Bab 7

Bab 7


      Pintu bilik diketuk lagi. Ditahan-tahan kemarahan yang baru sahaja tercetus. Ikutkan hati, ingin sahaja Raja Muhammad menghalau kesemua dayang dan pengawal yang sedang berjaga di luar. Di kala ini, dia hanya mahu bersendirian melayan perasaan sambil merenung kain putih yang masih berbalut di tangan tanpa diganggu sesiapa. Jantungnya masih berdenyut  pantas setiap kali imbasan peristiwa di Kota Melaka siang tadi menerpa di minda. 


“Masuk!!”  Raja Muhammad berteriak kuat. Kepala Raja Hussain menjengol ke dalam kamar.


“Adinda telah sediakan air mandian buat kekanda. Adinda tunggu di serambi tenggara di atas. Jangan lama-lama bersiap. Cuaca sejuk malam ini, air mandian cepat dingin.”


Raja Muhammad menyahut dengan dengusan kuat. 

‘Ah! Kenapalah memilih waktu ini adinda?’ Dalam gerak yang perlahan, Raja Muhammad bangkit dari katil dan menyalin pakaian. Kain putih di tangan diusap penuh lembut sebelum dibuka dan disimpan di dalam peti kecil berukir bunga teratai.


Benar bagai dikata Raja Hussain. Sebaik sahaja baju labuh dibuka, angin dingin yang bertiup dari arah Selat Melaka menerjah ke serata badan. Meremang sebentar bulu roma sebelum kehangatan air di dalam kolam kayu membelai tubuh Raja Muhammad. Raja Hussain turut membuka pakaian dan memasuki kolam kedua di sebelah kekandanya. Kedua-dua anak raja itu tenggelam di dalam nikmat air herba yang membasahi tubuh mereka.


“Hmm.. rasanya kekanda ada berpesan air mandian bunga mawar tempohari.”


Dengan mata yang masih terpejam rapat, Raja Hussain menjawab, “Sengaja adinda pilih daun-daun kayu yang bisa menyegarkan badan serta cepat menghilangkan kesan lebam di badan kekanda.”


Raja Muhammad mencemik. Tangan yang terendam di dalam air diangkat ke permukaan. Garis luka di situ masih merah.


“Apalah yang ada pada kesan hitam di tubuh berbanding dengan kesan cinta di hati.”


Mata Raja Hussain terbuka sungguh luas  mendengar perkataan cinta diungkap dari bibir kekandanya. Berkocak air mandian saat dikalih seluruh badan menghadap Raja Muhammad.


“Kekanda sudah jatuh cinta? Siapa gerangan si gadis bertuah yang bakal berkongsi panca persada dengan kekanda?”


“Rahsia! Sebagaimana adinda juga yang banyak menyimpan rahsia dengan kekanda. Hmm... Mari kita buat pertukaran. Satu rahsia adinda sama satu rahsia kekanda. Bagaimana? Mahu?”


Raja Muhammad menutup mata, membiarkan diri dibelai dengan kenangan indah. Enak sungguh rasanya tubuh dapat bersandar di dinding kolam kecil itu. Dia masih tidak mendengar Raja Hussain  menyahut. Raja Hussain melangut ke angkasa memandang kerdipan bintang-bintang yang bersepah di lautan langit. Dibiarnya angin malam mengulit rambut dan wajah. Kekandanya sungguh bijak mengatur percaturan sedangkan dia harus lebih bijak mengelak langkahnya dari dihidu.


Raja Muhammad menarik nafas panjang sebelum menghembus kuat keluar menerusi mulut. Bagai menarik rambut dari dalam tepung. Rambut jangan putus tepung jangan berserak. Itulah pepatah yang dipegang dalam mencampuri urusan adinda-adindanya. Dia tidak akan menghalang. Namun tidak juga membiarkannya begitu sahaja. 


“Biar apapun yang adinda rancangkan, berwaspadalah. Letakkan akalmu di hadapan mata sebelum perasaan. Jaga nama baik dan maruah ayahanda dan Kerajaan Melaka. Buang jauh-jauh sifat terburu-buru itu.”


Tangan Raja Muhammad mencapai kepala Raja Hussain. Diusap-usapnya lembut agar hati adindanya mudah sejuk dan terbuka untuk bercerita tanpa paksaan. Ternyata soalan yang Raja Hussain ajukan selepas itu tidak jauh menyimpang dari andaiannya.


“Kekanda tahu di mana Rabung Gangsa? ” 


Persoalan Raja Hussain kali ini menangkap perhatian Raja Muhammad. Dia membuka mata. Wajah Raja Hussain ditatap lama sebelum menjawab. 


“Hmm.. Tahu. Kenapa ?”

Kening Raja Hussain bertaut rapat ketika menyoal lagi. 

“Kenapa adinda tidak pernah dengar tempat itu ada di Melaka?”


Bergerak-gerak halkum Raja Muhammad menelan air liur. Ditahannya kebimbangan yang mula menyapa dengan palitan senyuman. Dia perlu memperhalusi segala tindak tanduk, agar niatnya kelihatan kabur di mata Raja Hussain.


“Adinda mahu lihat Rabung Gangsa? Mari kekanda tunjukkan.” 

 

“Di saat ini?” 


Terpinga-pinga Raja Hussain melihat Raja Muhammad bingkas bangun dan mengenakan jubah di tubuh. 

 

“Ya, seandainya adinda masih ingin tahu. Jumpa kekanda di pintu besar belakang istana sebentar lagi.” 


Tergesa-gesa Raja Hussain mengenakan pakaian dan menunggu Raja Muhammad di belakang istana. Pasti Raja Muhammad juga begitu kerana rambutnya masih basah dan hanya mengenakan pakaian orang kebanyakan di tubuh. Jamung yang diambil Raja Muhammad di tepi tangga istana memandu arah jalan. Kakinya menghala ke laluan bukit di belakang Istana Besar dan mula mendaki tangga kayu yang di bina di sepanjang lereng.


Ini laluan ke istana Bonda Hang Li Po! Ada apa urusan kekandanya mahu ke sana? Hati Raja Hussain mula berdesas-desus. Api jamung semakin senget melawan tiupan angin semakin tinggi mereka mendaki. Meskipun cahayanya sekejap tenggelam sekejam timbul, Istana Merah yang dibina oleh ayahanda sebaik sahaja Bonda Hang Li Po menjejakkan kaki ke Melaka jelas kelihatan tersergam indah dengan dua tiang seri yang menongkat serambi sebaik sahaja mereka tiba di puncak Bukit Puteri. Raja Muhammad terus sahaja melangkah  ke tangga berputar yang mengelilingi menara Istana Merah. Di kawasan persinggahan pertama, Raja Muhammad tidak berhenti. Dia terus mendaki sehingga ke puncak menara.


Raja Muhammad melepaskan pandangan ke hamparan kegelapan di hadapan. Dari jauh, cahaya dari kapal-kapal pedagang, jong dan sampan-sampan nelayan yang berlabuh di tengah laut hanya kelihatan seperti manik-manik merah yang bertaburan di atas permaidani hitam.


“Hati rasa bahagia melihat kemakmuran Melaka. Dalam masa yang sama, bahu  mulai terasa berat. Mampukah kemakmuran ini dikekalkan? Sejauh mana agaknya ia menuntut pengorbanan?”


Raja Hussain sememangnya tidak pernah ambil tahu perihal pentadbiran Melaka. Segala-galanya diserahkan ke bahu kekandanya selaku Putera Mahkota. Ada sebab dia membuat keputusan sedemikian. Dia ingin mengelak mulut busuk orang-orang yang berhasad dengki dengan Melaka dan kekandanya. Dia tak mahu dikata orang ingin merebut tahta dari kekanda yang amat disayanginya itu. 


Pandangan dikalih ke arah Raja Hussain. Riak wajah Raja Muhammad separuh tersenyum, separuh sebak. 


“Suatu ketika dahulu, Almarhum adinda Raden Kalang pernah juga bertitah sedemikian rupa. Tak sangka pula, hari ini perasaan yang sama pula kekanda luahkan kepada adinda.”


“Adinda Raden Kalang akan senantiasa bertahta di hati kita. Apakan daya, Tuhan lebih menyayangi dia. Kita panjatkan sahaja doa ke atas rohnya agar dirahmati. Itulah perkara terbaik yang mampu kita lakukan, kekanda.”


Masih jelas di ingatan Raja Hussain, mereka berempat sering sahaja bermain-main di sini. Beradu kekuatan siapa yang paling gagah dan pantas mendaki anak tangga dari istana besar ke puncak menara. Dia, adinda Raden Kalang dan Paduka Mimat serta Raja Muhammad. Seakan-akan terdengar-dengar lagi bonda-bonda mereka berteriak kegusaran sehingga akhirnya Bonda Raden Galuh Cendera Kirana memagar sekeliling menara bagi mengelak kecelakaan.


“Oh ya! Adinda mahu tahu tentang Rabung Gangsa. Mari ke sini rapat di sisi kekanda.” 


Raja Muhammad mendepakan tangan kanan. 


“Di sebelah sana, Melaka dinaungi gunung Ledang dan permatang tinggi di sekelilingnya. Di situ digelar Rabung Gangsa. Manakala terbentang luas di hadapan kita, dataran landai dan lembah yang menganugerahkan kemakmuran kepada Melaka dipanggil Dataran Emas. Dan di seberang sana tanah pamah menganjur sehingga ke Naning dinamakan Jajahan Perak. Pembahagian kawasan ini hanyalah untuk memudahkan  urusan pentadbiran sahaja. Dari mana adinda mendengarnya?”


“Kenapa?” Pantas sungguh Raja Hussain menepis cetusan hatinya. Raja Muhammad tersenyum sendirian. Takkan begitu mudah adindanya mahu membuka mulut.

 

“Nama-nama itu hanya digunakan di kalangan Pembesar Tertinggi Balai Temenggung sahaja.” 


Pembesar Tertinggi Balai Temenggung? Para Pembesar Berlapan? Raja Hussain menangkap teka teki yang mulai muncul di kepala. Diatur wajahnya agar tidak berbicara.


“Ada persoalan lain lagi yang adinda..” Kata-kata Raja Muhammad mati begitu sahaja. Kedua-duanya bergegas ke belakang dan mengintai ke bawah. Riuh rendah memenuhi perkarangan Istana Merah. Sida-sida dan dayang-dayang beratur di ruang hadapan istana, menyembah dan merayu-rayu. Bonda Hang Li Po bertempik berang memegang bilah pedang panjang. Apa yang sedang diamuknya?


Berlari-lari Raja Muhammad dan Raja Hussain mendekati Bonda Hang Li Po. Pasti jauh dari sangkalan bonda mereka akan kehadiran kedua-dua putera Sultan Mansur Syah di situ kerana dari langkah yang serba tak kena ke hulu dan ke hilir, Bonda Hang Li Po terpaku. Dadanya berombak laju turun naik bagaikan lautan dilanda badai. Wajah dan matanya merah menahan amarah.


 “Ampunkan kami bonda kerana menjejakkan kaki ke istana bonda tanpa merafak sembah terlebih dahulu. Andai tersalah perbuatan kami, harap bonda sudi ampunkan anakanda berdua. ” 

 

Raja Muhammad dan Raja Hussain tundukkan kepala ke lantai, mengikuti adat dan resam yang sering diamalkan oleh dayang-dayang dan sida-sida di Istana Merah. Sebaik sahaja esakan daripada Bonda Hang Li Po mula kedengaran, Raja Muhammad mengangkat wajah dan perlahan-lahan merapatkan kedudukan tubuh. Tangan putih gebu wanita itu dicapai.


 “Apakah gerangan yang menghambat hiba bonda di kala lewat malam sebegini. Khabarkanlah kepada anakanda berdua. Manalah tahu mungkin anakanda boleh membantu.” 


Titis jernih terurai laju dari pelupuk mata Bonda Hang Li Po. Hiba sungguh suara halusnya menutur bicara.

“Bonda mahu ke pelabuhan. Anakanda Paduka Mimat dalam kesusahan.” 


“Kami merayu Tuanku, tolonglah jangan pergi.” Serentak bergema rayuan daripada dayang-dayang  Bonda Hang Li Po. Barulah Raja Muhammad perasan, dayang-dayang dan sida-sida telahpun membentuk benteng  di hadapan Istana Merah menghalang laluan Bonda Hang Li Po.


“Ke tepi kamu semua !!” Amat tegas suara yang Bonda Hang Li Po lepaskan. Raja Muhammad pasti keadaan adinda Paduka Mimat amat genting.


“Puteri, tolonglah. Keadaan di luar sana amat merbahaya. Biar pengawal istana sahaja yang membantu Paduka Mimat.”


Sida-sida masih berusaha mengawal keadaan. Andai berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap isteri kesayangan pemerintah Melaka itu, pasti nyawa mereka akan turut melayang sama.


“Bonda, perkenankanlah agar anakanda berdua sahaja yang pergi membantu adinda Paduka Mimat. Kami berjanji akan membawa pulang adinda dengan selamat.”


Lama ditatap wajah-wajah anakandanya, barulah Bonda Hang Li Po mengangguk lemah. Pedang di tangan diserahkan kepada Raja Muhammad, manakala Raja Hussain diberi pedang kepunyaan pengawal peribadinya.


“Tolong bawa kembali jantung hati bonda itu ke Istana Merah dengan selamat. Anakanda berdua juga, mesti kembali ke sini dengan selamat.”


Tubuh Raja Muhammad dan Raja Hussain dipeluk erat sebelum mereka beredar dari situ. Raja Muhammad menolak usul Bonda Hang Li Po agar dibawa bersama pengawal pengiring. Ini bukan kali pertama adinda Paduka Mamat membuat kecoh. Sudah acapkali sebenarnya. Dan setiap kali itu jugalah dia terpaksa menyelesaikan pertelingkahan atau kekecohan secara rahsia. Itu lebih baik daripada sakit kepala memikirkan alasan yang terpaksa diberikan kepada ayahanda.


Sebaik sahaja pengawal Kota Melaka membuka pintu keluar, Raja Muhammad dan Raja Hussain bergegas menuju ke arah jambatan utama penghubung di antara daratan tanah besar dan tanjung, tempat kapal-kapal dan jong-jong pedagang berlabuh. Laluan kemasan batu-batu kecil diturap dari situ sehingga ke hujung tanjung bagi memudahkan kereta-kereta lembu dan kuda mengangkut barang dagangan dari atas kapal.  


Raja Hussain mengitari pandangan ke semua hala termasuklah di celah-celah lorong sempit di antara pohon-pohon kayu yang merimbun di situ. Dia juga meneliti  binaan titi kayu dari anak tanjung yang mencapah ke merata hala sehingga ke tengah laut. Berderet-deret kapal kecil, perahu dan sampan yang mengangkut muatan dagangan dari kapal-kapal besar yang berlabuh di tengah laut ditambat di situ. 


Sebelum sampai ke hujung pelabuhan, tiba-tiba sahaja sekujur tubuh terhumban di kaki Raja Muhammad. Tangan yang berayun di sisi segera menggenggam hulu pedang. Dalam pandangan yang berbalam-balam, Raja Muhammad meneliti dahulu wajah yang baru sahaja berpaling memandangnya sebelum menghunus senjata.

“Adinda Paduka Mimat?”

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.