Bab 3



Bidasari melangkah malu-malu dari bilik belakang. Paman dan abang sepupunya, Siantan siap sedia menantinya di luar rumah. Meleret senyuman Siantan melihat pakaian Pak Rasul di tubuh Bidasari.


“Aduh! Alangkah sedihnya rasa hati. Hilang sudah kejelitaan adindaku ini.”  


Siantan gemar benar mengusik Bidasari. Di hadapan Paman mahupun di belakangnya, sikap Siantan sama sahaja. Bidasari mencebik. 


“Biar hilang kejelitaan di mata, asalkan kebijaksanaan masih kekal di sana.” 

Bidasari mengetuk jari telunjuknya di kepala Siantan. 


“Hamba sukakan kedua-duanya. Kejelitaan dan kebijaksanaan di dalam satu tubuh. Pasti menarik, bukan?” 


Bidasari mengambil tempat di sisi pamannya sebelum menjawab.

“Benar. Kerana pasti jelek jika kedua-duanya digabungkan dengan kehodohan.”


Kini, giliran Siantan pula mencebik. Tangannya pantas mahu merentap tengkolok Bidasari. Cubaannya gagal kerana Bidasari terlebih dahulu menyembunyikan diri di sebalik tubuh Paman. 

“Eh ! Sudah ! Sudah! Bercakaran bagaikan anjing dengan kucing pula kamu berdua sedangkan kita akan berhadapan dengan perkara penting sebentar nanti.”


Pendekar Hasan memegang bahu anak arwah adiknya itu. Wajahnya penuh kebimbangan.


“Paman masih lagi berkira-kira mahu kamu ikut serta. Jikalau perkara ini adalah di dalam pengetahuan Paman , sudah pasti Paman tidak akan beri izin.”


Bidasari tahu kasih Paman kepadanya bagaikan lautan tidak bertepi. Akan tetapi, buat malam ini Bidasari hanya memerlukan keyakinan pamannya sahaja.


“Paman masih ragu-ragu dengan segala ilmu persilatan yang Paman turunkan kepada Sari?”  


Keraguan Pamannya harus dilenyapkan. Untuk kebaikan Paman malah dirinya jua. Bidasari perlukan bekalan keyakinan yang mantap untuk berjuang bersendirian nanti. 


“Semua ilmu itu gunanya untuk mempertahankan diri, Sari. Sedang kini medan tempur yang menanti. Kamu pula tiada langsung sebarang pengalaman untuk menghadapinya. Masakan aku tidak susah hati? Kamu satu-satunya peninggalan berharga adik aku. Seandainya terjadi... ”


Sepantas kilat Bidasari memintas kata-kata pamannya.

“Paman bilang akan ada yang datang membantu Sari nanti, bukan? Jangan bilang sama Sari... Paman akan menghantar budak mentah seperti ini?”


Bidasari mengalih pandangan ke arah Siantan. Terhenjut-henjut bahu Siantan menghambur ketawa. Siantan tahu Bidasari hanya berseloka. Selaku pembantu utama ayahnya di gelanggang silat, tiada yang berani mempertikaikan kemahiran seni bela dirinya.


“Janji dengan Paman kau akan berhati-hati. Jangan terlalu berani. Utamakan keselamatan diri terlebih dahulu.” 

Jari jemari pamannya digenggam erat sedangkan matanya cuba memahat keyakinan di hati pendekar terkemuka di daerahnya itu .

“Ya, Paman. Sari berjanji.” 


Pendekar  Hasan beredar terlebih dahulu. Baru sahaja Bidasari mahu melangkah, lengannya disambar Siantan. Erat sungguh pautan tangan abang sepupunya itu. 

“Senantiasa berwaspada Bidasari. Gunakan sepenuhnya kebijaksanaan yang ada di kepalamu itu.”


Bidasari mengecilkan mata. Semua orang-orang yang rapat dengannya meragui keupayaan diri Bidasari.

“Ya, ya. Itu sudah pasti kanda Atan.” 


Bidasari cuba melepaskan pegangan sedangkan cengkaman Siantan  semakin erat.


“Aku juga keberatan melepaskan kamu, Bidasari.”  Renungan Siantan bagaikan menorobos jauh ke dalam diri Bidasari. Bidasari cuba mengelak.  Pandangan dialih ke hadapan.


“Kanda sudah lupa, ya. Baru sahaja dua hari yang lepas Sari berjaya mengalahkan kekanda di gelanggang.” 


