Home Puisi Kisah Hidup SULUNG
SULUNG
Syameen
22/4/2025 10:24:33
143
Kategori: Puisi
Genre: Kisah Hidup

Dia yang pertama,

Menyambut dunia dengan tangis perjuangan,

Belum sempat belajar sepenuhnya menjadi anak,

Sudah diajar menjadi contoh dan harapan.


Langkah kecilnya dilihat sebagai pelopor,

Tersadung itu bukan satu alasan,

Bangkit sendiri beralas pengajaran,

Kerana "abang" atau "kakak" perlu gagah di hadapan.

Ribut hatinya kadang disembunyi,

Di balik senyum dan diam sunyi,

Rindu dimanja dibelai rapi,

Namun tanggungjawab sentiasa mendahului.


Anak sulung itu,

Kadang terlupa dia juga manusia, 

Perlu bahu untuk bersandar,

Perlu tubuh untuk dipeluk tanpa syarat.


Namun, dalam diam dia tetap teguh,

Memelihara yang lain dengan kasih dan sayang,

Kerana menjadi yang pertama,

Bermakna menjadi benteng kebahagiaan keluarga.


Dia belajar menelan kecewa,

Bila adik dimanjakan sedang dia diminta mengalah,

Belajar erti reda tanpa suara,

Belajar memaafkan sebelum diajarkan cara.


Dan bila semua dewasa nanti,

Semoga masih ada yang mampu menghargai,

Si sulung yang meredah badai demi yang tersayang,

Yang senyum dalam diam walau hati terkoyak.


Si sulung bukan sekadar nama di tangga lahir,

Tapi lambang cinta dan pengorbanan,

Teguh cekal memegang amanah,

Menyimpan seribu rahsia tanpa penceritaan.


~ Sekian ~


* Terima kasih sudi membaca.. Ada tak anak sulung yang membaca nukilan ini? Boleh say hai di ruangan komen ya.. ^___^


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham