cinta Nak Pilih Yang Mana?
Nak Pilih Yang Mana?
14/9/2013 20:00:35
18,015
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

BAB 1

Helaian demi helaian muka surat khabar diselak dengan pantas sehingga bersua dengan helaian muka surat yang dihajatkan. Asap menari-nari dari mug berwarna oren muda dan bergambarkan seekor beruang memegang belon yang terletak depan Zulaikha, tangan Zulaikha mencapai mug tersebut dan meniup-niup air milo panas di dalamnya. Mata Zulaikha meliar melihat dari atas ke bawah muka surat khabar untuk mencari iklan kerja kosong. Sudah empat bulan Zulaikha menjadi ‘penanam anggor’ terhormat selepas dia berjaya menggulung ijazah di dalam bidang perakaunan di Universiti Malaya. Sejak dari zaman persekolahan lagi dia sudah bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan yang berjaya di sebuah syarikat yang besar bersesuaian dengan ijazah yang dimilikinya, gaji yang lumayan lima angka. Zulaikha pernah mengangankan dengan kawan rapatnya Umi Surina untuk tinggal bersama-sama di sebuah rumah dua tingkat berdekatan dengan tempat kerja mereka di kawasan Kuala Lumpur.

‘Huh! itu dulu semasa aku di alam persekolahan, zaman remaja disogok dengan angan-angan yang menjulang untuk menempa kejayaan dalam mengharungi cabaran kehidupan.’ Keluh Zulaikha sambil tangannya mencapai mug air milonya, matanya tak lepas memandang surat khabar untuk mencari jawatan kosong yang dihajati. Satu persatu ruang iklan itu diteleknya. Juling dah rasanya anak matanya.

‘Takkan langsung tak ada syarikat yang nak pakai akauntan? Boringnya, asyik-asyik operator kilang je yang dicari. Kilang-kilang ni pun takkan tak ada akauntan yang berhenti ke, nak tambah akauntan ke?’ rungut Zulaikha melepaskan rasa kecewanya. Sekali-sekala Zulaikha rasa amat terkilan walaupun sudah belajar tinggi-tinggi sampai ke ‘U’ pun masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan idamannya.

“Takkan langsung tak ada jawatan kosong? Kerani ke... pegawai pemasaran ke?” mak Zulaikha Mak Zara bersuara mematikan khayalan Zulaikha. Mak Zara meletakkan sepinggan besar nasi goreng di depan Zulaikha. Asapnya masih berkepul-kepul lagi almaklumlah, baru keluar dari kuali dan baunya yang memikat selera itu telah mencuit hidung Zulaikha.

“Tak ada jawatan kosong yang sesuailah mak, operator kilang banyaklah,” rungut Zulaikha, matanya masih tertumpu pada surat khabar yang dipegangnya.

Pak Seman, ayah Zulaikha yang baru saja bersiap-siap untuk pergi kerja menarik kerusi dan duduk di sebelah anak dara sulungnya itu. 

“Hari ini keluar lagi ke?” Pak Seman bertanya sambil menghirup air Nescafe pekatnya dan memerhatikan Zulaikha yang diam tidak bergerak-gerak di sebalik surat khabar itu sedari tadi.

“Mestilah ayah. Dah janji dah dengan Umi,” jawab Zulaikha pantas. Surat khabar di kalihkan untuk memandang Pak Seman. Pak Seman segak mengenakan pakaian seragam Polis Bantuan Pelabuhannya yang berwarna biru itu. Walaupun usia sudah menginjak ke lima puluhan Pak Seman masih kelihatan tampan lagi.

“Kalau tak pergi nanti maunya meroyan si Umi tu depan rumah ni karang. Buat demo tunjuk perasaan lagi sambil berguling-guling,” sambung Zulaikha membulatkan matanya yang berbentuk almond itu. Tak dapat nak digambarkan kawannya si Umi Surina tu membuat lakonan sebabak menangis meraung sambil menepuk dahi depan rumahnya. Hehehe...Zulaikha ketawa kecil.

“Mak bukannya apa Zu, anak Makcik Timah kau tu dah pun sebulan kerja dekat bank di Klang. Dia langsung tak ada ijazah pakai diploma saja… tak silap mak kerani bank. Alah Zu, janganlah berkira sangat nak jadi pegawai saja, kerja mula dari bawahpun apa salahnya, jadi kerani dulu ke,” pujuk ibunya memberikan semangat.

Zulaikha hanya memandang kosong pada surat khabar yang dipegangnya sejak dari tadi. Mulutnya mencebik. Dia mengenangkan nasibnya yang masih tidak punya pekerjaan sehinggalah ke saat ini, “Dah rezeki dia mak, ALLAH SWT sudah menetapkan rezeki untuk setiap hambanya…IN SHA ALLAH adalah tu rezeki Zu dimana-mana tu.” Ngomel Zulaikha dengan suara yang perlahan. Sekadar ingin memujuk hatinya sendiri. Zulaikha mula tak senang duduk, terkilan pun ada. Panas punggungnya bila maknya mula bercerita tentang Salina anak jiran belakang rumahnya yang muda lebih dua tahun dari dirinya. Ni tak boleh jadi ni tercabar rasanya jiwa raga aku. Diploma boleh kalahkan ijazah ni...

“Susah-susah sangat Zu, kau kahwin jelah dengan si Kamal anak Mak Ngah Fida kau tu,” ujar Mak Zara lagi. “Dia pun kerjanya bagus. Berpangkat besar.” Zulaikha terlopong. Apa yang mak aku mula merepek ni? Kamal Nazrin sepupunya yang sebaya dengan dia tu pulak yang maknya nak kenenkan. Mentang-mentanglah Kamal tu inspektor polis, maknya terus saja nak suruh dia kahwin dengan sepupunya itu. Hish! Apa barang nak kahwin cepat-cepat? Lagipun keturunan tak berkembang kalau kahwin dengan saudara dekat-dekat ni.

“Alah mak, tak naklah Zu. Lagipun, Zu tak puas enjoy lagilah mak. Kita sudah penat-penat belajar selama tiga tahun setengah nak dapatkan ijazah dan pekerjaan yang bagus. Tak akan terus je nak kahwin kut? Kalau macam tu tak payah bazir duit bayar sampai ribu-ribu untuk belajar, hah... terus saja kahwin.” Protes Zulaikha dengan cadangan Mak Zara itu. Meluatnya Zulaikha dengan pandangan macam tu. Kolot sungguh! Perasaan menyampah itu dipendamkan saja dalam hati. Dia tak mahu menyinggung perasaan Mak Zara.

“Yelah... mak cuma mencadangkan saja. Tetapi kalau dah susah sangat nak dapatkan kerja elok kahwin saja lagi bagus. Umur kau tu pun memang dah sesuai sangat jadi bini orang! Dah tentu-tentu ada orang yang jaga dan tanggung makan minum...” Ujar Mak Zara selamba. Terkulat-kulat Zulaikha duduk menegak tidak bergerak di kerusinya.

“Nanti jadi anak dara tua besok menyesal pulak. Zaman sekarang orang gelar apa? Hah! Andartu...Andalusia. Nak jadi macam tu ke?” gertak Mak Zara selamba.

Aduh gedebuk! Terasa berbisa bagai sembilu hentaman daripada maknya itu. Nampak sangat seperti keadaan Zulaikha sekarang ini macam telah membebankan keluarganya.Tergenang air mata gadisnya sekejap. Kalau ikutkan hatinya, sekarang ni juga dia nak pergi kerja dan meringankan beban kewangan keluarganya. Dia pun dah tak sabar-sabar nak membalas jasa kedua orang tuanya itu. Namun apakan daya, kerja pun dia tak ada lagi.

“Alah mak... janganlah risau. Pasti Zu akan mendapat kerja yang bagus nanti. Sabarlah ye mak ye...” pujuk Zulaikha dengan nada suara yang perlahan. Dadanya sesak menahan sebak. Bagai ditujah-tujah duri. Air mata yang tergenang pada tubir mata ditahan. Tidak dibenarkan bah mengalir ke pipi. Tiba-tiba saja hatinya terasa kecik pulak.

“Mak ni...kenapa tiba-tiba mak nak Zu kahwin dengan si Kamal tu? Tak ada calon lain lagi ke yang lebih sesuai?” tanya Zulaikha tak puas hati. Risau hatinya disuruh kahwin tiba-tiba. “Hish! Tak naklah Zu. Mak tak payahlah suruh Zu kahwin, yek?” pujuk Zulaikha. Hatinya mula berasa seriau dengan hal kahwin-kahwin ni.

“Zu muda lagilah mak...” Sekilas matanya memandang ke arah Pak Seman bagai meminta sokongan dari ayahnya. Tetapi ayahnya hanya buat tak kisah saja. Malah Pak Seman hanya menatap surat khabar depan matanya tanpa berganjak sepicing pun.

“Hish! Ayah ni...buat tak tahu je,” keluh Zulaikha mencebik. Pantas tangannya mencapai mug air milonya yang semakin sejuk. Pinggan di sebelahnya dicapai dan nasi goreng panas maknya dikaut masuk ke dalam pinggan. Perut yang tengah lapar memang mudah mengundang marah. Fikiran juga tak berkembang, baik aku isi perut dulu. Bikin gempak jelah mak aku ni pagi-pagi... nak suruh aku kahwin? Zulaikha meneruskan suapannya. Sekali-sekala matanya masih lagi mencuri-curi pandang kepada Mak Zara yang juga sedang menjamah makanan di sebelah Pak Seman. Zulaikha mengeluh kecil.

Mak Zara buat-buat muka selamba badaknya. Senyumannya disembunyikan dari penglihatan anak daranya. Sengaja dia membangkitkan isu ‘kahwin’ itu supaya Zulaikha tidak terperanjat bila Mak Ngah Fida sekeluarga datang menjenguk mereka untuk merisik Zulaikha kelak.

Umi Surina agak pelik bila melihatkan perangai Zulaikha pada hari ini yang sejak dari mula pertemuan pagi tadi lagi ‘berhangin’ semacam. Umi sudah hampir tidak mengenali perangai Zulaikha lagi. Malah, wajah Zulaikha tak habis-habis tegang memikirkan sesuatu. Dahinya yang jendul sedikit itu asyik berkerut saja. Kedengaran keluhan-keluhan kecil cicir dari mulut mungel itu.

“Kau kenapa hari ni Zu? Kau period ke?” Tegur Umi Surina dengan suara yang diperlahankan. Pandangannya tak lepas dari menatap wajah kawannya yang berkerut itu.

“Taklah …kenapa?” Balas Zulaikha acuh tak acuh. Anak matanya memandang tepat ke wajah Umi.

“Aku tengok kau macam orang mati laki je. Sejak dari tadi asyik terkemut je muka tu. Mamat yang buat air tu pun pandang-pandang kau semacam je… asyik merungut pulak tu. Pastu air muka kau tu pun, masam, masin, kelat, pahit bak kata semua pun aaadaa… naik segan budak tu dengan kau, aku tengok.” jelas Umi sambil menyedut air sirap limaunya.

“Aku bukan apa… mak aku dah mula bising, dia risau aku tak dapat-dapat kerja lagi. Masa sarapan pagi tadi mak aku bercerita pasal anak jiran belakang rumah aku tu si Salina, dah sebulan kerja kat bank di Klang. Boleh tahan panaslah cuping telinga aku mendengarnya. Bukan itu saja, ada ke patut dia nak suruh aku kahwin dengan si Kamal sepupu aku tu? Huh! Apa lagi membara betul hati aku ni…tak boleh jadi ni, aku pun mesti jugak dapatkan kerja. Nanti tak pasal-pasal aku kena kahwin ‘paksa’ dengan si Kamal tu pulak! Tak kisahlah aku tak dapat akauntan macam yang dicita-citakan pun tak apa, yang penting aku dapat kerja dan aku tak membebankan mak dengan ayah aku.” Zulaikha mula membebel. Merungut meluahkan rasa tidak puas hatinya yang sudah lama ditahan-tahan sejak dari rumahnya lagi. Pipinya kemerahan dek kerana menahan perasaan geram dan cemas sekali gus. Kedengaran lagu ‘Fanatik’ dari KRU dicorong radio kedai makan itu. Benar-benar kena dengan hatinya yang sedang berbahang tu. Kakinya digoyangkan dibawah meja.

“Hah... baguslah! Tak payah susah-susah cari pakwe. Dah ada calon suami dah buat kau.” Galak Umi mengusik kawannya. Dia agak terkejut dengan kata-kata Zulaikha. Tak sangka rupa-rupanya kawan baiknya ni sudah ada agenda lain dalam hidupnya. Hatinya mula disaluti cemburu.

“Hello, Cik Umi oi! Kau nampak tak tapak tangan aku ni? Kau nak kena penampaq Jepun aku ni ke?” unjuk Zulaikha tapak tangannya kepada Umi dengan mata yang membulat. Terasa bengkak hatinya dengan usikkan itu. Umi hanya tersengih. Sensitif betul kawannya yang satu ni bila dibangkitkan bab-bab kahwin ni. Sedangkan di dalam hati Umi dia terkinja-kinja ingin berada di tempat Zulaikha.

“Dah fikir masak-masak ke?” Sambung Umi. Topik kahwin terhenti setakat itu saja. “Aku tak kisah sebagai apa kau nak kerja, asalkan duit masyuuk… asalkan ada kerja sudah. Dalam keadaan ekonomi gawat sekarang ni, memang tak boleh memilih kerja. Kau tahu tak, orang luar pun datang kat negara kita ni untuk mencari kerja… buruh, tukang cuci, kerja kilang, kau namakan sajalah memang berlambak! Persaingan memang tinggi. Ramai pendatang tanpa izin datang kat Malaysia ni. Pada mereka, negara kita ni adalah syurga bagi mereka tau. Mereka kerja kat sini kumpul duit, bila duit mereka dah banyak, berkepuk-kepuk mereka bawa balik ke negara asal, di sana mereka boleh jadi jutawan beb kat sana! Mereka boleh beli tanah lagi kat sana… kita saja kat sini memilih kerja, tak nak buat kerja buruh, kilang… tak standard konon.. Cuba kau fikir siapa rugi, siapa untung sekarang ni? Malaslah aku nak cakap lagi, bak kata Nabil Raja Lawak tu,’lu pikirlah sendiri’!” Umi berhujah menyatakan pendapatnya.

Zulaikha hanya mendengar luahan perasaan kawannya tanpa bersuara. Tangannya mengacau air teh limaunya dengan straw minuman. Lama juga air teh limau tu ditenungnya. Hish! nasib baiklah tak pecah gelas tu kena tenung. Segala apa yang dikatakan oleh Umi memang ada kebenarannya. Tetapi tidak semua boleh disalahkan pada sebelah pihak saja bulat-bulat. Majikan kilang-kilang dan syarikat-syarikat yang kecil pun tak nak tanggung risiko dan mereka pun nak jimatkan kos mereka juga terutama dalam penggajian pekerja. Mereka lebih suka memilih pekerja asing dari rakyat tempatan sendiri, senang tak payah potong EPF, Socso dan peruntukan kemudahan yang lain. Masing-masing ada keinginan dan kepentingan yang perlu dipenuhi. Sekarang nikan zaman duit. No money no talk!

Zulaikha menjadi risau bila memikirkan tentang untung nasibnya apatah lagi masa depannya kelak. Lebih-lebih lagi bila terkenangkan cadangan maknya nak kahwinkan dia dengan Kamal anak Mak ngah Fidanya itu. Tidak boleh dipandang ringan kata-kata maknya pagi tadi. Kalau maknya sudah mengusha-ngusha pasal itu dengan Mak ngahnya di belakang dia macam mana? Habislah! Aku belum bersedia untuk berkahwin lagi. Lebih-lebih lagi dengan sepupu sendiri. Hey...taknaklah. Dahlah aku tak ada perasaan kat si Kamal tu! Kerek semacam je. Macam tu mak aku kata hensem dan bergaya? Hatinya mula dirundung rungsing. Apa pun yang terjadi dia mesti juga mencari pekerjaan sampai dapat!

‘Ya! Dalam kegawatan ekonomi begini memang aku terpaksa mengetepikan cita-citaku dulu.Yang penting sekarang ni, aku mesti juga mencari pekerjaan bagi meringankan beban ayah dan mak. Kasihan adik-adik aku Ari dan Shila mereka juga perlukan perhatian dalam pelajaran mereka. Dah ada kerja nanti, sekurang-kurangnya dapatlah aku membantu meringankan bebanan ayah. Apalah sangat pendapatan sebagai polis bantuan pelabuhan. Itupun dah nasib baik maknya ada pekerjaan sambilan ambil upah menjaga anak jiran. Biar betul, mak aku nak kahwinkan aku dengan Kamal! Aku ni betul-betul ke sudah membebankan keluarga? Kacau-bilau jadinya hati Zulaikha bila terkenangkan usul maknya pagi tadi.

Selesai merehatkan badan dan melegakan tekak yang haus mereka segera berlalu dari kedai itu. Zulaikha dan Umi menyambung perjalanan mereka berpusing-pusing mencari pekerjaan di bandar Klang itu. Mereka berkunjung ke restauran-restauran makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken dan Mc Donald di Jalan Taiping serta di bahagian belakang jalan di Emporium Ocean. Usaha mereka pada hari itu gagal lagi, bukan mereka tidak berkebolehan tetapi kelayakan yang mereka ada tidak mengizinkan majikan mengambil mereka bekerja apatah lagi mereka belum mempunyai pengalaman. Walaupun mereka merayu bagai nak runtuh langit sekali pun. Kalau mereka diambil juga adalah menjadi satu kesalahan kerana bayaran gaji tidak setimpal dengan kelulusan mereka.

Hari semakin menginjak petang, mereka pulang dengan menaiki kenderaan awam. Menaiki bas juga memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang lasak manakan tidak, sudahlah berasak-asak, berebut-berebut dengan penumpang yang lain, bau badan pun bercampur-baur…meloyakan. Wajah masing-masing lesu dan tidak bersemangat, make up yang dicalitkan ke wajah pun sudah pudar dan kusam dimamah dek mentari dan peluh. Tamatlah pencarian mereka untuk hari ini, hasilnya hanyalah penat dan kecewa sama seperti hari-hari sebelumnya…..hampa.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.