Berus lukisan terhenti di udara. Jemari runcing Nuha Eryna kaku menggenggam batang kayu yang berlumur cat akrilik biru gelap. Warna yang selalunya mendamaikan itu kini terasa seperti lebam yang meresap ke dasar jiwanya.
Pandangannya tidak tertumpu pada kanvas kosong di hadapan, mahupun palet warna yang mulai mengering di sisi. Matanya merenung jauh menembusi dinding studio di sudut pangsapuri modennya, seolah-olah sedang menelusuri tabir memori yang berulang tanpa henti.
Di luar jendela, kota metropolis terus hidup dengan segala kemegahan dan kesibukannya. Lampu-lampu pencakar langit mula berkelipan, menyahut senja yang perlahan-lahan menurunkan tirainya. Cahaya keemasan merajut benang-benang halus di langit kelabu.
Bunyi hon kenderaan dan deru enjin yang sayup-sayup menyusup masuk mengiringi irama kehidupan kota yang tidak pernah tidur. Dahulu, irama itu sering memberinya tenaga dan membuatnya rasa terhubung dengan dunia yang bergerak pantas.
Kini bunyi itu terasa seperti deruan bingit yang menghimpit, mengingatkannya betapa dia terasing dan sunyi di tengah kesibukan yang tidak pernah berhenti.
Dia menarik nafas dalam-dalam, perit! Udara dingin menyusup ke paru-parunya. Namun, hatinya terasa membeku, seolah-olah terperangkap dalam ruang kosong yang ditinggalkan janji-janji itu. Lafaz yang sepatutnya menjadi pasak kini tinggal serpihan yang menoreh luka.
Memori lapan tahun lalu menerjah, jelas seperti baru semalam. Saat majlis akad nikah berlangsung, Ilham Wafiy menyarungkan cincin ke jari manisnya dalam upacara membatalkan air sembahyang.
Nuha membalas dengan tunduk mengucup tangan Ilham buat kali pertama sebagai seorang isteri. Air matanya menitis perlahan, bahagia bercampur sebak.
Ilham mengusap lembut ubun-ubunnya, seakan berikrar untuk melindungi dan menyayangi dia buat selamanya. Wajah mereka berseri-seri, diiringi limpahan doa dan restu daripada kedua-dua belah keluarga yang hadir.
Senyuman mereka bersatu, membawa harapan yang membumbung tinggi seperti menara-menara pencakar langit yang terbentang di luar jendela. Lima tahun berkasih, diiringi janji setia sehidup semati.
Ilham, cinta pertamanya yang dikenali sejak zaman kampus. Peneman setia dalam suka mahupun duka. Bagi Nuha, Ilham adalah separuh jiwa yang melengkapkan. Tempat di mana hatinya berlabuh dengan tenang
"Aku terima nikahnya Nuha Eryna binti Idris..." suara Ilham bergema jelas di telinganya, lafaz suci yang menyatukan dua hati menjadi satu.
Di sebalik lafaz itu, tersimpan sebuah janji yang lebih mendalam. Ia bukan sekadar ungkapan di bibir, tetapi ikrar yang pernah menyentuh sanubari Nuha.
Janji untuk menjaga, melindungi dan mencintainya tanpa syarat. Bersama lafaz itu, terbit harapan untuk membina rumah tangga yang diberkati, mencipta keluarga bahagia serta menceriakan ruang hidup mereka dengan gelak tawa anak-anak.
Langit tidak selalu cerah. Tanpa sebarang amaran, pengkhianatan itu menyelinap masuk seperti racun yang perlahan menghakis. Sedikit demi sedikit, ia meruntuhkan kepercayaan, lalu memusnahkan seluruh bangunan kebahagiaan yang selama ini dibina dengan harapan.
Seroja Airis, satu nama yang menggamit luka. Dia bukan sekadar orang ketiga, tetapi petaka yang memusnahkan segalanya.
Namun, kehancuran itu bukan berpunca daripada diri Seroja seorang. Ia lahir daripada kealpaan dan keangkuhan Ilham sendiri.
Luka ini tidak berdarah seperti luka pada tubuh, yang boleh dibalut dan akhirnya sembuh. Luka ini jauh lebih dalam, merobek hati dan meninggalkan gema kosong yang menyakitkan hingga melumpuhkan seluruh jiwanya.
