Home Novel Komedi/Romantik Komedi Praktikal
Praktikal
5/1/2021 23:24:21
242
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
BAB 1

Nama aku Aleeya. Umur aku 23 tahun. Hari ini merupakan hari pertama aku menjalani latihan praktikal di sebuah firma audit yang terletak di Subang Jaya. Tudung bawal hitam yang disarung dipastikan labuh hingga menutup dada. Usai bersiap, aku menilik semula penampilan aku dihadapan cermin sebelum melangkah keluar dari bilik. 


Aku melangkah masuk ke dapur sebelum terlihat sebuah bungkusan berisi mangkuk bekal dan botol air terletak elok diatas meja makan yang kosong. Aku menarik nota yang dilekatkan di atas bungkusan plastik itu sebelum membaca tulisan diatasnya. 


Jangan lupa bawa bekal. Kakak dah siapkan. Good luck for your first day! - Abang and kakak.


Aku tersenyum membaca nota yang ditinggalkan. Bungkusan makanan diambil sebelum dimasukkan ke dalam beg sandang. Botol air ku capai sebelum berlalu keluar semula dari dapur. Tong berisi makanan kucing diambil sebelum dibawa keluar bersama. Beberapa ekor kucing sudah sedia menanti dihadapan pintu pagar rumah. 


Belum sempat menyarungkan kasut, aku segera menuangkan makanan ke dalam bekas yang terletak di luar. Kucing-kucing mulai berebut untuk mendapatkan makanan. Aku susun kedudukan kucing-kucing ini agar semua mendapat makanan. Usai itu, aku mencapai kasut yang terletak di rak dan disarungkan. Kunci kereta aku keluarkan dari poket sebelum berlalu masuk ke dalam kereta. 


Enjin kereta aku hidupkan sebelum menyambungkan kabel pengecas telefon bimbit kepada kereta. Radio aku hidupkan sebelum mengangkat pandangan ke arah salah sebuah rumah sederet dengan ku. Kelihatan seorang budak perempuan yang mungkin sebaya dengan aku sedang tunduk mencium tangan seorang ibu yang aku kira ibunya. Usai bersalam, dia mencium kedua-dua belah pipi wanita itu sebelum berlalu masuk ke dalam keretanya. 

Sungguh wujud rasa iri hati dengan situasi yang aku lihat tadi. Situasi yang tak akan pernah terjadi pada aku sampai bila-bila. Wanita tadi mengangkat tangan melambai anaknya yang berlalu pergi sebelum melangkah masuk ke dalam rumahnya. Beberapa saat kemudian, aku menekan pedal minyak sebelum perlahan kenderaan meluncur diatas jalan raya. 


Sepanjang perjalanan jantung aku berdegup laju kerana berasa terlalu gementar dengan apa yang sedang menanti disana. Aku membayangkan tugasan-tugasan yang akan diberikan kepada aku nanti. Susah atau senang? Adakah aku akan membuat kerja audit sepenuhnya atau kerja-kerja biasa seperti fotokopi dokumen? Kepala aku penuh dengan persoalan-persoalan yang aku cipta sendiri dan aku tahu soalan-soalan ini tidak mempunyai jawapannya. 


Aku menarik nafas aku dalam-dalam dan menghembusnya keluar untuk menghilangkan rasa gementar. Aku meyakinkan diri sendiri yang aku pasti dapat mengharungi cabaran diberikan. Usai memarkirkan kenderaan, aku merenung pintu pejabat. Masih lagi berkunci. Jam di tangan aku pandang sekilas. Sudah menunjukkan pukul 8 pagi. 


“Waktu kerja start 8.30. Pukul 8 office tak buka lagi.” rungut aku. Aku sudah begitu bersemangat untuk memulakan hari pertama aku. Semakin lama aku menunggu, semakin luntur semangat aku. Aku membetulkan duduk aku. Aku perhatikan langkah seorang gadis yang aku agak sebaya dengan aku menuju ke pintu pejabat. Dia mengeluarkan kunci pejabat sebelum dibuka mangganya dan melangkah masuk. 


