Home Novel Cinta DARI KOTAK HATI
DARI KOTAK HATI
Sang Jerry
1/12/2017 19:55:26
5,108
Kategori: Novel
Genre: Cinta
NAZAR

 Sofea kecewa. Hasratnya ditentang keras oleh Pak Zain. Mak Ani pula hanya membatu. Bagaikan diluah mati emak, ditelan mati bapak. Jika mahu menyebelahi Sofea, seolah-olah engkar pada perintah suami. Jadi, Mak Ani memilih untuk tidak banyak membantah. Walaupun kurang bersetuju, tetapi dia tiada daya untuk menidakkannya.

Pak Zain yang duduk di serambi itu merenung tajam. Sofea tertunduk. Dia tidak berani untuk mengangkat muka, apatah lagi memandang ke arah bapanya. Mak Ani yang sedang mengait mencuri pandang namun berpura-pura seakan tidak mengerti. 

     "Ayah tetap tak benarkan kau keluar jumpa Adam lagi!" tiba-tiba Pak Zain bersuara kembali.

     "Tapi ayah, kenapa? Dari tadi Sofea tanya tapi ayah tak cakap sebabnya pun."

Pak Zain bangun lalu menuju ke arah jendela yang masih terkuak luas itu. Pandangannya dilempar jauh. Mak Ani yang bersabar semenjak petang tadi dengan suaminya lantas bersuara juga. 

     "Abang... cuba berterus-terang je, biar Sofea faham."

     "Apa maksud mak? Ayah, apa sebenarnya yang sepatutnya Sofea tahu?" 

Soalan dari Sofea bertali arus. Mak Ani tidak menjawabnya. Pak Zain pula masih berkeras di jendela itu tanpa sebarang kata. Sofea kenal perilaku ayahnya itu, seorang yang sangat tegas. Lagipula, Pak Zain merupakan bekas tentera. Tidak mustahil, jika di kampung itu dia digelar Zain Batu. 

     "Ayah... Sofea tanya ni."

Sofea menuju ke arah Pak Zain. Lalu, dia menyandarkan punggungnya di balik pagar jendela itu. Kini, Sofea agak berani. Dia bertentangan ayahnya. Semuanya kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak sejak sekian lama. Tangan ayahnya itu dipegang. Lantas, diusap-usap dengan cukup lembut sekali. Sofea memujuk supaya Pak Zain membuka mulut dan menceritakan perkara yang sebenar.

     "Abang... kalau awak tak nak bagitahu, biar saya yang... ," sampuk Mak Ani.

Belum sempat Mak Ani menghabiskan katanya, lalu dipotong oleh Pak Zain dengan nada yang sedikit tinggi. 

     "Awak yang jadi wali Sofea atau saya? Tolong diam!"

Mak Ani terkejut. 

     "Ayah, janganlah pasal hal kecik ni nak marahkan mak pulak!" Sofea bersuara.

Tangan bapanya dilepaskan. Sofea tidak tertahan lagi. Sejak dari dulu, Pak Zain seakan memusuhi Adam. Pendek kata, apa sahaja cerita tentang Adam pasti muka Pak Zain akan mencuka. Sedangkan selama ini, Adam tidak pernah sesekali berbuat salah terhadapnya. 

     "Ya, salah aku dulu sebab beriya-iya sangat nak berbesankan Arwah Pak Lah tu."

     "Besan?"

     "Panjang ceritanya, Sofea."

     "Kalau ayah tak cerita, macamana Sofea nak tahu?"

Pak Zain beralih tempat. Kerusi panjang di luar serambi itu menjadi pilihan. Sofea pula mengekorinya. Mak Ani yang masih mengait, tidak berganjak dari tempat duduknya. Hanya anak mata memerhatikan mereka anak-beranak. Dia tahu, Sofea memang rapat dengan ayahnya. Tambahan lagi, sikap manja anak tunggalnya itu membuatkan Pak Zain mudah berlembut. 

     "Ayah... ceritalah," pujuk Sofea lagi.

     "Sabarlah, aku ni baru nak duduk."

Mak Ani ketawa kecil. Dalam ketegasan suaminya itu, terselit juga kecindan yang tidak dapat disembunyikan. Sebetulnya, Mak Ani tidak menaruh hati dengan herdikan Pak Zain sebentar tadi. Dia tahu, suaminya sememang begitu. Sudah berpuluh tahun mereka hidup bersama, jadi kelakuan suaminya itu sudah difahami. 

     "Kisahnya bermula 23 tahun dahulu," Pak Zain memulakan cerita.

     Suasana Kem Wardieburn ternyata sunyi. Rata-rata rakan sejawat ramai yang telah pulang awal ke kampung. Lagi tiga hari, umat Islam akan menyambut 1 Syawal. Tahun ini, tiba giliran Pak Zain dan Pak Lah bertugas sebagai provos. Kebetulan pula mereka berdua sekampung. Jadi, kemeriahan merayakan Aidilfitri nanti walaupun jauh di perantauan akan sedikit terubat juga. 

     "Kita ni dari kecik berkubang dalam bendang, mandi kat tali air sama-sama, tangkap ikan dalam selut... , sampai sekarang kerja pun sama!" Pak Lah berseloroh.

     "Raya pun tak dapat balik Kobah, rindu betul dengan lemang mak aku," balas Pak Zain.

     "Aku paling suka ketupat palas mak kaulah, Zain. Sedap betul! Nanti, nak mintak mak kau turunkan resepi kat isteri akulah."

     "Sebut pasal isteri, dengar kata orang rumah kau dah berbadan dua, betul ke?"

     "Nampaknya macam tu lah, Zain. Rezeki... ."

     "Murah rezeki kau, Lah. Aku ni yang dah tiga tahun kahwin awal dari kau masih belum ada hasil."

     "Jangan cakap macam tu, Zain... mungkin belum sampai masanya lagi."

     "Kita berkawan dah lama, membesar pun sama-sama. Jadi, aku nak bernazarlah. Kalau... anak kau dan aku berlainan kelamin, aku nak satukan mereka."

     "Maksud kau, apa Zain? Aku kurang faham."

     "Aku nak... anak kita dijodohkan! Kita berbesan. Aku dah kenal kau, senang."

     "Zain... kau biar betul? Jangan main-main dengan nazar, nanti... ."

     "Nanti apa, Lah? Ya, aku betul-betul nak anak. Mana tahu, dengan nazar ni Tuhan beri aku rezeki."

     "Terpulanglah pada kau, Zain. Aku tak membantah. Asalkan benda tu baik, aku setuju je."

Perbualan mereka terhenti. Kenderaan yang keluar masuk ke dalam kem perlu diperiksa satu-persatu oleh Pak Zain. Manakala Pak Lah pula berada di dalam pondok provos sibuk melakukan pemantauan melalui skrin kamera keselamatan. 

     "Lah!" 

     "Ya, apa?" 

Pak Zain menghulurkan tangannya. Lalu disambut oleh Pak Lah dengan sedikit was-was. 

     "Kau mimpi apa pulak nak bersalam dengan aku ni, Zain?"

     "Bukan mimpi tapi kenyataan. Aku nak bernazar, bersaksikan kau sendiri. Aku mahu anak kita dijodohkan jika nazarku dimakbulkan."

     "Amin... , Zain!"

...

     "Semudah tu?" Sofea mencelah.

     "Tak jugak! Ayah dan mak kau puas pergi berubat. Sampai, kami hampir berputus asa."

Mak Ani menjeling. Mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikannya juga tetapi sengaja didiamkan sahaja. Dia membiarkan suaminya bercerita.

     "Saya ingat awak mandul, Ani," Pak Zain bersuara.

     "Amboi, sedapnya mulut awak cakap macam tu ya!" Mak Ani mencuka.

     "Ayah, tak baik cakap mak macam tu. Nanti gaduh, pening Sofea... ."

Pak Zain terdiam seketika. Mak Ani juga begitu. Mereka berdua acapkali tidak sehaluan dalam banyak hal tetapi tetap bahagia. Terkadang, pergaduhan kecil itulah yang mengeratkan hubungan suami isteri. Dan dari situlah, dapat mengenali hati budi pasangan masing-masing. 

     "Ayah, tak habis lagi cerita tadi," kata Sofea.

     "Yang mana satu?" soal Pak Zain.

     "Lepas bernazar tu, apa jadi?"

     "Selepas dua bulan ayah berjanji dengan Pak Lah, pada suatu petang tu; mak kau muntah-muntah. Ayah terus bawa ke klinik. Alhamdulillah, rupa-rupanya mak kau hamil. Bukan kepalang gembiranya kami berdua waktu tu. Nazar ayah dimakbulkan Tuhan, akhirnya!"

     "Tapi... kenapa ayah tak tunaikan nazar tu?"

Pak Zain terdiam. Dia begitu berat untuk membuka mulut. Soal nazar, tidak boleh dibawa main. Walaupun hatinya bersarang dengan sebuah janji yang wajib ditunaikan tetapi dalam masa yang sama, dia merasakan Adam bukanlah pilihan yang terbaik untuk Sofea. 

     "Ayah tak takut Tuhan murka? Sofea bukan mengugut tapi ayah sendiri dah bernazar." 

     "Abang... Ani yang melahirkan Sofea. Ani rasa bersalah kalau nazar yang abang sendiri lafazkan tu, berakhir dengan sebuah kemungkaran," sampuk Mak Ani. 

Kata-kata mereka berdua membuatkan Pak Zain bertambah murung. Ya, dia serba salah tetapi kerana ego, dia tetap berkeras dengan keputusannya. Sofea anak tunggalnya, dia tidak mahu bermenantukan seorang lelaki yang lembik!

Previous: RAHSIA
Next: KUPERGI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.