Setiap hela nafas terasa berat, setiap langkah kian lemah.
Nuha meletakkan seluruh kepercayaannya kerana cinta yang jujur tidak pernah mengenal ragu. Namun, kesetiaan itu dipersiakan oleh lelaki yang pernah memenuhi seluruh ruang hatinya.
Bagaimana mungkin insan yang dicintai sepenuh hati tergamak melukai sedalam ini? Janji suci yang pernah dilafazkan, kini dimungkiri tanpa sekelumit rasa bersalah.
Nuha memejamkan mata, menahan air mata yang kerap tumpah sejak kebelakangan ini. Dia sudah terlalu penat untuk terus menangis.
Puas dia mencari di mana silapnya. Namun jauh di sudut hati, dia tahu kesalahan itu bukan miliknya. Segalanya berpunca daripada hati Ilham yang berpaling.
Jiwa lelaki itu terlalu rapuh saat diuji, lalu rebah dalam permainan Seroja yang licik, penuh tipu daya dan muslihat.
Rumah yang dahulunya syurga, kini terasa seperti penjara. Nuha mula menyedari perubahan sikap Ilham yang sering pulang lewat malam. Komunikasi antara mereka pula semakin dingin.
Setiap sudut ruang menyimpan memori, setiap objek membawa kisah tersendiri. Katil, sofa, meja makan itu semuanya menjadi saksi kepada tawa, air mata dan harapan.
Kini yang tinggal hanyalah kesunyian yang perlahan-lahan memenuhi ruang antara mereka.
Dia teringat kata-kata Damia, satu-satunya sahabat yang tak pernah jemu menjadi sandaran di saat dunianya terasa gelap.
"Kau kena bangkit, Nuha. Jangan biar dia terus patahkan semangat kau. Kau berhak untuk bahagia."
Damia sentiasa ada di kala Nuha memerlukan. Dia jugalah yang mencadangkan agar Nuha menyertai sesi psikoterapi berkumpulan yang dikendalikan oleh Hud Rafael, pensyarah psikologi berpengalaman dalam menangani gangguan emosi dan hubungan toksik.
Hud. Nama itu sedikit sebanyak membawa rasa tenang. Bukan kerana ada ruang untuk cinta baru. Hati Nuha masih belum bersedia. Namun, dia menghargai usaha dan kesungguhan lelaki itu yang membantunya perlahan-lahan keluar dari kabut kesedihan yang membelenggu..
Berus di tangannya terasa berat, seolah-olah memikul beban dunia. Kanvas kosong di hadapannya seperti mengejek, menuntut untuk diisi dengan warna dan perasaan yang mendalam.
Namun, bagaimana mungkin dia mampu melukis kehidupan apabila jiwanya sendiri sudah mati?
Jemarinya yang tadi hanya diam membatu kini perlahan-lahan bergerak. Bukan lagi ke arah cat biru gelap, tetapi menuju tiub cat putih bersih.
Putih, lambang kesucian dan simbol permulaan baharu. Seperti ruang kosong yang sedia menanti untuk diisi.
Nuha tidak pasti bila saat itu akan tiba, tetapi dia tahu dia harus bangkit. Dia tidak boleh terus membiarkan dirinya terperangkap dalam memori luka dan pengkhianatan itu.
Dengan tangan yang sedikit menggigil, Nuha membenamkan berus ke dalam cat putih. Bukan untuk melakar di kanvas, tetapi untuk mencampurkannya sedikit pada warna-warna gelap yang mendominasi paletnya.
Titik putih kecil itu bagaikan secercah harapan yang mampu menghidupkan semula lukisan kehidupan yang suram.
Perjalanan ini masih jauh, lukanya terlalu dalam. Namun, Nuha yakin ada warna-warna indah yang sedang menanti untuk diabadikan di kanvas kehidupannya.
Dia harus mencari kekuatan di sebalik serpihan dirinya yang terbiar setelah runtuhan itu.
Langkahnya mungkin sukar, tetapi cukup untuk mengoyak sepi dan membuka ruang buat harapan yang hampir padam.
Dan dia akan mulakan, sekarang...
© 2025 Asmaniza Din. Semua hak cipta terpelihara. Dilarang menyalin, mengubah atau menerbitkan semula mana-mana bahagian dalam karya ini tanpa kebenaran daripada penulis.