Home Novel Cinta Nak Pilih Yang Mana?
Nak Pilih Yang Mana?
14/9/2013 20:00:35
18,013
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

BAB 4

Tangannya pantas saja menyelak-nyelak helaian dokumen di atas meja tugas. Di minda Mazli masih sempat lagi terkenang-kenangkan perbualannya dengan Zulaikha. Budak baru yang manis anggun sewaktu makan tengahari tadi. Hatinya berbunga-bunga mekar bila mengetahui gadis pujaan masih belum berpunya. Masih singlelagi. Ini kalau tak di cepat, melepaslah aku. Fikirnya sendirian sambil pandangannya menerawang kosong di skrin komputernya. Jejaka yang tampan di dalam bank ni boleh tahan sengit juga persaingannya. Hmmm...

“Hoi! Apa kau buat tu, berangan ye? Nasib baik skrin komputer tu tak ada kaki kalau tak dah lama lari dah sembunyi masuk dalam laci sebab malu kena tenung dengan kau macam tu,” tegur Rais sambil menepuk kuat bahu Mazli. Sedari tadi dia memerhatikan gelagat Mazli secara diam-diam. Mazli asyik tersengih-sengih sendirian mengadap skrin komputernya. Bagaikan skrin itu sedang membuat lawak jenaka di hadapannya. Tetapi hakikatnya, dia terbayangkan wajah Zulaikha yang manis itu sedang melambai dan tersenyum kepadanya. Tanpa dia sedari, bibirnya lebar mengukir senyum lagi. Apalah nak jadi dengan mamat seorang ni, bisik Rais. Langsung tergeleng kepala dia dengan gelagat kawannya itu.

“Kau ni dah kenapa angau ke apa? Dari tadi aku tengok asyik tersengih-sengih. Eh, aku dah nak balik ni kau nak ikut tak?” pelawa Rais mengajak Mazli untuk balik bersama-sama. Mazli menggeleng sambil memuncungkan bibirnya kearah timbunan kertas dan file di atas mejanya. Fahamlah Rais yang kawannya sibuk. Mazli meraup wajahnya. Kepenatan menjalar ke segenap badannya. Mazli menggeliat bagi melonggarkan urat-uratnya yang tegang.

“Tak apalah Rais aku balik lambat sikit hari ni. Nak habiskan

laporan bulanan kredit ni dulu.” Sahutnya sambil memandang reportdi atas meja. Kelopak matanya dikedip-kedipkan pula seperti melakukan senaman mata.

“Hah! Takde kerja lainlah tu. Ni mesti nak mengusha budak baru tu kan? Sibuk jer macam mata-mata gelap pencen. Macaaamlah aku tak tahu. Pantang!” pintas Rais. Matanya dibulatkan.

“Asalkan ada staf baru masuk je, kau pun mulalah nak pasang jarum. Entah-entah mata air orang ke... kau ni, tak habis-habis dengan perangai gatal kau tu ye.” Rais mengingatkan Mazli. Tangannya cuba mencuit dahi Mazli yang luas itu. Nak bergurau. Mazli menyengetkan kepalanya untuk mengelak. Tangannya menepis tangan Rais.

“Eh, apa ni?” Raut wajah Mazli berubah serta-merta. Kurang senang bila dahinya yang luas itu dibuat barang mainan. Lantas Mazli hanya tersenyum-senyum kambing mendengarkan omelan Rais itu kerana niatnya berjaya dikesan.

“Tak delah memang aku ada banyak kerja pun nak dibuat,” tegas Mazli sambil jari-jemarinya menekan papan kekunci komputer di hadapannya. Rona wajahnya mula diseriuskan, matanya pegun memandang skrin komputer. Pura-pura serius konon!

“Okaylah kalau macam tu, aku chao dulu. Kent dah tunggu aku kat bawah tu lama dah. Nanti membebel pulak mamat macho sorang tu. Kalau dia merajuk nanti siapa yang susah? Aku juga..” terang Rais sambil mengangkat tangan kanannya persis gaya melambai. Rais berlalu menuruni anak tangga pejabat menuju ke tingkat bawah dengan agak laju. Rais terus saja berjalan menuju ke arah pintu kaca pejabat untuk keluar. Di situ, Kent pemuda Melayu kacukan mat saleh dari sebelah ibunya telah lama tercegat menantikan Rais dengan wajah tampannya yang sedang masam mengkelat. Sambil berlalu, Rais sempat mengintai kelibat Zulaikha yang sedang mengira-ngira duit buat balansing di dalam kamar juruwang. Rais sempat juga menegur Lim sekali lalu yang sedang berbincang sesuatu dengan pegawainya Encik Rashid mengenai akaun pelanggan mereka. Wow! Memang mengancam habislah staf baru ni. Very interesting, ada gaya dan aura pesona yang tersendiri, bisik hati Rais. Namun setakat itu sahaja pujiannya. Dia lebih risau lagi kalau Kent Helmi mula merajuk dan tarik muka masam dengan dia.

