Bab 30

HAMPIR satu minggu Johan dan Hanna saling berhubungan secara sembunyi-sembunyi.  Johan begitu pandai berlakon sehingga segala tindak-tanduknya tidak dapat dihidu oleh Fareed dan Hasnah.

"Sha apa khabar?"

"Alhamdulillah sihat.  Cuma sekarang ni Sha jadi lebih pendiam.  Sepatah ditanya, sepatah jugalah yang dijawab."

"Kasihan, Sha.  Semuanya salah saya."  Johan mengutuk diri sendiri di atas keterlanjuran perbuatannya.

"Jangan cakap begitu.  Memang ditakdirkan cara pemergian Mael macam tu.  Kita yang hidup ni kena banyak doakan arwah. Ada apa-apa berita tentang penjenayah tu tak?" 

"Entahlah, Hanna.  Rafi pun tak ada cakap apa-apa.  Entah kenapa pihak polis susah sangat nak tangkap dia.  Padahal semua bukti dah ada."

"Pihak polis pun berusaha keras untuk menjejak dia.  Lebih-lebih lagi dengan tertangkapnya Emran, skala pencarian polis menjadi lebih mudah."

"Emran ditangkap?  Maksud awak, Emran Mukhlis?  Pemilik Casa Piena?" Johan bertanya ingin tahu.

"Dialah, siapa lagi.  Berita ni dah tersebar dalam tabloid dan media sosial.  Eh, macam mana awak boleh tak tahu?"

Seperti ada sebiji batu besar yang menghempap dadanya, Johan semakin lelah dengan kes ini.  Seorang individu yang amat dia sanjungi suatu ketika dahulu merupakan dalang di sebalik pembunuhan yang disaksikan oleh dirinya sendiri.

"Sumpah saya tak tahu.  Lepas saya sedar dari koma, saya terus dibawa ke sini.  Semua bentuk perhubungan disekat."  

Johan mengeluh hampa.  Bagaikan mimpi ngeri, dia benar-benar mahu bebas dari masalah ini.  Dia lelah. Berjauhan dari insan-insan yang dia cintai merupakan satu seksaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

"Hanna, saya terpaksa tamatkan panggilan ni.  Tunggu isyarat dari saya esok."

Hanna lekas-lekas memutar tombol pintu sejurus ketukan yang bertalu-talu oleh Shakira.  Wajah cemberut Shakira tersembul di balik daun pintu. Dahinya berkerut melihat Shakira yang kelihatan kemas dan cantik.  Gayanya seperti hendak keluar ke mana-mana saja.

"Sha, kenapa ni?"

"Dah setengah jam aku tunggu kau kat luar.  Kau buat apa? Tadi cakap nak pergi makan tengah hari sama-sama?"

Hanna menepuk dahinya kuat, dan kemudian digosok semula dahinya kerana perit.

"Aku lupa!  Aku betul-betul lupa.  Sorry, Sha. Aku bersiap sekarang."

Hanna sekadar menyarung cardigan merah jambu dan tudung bawal berona hitam.  Tidak sempat untuk menata rias wajahnya lebih lama, lip matte kegemarannya disapu ke bibir. 

"Okey, aku dah siap."

Kunci kereta di atas meja makan disambar lalu mereka bergerak ke restoran.

"Hanna, Sha… sini!"

Hanna mengecilkan mata, mencari kelibat seseorang yang memangil nama mereka di celahan orang ramai itu.  Lensa matanya menangkap sosok seorang pemuda yang tersenyum lebar ke arah gadis-gadis itu.

"Sorry lambat.  Hanna lah ni, tiba-tiba jadi pelupa."

Wajah Shakira dan Rafi dipandang silih-berganti.  Entah bila Shakira mengatur temujanji mereka bertiga.  Dia mengabaikan persoalan yang bermain di kepala seandainya itu yang dapat membuat Shakira tersenyum semula.

Rafi pandai melayan Shakira dan ulah mereka kelihatan begitu mesra.  Dia mendoakan kebahagiaan mereka berdua dan berharap hubungan itu dapat dilestarikan dalam satu lafaz ijab dan kabul.  Usai menjamu selera, kedua-dua orang gadis itu berhasrat untuk membeli sedikit barangan peribadi di pasar raya.

"Alang-alang kita ada kat sini, kita beli barang dapur sekalilah."  Hanna memberi cadangan.

"Aku ikut aje.  Beli banyak-banyak sikit, tak payah kita keluar lagi esok lusa."  Hanna mengangguk setuju.

Troli barang ditolak melewati tempat menjual barang-barang basah.  Pelbagai hasil laut dibeli kerana mereka berdua memang suka memasak sendiri di rumah.  Selain dapat menjimatkan wang, kebersihan makanan juga terjamin.  

"Aku nak cari ubi kentang sekejap.  Rasanya stok ubi kentang dah habis."

Hanna berlalu meninggalkan Shakira di bahagian yang menjual buah-buahan.  Troli ditolak perlahan dan mata Shakira melilau melihat bermacam-macam jenis buah-buahan yang disusun di tempat khas.  Di kala itu juga, pandangannya jatuh kepada deretan anggur hijau. Mael amat suka buah itu. Ketika sedang asyik mengelamun, troli barang yang ditolak merempuh kaki seorang lelaki berbaju kelabu.

"Maaf!  Saya tak sengaja," tutur Shakira kesal.

Lelaki itu menjelingnya tajam sambil berlalu tanpa mengucap sebarang kata.  Pelik betul manusia di zaman sekarang. Ucapan maaf pun langsung tidak dipandang.  Shakira berpatah semula ke lokasi pertemuan terakhir antara dia dan Hanna tadi. Terkocoh-kocoh Hanna datang menghampirinya dengan wajah masam.

"Kau pergi mana?  Aku call bukannya nak jawab."  

"Kau ada call aku ke?"  Telunjuk Shakira dihala ke batang hidungnya sendiri.

"Iyalah cik adik,  oi! Kan ramai orang ni.  Bukan senang nak cari kau yang kecil molek ni."  

Di tangan Hanna sarat dengan bungkusan berisi ubi kentang, sayur dan juga minyak masak.  Nama sahaja hendak membeli satu barang, kesudahannya bermacam-macam barang lain pula yang dibeli.  Kesemua barang itu dimasukkan ke dalam troli. Tidak semena-mena, lelaki yang dilanggar oleh Shakira tadi beratur di hadapan mereka untuk membuat pembayaran.

Shakira cuba mencuri pandang akan barangan yang dibeli oleh lelaki yang sangat misteri itu.  Beberapa alat pertukangan dan juga tali serta pelekat kelihatan ada di dalam bakul kepunyaan lelaki berkenaan.  Sebelum lelaki itu beredar, sempat mereka beradu pandang buat seketika. Jantung Shakira berdetak kuat saat bibir lelaki itu terherot sinis ke arahnya.

Selesai membuat pembayaran, mereka menolak troli barangan tersebut hingga ke tempat parkir.  Sekali lagi mereka terserempak dengan lelaki berbaju warna kelabu tadi. Shakira tidak pasti sama ada Hanna turut perasan atau tidak dengan kehadiran lelaki misteri itu.  Mereka bergerak pulang setelah selesai menyumbat barangan yang dibeli ke dalam but kereta.

"Aku rasa macam ada orang ikut kitalah," ujar Shakira seraya melihat cermin pandang belakang berkali-kali.  

Hanna yang semakin memberat kelopak matanya kerana kekenyangan menoleh sekilas ke belakang.  Seorang lelaki yang wajahnya terlindung oleh topi keledar menunggang motorsikal agak rapat dengan kenderaan mereka.

"Hmmm… kebetulan aje kut.   Tak payah fikir bukan-bukanlah.  Siang hari macam ni takkanlah ada yang berani nak buat kerja jahat juga."  Hanna cuba menyedapkan hati Shakira.

"Zaman sekarang ni tak kira siang atau malam.  Kalau ada niat jahat tu bila-bila masa pun boleh buat."  

Shakira berat hati untuk mengiyakan kata-kata Hanna.  Selepas kematian Mael, dia trauma untuk berseorangan di rumah mahupun berada di tempat-tempat yang sunyi.  Dia seboleh-bolehnya mengelak dari duduk bersendirian dan menyibukkan diri dengan kerja dan bercampur dalam kelompok keluarga serta kawan-kawan.

"Haa, kan aku dah cakap.  Dia cuma lalu jalan yang sama.  Mudah sangat buruk sangka dengan orang."

Penunggang motorsikal yang disangka mengekori mereka membelok ke kiri apabila tiba di simpang berdekatan taman perumahan yang mereka diami.

