Home Novel Cinta cinta jangan pergi
cinta jangan pergi
Izzatul Nadira
22/8/2017 13:44:20
3,908
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

Riuh rendah suasana rumah keluarga Encik Kamaruddin dengan gelak tawa saudara mara terdekat, jiran-jiran dan sahabat handai yang hadir ke majlis kenduri doa selamat yang diadakan selepas solat isyak. Nur Alisya pula sibuk melayan kerenah adik sepupunya Adriana yang dari tadi tidak lekang dengan keletahnya yang mampu mencuit hati sesiapa sahaja yang melihat.

         “Kak Sya, ni kenduri apa? Siapa kahwin?” soal Adriana. Alisya ketawa sendiri. Lucu dengan soalan tiba-tiba kanak-kanak kecil itu. Tidak disangka soalan itu bakal ditanya oleh Adriana yang baru sahaja berumur 5 tahun. Bijak sungguh.

        “Ini namanya kenduri doa selamat bukannya kenduri kahwin sayang,” Alisya mencuit hidung comel si kecil itu. Geram. Adriana tersengih.

        “Saya laparlah kak Sya,” ngadu Adriana.Bibirnya dimuncungkan sambil memegang perut tanda dia benar-benar sedang kelaparan. Alisya tersenyum kecil.

        “Sekejap, kak Sya ambilkan makanan untuk awak ye,” Alisya bingkas bangun dan terus menuju ke khemah untuk mengambil makanan.

         Mata Alisya tertumpu pada deretan makanan yang banyak tersedia di bawah khemah dan matanya tertarik pula pada manusia-manusia yang berada disitu. Kebanyakan yang hadir terdiri daripada ahli keluarga,jiran-jiran dan rakan-rakan mereka. Alisya menuju ke sudut khemah, tiba-tiba dia berasa dahaga apabila terlihat air oren yang nampak begitu enak tersedia disitu. Warnanya tampak menarik. Kecur air liur dibuatnya.

         Niat untuk mengambil makanan ditangguhkan saat matanya terpaku pada seorang lelaki yang menarikperhatiannya. Lelaki itu tampak kacak dan kemas memakai baju melayu berwarna kelabu serta berkain pelikat. Hatinya kuat mengatakan yang lelaki itu seperti pernah dia temui sebelum ini. Namun, dia sendiri tidak pasti bila dan dimana?     

          Oh ya, baru dia teringat lelaki inilah yang dia temui pagi tadi di pasar. Tak silap lagi, memang dia.

          Tidak sangka datang juga dia kerumah. Pada mulanya Alisya yakin bahawa lelaki itu tidak akan hadir pada majlis itu. Biasalah ada sesetengah lelaki zaman sekarang jarang mahu mengikut ibu bapanya untuk ke majlis seperti ini. Kebanyakan mereka lebih suka duduk melepak bersama rakan-rakan di mamak atau hanya duduk dirumah sahaja.

           Alisya hanya duduk sahaja di kerusi sambil memerhati gerak geri lelaki yang menjadi perhatiannya. Matanya langsung tidak berkalih ke arah lain. Penampilan lelaki itu pada malam ini seperti ada tarikannya yang tersendiri.

          “Amboi, Alisya. Mata tu tak boleh nak jaga sikit ke? Kemain lagi angah tengok Sya tenung si Azam tu. Ada apa-apa yang angah tak tahu ke ni?” Alisya terkedu. Sejak bila pula angahnya terpacak dibelakang, setahunya dia seorang sahaja yang berada disitu sejak dari tadi.

         “Apa yang angah merepek ni? Jangan nak  mengarutlah, Sya duduk sini sebab tunggu orang beratur dekat tempat makanan tu. Ramai sangat, sebab tulah Sya duduk sini. Bukannya sebab Sya pandang si Azam tu.” Alisya cuba berdalih. Haih, kalaulah si Angah tu tahu yang dia memang sedang seronok memerhatikan Azam. Malu besar nanti. Sampai tahun depan dia tak akan berhenti bercakap soal itu. Mulutnya kalah burung ‘Kakak Tua’.

         Hazriq mencebik. Dia sedikit pun tidak percaya dengan alasan yang diberikan oleh adik bongsunya itu. Bukannya baru tadi dia memerhatikan gelagat si Alisya. Sudah dekat setengah jam adiknya duduk di kerusi itu, padahal di tempat makanan tidaklah seramai mana yang NurAlisya katakan.

         “Haa tu nak pergi mana pulak tu,” tegur Hazriq. Alisya memandang malas wajah abangnya, dia tidak betah duduk di situ berlamaan dengan si Hazriq. Makin dia berada lama disitu, macam-macam soalan pelik akan dituju kepadanya.