“Hoi, Cepatlah! Kaki aku dah letih gila ni berdiri macam pak pacak menunggu kau. Make it fast man. Hurry! Hurry!” gesa Kent. Agak kasar kedengaran bunyinya. Suara Kent yang agak lantang itu menerobos ruang legar bank. Zulaikha mengangkat kepalanya untuk melihat pemilik suara itu. Huh! Kacaknya mamat ni. Berhidung mancung, kulit putih gebu. Pandangan matanya yang kecoklatan itu, tajam menikam sampai ke kalbu. Berbadan tegap, tinggi tapi tak berisi, tak pula kurus dan berambut warna kecoklatan seperti warna matanya bila disinari cahaya matahari samar petang. Ungkap Zulaikha dalam hatinya. Pemuda yang ditunggunya pula sedang berlari-lari anak menuju ke pintu kaca untuk keluar dengan gesa-gesa. Zulaikha hanya dapat melihat kelibat bahagian belakang pemuda itu sahaja dan rambutnya yang hitam pekat itu. Almaklumlah, hari pertama bekerja jadi tak semua staf di sini dikenalinya lagi. Zulaikha duduk semula dan meneruskan pengiraannya yang tergendala tadi.

Selepas melepasi pintu pejabat, Rais cepat-cepat melajukan langkahnya untuk bersaingan dengan Kent, “Bro, janganlah marah. Aku baru je tiga puluh minit lewat,” Rais memujuk Kent sambil tangan kanannya memaut lembut bahu Kent. Huh, baru tiga puluh minit! Desis Kent terkejut. Siapa yang tahan bila kena menunggu lama-lama? Tetapi demi kawan kesayangan dia sanggup menunggu juga. Wajah Kent yang kelat tiba-tiba bertukar manis dengan senyuman apabila bahunya disentuh Rais.

“Jom, kita pergi minum dulu nak? Nak ke mana ye?” Rais mengajak Kent minum dulu bagi menceriakan moodKent yang sudah dianggap seperti abang sendiri itu sambil di dalam kepalanya bekira-kira tempat yang hendak dituju.

Perhubungan Kent dan Rais memang sudah lama terjalin, sejak bank tersebut baru lagi membuka cawangan baru di Port Klang itu. Bermula dari kawan sepejabat mereka menjadi kawan serumah pula dan berkongsi apa sahaja. Pergi kerja berkongsi kereta serta mereka menjadi sahabat yang memahami perasaan hati masing-masing. Bersentuhan tangan, merangkul pinggang atau bahu antara satu sama lain telah menjadi kebiasaan buat mereka berdua. Tiada maksud lain hanya sebagai abang dan adik, yalah... adik-beradikkan, biasalah.

“Jom kita lepak kat restauran KFC nak?” Tiba-tiba Kent mengajak Rais ke sana. Dah lama dia tidak dapat meluangkan masa berbual-bual dengan Rais. Sambil duduk-duduk berdua sahaja bersantai di restauran makan. Asyik sibuk dengan kerja masing-masing dan menyediakan laporan bulanan bank. Tak pun, mereka akan balik rumah kemudian Rais atau dia sendiri akan pergi membeli makanan tapau bawa balik makan kat rumah. Huh! Bosan. No life!

“Jomlah! Dah lama kita tak makan ayam goreng tu,” ajak Kent terus menarik dan memimpin tangan Rais. Selamba saja dia memegang tangan Rais menuju ke arah restauran KFC yang terletak bersebelahan dengan blok bangunan bank tempat mereka bekerja. Mereka kena melintas jalan raya yang memisahkan bangunan tersebut. Sambil melintas jalan, sekali lagi Kent dengan selambanya memimpin tangan Rais. Pada Rais itu merupakan perkara biasa saja dan perbuatan mereka tidak dihiraukan oleh orang sekeliling. Hanya beberapa pasang mata saja yang terlihat dua lelaki sedang berpimpinan tangan memberikan pandangan yang pelik. Tapi hanya sekilas pandang, kemudian masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing semula. Berebutkan masa untuk pulang ke rumah masing-masing.

Tanpa Kent sedari, Rais terasa jantungnya berdebar-debar bila dipimpin begitu. Mungkin kerana jarak umur yang agak jauh antara mereka sebanyak empat tahun telah membuatkan Kent menganggap dia seperti adik-adik saja. Mungkin kerana fakta inilah telah membuatkan Kent tak segan silu melayannya seperti itu. Sebab jarak umur jugalah pada tanggapan Rais, mereka boleh mesra dan menjadi sangat rapat seperti itu.

