Home Novel Cinta DARI KOTAK HATI
DARI KOTAK HATI
Sang Jerry
1/12/2017 19:55:26
5,109
Kategori: Novel
Genre: Cinta
KUPERGI

-⚜-

BAB 5

     Gagang telefon itu diletak perlahan. Dia mendengus kecil. Cermin mata yang dipakainya ditolak ke atas lalu dia bersandar di kerusi kayu jati itu. Hampir beberapa minit, fikirannya melayang entah ke mana.

     "Mahu ke Adam tu? Aku takut je... ," keluh Mak Wan.

     "Takut apa pulak ni, mak?" sampuk Zara.

Dia tersentak. Lantas, dadanya diurut-urut. Matanya dijengkel ke arah Zara.

     "Terkejut mak, nasiblah tak ada sakit jantung macam Makngah kau!"

     "Zara cuit bahu sampai macam ni sekali mak terperanjat? Mak, mak."

     "Mak tengah fikirkan abang kau, Adam."

     "Kenapa dengan Abang?"

     "Makngah kau telefon tadi. Tanyakan Adam. Kalau-kalau... dia nak bekerja kat Kolumpo tu."

     "Kuala Lumpur lah, mak! Kolumpo-Kolumpo. Err, kerja apa je kat sana?" Zara berseloroh.

Mak Wan menyengih.

     "Entahlah Makngah kau. Tak pandailah aku nak menyebutnya."

"Hai mak, rancak berbual," tegur Adam.

"Eh, bila kau balik? Tak dengar pun bunyi motorsikal," tanya Mak Wan.

Dia bingkas bangun lalu menjengah ke luar jendela. Puas dilontarkan ke kanan dan ke kiri, namun pandangannya belum menemui sebarang jawapan.

"Rosak, mak," jawab Adam.

"Rosak lagi. Habis, kau naik apa tadi?"

     "Err, jalan kaki, mak. Ikut jalan pintas belakang rumah. Sebab tu, mak tak perasan Adam balik tadi."

     "Abang! Makngah telefon tadi. Mak yang jawab," sampuk Zara.

     "Makngah telefon pun nak beritahu kat abang? Kau ni penyibuk hal oranglah!" sindir Adam.

Zara mencuka kerana Abangnya itu sering menyakatnya. Terkadang, Zara berendam airmata dibuatnya.

     "Adam... tak habis-habis nak cakap kat adik kau macam tu!" Mak Wan bersuara.

Acapkali Mak Wan menjadi orang tengah untuk meredakan ketegangan dua orang anaknya itu. Walaupun mereka tidak berkelahi, namun Mak Wan kurang senang dengan gurau-gurau seperti itu. Dia risau jika gurauan akan membawa kepada perbalahan.

Zara menjeling tajam ke arah Adam.

     "Eh, merajuklah tu? Abang gurau je lah! Orang kata, kalau anak dara suka merajuk nanti cepat tua. Nak ke muka tu kerepot sana sini?" momok Adam sambil membuat pelbagai ereksi wajah di hadapan Zara.

     "Mak! Tengok Abang Adam ni... ," Zara merengek lantas memeluk erat ibunya.

Mak Wan menepuk peha Adam berulangkali, "sudah, sudah! Peninglah kepala aku dengan kau berdua ni."

Adam hanya tertawa melihat keletah Zara dan ibunya. Dia tahu, itulah cara mereka bergurau. Sedikit pun Adam tidak menyimpan di dalam hati. Keletihan berjalan kaki pulang ke rumah sejauh empat kilometer itu bagai terlupakan oleh senda tawanya.

     "Abang Adam ni kan mak, serupa cakap dengan dinding. Tengok tu, tak ada perasaan!" Zara menambah.

     "Kau pun satu, Zara. Manja sangat... ," Mak Wan mencelah.

Zara melepaskan pelukan itu lalu berjalan laju menuju ke dalam bilik. Daun pintu pula dihempas deras. Anak mata Mak Wan dan Adam mengekori gerak langkahnya.

Bulp!

     "Tengok adik kau, manja sangat! Kau pun sama, ada je nak menyakat Zara. Cubalah duduk dua beradik tu baik-baik."

Adam menahan rasanya. Bibir diketap kuat. Perasaan lucu itu dibuangnya jauh-jauh. Kelak dikatakan menderhaka pula.

     "Ni, tadi Makngah kau telefon mak. Dia ajak kau kerja dengan dia," Mak Wan mengubah topik perbualan.

     "Kerja? Habis, kerja-kerja bendang ni siapa nak usahakan pulak?"

     "Kau tu muda lagi, Adam. Baru 20-an. Tak kan nak kerja di bendang tu? Bendang tu, pandai-pandailah nanti aku upah orang untuk usahakannya."

     "Mak, tapi Adam... "

     "Dah, mak tak nak dengar apa-apa," potong Mak Wan.

Jauh di dalam hati, Mak Wan sengaja menerima tawaran itu. Seperti pucuk dicita, ulam mendatang; tawaran untuk Adam sekurang-kurangnya dapat menjarakkan hubungan anaknya dengan Sofea. Dengan jalan itu, Adam dapat melupakan Sofea seketika. Mak Wan tahu, Adam pasti kecewa dengan tindakan bapa Sofea itu. Begitu juga dirinya, terasa bagaikan terhina diperlakukan sebegitu.

     "Jadi, mak terima?" soal Adam.

     "Ya lah, sebab mak nak... kau kerja sambil belajar kat Kolumpo sana."

Adam termenung sejenak. Dahinya berkerut lalu bersuara, "Mak nak Adam pergi? Habis, siapa nak jaga mak nanti."

     "Zara kan ada. Adik kau tu baru tingkatan tiga. Tak ada siapa nak masuk meminang!" sindir Mak Wan.

     "Ke situ pulak mak ni."

     "Aku cakap benda yang betul. Kalau dia kahwin, lainlah. Mesti Zara ikut cakap suami."

Adam menggaru-garu kepalanya.

"Tapi, kerja apa, mak?"

     "Allahu-Akbar, nantilah aku tanya Makngah kau lagi. Ada tadi dia cakap, tapi mak ni mana lah pandai sangat nak cakap omputih!"

     "Tapi... ," Adam terhenti bicaranya.

     "Tapi apa? Sofea?" soal Mak Wan.

Hati Adam berbelah bahagi untuk meninggalkan Sofea. Walaupun perhubungan mereka terhalang, namun dia masih menaruh harapan yang sangat dalam. Mungkin bukan sebagai kekasih tetapi kawan rapat yang sangat akrab sejak dari kecil lagi. Sofea sahajalah kawan yang dia ada.

     "Mana mak tahu?"

     "Adam... aku ni mak kau."

Adam mendengus. Terasa berat sebenarnya untuk membuat pilihan antara kawan ataupun masa hadapan. Perasaan berbelah bahagi itu menambat seribu rasa yang terpancar di balik wajahnya.

     "Dia tu anak orang, Adam. Kau pun bukan budak lagi. Fikirlah masa depan kau. Esok-esok kalau aku dah tak ada, kau masih nak berperangai macam ni?"

Kata-kata ibunya itu bertali arus di gegendang telinga. Bergema! Bagaikan sebuah keramat, ada benarnya juga nasihat itu.

     "Mak janji dengan Adam, boleh?"

Adam memegang jari-jemari tua itu. Ditenungnya wajah Mak Wan dengan sepenuh hati.

     "Janji apa?"

     "Kalau ada apa-apa hal yang terjadi pada Sofea, mak bagitahu Adam. Itu saja permintaan Adam, mak."

     "Sofea, Sofea! Habis kalau aku sakit, kau nak tahu tak?" balas Mak Wan.

     "Mak... . Mak kan ibu Adam. Mestilah Adam ambil tahu. Mak cemburu ye?"

     "Eh, tak pasal aku nak cemburu-cemburu ni."

Adam yakin, ibunya bukanlah seorang yang mudah terasa hati. Apatah lagi melihat dengan mudah dia mengalirkan airmata. Ibunya cekal.

     "Nanti telefonlah Makngah kau tu. Tanyakan jawatan apa dia nak bagi kat kau."

     "Ye lah... ."

Adam bangun sambil mengeliat kecil. Baju kemeja lusuh berlengan panjang ditanggalkannya. Lalu diletak di atas riba ibunya.

     "Masuk dalam mesin basuh," kata Mak Wan.

Dia menghulur kembali kepada Adam.

     "Nak manja-manja pun tak boleh!"

     "Dah besar panjang macam budak-budak lagi perangai. Nak kahwin macamana?" sindir Mak Wan.

     "Siapalah yang nakkan Abang, mak! Dia kan memang budak-budak lagi," jerit Zara dari dalam bilik.

     "Eh, budak merajuk dah bersuaralah, mak!" Adam ketawa berdekah-dekah.

     "Mak!" jerit Zara lagi.

     "Sudah, kau dua beradik ni macam kucing dengan anjing! Ada je nak bertekak," kata Mak Wan.

Tok! Tok! Tok!

Pintu bilik itu diketuk.

     "Nak apa, Abang?" tanya Zara.

     "Baguslah anak dara berkurung  24 jam dalam bilik! Buka pintu ni, tolong aku masak kat dapur. Jangan nak main telefon je. Makan telefon tu kenyang," sahut Mak Wan.

Zara tergamam. Mati-mati difikirnya Adam yang mengetuk pintu bilik itu. Dengan perasaan malas, dia membukanya.

     "Cak!" sakat Adam.

     "Mak!"

-⚜-


Previous: NAZAR
Next: CURI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.