Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
12/2/2015 18:50:30
6,434
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 8

MORGAN sedang sibuk mengemas peralatan-peralatan pentingnya. Termasuklah buku-buku catatan dan buku rujukan yang sudah dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Siap dilabelkan dengan ‘BUKU’ di tepinya.

“Banyaknya buku kau bawa Morgan!” tegur Afzan macam tak percaya.

Anak matanya tak henti-henti memandang kotak yang diangkat Morgan ke dalam MPV. Satu demi satu diangkat masuk ke dalam kenderaan itu. Ada lima kesemuanya.

“Kau rasa sempat ke nak bukak buku tu semua? Banyak kerja yang kita kena buat nanti. Semuanya bahan kajian baru, kita akan leka. Entah-entah kau sendiri pun lupa kewujudan buku-buku ni,” sambung Afzan mengingatkan.

Ikmal pula sudah siap sedia duduk di bahagian hadapan sambil membelek-belek laci, radio dan pemain CD di dalam kenderaan MPV yang mereka sewa itu. Dia nak pastikan pemain CD itu boleh digunakan atau tidak.

“Buku-buku ni pun penting jugak. Manalah tahu perlukan rujukan,” terang Morgan, termengah sedikit. Penat mengangkat kotak-kotak tu sendirian.

“Apa susahnya, line internet kan ada? Kenapa nak bebankan diri dengan cara kuno ni?” pintas Ikmal, mendengus ego. Yakin betul dia dengan teknologi moden ni.

“Helo, kalau betul ada line internet, kalau tak, apa macam? Kau nak korek mana semua maklumat yang kau perlukan tu nanti?” ucap Morgan, mempertahankan tindakannya.

“Takkanlah kau sanggup masuk hutan dengan memikul buku yang berkilo-kilo beratnya tu? Tak praktikal langsung,” balas Afzan lagi tak puas hati.

Membara betul perasaannya dengan perangai mamat sorang ni. Degil betul! Getus hatinya.

“Alah, tak apalah. Aku yang pikul bukannya kau.”

Morgan masih mempertahankan kedegilannya. Sama-sama keras hati dan kepala batu. Masing-masing tak nak mengalah. Walaupun yang ditekakkan itu sesuatu yang tak masuk akal!

“Eh, mana Zaf?” tanya Ikmal, tiba-tiba mencelah sambil anak matanya liar mencari kelibat Zafrizan.

Malas nak layan sikap Morgan yang kadangkala melampau dan tak masuk akal itu. Asyik nak ikut cakap dia saja.

“Tu, dekat tepi MPV, sedang memeriksa tayar kot. Katanya semalam, tayar belakang sebelah kiri tu kurang angin,” jelas Afzan.

Dia mengecilkan matanya meninjau Zafrizan dari tempat duduknya.

“Morgan, dah ke? Banyak lagi ke kotak-kotak yang nak diangkat? Barang apa lagi tu?” tanya Ikmal, rimas dengan gelagat Morgan yang tak sudah-sudah mengangkat kotak.

“Ada lagi dua kotak. Kalau nak cepat, marilah tolong aku. Merungut aje lebih, tolongnya tak,” perli Morgan sambil mengerling ke arah Ikmal yang sedang tersengih macam kerang busuk itu.

“Alah, biasalah barang alatan penyelidikan. Macam bebuli kaca dan tabung uji. Kita kena pakai banyak benda tu nanti kat sana. Senang nak simpan bahan-bahan sampel kajian nanti,” terang Morgan sambil meletakkan kotak yang terakhir ke dalam MPV dengan penuh hati-hati.

Zafrizan baru saja selesai memeriksa tayar dan terus melabuhkan punggungnya di tempat duduk belakang MPV. Walaupun kadang-kadang tindakan Morgan itu leceh dan remeh namun kawan-kawannya tetap respek dengan sikap Morgan yang teliti itu. Kadang-kadang perangai cerewet ni, ada bagusnya juga.

“Kau nak tahu tak? Hutan Simpan Nilam Setia yang kita nak pergi ni memang tidak ramai yang pernah terokai. Usianya sudah menjangkau beribu-ribu tahun. Cuba kau bayangkan dalam usianya yang sudah lanjut sampai menjangkau beribu-ribu tahun itu, apa jenis tumbuh-tumbuhan agaknya yang wujud di situ? Agaknya, entah berapa jenis spesies tumbuhan yang kita tidak pernah jumpa sedang menunggu di sana,” ujar Morgan penuh keterujaan.

“Wah, agaknya tumbuhan jenis makan daging pun ada tak?” duga Zafrizan mengusik rakan-rakannya.

Senyuman nakal terukir di wajah tampannya. Dia memang sengaja nak mendajalkan kawan-kawannya dengan soalan ‘dungu’ begitu.

“Apa, kau ingat ni zaman dinasor ke? Nak ada tumbuhan karnivor macam tu,” celah Ikmal.

Morgan dan Afzan hanya mencemik.

“Err... tak apa. Kalau kita terserempak dengan tumbuhan karnivor macam tu. Kita ‘offer’ Zaf untuk kendurikan, habis cerita,” sambung Ikmal lagi sambil membayangkan Zafrizan sedang panik meminta tolong daripada mereka bertiga.

“Amboi korang, imaginasi terlampau! Eh, kau jangan. Nanti sedih Amani tu,” ujar Zafrizan membela diri.

“Tak apa, Amani sedih sekejap aje. Bila dia dah lupakan kau, biarlah aku pulak masuk jarum gantikan tempat kau jadi kekasih setia sehingga mati,” usik Ikmal.

“Amboi, amboi, tak sayang mulut punya orang. Ada hati nak kebas tunang orang. Eh, kau dah ada niat ke?” usik Zafrizan lagi.

Hati Zafrizan mula memercik bunga-bunga api tak puas hati. Namun tidak ditunjukkan. Ikmal pula tersengih-sengih.

Buat apa aku cakap macam tu? Tentu kecil hati Zaf, desis hatinya.

Ikmal sengaja menggaru-garu tepi kepalanya yang tidak gatal. Dia tahu dia salah namun keegoannya menghalang dirinya dari meminta maaf.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.