Aku segera mengemaskan barang-barang aku dan dimasukkan ke dalam beg sandang sebelum berlalu keluar dari kenderaan. Aku pastikan kereta sudah berkunci sebelum melangkah ke arah pejabat. Loceng aku tekan sebelum gadis tadi melangkah keluar. 


“Ya?” soalnya ingin tahu. Aku tersenyum. 


“Intern.” jawab ku tenang. Aku mengerutkan dahi apabila melihat reaksi wajah gadis itu seakan terkejut. Dia segera membukakan pintu untuk membenarkan aku masuk. Aku melangkah naik sebelum menanggalkan kasut dan berlalu masuk ke dalam ruang pejabat. 


Ruang kerja dibahagikan kepada dua. Di hadapanku ini, ada empat kubikel kerja yang diletakkan di ruang itu bersama-sama dengan sebuah sofa kuning yang aku kira adalah tempat tetamu menunggu. Gadis tadi berlalu masuk ke dalam semula. Aku berdiri di ruang itu sambil memerhatikan sekeliling. Ada dua buah bilik di sisi kiriku. Sebuah bilik mesyuarat dan sebuah lagi bilik menyimpan fail-fail. 


Gadis tadi berlalu keluar semula dari ruang yang satu lagi sambil membawa telefon bimbitnya. Dia sedang menaip sesuatu. Matanya tidak lepas memerhatikan skrin telefonnya. Aku hanya berdiri memerhatikan perbuatannya. 

“Tulis nama dekat sini.” arahnya sambil meletakkan telefonnya di atas meja yang terletak dihadapan aku ini. Buku biru itu aku buka sebelum aku mencapai pen yang disediakan dan menulis nama aku diatasnya. Dia mencapai alat pengukur suhu didahiku sebelum dicatatkan bersama di dalam buku itu. 


“Duduk dekat sini dulu sekejap. Sekejap lagi encik sampai.” tuturnya lembut. Aku mengangguk sebelum mengambil tempat di sofa kuning itu. Aku mengintai ruang dalam pejabat itu. Ada lebih kurang enam kubikel kerja yang diletakkan di dalam. Aku tersentak apabila pintu dibuka dari luar. Tiga orang gadis melangkah masuk sambil masing-masing berkerut dahi melihat kehadiran aku. Masing-masing hanya tersenyum sebelum pergi ke ruang kerja mereka. Ternyata ruang kerja mereka di luar ini. 


Gadis tadi berlalu mendapatkan mereka dan mereka bercakap secara berbisik-bisik. Aku tidak dapat mendengar butiran kata-kata mereka dan membuat keputusan untuk membiarkan sahaja. Beberapa minit kemudian, mereka datang menghampiri aku. 

“Jom, encik suruh awak duduk dalam bilik meeting dulu.” beritahu salah seorang dari mereka sebelum membawa aku masuk ke dalam bilik mesyuarat yang berhadapan dengan kubikel kerja mereka bertiga. Penghawa dingin dihidupkan sebelum pintu bilik itu ditutup. Aku ditinggalkan keseorangan. 


Aku menggaru dahi tidak tahu mahu berbuat apa. Baru sahaja aku ingin bermain dengan telefon bimbit, pintu bilik mesyuarat diketuk. Mereka datang membawa beberapa buah fail. Fail-fail itu diletakkan diatas meja mesyuarat itu. 


“Encik suruh awak tengok-tengok dulu fail ini. Kalau dah okay nanti boleh terus buat audit.” beritahu mereka seraya tersenyum mesra sebelum bersama-sama berlalu keluar. Aku hanya mengangguk sebelum terus membuka isi fail itu. 


Sumpah aku cakap aku memang tak faham isi fail ini. Aku tak pernah buat audit, jadi aku tak tahu macam mana cara kerja dan prosedur audit ini. Puas aku selak dan sampai ke sudah, aku memang tak faham. Aku tilik jam dah pukul 9.15. Aku masih lagi berada di dalam bilik mesyuarat ini sambil menilik fail-fail yang diberikan yang aku tak faham hujung pangkalnya. Aku menghembuskan nafasku kasar. 


Mata aku mulai berasa mengantuk membaca isi-isi fail yang aku tak fahami ini. Mujur aku duduk membelakangkan mereka. Aku menongkatkan kepala kepada tangan sebelum memejamkan mata dan berpura-pura sedang menyelak fail. Aku tersentak apabila pintu bilik mesyuarat dibuka dari luar. Seorang lelaki berkemeja merah jambu melangkah masuk ditemani oleh salah seorang gadis tadi.


“Awak Aleeya kan?” soalnya meminta kepastian. Aku mengangguk. Dia kemudiannya tersenyum. 


“Saya lupa awak mula intern hari ini. Tempat pun tak ada. Saya ingat awak start bulan depan.” tuturnya selamba sambil tersenyum. Mungkin bangga dengan apa yang diucapkannya. Aku pun tak tahu. Aku tergamam seketika. Tidak tahu mahu memberi reaksi apa. Ternyata reaksi wajah gadis yang berdiri disebelah lelaki itu turut berubah. Seperti orang yang sedang menahan malu. Situasi didalam bilik itu menjadi janggal. Lelaki itu berpandangan seketika dengan gadis yang berdiri disebelahnya. 


“Awak review lah dulu fail itu. Nanti saya datang balik.” tuturnya sebelum berlalu keluar semula dari bilik mesyuarat itu bersama-sama dengan gadis tadi. Aku memalingkan pandangan semula ke hadapan. 


‘Apa benda dia ini? Dia lupa aku masuk kerja hari ini? Ridiculous! Aku patut keluar aja ke dari pejabat ini dan cakap aku boleh start praktikal bulan depan ke? Patut ke tak patut aku buat macam itu?’ monolog aku sendiri. Pintu dibuka semula dari luar. 


“Jom, saya tunjukkan tempat awak.” beritahu lelaki tadi sambil membuat isyarat supaya aku mengikutnya. Beg sandang aku sangkutkan ke bahu sebelum mengambil fail-fail diatas meja dan aku kendong mengikut langkah lelaki tadi. Dia sedang berdiri di satu sudut hujung pejabat. 


“Ini tempat awak. Awak boleh letak semua barang-barang awak dekat sini.” beritahunya sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya. Aku langsung sahaja meletakkan barang-barang aku diatas meja. Di sebelah meja aku adalah seorang pekerja lelaki. Manakala dua kubikel dihadapanku mejanya dipenuhi dengan fail namun aku tidak nampak tuannya. 


“Saya lupa nak bagitahu awak. Setiap hari awak masuk office awak kena punch card tau. Nak balik pun sama.” beritahunya. Aku mengangguk faham. 


“Ini saya kenalkan. Yang itu Diana, Jihan, Nabila dengan Aishah.” dia memperkenalkan setiap pekerjanya. Masing-masing hanya mengangguk dan tersenyum. 

“Yang sebelah awak ini nama dia Encik Iskandar.” perkenalnya lagi. Dan sekali lagi aku hanya mengangguk dan tersenyum kepada pekerja lelaki itu. 


“Supervisor awak cuti hari ini. Nama dia Wani. Kita ada lagi seorang staff nama dia Mawar. Pun cuti juga hari ini.” beritahunya. Aku hanya mengangguk memberi reaksi. 


“Awak boleh sambung tengok-tengok fail itu dulu.” ujarnya sebelum berlalu masuk semula ke dalam biliknya. Aku menyambung membaca fail-fail yang diberikan. 


Jujur aku cakap aku memang mengantuk sangat sekarang ini sebab kena baca fail ini berulang-ulang kali yang aku tak faham pun isinya. Puas aku selak dan serius beb! Gua memang tak faham isi fail ini. Dia expect aku ini genius macam Albert Einstein ke? Selak-selak fail terus faham. Aku hanya mampu menahan sabar. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh