BAB
5
Mentari petang sudah lama melabuhkan tirainya menyembunyikan diri.
Kini giliran malam pula melepaskan layarnya menyapa penghuni bumi. Zulaikha mengeringkan
rambutnya dengan tuala dan membungkusnya selepas mandi. Sambil bernyanyi-nyanyi
kecil dia turun makan malam dengan keluarganya. Zulaikha telah belajar banyak
perkara untuk hari pertama dia bekerja. Memang penat. Setiap masa hanya mengira
wang yang banyak berlambak-lambak diberikan oleh pelanggan bank untuk disimpan.
Buat balancing dan membuka akaun simpanan dan akaun semasa untuk pelanggan
banknya. Itu tak kira lagi Jabatan lain yang melibatkan pembelian saham dan
tukaran wang asing. Memang mencabar bagi dirinya yang baru hendak
berjinak-jinak dengan dunia perbankan. Hari ini dia sampai rumah pun sudah lewat
pukul 6.30 petang.
“Kak, macamana dengan hari pertama kerja? Seronok tak?” tanya adik
Zulaikha dengan penuh harapan. Dia suka sangat mendengar cerita-cerita selingan
harian dari kakak kesayangannya itu. Bila mendengar kisah luar dari dunia
sekolahnya dia rasakan macam bertambah kebijaksanaannya di dalam meranduk
kehidupan remajanya.
“Seronok... Seronoklah sangat!” Zulaikha menaikkan ibu jarinya sebagai
menyokong kenyataan tadi. Wajahnya menunjukkan keletihan mental. Sepasang mata almondnya kelihatan kuyu, letih. Dia tak
mampu nak senyum manis dengan Shila lagi. Senyumnya sudah habis dia sedekahkan
kepada semua pelanggan banknya hari itu.
“Akak makan lunch dengan budak
bank tadi.” Sambil membuka baju untuk mandi, Zulaikha sempat lagi bercerita.
“Ye ke? Lelaki ke pompuan?” tanya Shila dengan nada suara yang agak
taksub.
“Cuba teka?” Umpan Zulaikha. Sengaja nak buat adiknya berasa geram tak
sabar untuk mendengar ceritanya. Tangannya mengirai rambut dan membalut tuala
pada bahunya.
“Citalah kak, Citalah kak.” Rengek Shila. Dia menghempas punggungnya
kasar di atas katil yang dia kongsi bersama dengan Zulaikha. Berenjut tilam
empuk bercadar cerah itu dibuatnya.
“Eemm... dengan lelaki.” Balas Zulaikha tersenyum simpul mengumpan.
Seronok tengok adiknya ‘gelojoh’ macam tu.
“Lelaki? Wah! Handsome tak?
Cayalah kak. Baru hari pertama dah ada orang minat tu....” puji Shila. Dalam
kepala otaknya dia mula berangan yang indah-indah. Manis roman wajahnya semanis
gambar buatan di dalam fikirannya.
“Bolehlah tahan...” lantas dengan pantas Zulaikha mematikan perbualan
mereka. Dia masuk bilik mandi tergesa-gesa untuk mengelak diri dari adiknya.
Shila berdecit halus tak puas hati kerana tahu kakaknya memang sedang
mengenakan dia. Perasaan ingin tahunya sedang meronta-ronta hebat, dahagakan
kisah pengalaman Zulaikha untuk hari itu. Dalam diam Shila menyimpan hasrat
untuk menjadi seperti kakaknya.
Tiba-tiba wajah Mazli yang berkumis nipis itu menjengah kotak fikiran
Zulaikha. Berubah serta-merta rona wajah gadis lincah itu. Sedikit rasa tak
selesa mencuit hatinya. Mazli tu agak gelojoh sikit perwatakannya langsung tak gentleman walaupun dia perasan yang dia gentleman.Kutuk Zulaikha dalam hatinya.Zulaikha menyambung lagi,jejaka
yang handsome seperti ala-ala Mat
saleh tu dan kawannya yang berambut hitam berkilat dan segak, mereka tu
bahagian manalah agaknya ya? Tubuhnya kurus tapi tidaklah melidi. Zulaikha
tidak dapat hendak mengecamkan wajah kawannya yang berambut hitam itu kerana
pada masa tersebut Zulaikha hanya nampak belakang badan dia saja. Tentunya
mereka tu best friendkan? rumus
Zulaikha. Ketika itu, segaris senyuman manis menjalar pada bibirnya yang mungel
itu. Pasti siapa yang melihat akan tertawan. Makanya tuala yang membalut
rambutnya tadi disangkut dengan kemas pada tempatnya.
Fikirannya masih merumus-rumus hal-hal di pejabat lagi. Terutama pasal
dua orang pemuda yang kontras warna rambut mereka itu. Seorang coklat dan
seorang hitam. Hehehe... Pemuda berdua itu telah menggamit perhatiannya. Kemesraan
mereka jelas boleh dilihat walaupun mereka tu lelaki. Zulaikha menyambung andaiannya.
Bangga juga dia kerana kebanyakkan staf yang
bekerja di bank itu boleh dikatakan segak-segak dan bergaya belaka baik
lelakinya mahupun yang perempuan. Walaupun mereka sudah berkahwin tetap ada ‘umphnya’.
Harap-harap aku pun tergolong macam mereka, seronoknya! Angan Zulaikha.
Tiba-tiba wajah Zulaikha bertukar kelat bila teringatkan staf yang bernama Mala.
Perempuan itu ibarat watak emak tiri dalam cerita Snow White. Garang dan zalim!
Zulaikha mula mencemikkan mulutnya. Perasaan jengkel dan meluat menyelinap ke
dalam hatinya. Lantas decitan kecil meluncur keluar tanpa disengajakan.
‘Heee, Menyampahnya!’ getus hati Zulaikha geram tatkala wajah gadis
bermata sepet itu muncul lagi bermain dilayar mindanya. Sampai terherot bibir
Zulaikha bila bayangan jelingan mata Mala tergambar kembali. Jelingan itu
tajam, menghina. Menyombong betul minah tu, gerutu Zulaikha lagi. Hhmmm...
Minah tu kerek semacam. Macamlah dia bagus sangat. Tak boleh nak silap
sikit pasti ada yang kena herdik dengan dia. Macam singa laparlah perangai perempuan
tu … serta-merta tersengih Zulaikha bila terbayangkan wajah singa lapar. Bila
dibayangkan kembali wajah Mala tu, memang pun persis singa kerana rambut Mala
yang ala-ala maggie itu
mengerbang macam kepunyaan rambut sang
singa. Hehehehe...
Kening Zulaikha terangkat-angkat bila dia cuba menggambarkan kembali
wajah staf-staf bank yang lain dalam fikirannya. Dia cuba untuk mengingati
semula nama dua orang pemuda yang kecoh petang tadi.‘Siapa agaknya pemuda yang
berambut hitam tu ye? Siapa nama dia? Yang ala-ala Mat saleh tu... tak silap
Kent Helmi tetapi this other guy. Siapalah
pula dia? Heem… tak sabar-sabar rasanya nak kerja esok!’ Fikiran Zulaikha semakin menerawang tinggi
sehingga ke langit tujuh.
Selepas makan malam bersama-sama dengan keluarganya, Zulaikha lantas naik ke biliknya semula dan
mengeluarkan baju kebaya labuh warna pucuk pisang dari dalam almari untuk
digosok. Dia bercadang hendak memakainya esok. Sepanjang masa makan
bersama-sama dengan keluarganya tadi hati Zulaikha memanjang berdebar-debar.
Manakan tidaknya, dia bimbang sangat kalau-kalau Mak Zara akan mengungkit pasal sepupunya
Kamal tu lagi. Sedangkan otaknya dah
penat sangat untuk berhujah dengan maknya kalau-kalau isu itu berbangkit. Tetapi
sepanjang masa menjamu selera tadi mujurlah Mak Zara tak sentuh langsung akan hal
‘kahwinnya’. Lega hati aku, desis Zulaikha.
Sudah beberapa kali Zulaikha menguap semasa dia menggosok bajunya. Mengantuk
sangatlah tu. Oh! Itu sudah pastinya. Sudahlah pada waktu siang tadi dia puas
berjalan ke hulu ke hilir dalam bangunan
bank itu. Meluas dia berjalan, mengalahkan
macam makan angin. Seluruh tenaganya serasakan bagai disedut keluar. Kalau
macam ni hari-hari tak payah nak berdiet-dietlah. Sah-sah aku akan kekal maintain slim, getus Zulaikha. Tangannya
cekap melayarkan seterika di atas baju kebayanya.
“Kak Zu, sambunglah cerita tadi. Budak lelaki tu macam mana rupanya?
Siapa namanya? Kedekutlah kak Zu ni. Ceritalah!” Pinta Shila tiba-tiba tak
sabar. Nak menyambung semula perbualan yang terhenti siang tadi. Shila sedang
tekun mengulangkaji pelajarannya di meja tulis bersebelahan katil. Sejak di
meja makan lagi hatinya bagai digeletek-geletek nak tahu pasal lelaki yang
makan dengan kakaknya itu.
“Ingat lagi kau pasal tu ye! Tu sejarah depan mata tu. Layan dulu.” Tegas
Zulaikha. Anak matanya tepat menghala ke arah buku di atas meja. Shila
tersenyum malu-malu. Sedar dirinya bersalah kerana menyibukkan hal orang.
“Alah. Kerani bank... biasa je orangnya. Hitam manis dan bermisai
nipis. Tetapi akak tak berkenan sangatlah Shila. Not my taste. Lagi pun dia ni macam gelojoh sikit. Nampak sangat
macam dia tu desperate. Heee! Sabar
jelah. Sepanjang masa makan dengan dia tu, akak ni menahan je rasa nak tumbuk
muka dia yang selamba tu. Kasihan pun ada juga.’ Terang Zulaikha.
“Shila, kak Zu masuk tidur dululah ye. Ngantuk sangat hari ni,” sambil
dia merebahkan badannya pada katil empuk yang sudah sedia menanti. Tangannya
memeluk erat bantal panjang dan menutup matanya setelah usai membaca surah Al-Fatihah
dan tiga Qul. Sudah menjadi kelaziman kepada dirinya setiap kali sebelum tidur.
“Selamat malam kak Zu.” Shila masih lagi tekun mengulang kaji.
Langsung tidak berganjak dari tempat duduk itu. Menoleh pun tidak. Hanya
bibirnya sahaja yang bergerak-gerak memberi ucap selamat kepada kakak
kesayangannya. Puas hatilah tu selepas Zulaikha bercerita mengenai makan
tengaharinya dengan budak bank. Barulah Shila dapat fokus pada pelajarannya.
“Selamat malam.” Jawab Zulaikha lalu melelapkan matanya. Dia terus terlena
tanpa sempat bermimpikan apa-apapun untuk malam itu. Letih sungguh gamaknya.
Matanya mula kesat dan terasa panas. Mazli mengelip-ngelipkan matanya
sepantas yang boleh untuk membasahkan bebola matanya yang mula mengering. Lama
betul dia merenung skrin komputer. Sedari petang tadi asyik mengadap komputer
untuk menyiapkan laporan bulanan kredit untuk dihantar ke Bank Negara.
Sekali-sekala dia menggeliat bagi mengendurkan segala urat-uratnya yang sedang
tegang. Mazli melihat jam di tangan, sudah pukul 8.00 malam. Perutnya pun dah
mula bermainkan lagu keroncong asli. Sejak dari tengahari tadi hanya nasi saja yang
masuk di perutnya, untuk minum petang pun dia tak sempat. Malah, Rais dan Kent
rakan serumahnya sudah lama pulang. Nak makan apa ye hari ni? Bila memikirkan apa nak dimakan terasa malas
nak ke kedai pun ada…tetapi perut lapar. Dah malam-malam begini mana ada nasi
kalau ada pun dah sejuk, siang tadi punya…nak makan mi goreng mamak, heeem...terasa
muaklah pula. Banyak betul alasan yang muncul. Kalau dah lapar tu sebat
sahajalah rezeki yang ada. Tak kisah makan apa. Ni tidak, nak memilih pula. Cubalah
bersyukur sikit dengan apa yang ada! Tiba-tiba hatinya mula bertazkirah
mengingatkan dirinya yang ‘terlupa’ diri sekejap tu. Lantas, Mazli bangun dari
kerusi perlahan-lahan dengan malas dan mengemaskan beg sandangnya yang dia
sentiasa bawa.
“What everlah…”Getus
hatinya. Satu keluhan kecil tercicir dari mulutnya dan nafasnya dilepaskan
berat. Dia menggeliatkan badannya sekali lagi.
“Asalkan aku makan dan perut tak kosong dan aku kenyang.” Sambungnya
lagi malas nak fikir banyak menyesakkan urat-urat otaknya yang sudah sedia
penat. Mazli lantas menghayun langkahnya menuruni anak tangga pejabat. Mazli
bersiul-siul kecil menghiburkan hatinya. Selera makannya sedang membara ke
tahap maksima sekarang ini.
Rais Furqan sedang terbaring di atas
sofa panjang di ruang tamu. Sepasang pijama kelabu bercorakkan kotak-kotak
kecil merah hati menyaluti tubuhnya
yang langsing itu. Sedikit anak rambut
depan Rais terjuntai jatuh di dahinya. Membuatkan wajahnya kelihatan comel keanak-anakkan.
Dia terlena sebentar semasa sedang
menonton televisyen. Tubuhnya dibelai lembut oleh angin yang datangnya dari
kipas di siling rumah. Nyenyak sungguh
dia terlelap. Kent pula berada di dalam biliknya sedang melayan internet dan berchatting dengan ibunya yang sekarang ini sedang berada di Australia.
Ibu dan bapa Kent baru saja bercerai tiga tahun lepas dan Kent merupakan anak
bongsu dari dua beradik. Kent ada abang dan sekarang ini sedang berada di Jepun
menguruskan cawangan perniagaan ayahnya di sana.
Mereka sangat jarang bertemu. Jadi terang-teranglah Kent keseorangan
di sini. Hanya mengharapkan kepada Rais
sajalah sebagai teman paling rapatnya. Segala sakit-pening dan suka-dukanya
hanya kepada Rais dikongsikan bersama. Ibarat isi dan kuku dan macam aur dengan
tebing.
‘Bye mum,’ coretan terakhir dari
Kent untuk menamatkan perbualan internet dengan ibunya. Kent mengeluh halus lalu
Lap top di tutup dan Kent keluar dari biliknya. Matanya melilau mencari teman
‘istimewanya’ bila kelibat Rais tidak kelihatan di mana-mana. Hanya suara
televisyen saja yang kedengaran mengisi kesunyian rumah itu. Hatinya terdetak bimbang kerana rumah itu terasa
seperti tiada berpenghuni. Sunyi. Bayang
Rais pun dia tak nampak. Kent berlalu menjenguk ke ruang dapur sebentar
kalau-kalau Rais ada di situ. Tiada. Dia melangkah keluar. Berjalan melepasi pintu
biliknya dan sebelahnya, bilik Rais. Mazli
mungkin belum balik lagi kerana pintu biliknya masih tertutup kerana kalau
Mazli ada di rumah dia suka membuka
pintu biliknya, bagi peredaran udara katanya.
Kent melangkah ke ruang tamu. Lantas hatinya berdebar-debar bila
ternampakkan sekujur tubuh Rais sedang lena, terbaring di atas sofa panjang. Salah
satu dari tangannya terletak di atas dahi dan wajahnya kelihatan tenang dan
damai. “Comelnya….” bisik hati Kent. Tiba-tiba perasaan nak menyakat timbul
mencuit hatinya. Kent menarik nafasnya dalam-dalam kerana dia perlu
berhati-hati agar Rais tidak terkejut dari tidurnya. Dengan langkah yang
perlahan macam harimau meninjau mangsanya Kent mendekati sofa itu. Penuh
berhati-hati dia menghampiri Rais. Lalu dia mencangkung sebelah Rais. Sepasang
matanya merenung wajah yang sedang lena itu. Bila dah dekat semakin jelas dada
Rais berombak dengan teratur menarik nafas dengan tenang. Keadaan ini telah
membuatkan Kent tidak dapat menahan nalurinya lagi. Ingin disentuhnya bibir
Rais yang penuh dan kemerahan itu. Kent menjadi tidak tentu arah dan
serba-salah. Nafasnya yang dilepaskan menjadi tersekat-sekat. Seluruh
pandangannya sudah dikaburi dengan imej Rais yang kelihatan comel sedang
tertidur itu.
“Apa yang aku nak buat dengan mamat ni ye? Cubit pipi dia yang sedang
tidur tu? Atau jerit kat telinga dia? Mata Kent merenung. Tanpa Kent sedari
tangan kanannya mula bergerak dengan sendirinya mengarah ke situ…. ke bibir
penuh kepunyaan Rais. Geramnya! Comel betullah kau ni Rais! Desis hati Kent. Ya
Allah! Kenapalah Allah jadikan kau ni comel sangat? Patutnya kau ni memang kena
jadi adik aku. Hari-hari aku...
“Hah! Buat apa tu?” Sergah Mazli
secara tiba-tiba. Kent terkedu terus. Pintu di belakangnya ditutup dengan
perlahan dan berhati-hati tanpa menghasilkan sebarang bunyi. Lalu Mazli menuju
terus ke dapur tanpa menoleh kearah Kent dan Rais lagi. Macam tiada apa-apa
yang ganjil telah berlaku. Dia sudah lama menahan rasa dahaga semasa menunggu
bas untuk pulang ke rumah tadi. Langsung bergegas-gegas dia ke dapur mencari
air. Apa yang Kent hendak lakukan kepada Rais langsung dia tak ambil endah.
Memang dia tak kisahkan pun. Lagipun Kent dah memang selalu berperangai macam
tu. Menyakat Rais Furqan adalah keistimewaan Kent dalam rumah itu!
Pada waktu yang sama Kent dengan penuh rasa gelabahnya segera mengalih
tangannya menyentuh tangan Rais di dahinya.
“ Wei, Rais! Bangun, sembahyang Isyak… amboi sedapnya kau tidur,” mujurlah
dia dapat bertindak secara spontan untuk menutup perbuatannya. Kent menghela
nafasnya, lega. Walaupun sudah menjadi kebiasaan dia menyakat Rais tetapi kali
ini dia memang terkejut gila dengan kemunculan Mazli yang tiba-tiba itu. Bergegar
jantungnya. Rancangannya langsung terbantut. Hilang terus ideanya nak
mengenakan Rais.
Terperanjat betul Kent dengan kepulangan Mazli secara tiba-tiba tu. Tanpa
isyarat atau sebarang bunyi tau-tau saja
sudah masuk ke dalam rumah. Tak dapat nak dibayangkan sekiranya Mazli ternampak
akan perbuatan Kent sedang menyentuh bibir Rais. Apa reaksi dia agaknya? Muka Kent mula merona merah kerana menahan malu sendirian bila dia cuba membayangkan
keadaan itu. Tak dapat dia nak bayangkan. Pasti kecoh malam itu jadinya. Betul
ke? Bukan ke dia memang ‘raja sakat’ dalam rumah itu? Rais mengangkat kelopak
matanya dengan berat.
Rais
bangun dan masih terpisat-pisat terjaga dari tidurnya. Dia menggosok-gosokkan
matanya. Dia memfokuskan matanya. Cuba mengamati sekeliling. Kelihatan Kent
berada di sebelahnya sedang duduk di hujung sofa tempat dia berbaring. Kent
tersenyum memandangnya.
“Hah, mengigaulah tu. Dah tak ingat
dah yang awak tu ada kat mana?” usik Kent dengan senyuman yang cuba
disembunyikan. Rais termenung seketika cuba mengingati balik apa yang sudah
terjadi. Televisyen masih terpasang.
“Eh, dah pukul berapa dah ni? Aku tertidur rupanya. Huh! Mengantuk
betul,” Kent masih memandang wajah Rais. Tiba-tiba tangannya pantas saja menyelak helaian rambut Rais yang jatuh di
dahi dengan lembut. Ingin saja rasanya dia memberikan ‘ciuman curi’ di pipi
Rais yang masih mamai dengan ngantuknya. Rais kelihatan sungguh comel dalam
keadaan begitu. Terpisat-pisat mengantuk. Tentu dia akan terperanjat atau akan
marah ke dia? Gumam Kent dalam hatinya. Berbagai-bagai bayangan bersilih
ganti bermain-main dalam fikiran nakal Kent. Otaknya mula ligat membuat congakkan.
‘Kalaulah Rais tahu apa yang hendak
aku lakukan kepada dia sebentar
tadi bagaimana?’ bisik hati Kent. Pandangan matanya telus menikam wajah Rais. Apa
lagi pasti akan berlaku adegan kejar-mengejar antara merekalah. Mazli pula akan
jadi tukang damai antara mereka berdua.
Rais sedikit terkejut dengan tindakan Kent yang tiba-tiba tu. Sambil
menepis tangan Kent yang sedang tersenyum, Rais segera bangun dan menuju ke arah
bilik air untuk mengambil wuduk bila dia melihat jarum jam sudah menunjukkan
pukul 10.00 malam. Kent menemani langkah Rais dengan sorotan matanya yang
redup.