Pada orang lain yang melihat cara mereka itu mungkin mudah untuk beranggapan yang bukan-bukan. Tetapi Rais berasa pelik juga sebabnya kadang-kadang dia sendiri pun boleh rasa selesa bila diberikan perhatian begitu. Entahlah…kenapa ye? Lagipun, sikap prihatin yang Kent berikan padanya telah membuatkan hidupnya ceria dan dihargai.

Kent masih lagi memimpin tangan Rais sehingga mereka sampai di hadapan pintu masuk restauran KFC dan Kent terus menolak daun pintu kaca itu. Rais cuba menarik tangannya untuk melepaskan genggaman tangan Kent tetapi Kent masih utuh menggamit pergelangan tangannya. Sambil berpegangan tangan, mereka berdua masuk ke dalam restauran beriringan. Tiada sesiapapun yang memberikan perhatian kepada dua orang pelanggan yang baru masuk ini.

Kent menyuruh Rais mencari tempat duduk untuk mereka berdua, memandangkan ramai pelanggan pada ketika itu. Takut tiada tempat duduk pula nanti. Tangan Rais masih lagi di dalam genggaman Kent. Digenggam kemas. Rais menarik lembut sambil memberikan isyarat mata pada Kent supaya melepaskan tangannya. Seraya tersenyum dan sengaja lambat-lambat, Kent merapatkan tangannya ke bibir dan buat-buat gaya seperti ingin mencium tangan pemuda itu...

“Hish, apa ni Kent! Mental ke?” marah Rais. Bulat matanya terkejut dengan perangai Kent yang tiba-tiba itu. Buang tebiat ke apa ke mamat ni? Kent ni dah senget ke apa? Tempelak Rais dalam hatinya. Sepantas kilat Rais merentap kasar tangannya dari Kent dan berlalu pergi mencari tempat duduk untuk mereka. Serentak itu dia menarik nafas dalam-dalam mengisi rongga paru-parunya dengan udara yang mula terasa kependekkan nyawa! Mulutnya mengomel tak henti-henti marahkan Kent dengan perasaan malu yang membuak-buak. Kedengaran kikihan ketawa nakal terpacul keluar dari mulut Kent di belakangnya. Apa kenalah dengan mamat macho sorang ni. Nak berguraupun berpada-padalah. Adakah patut dia nak cium tangan aku dikhalayak ramai ni? Ingat aku ni apa? Mat gay ke… gerutu hati Rais marah.

Rais memilih tempat duduk bersebelahan cermin kaca khas untuk dua orang. Sambil itu dia sempat melihat-lihat pemandangan jalan raya dan suasana di luar restauran KFC itu sementara menunggu Kent membuat pesanan. Drama romantik sebabak yang tak menjadi tadi memang dah biasa terjadi di antara mereka berdua. Tetapi aksi seperti itu hanya berlaku di rumah mereka saja. Kent memang suka menyakat Rais dengan perangainya melayan Rais konon macam sepasang kekasih bila berdua. Kent akan mula membuat perangai gila-gilanya bila dia berasa tension dan bengang di pejabat. Rais sudah faham benar dengan perangai Kent itu. Tanpa sebarang amaran pastinya dia terkejut beruk bila diserang begitu tadi!

‘Kent ni biar betul, hiii… meremang bulu roma aku dibuatnya. Harus ke tak haru-biru jadinya?’ ngomel Rais sorang-sorang. Bayangan edegan tadi terpacul lagi dibenaknya. Tapak tangan Rais mula berpeluh. Dia meraup wajahnya yang sedang merona merah itu. Rais cuba mengusir rasa malunya yang sedang menguasai dirinya. Rasanya, nak saja dia cepuk kepala Kent dengan sikunya bagi menebus malunya balik.

Tak sampai sepuluh minit menunggu akhirnya Kent datang membawa dulang hidangan sambil tersenyum simpul menghiasi wajah tampannya. Seronok betul dia bila dapat menyakat Rais macam tu tadi. Comel betul muka Rais bila dia terkejut! Memang Kent sangat suka melihatkan reaksi Rais yang cute tu. Kent tersenyum lebar bila teringat balik reaksi Rais yang membulat matanya kerana terkejut.

Lantas Kent duduk di sebelah Rais. Tanpa membuang masa Rais mengambil bahagiannya, dinner plate original dan sebiji burger keju.

“Eik? Mana air coke I, Kent? Takan satu je you pesan?” tanya Rais keliru.

“Memang I order satu je. Tak pelah kita kongsi minum sama-sama. Alah, macam tak biasa minum satu gelas dengan I. Kita kan the best couple ever?” Kent mula mengusik lagi. Rais tersenyum kelat bila Kent mengeluarkan kenyataan begitu. Setiap kali bila Kent Helmi sedang stress pastinya Rais Furqan akan menjadi bahan sakatannya. Tidak syak lagi!

Hah! Sudah, penyakit angau dia dah mula dah... rungut Rais perlahan lantas dengan drastiknya membulatkan mata sebesar mungkin seraya memandang ayam di dalam pinggannya. Namun suaranya masih dapat didengari oleh Kent di sebelahnya. Segaris senyum manis muncul pada bibir Kent Helmi menambahkan lagi ketampanannya.

You nak tahu tak?” soal Kent tiba-tiba memulakan perbualan. Hatinya sedang cemerlang bahagia tika ini. Waktu yang sama hidungnya terciumkan bau wangian Polo yang dipakai Rais.

“Bila minum berkongsi bekas yang sama macam ni, ia diibaratkan macam indirect kiss,” jelas Kent dengan wajah yang berseri-seri. Anak matanya mula bersinar bak bintang-bintang. Rais hanya tersenyum tanpa perisa. Senyum sumbing namanya tu. Tiba-tiba...

“Hahahaha! Kau ni dah kenapa dah, Kent? Kelakarlah kau ni.” Tempelak Rais sambil tergelak bila teringatkan kata-kata Kent tadi tu. Indirect kiss? Ciuman tak secara langsung?

“Cara begini secara tak langsung merapatkan lagi perhubungan yang intim,” jelas Kent lagi. Anak matanya yang kecoklatan itu membulat bersinar bahagia. Mulutnya sibuk mengunyah ayam pada masa yang sama bola matanya melirik ke arah Rais di sebelahnya. Sengaja Kent kata begitu, nak tengok reaksi Rais.

“Tak naklah I.” Pantas saja Rais menjawab sambil menolak bekas minuman itu kepada Kent serta-merta. Bagaikan baru saja terkena renjatan elektrik. Aliran darahnya menjalar deras dalam urat darahnya bila mendengarkan penjelasan Kent itu. Tiba-tiba saja batang tubuhnya berasa geli-geleman semacam. Kent ni memang sengaja nak mengenakan aku tau! Marah Rais dalam hati.

“Kent kalau kau tak cukup duit cakaplah. Aku boleh bagi.” Lalu Rais menghulurkan note RM5 kepada Kent. “Nah, pergi pesan lagi satu coke.” Tetapi dengan pantas juga ditolak oleh Kent. Wajahnya bertukar masam, merajuk….

“Memang sengaja I pesan satulah... mengong,” kata Kent dalam nada perlahan suaranya ditekan sambil melabuhkan punggungnya di kerusi menjauhi Rais. Menzahirkan perasaan kurang senangnya dengan penolakkan Rais itu. Tersinggung rasa hatinya.

“Sharelah, air banyak tu. Tak habis nanti membazir pula. Kenapa? Tak sudi nak berkongsi dengan I lagi ke?” soal Kent dengan wajah sedikit sugul. Dia berasa berkecil hati dengan Rais. Dia berpaling memandang ke luar dinding kaca restauran itu. Cuba sembunyikan wajahnya yang sedang sedih itu. Tapi sebenarnya tidaklah sesedih manapun... Mengada!

“Hah! Dah... dah… jangan nak mula merajuk pulak. Buruk rupanya! Apa ni lelaki merajuk ni. Malu je tau! Okaylah, aku minum... kita share…” Rais terpaksa mengalah dengan peel Kent itu. Pantas Rais mengambil air coke tadi dan terus minum, malas dia hendak memanjangkan cerita pasal air coke tu takut Kent merajuk betul-betul pulak nanti. Siapa yang susah? Dia juga yang susah. Sememangnya dia sedang dahaga. Wajah Kent berubah ceria kembali sambil dia menghulurkan kentang goreng kepada Rais sebagai tanda berdamai. Pelik betullah perangai mamat sorang ni. Nak kata dia kecik tapi, umurnya lebih dari aku. Rais malas nak layan lalu terus saja dia menggigit kentang goreng itu. Kalau dilayan pastinya tak akan habis-habis. Rais berpaling kepada pinggan ayamnya semula. Tanpa memandang kepada Kent yang sedang merenungnya.

Hanya mata Kent saja yang lama memandang Rais. Mata itu seperti cuba menyampaikan sesuatu yang tersirat di sebalik pandangan mata coklat itu. Dia tidak pernah meluahkan perasaan sebenarnya kepada sahabatnya itu. Dia bimbang, Rais akan menjauhkan diri dari dia sekiranya dia beritahu rahsia hatinya ini. Dia sayangkan Rais lebih dari menyayangi seorang adik. Rais memang istimewa. Kent Helmi memang menyukai Rais. Itu sebablah dia bertindak sedemikian!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.