Home Novel Cinta DARI KOTAK HATI
DARI KOTAK HATI
Sang Jerry
1/12/2017 19:55:26
5,113
Kategori: Novel
Genre: Cinta
KOBAH

     Motorsikal peninggalan arwah bapanya itu, diparkir di bawah kolong. Laju Adam berlari menaiki tangga kayu rumah pusaka yang terletak di Kobah, Pendang. Mak Wan yang berada di dapur, menjengah melalui pintu rumah tengah setelah menyedari kepulangan anaknya.

 Mak Wan yang berada di dapur, menjengah melalui pintu rumah tengah setelah menyedari kepulangan anaknya

     "Lambat betul kau balik, Adam?" tegur Mak Wan.

     "Tak perasanlah mak, leka sangat berborak dengan Sofea tadi," balas Adam lalu memasuki ke dalam bilik tidurnya. Tidak lama kemudian, Adam keluar semula dengan tuala tersangkut di bahu.

Mak Wan yang berlalu ke dapur mematikan langkah. Dia hanya meleretkan pandangan ke arah anaknya itu sehinggalah Adam menolak pintu bilik air itu. Ada gusar di dalam hati Mak Wan, sebenarnya. Dia masih berteka-teki untuk memberitahu perkara itu kepada Adam atau sebaliknya.

     "Sofea masih jumpa kau di gubuk tu lagi ke?" Pertanyaan Mak Wan itu menyebabkan Adam sangsi. Dia berpaling ke arah ibunya. Mak Wan berdebar. Dia tahu, pandangan Adam berlainan dari biasa.

     "Kenapa mak tanya macam tu? Sofea kan memang selalu jumpa Adam kat sana."

Mak Wan mengalihkan pandangan. Adam yang baru menapak selangkah ke dalam bilik air itu lalu keluar dan mengambil tempat di sebelah ibunya. Mak Wan merasakan masanya belum sesuai untuk mereka berbual panjang. Tambahan lagi, waktu Maghrib semakin hampir.

     "Adam pergi mandi, lekas! Nak masuk waktu solat dah ni," Mak Wan mengalih isu.

Adam tidak menaruh sebarang syak. Dalam hatinya, mungkin itu sekadar pertanyaan biasa dari ibu. Lagi pula, Sofea perempuan. Tentu sekali ibunya risau jika mereka berdua kerap berjumpa berdua seperti itu.

Adam mengambil gayung lalu disiramkan ke seluruh tubuhnya. Bunyi percikan air itu jelas kedengaran hingga ke luar. Bilik air yang bertembok setinggi tiga meter itu agak daif. Namun, itu sahajalah bilik air yang mereka sekeluarga ada.

     "Mak tau tak, tadi Sofea buat cucur bilis letak daun bawang. Sedap... ," cerita Adam dari dalam bilik air itu.

Senyap tidak berbalas.

     "Mak! Oh Mak!" jerit Adam lagi.

Mak Wan yang sedang membancuh kopi di dalam teko tembaga, terhenti seketika. Sudu yang dipegangnya itu pula lalu di letakkan di dalam kole.

     "Ya! Mak dengar ni," sahut ibunya.

     "Adam cakap, Sofea hari ni bawak cucur bilis dengan daun bawang. Sedaplah mak!"

     "Bapak dia tak bising ke, Adam?" Mak Wan menggeleng-gelengkan kepala. Dia risau.

     "Kenapa pulak nak bising? Bukan Adam paksa, tapi memang Sofea yang rajin bawak. Hari-hari pulak tu," balas Adam yang penuh dengan tanda tanya.

Mak Wan mengambil sudu itu lalu menyambung kembali mengacau air kopi yang masih panas. Fikirannya runsing, jika Adam akan tersinggung dengan perkhabaran itu nanti.

     "Diam lagi? Mak!" Adam seperti keanak-anakan.

     "Mandilah dulu, Adam! Cepat sikit. Nak solat ni," Mak Wan meninggikan sedikit suara.

Adam terdiam seribu kata.

...

Menjadi tanggungjawab Adam, sejak ketiadaan Arwah Pak Atan untuk mengimamkan solat lima waktu secara berjemaah. Pesanan Arwah bapanya itu masih terngiang-ngiang di telinga. Adam diamanahkan untuk menjaga keluarga kecil itu.

     "Assalamualaikum warahmatullah... ."

Salam terakhir itu diucapkannya lalu dipalingkan muka ke kiri. Usai mengusap muka dan beristighfar, doa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa dipanjatkan. Mak Wan dan anak puteri tunggalnya, Zara itu pula mengaminkannya. Zara menghulurkan tangannya lalu disambut Mak Wan, begitu juga Adam. Salaman itu pula bertukar tangan antara mereka bertiga. 

     "Adam, tunggu sekejap... ," ibunya bersuara.

Adam yang baru mengangkat punggung, melabuhkannya kembali. Dia duduk berhadapan, bertentang mata dengan ibunya. Ada kelainan rasa dalam dirinya ketika itu. Manakan tidak, belum pernah sekali ibunya bersikap seperti itu. 

     "Err... kenapa mak? macam serius sangat je bunyinya."

     "Petang tadi, Mak Ani datang sebab nak menyampaikan pesan suaminya." 

     "Pesan apa?" berkerut dahi Adam menunggu jawapan balas dari ibunya. 

     "Dia larang Sofea jumpa kau lagi, Adam. Katanya lagi, Sofea tu anak dara. Tak manis duduk berdua-duaan di tengah sawah dengan lelaki."

Adam tersentak. 

     "Mak dah sampaikan amanah mereka. Jadi... mak harap, kau fahamlah ya," ibu Adam seakan memujuknya.

     "Adam faham... tapi kami berkawan saja mak. Bukan sehari dua, sejak kecik lagi. Mak pun tahu kan?" balasnya.

Mak Wan tidak mengambil pusing kata-kata Adam. Sejadah yang digunakan untuk solat Maghrib tadi dilipatnya, perlahan. Lalu dia bangun dan berlalu dari situ meninggalkan Adam bersendirian. Hatinya berasa sedikit lapang kerana telah menyampaikan apa yang sepatutnya. Dia berharap, Adam akan mendengar nasihatnya itu tadi. Lagipun, anak bujangnya itu bukan seorang budak kecil yang perlu diingatkan berulangkali.

     "Mak!" 

     "Mak nak siapkan makan malam, Adam... ," Mak Wan cuba berdalih. 

     "Adam teman mak," balasnya ringkas.

     "Tak payahlah! Zara ada tu. Mak dah suruh dia panaskan lauk siang tadi."

Adam kebingungan. Tidak pernah dia melihat sikap ibunya begitu. Lagi-lagi apabila bercakap tentang Sofea. Jika tidak, ibunya yang paling beria-ia. Adam mendengus. 

     "Apa kenalah dengan mak aku ni?" getusnya.

     "Abang! mak panggil makan," Zara mengejutkannya dari lamunan itu. 

     "Ya... sekejap. Abang nak kemas sejadah ni. Adik turunlah dulu," jawab Adam.

Zara menuruti kata abangnya. Langsir yang diselaknya itu, dilepaskan. Derapan kaki semakin jauh kedengaran. Adam pula masih bersila di atas sejadah itu dengan persoalan yang masih tidak berjawab.


Previous: GUBUK
Next: RAHSIA

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.