Shakira bertindak mendiamkan diri.  Anak matanya mengekori pergerakan penunggang motor berkenaan dengan hati sebal.  Dia tak ada mood untuk bertekak dengan Hanna. Hati kecilnya berbisik hal yang negatif.  Renungan tajam lelaki itu tidak dapat dia lupakan. Renungan itu sarat dengan rasa marah dan benci.  

Mereka membuat hal masing-masing di dalam bilik setelah selesai mengemas barangan yang dibeli di dapur.  Tatkala malam menjelang, barulah mereka keluar untuk memasak hidangan ringkas buat mengisi perut.

"Kita nak masak apa ni, Sha?"

"Apa-apa ajelah, aku tak kisah.  Asalkan sedap."  

"Hmmm… udang masak sambal pun sedap juga ni."  Hanna mengomel sendiri.

Bekas udang dikeluarkan dari peti beku.  Tidak lupa juga cili kisar. Shakira pula sibuk dengan tugasnya sendiri.  Dia membuka penutup tong beras untuk menanak nasi. Pergerakannya kaku secara tiba-tiba dan perlahan-lahan dia menoleh ke arah Hanna.

"Hanna…"

"Apa?"  Hanna bertanya tanpa berpaling.

"Tengok ni…"

Tubuh Hanna berpusing menghadap Shakira yang kelihatan sedih.  Pandangan Shakira dibawa kepada tong beras di tangannya. Hanna nyata terkejut.  Rasa lucu dan sedih bercampur menjadi satu.

"Astaghfirullahaladzim…"

Terkekeh-kekeh mereka berdua ketawa.  Kealpaan mereka merencatkan keseluruhan proses memasak. Macam manalah mereka boleh lupa untuk membeli beras.  Di dasar tong hanya terdapat beberapa butir beras. Masakan cukup untuk dimakan.

"So, kita nak makan apa ni?"

"Delivery?"

Shakira bersetuju tanpa banyak soal.  Pantas telefon pintar dicapai dan mendail nombor restoran makanan segera.  Seterusnya mereka berehat di ruang tamu menanti pesanan tiba. Deruman enjin motor di perkarangan rumah menandakan pesanan mereka sudah tiba.  Shakira menekan punat alat kawalan jauh dan serta-merta pintu pagar otomatiknya terbuka.

Pemuda berjaket hitam turun dari motorsikal dan membawa satu kotak pizza.  Agak menghairankan Shakira kerana penghantar pesanan itu tidak memakai jaket berlogo restoran berkenaan dan topi keledarnya juga belum dibuka.

"Pizza?"  Suara garau penghantar pizza itu menyapa gegendang telinganya.  Wajahnya masih tunduk seperti tadi.

"Ya, ka... kami ada order pizza."

Lelaki itu mengangkat wajahnya menyerlahkan sepasang mata yang menghantui diri Shakira sejak tadi.  Mendadak Shakira cuba untuk menutup pintu dan ternyata gagal melawan tenaga lelaki berkenaan.

Jeritan kuat Shakira menghadirkan panik pada Hanna.  Dia lari ke bilik lalu menutup pintu setelah melihat Shakira diheret masuk ke dalam rumah tanpa belas.  Tubuh Shakira dicampakkan di atas sofa. Mulut Shakira segera ditampal dengan pelekat agar tidak membuat bising.  Tidak cukup dengan itu, tangannya pula diikat dengan seutas tali yang diambil dari kotak piza berkenaan.

Air mata Shakira merembes ke pipi.  Sepasang mata itu tunak merenung Shakira.  Sesekali dia melirik ke arah pintu bilik Hanna.  Setelah urusannya dengan Shakira selesai, dia menapak ke pintu bilik Hanna, sasaran utamanya.  Tombol pintu itu dipulas-pulas sehingga bingit.

"Hello!"

"Hanna!  Kenapa call?  Bukan saya dah cakap tunggu isyarat dari saya dulu?"  Suara Johan kedengaran tegang.

"Tolong kami, Johan.  Ada penjahat masuk rumah ni.  Dia dah tangkap Sha!" Terketar-ketar suara Hanna menerangkan.

"Hah!  Kenapa tak call polis?"

Goncangan di pintu semakin kuat.  Tidak lama kemudian terdengar hentakan kuat di pintu.  Hanna menyembunyikan diri di dalam almari. Peluh berjuntaian di dahi.  Hendak bernafas pun terasa takut. Perbualan mereka tamat begitu sahaja.  Bagai hendak gila Johan menahan rasa.

Bam!

Pintu bilik Hanna terkopak dan pecah. Penjahat tadi berjaya memasuki bilik Hanna dengan sekali lagi hentaman yang kuat.  Dia mengitari bilik yang tidak berpenghuni itu. Seretan kasut di lantai jubin menambahkan debar di dada. Pintu almari dibuka satu per satu.  Tapak kaki manusia itu terhenti di depan almari tempat Hanna bersembunyi.

Hanna cuba mencapai apa saja yang ada sebagai alat mempertahankan diri.  Malangnya, tiada apa yang sesuai untuk dijadikan sebagai senjata. Hanna bersembunyi di sebalik helaian baju yang tersangkut rapi.  Dia duduk mencangkung saat pintu almari dikuak. Satu per satu baju yang tersangkut ditarik ke sisi. Gerakan itu perlahan, tetapi menjengkelkan.  Seolah-olah si pelaku sengaja memancing ketakutannya. Hanna menghela nafas perlahan-lahan dan dilepaskan serentak dengan jeritan lawan.

Tubuh penjahat itu dirempuh kuat.  Lelaki itu jatuh menyembah bumi. Sedang Hanna cuba melarikan diri, kakinya ditangkap oleh penjahat dan Hanna tersembam ke lantai.  Kepalanya kuat menghentak jubin sehingga dia tidak sedarkan diri.

Johan tidak senang duduk.  Gambar-gambar Hanna dan Shakira yang diterima melalui telefon pintar Hanna amat merunsingkan hatinya.  Lebih-lebih lagi bila melihat dahi Hanna yang tercedera. Seketika kemudian, nama Hanna muncul di skrin telefon.

"Kau siapa?  Kenapa kau buat dia orang macam tu?"  Johan tidak dapat menahan kemarahannya lagi.

"Aku adalah malaikat maut kau.  Aku akan tamatkan permainan kita segera."  Mus berkata angkuh.  

"Celaka!  Jangan kau berani apa-apakan dia orang!"

"Kalau tidak?"  Mus bermain kata.

"Aku akan bunuh kaulah, bodoh!"

"Ha! Ha! Ha!  Kau tahu tak, Johan?  Pisau yang sama aku guna untuk bunuh Mael sedang bermain-main di muka tunang kesayangan kau." 

Shakira memejam mata.  Tangisan semakin lebat saat nama Mael disebut-sebut oleh si pembunuhnya.

"Kau jangan usik dia!"

"Dia memang cantik.  Mata dia, hidung dia… bibir dia.  Terlalu sempurna."

Johan menahan rasa bila Mus sengaja bermain dengan emosinya.

"Tapi, tak akan ada siapa yang sanggup terima tunang yang cacat… bukan?"

Semerta Hanna tersedar.  Anak matanya pegun ke mata pisau yang berkilat dihadapannya.  Hanna cuba menjauhkan mukanya dari belaian mata pisau yang tajam itu.  Sedangkan Mael pun dibunuh. Inikan pula mereka gadis-gadis yang lemah.

"Kau cakap apa yang kau nak sekarang!  Kau cakap!"

"Aku sendiri pun tak tahu apa yang aku mahukan selepas tengok gadis-gadis cantik ni.  Patutkan aku bunuh mereka? Atau… dijual ke pusat-pusat pelacuran antarabangsa?"

Gadis-gadis itu meronta-ronta tanda bantahan.  Semakin galak ketawa Mus bergema. Suka dia melihat wajah-wajah ketakutan di hadapannya.

"Lelaki jahanam!  Kau jangan usik mereka!  Kalau tidak…"

"Kalau tidak apa?  Apa kau mampu buat untuk selamatkan mereka?  Kau duduk ajelah kat sana diam-diam. Biarkan aku berseronok dengan mereka ni dulu."

Talian ditamatkan serta-merta.   Johan buntu dan keliru. Dia ingin sekali pergi menyelamatkan Hanna dan Shakira, tapi dia tidak mampu.  Johan mengutuk diri sendiri yang terperangkap hasil dari kesilapan yang dia lakukan.

'Allah!  Hanna… Shakira.  Apa aku patut buat ni?'

Jarinya menekan-nekan 10 angka di skrin telefon.  Beberapa saat kemudian, suara Rafi kedengaran di hujung talian.  Tanpa sempat memberi salam, Johan menyergah Rafi hingga pemuda itu terkejut.