Sudah pasti Siantan ingat benar, kekalahan yang disengajakan itu. Dia gemar melihat senyuman yang berhari-hari bertandang di wajah Bidasari seandainya berjaya bergelar juara. Siantan juga suka mendengar celoteh Bidasari yang tahan berjam-jam lamanya menceritakan semula detik-detik kemenangan Bidasari di gelanggang silat. Dan kini, kebimbangannya kemuncak tatkala mengenangkan wajah yang sering membahagiakan hatinya itu mungkin tidak akan menjelma lagi esok hari. Hatinya amat gusar. Perasaan Siantan tertekan.


“Hanya doa yang mampu kanda iringkan. Semoga Tuhan melindungi kamu, Bidasari.”  

Siantan melepaskan Bidasari dengan hati yang berat. 


Teratak usang di tengah hutan dara Bukit Jentayu atau dipanggil orang kampung, Bukit Siguntang dapat dilihat dengan jelas dari celahan rimba. Pasukan peninjau berpatah balik ke tempat berkumpul. Datuk Lelawangsa serta Datuk Berahim telah tersedia menanti di situ bersama-sama Pendekar Hasan, Siantan dan Bidasari. Satu lagi pasukan sokongan lengkap bersenjata, juga telah berada di dalam kedudukan siap bersedia. 


“Laluan ke sana telahpun kami persiapkan Datuk. Segala-galanya terkawal. Kita sudah boleh bertindak sekarang.” 


Panglima Daim, selaku ketua barisan peninjau memberi penjelasan kepada Datuk Lelawangsa, ketua gerak gempur pada malam itu. 


“Bagus. Terima kasih Panglima.” 

Sejurus selepas itu, dia merapati Bidasari bagi menyampaikan arahannya yang terakhir.


“Tujuan hamba memohon pertolongan kamu pada malam ini hanyalah untuk mengenal pasti barang itu. Adakah ia tulin dan asli? Atau hanyalah salinan daripada helaian asal. Atau ia adalah barang yang tiada kaitan langsung dengan tujuan kita pada malam ini. Sekiranya telahan kita benar, maka yang dicari bukanlah mereka yang berada di sana, akan tetapi dalang di sebalik semua rencana jahat ini. Tuan hamba mengerti?”


Bidasari mengangguk laju. Datuk Lelawangsa berpuas hati.  Ditepuknya bahu Bidasari sambil berkata, “Semoga berjaya, anak.” 


Panglima Hasan dan Siantan menghantar Bidasari sehingga ke tempat persembunyian yang terakhir. Dada Panglima Hasan sungguh gemuruh. Kepada Bidasari diulang kembali pesanan penting itu.


“Elakkan dari tertangkap. Mereka tidak ramai di dalam teratak itu, akan tetapi kita mahu menjauhi sebarang curiga. Mereka itu hanyalah pesuruh-pesuruh dan kuncu-kuncu bawahan. Ini akan memudahkan langkah kita seterusnya untuk mengekori jejak langkah rencana jahat mereka sehingga bertemu dengan durjana yang mengatur segala angkara.”   


Bidasari memeluk Pamannya erat. Siantan yang hanya berdiam diri dari tadi bersuara perlahan kepada ayahnya. 

“Biar anakanda memberi tunjuk jalan kepada Bidasari.”  


Panglima Hasan mengangguk tanda izin. Siantan membuka arah jalan. Tangan Bidasari dipegangnya erat. Terbongkok-bongkok mereka menyusuri denai sehingga merapati pondok usang itu. Dikeluarkan golok kecil yang disisip di pinggang. Pintu kayu dapur diumpil perlahan sehingga terbuka. Sebelum berpatah balik dan meninggalkan Bidasari bersendirian, Siantan mengeluarkan sesuatu dari dalam bajunya dan disarungkan ke tengkuk Bidasari.


“Simpan serunai buluh ini baik-baik. Jangan sesekali kamu cicirkan. Sekiranya berlaku kejadian cemas, tiup sahaja serunai ini. Bantuan pasti akan datang. Jaga diri adinda baik-baik, Sari.”  


Terlepas sebuah ciuman di kepala Bidasari sebelum Bidasari menghilangkan diri di sebalik pintu kayu di hadapan. Ringan sahaja kaki Siantan ingin mengekori Bidasari dari belakang. Sudah pasti hajatnya itu mustahil kerana dia terpaksa akur dengan kehendak ayahnya. 


Manakala, di celah-celah daun pohon yang merimbun, Malim bersuara perlahan. Tangannya sudah menggeletar cuba menampung berat. Pinggang Raja Hussain telah lama tertahan di tangannya.


“Tengku, bagaimana? Lekas Tengku! Hamba sudah tak mampu nak bertahan.” 


“Haish!! Macam tak makan sebulan kamu ni Malim.” 

Tangannya diregang sehabis-habisan cuba menolak kayu kecil yang mengunci tingkap dari dalam. Terbuka!!


