Home Novel Keluarga Mahar Cinta Untuk Kirana
Mahar Cinta Untuk Kirana
Iman Zahri
13/6/2018 13:34:22
17,543
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

BEG pakaian yang sudah dikemas diletak di sudut bilik. Dia mahu pulang ke Bangi untuk menjenguk adik-adik dan Umi. Sudah sebulan dia tidak pulang. Pasti mereka merindui dia.

            Meja belajar dikemas. Buku-buku yang berselerak di atas meja diambil lalu disusun dirak buku. Komputer riba ditutup lalu disimpan di dalam almari.

            “Soffea…” panggil Kirana. Sahabatnya itu leka sungguh menonton drama korea pada komputer riba.

            “Nur Soffea!” tempik Kirana.

            Soffea menoleh ke katil sebelah. “Kenapa?”

            “Esok pagi aku balik Bangi. Kalau kau takut tidur seorang, kau tidur bilik Balqis. Minta izin dulu. Jangan main redah je.”

            “Kau balik dua hari je kan? Tak apa, aku tidur seorang je. Boleh layan drama korea sampai subuh.”

            “Eloklah. Lepas subuh kau tidur. Bukannya nak bangun solat subuh,” balas Kirana padu.

            Soffea tersengih. Kata-kata Kirana kena tepat pada batang hidungnya.

            “Bawa-bawalah berubah sikit. Orang solat lima waktu, kau solat empat waktu,” Kirana memulakan sesi ceramah tengah malam.

            “Aku tak terjagalah. Kalau kau ada, kau boleh kejutkan aku. Lagipun, aku selalu tertidur masa tengok drama. Tak sedar pun bila terlelap. Sedar-sedar je matahari dah tegak atas kepala,” Soffea menjawab. Padahal dia tahu memang salah dia sebab tak bangun solat subuh.

            “Ada je alasan. Orang yang banyak beralasan, orang yang malas,” bidas Kirana lagi. Kali ini lebih padu.

            “Aku rasa kau ni salah ambil kursus kat universiti ni,” ujar Soffea.

            “Mulalah nak tukar topik,” balas Kirana.

            “Kau sepatutnya ambil Pengajian Al-Sunnah dan Al-Quran. Boleh jadi ustazah,” Soffea bergurau. Tersengih-sengih dia pandang Kirana yang sedikit sahaja lagi mahu meletup.

            “Aku cubit kau nanti. Bangun dan solat isyak sekarang Nur Soffea sebelum aku lempar laptop tu dari tingkat empat ni,” suara Kirana sudah tinggi.

            “Temankan aku pergi tandas?” pinta Soffea.

            “Penakut. Kalau dah tahu diri tu penakut, dekatkan dengan Allah. Minta pertolongan daripada Allah bila dalam ketakutan,” Kirana membebel lagi.

            “Kirana, boleh berhenti bercakap tak? Aku selotep mulut kau nanti.”

            “Buatlah kalau berani. Aku cakap benda betul.”

            “Yalah, yalah. Aku ingat nasihat kau. Terima kasih sebab sudi kawan dengan aku walaupun perangai aku langsung tak semenggah,” ucap Soffea. Bahu Kirana dirangkul erat.

            “Mulalah nak membodek. Cepat. Aku nak tidur ni. Esok nak bangun awal,” Kirana menarik lengan Soffea supaya melangkah lebih cepat.

            Blok asrama perempuan sudah sunyi sepi. Mana tidaknya, jam hampir menginjak ke angka satu pagi. Semua orang sudah nyenyak tidur. Dia dan Soffea masih lagi berjaga.

 

 

 

            RUMAH Al-Raudhah. Kirana melangkah masuk ke dalam rumah untuk memberi kejutan kepada wanita yang dipanggil Umi sejak dia dibesarkan di situ. Umi atau Hajah Siti Hajar. Pemilik rumah itu dan juga ibuangkatnya.

            “Assalamualaikum, umi,” sapa Kirana ceria sebaik sahaja membuka pintu bilik Hajah Siti Hajar.

            “Ya Allah, anak bertuah. Balik tak beritahu,” ujar Hajah Siti Hajar. Dia menanggalkan kaca mata yang dipakai.

            Kirana mendekati wanita itu lalu dipeluk erat. “Rindunya pada umi.”

            “Adik-adik, Kirana tak rindu?” usik Hajah Siti Hajar. Pelukan dilepaskan.

            “Mestilah rindu. Tanpa adik-adik, Kirana tak happy tau.”

            “Kirana balik sini naik apa? Kenapa tak telefon Umi. Umi boleh suruh Abi jemput.”

            “Saja nak surprisekan umi, abi dan adik-adik,” Kirana melentokkan kepalanya di bahu Hajah Siti Hajar.

            “Mesti tak makan lagikan? Jom, kita pergi dapur. Minta Kak Leha masakkan sedap-sedap. Adik-adik ada tengah tengok TV,” ajak Hajah Siti Hajar.

            Mereka beriringan menaiki tangga ke tingkat atas. Sebaik sahaja kaki jejak lantai tingkat atas, lapan pasang mata terus memandang Kirana.

            “Kak Kirana!” jerit mereka serentak. Masing-masing menerpa ke arah Kirana. Tubuh Kirana terus menjadi mangsa pelukan mereka.

            “Ikmal, Naufal… Awak berdua dah tak boleh peluk Kak Kirana. Awak dah besar,” tegur Hajah Siti Hajar.

            Terus mereka berdua melepaskan pelukan Kirana. Kirana juga sudah lupa akan batas-batas itu kerana sudah terbiasa berpelukan dengan mereka ketika mereka masih kecil. Sekarang, adik-adiknya itu sudah berumur tiga belas tahun.

            “Kak Kirana, malam ni tidur dengan Aina ya?” Mata bulat itu memandang Kirana penuh berharap.

            “Boleh. Malam ni kita semua tidur ramai-ramai. Girlsonly. Boys kena tidur sendiri,” ujar Kirana.

            “Nial pun nak tidur dengan akak,” tutur Danial yang berusia tiga tahun. Masih pelat butir bicaranya.

            “Mana boleh. Danial boy!” Larang Ikmal. Sengaja mahu mengusik.

            “Nial ecik agi…” Danial membela dirinya.

            Semua disitu ketawa. Kirana rasa sangat bahagia dikelilingi adik-beradik yang ramai. Meskipun mereka bukan adik-beradik kandungnya, dia bersyukur kerana masih ada insan yang sudi menjaganya setelah ibu bapanya kemalangan.

            Saudara-mara? Semuanya lepas tangan. Ibunya pula anak tunggal. Sudahnya, dia diberikan kepada Hajah Siti Hajar dan Haji Rahman. Kebetulan ketika itu pasangan suami isterii tu sedang mencari anak angkat. Sejak kehadirannya, baru mereka merasakan kehidupan berkeluarga yang cukup sempurna.

            Kirana dan Farhan merupakan anak angkat Hajah Siti Hajar dan Haji Rahman ketika itu sebelum pasangan suami isteri itu mengambil anak angkat yang lain. Kasih sayang yang melimpah ruah dicurahkan Hajah Siti Hajar dan Haji Rahman.

            Pasangan suami isteri itu sangat menyukai kanak-kanak dan kini, mereka berjaya membesarkan sepuluh orang anak di rumah yang diberikan nama Rumah Al-Raudhah.

            Rumah itu bukanlah rumah anak-anak yatim seperti yang dikatakan oleh orang-orang disekeliling. Mereka sendiri sudah lali dengan buah mulut orang. Susah payah mereka adik-beradik, hanya mereka sendiri yang tahu. Bukan mudah membesar dalam kalangan keluarga angkat. Hukum-hakam dan soal aurat sangat perlu dititikberatkan.

            “Kirana, masuk bilik dulu. Umi pergi ke dapur sekejap. Nak tengok Kak Leha masak apa untuk makan tengah hari,” beritahu Hajah Siti Hajar.

            Kirana mengangguk kecil. “Jom, ikut kakak ke bilik. Boys boleh sambung tengok TV.”

            Tangan si kecil, Danial dipimpin supaya mengikutnya ke bilik. Makin riuh-rendahlah Rumah Al-Raudhah. Suara Kirana sahaja sudah mampu membuatkan rumah itu bergegar.

            “Kakak cuti berapa hari?” tanya Aisyah. Dia memerhati Kirana yang sedang mengemas katil.

            “Dua hari. Lusa dah nak kena balik kampus.”

            “Alaaa… Sekejapnya kakak cuti. Tak dapatlah nak ajak kakak pergi jalan-jalan,” kata Aina pula.

            “Tunggulah kakak cuti semester. Lagi dua bulan. Ada duit ke nak pergi jalan-jalan?” tanya Kirana.

            “Ada. Duit umi dan abi bagi hari-hari pergi sekolah, Aina dan Aisyah simpan,” ujar Aisyah.

            “Jangan bazirkan duit. Jangan boros. Kita kena berjimat dalam berbelanja. Kita tak boleh susahkan umi dan abi. Adik-adik ramai lagi yang nak sekolah,” nasihat Kirana. Dia duduk di birai katil setelah selesai menukar cadar.

            “Aisyah tak sabar nak habis SPM. Aisyah nak masuk universiti macam kakak. Lepas tu, Aisyah nak mohon pinjaman atau biasiswa. Tak mahu susahkan umi dan abi lagi.”

            “Aina pun sama. Tahun depan dah SPM. Aina nak belajar sungguh-sungguh. Aisyah, mesti seronokkan dah nak habis sekolah tahun ni?”

            “Mestilah. Habis saja SPM, Aisyah nak cari kerja. Nak kumpul duit,” Aisyah memberitahu rancangannya.

            “Apa-apa pun kena beritahu umi dan abi. Minta pendapat mereka. Jangan buat keputusan sendiri,” pesan Kirana.

            “Abang Farhan selalu bagi duit pada kami. Kadang-kadang tu sampai berlebih,” beritahu Aina.

            “Yalah. Aina, Aisha, Naufal , dan Ikmal selalu dapat duit daripada Abang Farhan. Abang cakap kami dah besar. Kami lagi banyak nak guna duit. Adik-adik yang lain kecil lagi,” ujar Aishah pula.

            “Nantilah kakak cakap dengan Abang Farhan. Dia memang suka habiskan duit dia. Simpanlah duit tu. Mana tahu esok lusa nak kahwin?”

            Aisyah dan Aina ketawa kecil. “Kahwin dengan kakak juga.”

            “Jangan mengarut. Jom, pergi dapur. Tak elok anak dara memerap dalam bilik,” ajak Kirana.

            “Abang Farhan handsome. Kakak tak suka?”usik Aisyah lagi.

            “Jangan buat hal ya Siti Aisyah,” bulat mata Kirana pandang Aisyah.

            Aina sudah mengekek ketawa. Seronok dia melihat situasi itu.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.