"Johan?"

"Ya, akulah ni!"

"Tapi bagaimana…."

"Itu tidak penting.  Aku ada hal yang lagi penting dari itu.  Hanna, Rafi… rumah Hanna dan Shakira telah dicerobohi!"

"Johan, bertenang dulu.  Aku tak faham apa yang kau cuba terangkan."  

Sudahlah terkejut kerana disergah oleh nombor yang tidak dikenali, Johan pula merapu perkara yang bukan-bukan.  Sudah hilang akal agaknya si Johan kerana berani ingkar pada arahan.

"Aku tak boleh bertenang lagi dah!  Si jahanam tu ada kat rumah Hanna sekarang ni!"

Berkerut-kerut dahi Rafi memproses maklumat yang baru didengarinya.

"Rafi!  Kau dengar tak ni?  Nyawa Hanna dengan Shakira dalam bahaya!"

"Kau tak payah nak fikir panjang lagi, kau tolong pergi rumah mereka sekarang ni.  Kau bawak kawan-kawan kau sekali. Tolonglah!"

"Ba… baik!"

Tanpa membuang masa Rafi menerangkan secara ringkas kepada Tajudin.  Mereka bertindak mengikut arahan yang diberikan. Puas Rafi nombor telefon Shakira didail namun tidak dijawab.

'Angkatlah, Sha.'

Hati kecil Rafi menjerit.  Dia tidak putus-putus berdoa agar mereka berdua selamat.  Cintanya kepada Shakira baru saja berputik. Shakira satu-satunya gadis yang berjaya menambat hatinya yang sudah lama beku.

Tiba di rumah kembar setingkat itu, pasukan polis terus menjalankan kerjanya.  Senjata utuh di tangan. Dalam gerak-geri yang lincah, bebola mata bergerak mengawasi keadaan. Sebuah motorsikal terparkir di luar pagar.  Manakala, kereta Shakira tiada di ruang parkir rumah mereka. Rafi menjenguk ke dalam rumah melalui jendela yang dialas langsir tipis. Ruang tamu itu kosong tanpa sesiapa.  

Seorang anggota polis lagi bergerak ke bahagian dapur.  Tiada sebarang pergerakan juga dikesan di situ. Dalam kiraan tiga, pintu utama rumah gadis-gadis itu ditendang kasar.  Dentuman pintu menghempas dinding. Rafi, Tajudin dan beberapa anggota polis yang lain masuk ke dalam rumah untuk memeriksa keadaan.  

Seluruh rumah itu kosong.  Hanna, Shakira dan juga Mus sudah tiada di situ.  Rafi menghela nafas panjang dan dilepas kuat. Terasa bahunya terbeban dengan semua ini.  Segera dia menghubungi nombor telefon Shakira. Satu getaran kuat kedengaran di atas meja makan.  Mendadak Rafi mendapatkannya lalu telefon itu diperiksa.

"Tuan, lihat ni."

Tajudin melihat pada skrin telefon Shakira.  Terdapat satu rakaman video yang sengaja ditinggalkan untuk mereka.  Rakaman berdurasi seminit itu menunjukkan keadaan Hanna dan Shakira dalam keadaan terikat dan ketakutan.  Beberapa kali pisau jenis spey blade itu dilalukan ke wajah gadis-gadis tersebut.

"Nampaknya mereka telah dibawa keluar dari sini." 

Tajudin mengangguk setuju.  Pantas anak buahnya yang seorang lagi dipanggil.

"Semak CCTV dan nombor pendaftaran kereta Shakira.   Saya yakin mereka tak jauh lagi dari sini. Arahkan juga untuk buat sekatan jalan raya."

"Baik, tuan!" 

 

Tajudin menyisip senjatanya ke sarung.  Penjahat yang satu itu benar-benar menguji kesabarannya.

"Awak cakap tadi, si Johan yang call awak?"  Tajudin meminta kepastian.

"Ya, tuan.  Saya pun tak tahu selama ni mereka saling berhubungan."  Jujur Rafi menyatakan kebenarannya.

"Saya dah agak benda ni akan berlaku.  Johan bukan jenis mendengar kata."

"Saya rasa, Johan dah boleh balik semula ke sini, tuan."

Lama Tajudin berjeda sebelum bersetuju dengan rancangan Johan. 

°•°•°•°














  

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh