Bab 6

Bab 6


Tangan-tangan yang cuba membantu Raja Muhammad kesemuanya ditepis. Kemarahan mengundang di hati, bukan terhadap pengawal kota yang kini sedang tunduk merayu memohon keampunan, akan tetapi kepada mereka yang cuba menjauhkannya dari keindahan yang baru sahaja berbunga di jiwa. Raja Muhammad tunduk semula membantu Tun Senaja.


“Tuan hamba alami celaka?”  


Sambil bertanya tangan dihulurkan ke hadapan. Dari kejutan, ketakutan dan kini malu, Tun Senaja tidak mampu menjawab. Hanya kepala digeleng-geleng sedangkan pipinya telah mula merona merah. Huluran tangan Raja Muhammad disambut. Raja Muhammad ketawa kecil. Suka benar dia melihat wajah yang sedang dirundung malu. Seakan terlupa seketika bahawa banyak mata-mata kehairanan yang sedang memerhati.


Raja Mahadewi menarik tangan Tun Senaja ke tepi. Diperhatinya segenap wajah polos gadis itu sebelum bertanya.

“Beta mohon maaf di atas peristiwa yang tidak diduga tadi. Kita boleh pulang terus ke istana, jika tuan hamba mahu.”


“Janganlah Tengku berdukacita. Patik.. hmm.. baik-baik sahaja. Boleh kita terus berjalan-jalan lagi?”  


Tun Senaja menjamin kata-katanya dengan senyuman sebelum mencuri pandang Raja Muhammad. 


Raja Mahadewi menarik nafas lega. Kali ini pengawal kota Melaka turut mengiringi mereka, mengosongkan laluan dan semua tempat persinggahan. Raja Muhammad tidak turut serta dalam urusan jual beli. Dibiarkan sahaja adindanya Raja Hussain serta Tun Besar membantu Raja Mahadewi dan Puteri Bongsu menawar harga barangan. Dia perasan sejak dari tadi Tun Senaja tidak membeli apa-apa. Mula-mula kain ambal dari Goa dipegang, dibelek-belek kemudian dilepaskan. Setelah itu, wajahnya mekar menatap debu merah jambu di dalam bekas tembikar kecil di tangan saudagar Ming. Juga dibiarkan sahaja berlalu tanpa minta dibungkus. Dan kini, tangan kecilnya mengusap-ngusap kain sutera biru laut dan meletakkannya semula ke atas para. Meskipun begitu, raut wajahnya sama girang dengan kekanda Raja Mahadewi dan Puteri Bongsu.


Raja Muhammad sedang berbisik sesuatu kepada Panglima Hitam ketika Tun Senaja melangkah mendekatinya. 


“Ehemm!”  Sengaja Tun Senaja menguatkan suara supaya kehadirannya mendapat perhatian Raja Muhammad. Panglima Hitam meminta izin untuk beredar, meninggalkan hanya mereka berdua di situ.

Apabila mata mula bersetentangan, hilang semua perkara yang ingin diujar. Dalam gugup, Tun Senaja masih berusaha mengukir senyum sambil mengalih pandangan yang mengganggu akal fikirnya ke tanah.


“Patik.. hmm.. ” Haish!! Keyakinannya menghilang pantas bagaikan gelembong buih. Tun Senaja cuba tenangkan diri. 


“Jika ingin mencari keikhlasan dalam berbicara, hadapkanlah wajah dan pandangan kepada lawan bicaramu.” 

Tenang dan lembut nasihat yang ditutur Raja Muhammad. 


Tun Senaja segera mengangkat mata, mencari kata-kata di wajah manis Raja Muhammad.


“Patik.. Patik amat terhutang budi atas kebaikan Tengku tadi.” 

Mudah sahaja perkara yang hendak dimaklumkan. Entah kenapa, hatinya membuatkan kata-kata yang mudah itu bercampur baur hingga hilang hujung pangkal ayatnya. Tun Senaja menarik nafas lega. 


Raja Muhammad mengusap-ngusap dagu. Mata dipasak tepat menembusi anak mata jernih milik gadis berkulit cerah itu. 

“Dengan apa tuan hamba mahu membayarnya?” 


“Bayar? Bayar.. apa?”  

Terpinga-pinga Tun Senaja mendengar soalan Raja Muhammad. 


Tak dapat ditahan lagi geli di hati Raja Muhammad melihat wajah cemas Tun Senaja. Dihamburnya ketawa dengan kuat. 

“Baru sebentar tadi tuan hamba bilang terhutang dengan beta.”


“Oh!!” Kini Tun Senaja sudah mengerti mainan kata-kata Raja Muhammad. Dia mengetap bibir bawah. Geram ! Tangan diseluk ke dalam kocek baju lalu dikeluarkan sehelai kain putih. Melihat wajah penuh kehairanan Raja Muhammad, Tun Senaja tersenyum lebar. Raja Muhammad telah masuk ke dalam perangkapnya sendiri! Berkerut dahi Raja Muhammad melihat kain kecil bersulam bunga merah yang dihulur Tun Senaja kepadanya. 


“Hajat dihati ingin melunaskan hutang Tengku dengan timbunan emas dan permata. Sayangnya, hanya ini yang patik bawa hari ini.”


Tun Senaja mengerutkan hidungnya sebelum menyambung kata-kata. 

“Tergesa-gesa keluar dari rumah tadi, tak satupun kepingan emas mahupun perak yang patik bawa.” 


Kini, ketawa mereka bersatu. Hati Raja Muhammad dihambat bahagia. Tersentak tubuhnya tatkala tangan kanannya ditarik Tun Senaja. Dibelek-beleknya luka yang masih berdarah di situ, sebelum diikat kemas dengan kain putih yang dihulurnya tadi. Berair mata Tun Senaja mengusap tangan Raja Muhammad perlahan-lahan.


“Patik pasti, emas dan permata di dalam peti simpanan harta Tengku sudah melimpah ruah. Harapnya, Tengku sudi terima kain kecil ini sebagai ganti. Ampunkanlah patik kerana meninggalkan parut di tubuh Tengku.”


Wajah pilu Tun Senaja ditenung lama-lama. Separuh perasaan Raja Muhammad ingin menarik tubuh Tun Senaja erat di dalam dakapan. Agar dukacita di hati Tun Senaja segera hilang. Agar wajah yang mendung itu kembali bersinar. 


“Parut yang istimewa adalah tinggalan kenangan indah yang membahagiakan. Andai kelak berparut, beta pasti...Hmm.. nilainya melebihi emas permata yang melimpah ruah di dalam kamar beta itu. Hmm?”


Hati Raja Muhammad kembali tenang. Seri di wajah Tun Senaja telah kembali dengan kuntuman senyuman yang mekar.


Mereka kembali ke istana setelah matahari mulai rapat di kaki langit. Usai bermohon mengundur diri, Raja Mahadewi dan tetamu-tetamunya menuju ke serambi kanan, tempat beristirehat bagi kaum wanita di istana besar. 


“Kekanda!” laung Raja Muhammad dari jauh sambil menggamit jari. Raja Mahadewi berpatah balik menghampiri Raja Muhammad dan Panglima Hitam.


“Masih ada hal yang berbangkit, adinda?”  


Pipi Raja Muhammad disentuh lembut. Raja Mahadewi amat menyayangi kesemua adinda-adindanya tanpa mengira keturunan dan bangsa. Dia yang paling kehadapan dalam membela nasib adinda-adindanya seandainya ada tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka. Malahan, belakang tubuhnya juga sering menjadi tempat persembunyian adindanya ketika melakukan kesalahan di istana semasa mereka masih kecil.


Raja Muhammad menghulurkan tiga bungkusan yang diambil dari tangan Panglima Hitam.


“Yang berbalut kain hijau untuk kekanda, kain merah untuk Tun Senaja dan kain biru buat Puteri Bongsu. Sudah agak lama kita tidak menghabiskan masa bersama-sama. Ini tanda kasih adinda untuk hari yang sungguh membahagiakan ini.”


“Kekanda gembira adinda berbahagia. Kekanda tahu urusan istana dan negeri telah merantai masa adinda bersama-sama keluarga dan diri adinda sendiri. Ikhlaskan hati adinda. Ayahanda itu dari luar nampak gagah tetapi di dalam, amanah nusa ini bagaikan memakan dirinya perlahan-lahan. Mudah benar geringnya kini. Ringan-ringankanlah bebanan ayahanda sekadar yang adinda mampu.”


Raja Muhammad mengangguk-angguk kepala. Dipeluknya Raja Mahadewi dengan erat sebelum berpisah.


Di ruang rehat, Raja Mahadewi membahagi-bahagikan hadiah daripada Raja Muhammad.


“Mari kita lihat apa isinya. Apa kata jika tuan hamba mulakan dahulu Tun Sanaja ? Ayuh, lekas dibuka ikatannya,”  gesa Raja Mahadewi. Tak sabar-sabar mahu mengetahui gerangan hadiah daripada adindanya tadi.


Terkedu Tun Senaja melihat sehelai ambal hijau , sutera biru serta bekas tembikar kecil berbentuk bulat berisi debu merah di dalam ikatan kain merah itu. Bulat matanya memandang Raja Mahadewi. Gerangan siapakah yang memberikan hadiah yang sungguh tidak disangka-sangkanya. Raja Muhammad? Tanpa  disedari, hatinya sudah berbunga bahagia.


“Hadiah dari…. ”  

Raja Mahadewi sengaja mahu bemain teka-teki dengan para tetamunya. Lebar sungguh senyuman yang terpalit. Kecil matanya ketika menyudahkan kata-kata. Raja Mahadewi mensasarkan sesuatu. Pasti menarik!!


“Raja Hussain!”  


Garis bibir yang semakin melebar terus sahaja terbantut. Tun Senaja memejamkan mata. Kenapalah hatinya terasa bagai ditumbuk lumat.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.