Jantung
Kent sedang berdegup dengan sangat kencang, terasa sakit bagai nak terkeluar
dari dadanya. Sedikit perasaan marah menerjah hati Kent, niatnya untuk
menyentuh bibir mungel kepunyaan Rais yang selama ini diidam-idamkannya terbantut
dek Mazli yang telah muncul secara tiba-tiba. Kadang-kadang Kent amat kagum
bila merenung wajah Rais. Betapa agungnya dan ajaibnya ciptaan Tuhan. ALLAH
maha berkuasa mencipta segala makhluk. Dan ciptaan ALLAH ini amat indah. Tak
jemu-jemu dia menatap wajah Rais yang tenang dan bersih itu. Wajah kesayangan
hamba, gumam Kent sendirian.
“Kacau daun betul,” Kent terus duduk di sofa panjang itu sambil
tangannya mencapai remote control tv
dan menukar channeltv sambil
menguatkan semula volumenya. Masih
terasa hangatnya sofa itu, kesan dari haba badan yang Rais tinggalkan.Kent meletakkan tangannya di situ.
“Bila masa pula mamat ni balik? Tak dengar pun dia buka pagar rumah?”
Kent memandang kearah pintu yang tertutup rapat dan kemudian matanya dikalihkan ke arah pintu
dapur di mana Mazli sedang menikmati air sejuk dengan nikmatnya.
“Lambatnya kau balik Mazli, dah siap ke report kau tu? Kau dah makan ke?” laung Kent tanpa menanti jawapan
dari Mazli. Sekadar hendak berbasa-basi saja. Atau lebih tepat lagi nak
menghilangkan sebarang sangkaan yang mungkin ada pada fikiran Mazli ketika itu.
Kent Helmi masih terbayangkan wajah Rais yang lembut sedang tidur dibuai mimpi.
Masih terasa lagi sakit di dadanya
menahan debaran. Keimanan Kent benar-benar rasa tercabar.
Rais Furqan pemuda yang sedang bertakhta di hati Kent sekarang ini. Rambut
pendek Rais yang hitam berkilat dan lurus itu, menambahkan lagi ketampanannya
atau lebih sesuai lagi dipanggil cute pada pandangan mata Kent Helmi. Dialah penawar
dan dialah racun buat Kent. ‘Adik’ yang tak pernah Kent miliki selama ini.
Tetapi telah muncul di sini buat peneman dan penenang jiwanya yang kesunyian.
“Rais, tahukah kau betapa kau amat istimewa buat ku,” bisik Kent
sambil kelopak matanya dipejamkan rapat-rapat bagaikan tak ingin kehilangan
bayangan wajah Rais dari mindanya. Rasa sayang dia pada Rais hanya ALLAH sahaja
yang tahu. Kedengaran bunyi kipas angin menemani Kent di ruang tamu itu.
Di dalam biliknya, selesai Solat
Isyak Rais masih lagi duduk di atas tikar sembahyang. Rais masih terfikir-fikir kenapa Kent buat
begitu. Tak semena-mena tangan Kent menghela rambut di dahinya dengan lembut.
Perbuatan Kent itu membuatkan emosi Rais terasa sedikit kacau dan di waktu yang
sama terasa mesra. Rais menarik nafasnya dalam-dalam. Jiwanya seperti entahlah
tak tahu apa nak kata seperti ‘disayangi’. Rais kebingungan, seluruh tubuhnya terasa
hangat bila dia mengingati kembali peristiwa tadi dilayar fikirannya. Senyuman
Kent terbayang diruang matanya. Hhmm...
“Mungkin perasaan aku je, Kent macam abang aku sendiri. Mungkin sebab itu
layanannya kepada aku macam tu..” pintas hati Rais cuba berhenti dari
memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Kent seorang yang memang suka bergurau. Lagi pun dia sudah rapat dan
selesa dengan aku. Apa yang hendak di hairankan? fikir Rais. Aargh! Kadang-kadang gurauannya melampau!
gerutu Rais lagi. Tangannya menggomol-gomol dan mengusut-ngusutkan rambutnya
yang pendek dan hitam itu kerana geram bila terkenangkan perangai Kent Helmi
yang kuat menyakat itu. Huh, sabar jelah!