“Lepaskan beta, Malim. Jangan pergi jauh. Tunggu sahaja di situ. Sekiranya beta tertangkap, segera mohon bantuan,"  arah Raja Hussain sebaik sahaja sebelah tangannya berpaut kuat di birai jendela manakala sebelah lagi menguak lebih luas daun tingkap. Kuat sungguh detakan jantungnya ketika melihat beberapa kujur tubuh terbaring di dalam. 


Mujur sahaja dia telah biasa dengan suasana cemas. Sebagai salah seorang pewaris kerajaan Melaka, latihan fizikal yang diterima Raja Hussain sama sahaja dengan Putera Mahkota. Dia juga terpaksa berhempas pulas memerah tenaga menguasai pencak silat dan memanah. Ilmu pertahanan diri dari bangsa Ming juga terpaksa dia pelajari. Bergasak dan bertetak senjata bersama-sama panglima dan pendekar istana sudah menjadi mainannya sejak kecil. Malah, dari masa ke semasa, adakalanya saban minggu dia terpaksa pula menyahut cabaran untuk beradu kekuatan dengan kekandanya. 


Perlahan sahaja tubuh dilepaskan ke lantai. Tubuh yang terbaring kesemuanya sedang lena. Raja Hussain menarik nafas lega. Kepala dihulur ke luar memerhati  keadaan di dalam teratak tinggal itu. Seluruh pancainderanya dibuka luas. Suara orang bersembang kedengaran jelas di ruang hujung sekali. Terdapat sebuah lagi bilik di ruang tengah. Tiada yang mengawal di situ. 


“Bismillah.”  

Dengan langkah yang lembut dan penuh berhati-hati, Raja Hussain beranikan diri cuba menyelinap masuk ke bilik yang kedua. Sedikit demi sedikit ditolaknya daun pintu sebelum kembali ditutup perlahan-lahan setelah berjaya melangkah masuk. 


Alangkah terperanjat Raja Hussain melihat satu susuk tubuh yang bersandar rapat ke dinding betul-betul di sebelah daun pintu yang sedang ditutupnya. Bulat mata asing itu memandang Raja Hussain sebelum sebuah jeritan halus terlepas di situ. Deras kedengaran bunyi tapak-tapak kaki mulai menghampiri mereka. Tanpa berlengah, Raja Hussain segera menempelkan diri bersama-sama susuk tubuh asing itu, menghenyak tubuh supaya kedua-duanya rapat ke dinding di belakang daun pintu. Manakala tangannya kuat menutup mulut yang menjerit tadi. Pintu bilik dibuka luas. Mereka semakin terhimpit di sebalik daun pintu. 


Seekor kucing tiba-tiba sahaja melompat dari atas para. 

Miaw! Miaw!

“Huh! Hamba ingatkan manusia tadi. Kamu rupanya Si Comot. Mari sini. Kamu lapar ?”  

Seorang pemuda berbadan agak gempal mencapai kucing hitam berbelang putih. Rakan yang mengekorinya memeriksa ruang di hadapan mereka. 


Peluh memercik di dahi Bidasari bertentangan dengan tubuhnya yang dicengkam kedinginan. Bidasari menggenggam erat kedua-dua tangan yang sedang menggeletar. Sedikit kerana ketakutan, selebihnya kerana terlalu terkejut. Dia tidak pernah berada di dalam keadaan sebegini rapat dengan lelaki termasuklah ayahnya. Anak mata Bidasari besar memerhati pemuda yang kini bersatu tubuh dengannya. Mujur sahaja tangan pemuda itu menekap kuat kedua bibir Bidasari. Jika tidak, sudah pasti jeritannya akan kedengaran lagi buat kali kedua. 


Pemuda itu tidak memandang ke arah Bidasari. Sebaliknya anak matanya serong ke tepi seolah-olah nampak apa yang sedang berlaku di sebalik papan kayu itu. Siapa pemuda yang berpakaian serba hitam ini? Bantuan daripada Pamannya? Seingat Bidasari, dia masih belum menyentuh serunai itu. Barangkali Siantan yang menghantar pemuda ini lantaran terlalu bimbang akan keselamatan dirinya. Kemarahan mula menerpa Bidasari. Merah sungguh wajahnya lantaran malu dan  marah. Kurang ajar !! Berani benar pemuda ini melanggar batas adat dan kesopanan orang-orang Melayu. 


Setelah kedua penjahat menutup pintu dan beredar jauh, Raja Hussain menjatuhkan tangannya dari mulut Bidasari. Baru sahaja mata mereka  bersetentangan, Bidasari mengangkat kakinya tinggi ke hadapan dan menendang kuat Raja Hussain. Nah! Ini pengajaran buat kau, lelaki tak tahu malu !

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.