          “Sya nak pergi ambil makananlah,kesian dekat si Adriana tu lapar.” Nur Alisya memberi alasan.

           “Tak payahlah nak susahkan diri  Alisya, Adriana dah kenyang dah pun. Angah yang ambilkan makanan dia.” Kata Hazriq.

            Alisya terkejut. “Eh, bila masa pulak si Adriana tu dah makan. Sya, baru je nak ambilkan makanan untuk budak tu,”

           “Oh, bila masa ye? Masa Sya tengah sibuk usha si Azamlah tadi. Adriana merengek lapar, minta angah ambilkan makanan dia. Nak tunggu Kak Alisya kita ni, sampai tahun depan pun budak tu belum tentu dapat makan ke tak,” Perli Hazriq. Hazriq berlalu pergi dengan muka  bersahaja. Tinggal lah si Alisya terkulat-kulat menahan malu. Angah memang  sengaja buat dia segan tidak tentu pasal.

 

         “Alisya, ambil bungkusan makanan ni  dan beri kepada Azam. Ibu dengan Mak Som ada benda nak bual lagi ni,” arah Puan  Noraini.

          Alisya memandang wajah ibunya seperti  tidak percaya. “Alah kenapa pulak Sya yang kena ni, Angah kan ada,” bantah  Alisya tidak puas hati. Dia memuncungkan bibirnya tanda protes.

          “Amboi cantik sangatlah anak dara  buat muka macam itu, kan ibu minta tolong ni. Apa yang susah sangat ni,” Puan  Noraini sudah mulai geram dengan anak gadisnya itu.

         Alisya mengeluh perlahan. Rela atau  tidak dia terpaksa menurut perintah ibunya. Nanti kalau tidak diturutkan, dia  juga yang akan berhadapan dengan rajukan si ibu.

           Dengan langkah terpaksa, Alisya  mencapai bungkusan yang sudah ada di atas meja dan terus melangkah menuju ke  arah ruang tamu. Matanya ligat memerhati sekeliling, dia sibuk mencari susuk  tubuh lelaki yang bernama Azam. Kalau ikutkan hatinya, tidak ingin dia  menyusahkan diri mencari lelaki itu. Biarlah dia sendiri yang ambil bungkusan  makanan itu di dapur. Bukannya dia tidak punya kaki untuk berjalan. Panggil sahaja dia ke dapur, pasti dia akan datang.

            Alisya berjalan lagi melangkah mencari lelaki itu. Geram pulak dia. Entah kemana pula lelaki itu pergi.

          “Awak cari saya ke?” Tiba-tiba ada suara menerjah ke telinga. Hampir melompat Alisya dibuatnya. Dia berpaling ke arah suara itu datang. Dia terpaku disitu. Dia seakan dipukau. Langsung tidak bergerak.

          “Alisya...” panggil Azam. Puas dia cuba menahan tawanya. Geli hati dia melihat gelagat gadis yang tampak ayu berbaju kurung berwarna krim dan memakai selendang dengan tona warna yang sama. Sangat cantik gadis itu pada malam ini. Jauh berbeza dengan penampilannya pagi tadi ketika di pasar.

            “Alisya...” Sekali lagi Azam memanggil.

         Nur Alisya tersentak. Wajahnya dilari-larikan daripada bertembung mata dengan lelaki dihadapannya. Ya Allah,  segan benar dia. ‘Alisya apa yang dah jadi dengan kau ni, memalukan betul lah,’kutuknya sendiri.

          Alisya tidak betah berlama-lama disitu.“Nah, ni bungkusan makanan ibu saya bagi,” Alisya terus menghulurkan bungkusan makanan itu tanpa menunggu lama lagi. Wajahnya langsung tidak diangkat.

         Azam tersenyum. “Saya tahu, tadi saya ke dapur ibu awak kata awak cari saya nak bagi bungkusan makanan ni,”

          Sekali lagi Alisya tersentak. Ya Allah, ibunya seakan sengaja mempersendakan dia. Kalaulah dia tahu, tidaklah dia beria-ia mencari lelaki itu di seluruh kawasan rumah. Buat penat sahaja.

         Alisya terus berlalu dan meninggalkanAzam tanpa sepatah kata. Dia segan sangat dengan apa yang terjadi tadi.

         “Alisya...” panggil Azam. Alisya menghentikan langkahnya. Dia mengeluh. Apalagi yang lelaki ini mahukan darinya. Dengan keterpaksaan, Alisya menoleh memandang wajah lelaki itu dengan perasaan berbaur.

          “Terima kasih,” Azam tersenyum manis. Alisya terdiam. Wajahnya berubah kemerahan. Apa yang dah jadi pada Nur Alisya? Ya Allah.......

    

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izzatul Nadira