Home Novel Komedi/Romantik Komedi Cinta Dorayaki
Cinta Dorayaki
Izza Aripin
29/9/2014 21:44:25
8,320
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

Seperti ada rerama yang sedang berterbangan di dalam perut Durrah tatkala jarum jam menginjak ke pukul 2.30 petang. Dah puas dia memujuk rayu Azri supaya menggantikannya.

“Aku mana tau tugas kau. Nanti aku cakap yang bukan-bukan. Lagi bala!” Azri menjauhkan dirinya dari Durrah.

“Kau nak duduk dalam kumpulan aku ke tak?” Durrah dah mula mengugut.

“Memanglah nak. Tapi akukan penterjemah. Mana tau nak buatstoryboard macam korang.” Azri berhelah. “Yang kau tiba-tiba takut pergi mesyuarat ni kenapa?”

Ha’ah ek, kenapa?’ Durrah berfikir seketika. Takkanlah dia takut padaDevil in Disguise tu? Apa barang nak takut dengan dia? Bukannyalelaki itu boleh cam wajahDurrah lagi sebab hari tu kan muka dia dah macam pau terlebih kukus? Bukannya cun melecun macam hari ni.Durrah mula tekan butang lif naik sendiri.

“Okeylah.” Dengan berat hati, Durrah mengatur langkah menuju ke bilik mesyuarat. Tika dia tiba, semua ketua kumpulan dah ada kecualiDevil in Disguise. Dia mengambil tempat di sebelah Kokila.

“Selamat petang semua!”

Tubuh Durrah terasa kaku tatkala mendengar suara itu dari arah belakangnya. Ketua-ketua kumpulan lain ada yang bangun sebagai tanda hormat. Hanya dia dan Dr. Maria saja yang berat punggung.

Lelaki itu mengambil tempat di kepala meja yang berbentukoval. Mujurlah Durrah duduk agak jauh. Dapatlah dia menyembunyikan wajah buat seketika.

“Boleh perkenalkan diri masing-masing?”

Permintaan lelaki itu membuatkan darah Durrah semakin gemuruh. Bala semakin menghampirinya. Entah mengapa, dia rasa cuak. Padahal dia tak melakukan apa-apa kesalahan kecuali bersembunyi di bawah meja pagi tadi dan tak sengaja terlanggar lelaki itu sewaktu di klinik minggu lepas.

“Mulakan dengan you.” Lelaki itu menunjukkan jari telunjuknya kepada seorang lelaki berumur berbangsa Cina yang duduk di sebelah kirinya.

“Saya Vincent. Ketua kumpulan Fizik.” Vincent memperkenalkan dirinya.Lelaki bertubuh kurus dan sederhana tinggi itu melemparkan senyuman mesra.

Kemudian, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an pula bersuara. “Jack aaa Chemistry...Kami harap encik aa...boleh pimpin kami aaa...buat kerja yang betul. Itu Mr. Akshay aa...tak faham budaya kerja kerja kita...aa...sebab dia orang asing....”

Kembang telinga Durrah mendengar Jack Hijacker bercakap. Entah apa-apa tah. Nak mengipas saja kerjanya. Kerja sendiri pun tunggang-langgang.

“Okey... you?”Devil in Disguise nampak macam kurang berkenan dengan cara Jack bercakap.

Durrah tersenyum. Sekurang-kurangnyaSi Hijacker tu tak boleh nak kipas lelaki ini. Agaknyalah.

“Saya Fei Fei,maths danadd maths. Moga encik berikan tunjuk ajar.” Plastik sungguh senyuman Fei Fei.

Ginny dah mula julingkan mata.

“You?” Lelaki itu mengangkat kepala ke arah Kokila.

“Kokila Dewi, biologi.” Tergagap-gagap Kokila bercakap.

Durrah pun rasa yang sama juga sebab gilirannya selepas Kokila.

“Dan you?” Dahi lelaki itu nampak berkerut sedikit tatkala memandang Durrah yang dah gelabah.

Moga-moga dia tak cam aku semasa di klinik dan tak cam warna tudung aku pagi tadi, doa Durrah sepenuh hati. “Err... Durrah, BM.”

“Oh... you Durrah?” Kening lelaki itu terangkat seketika.

Alamak... Durrah terasa seperti bala datang menghampiri. Terasa bahang menyapa diri. Lekas-lekas dia menundukkan wajah menatap buku nota yang dah berconteng dengan lakaran orang lidi.

“You?”

Mujur lelaki itu mengalih perhatian kepada Dr. Maria di sebelahnya.

“Dr. Maria, English.” Nada suara Dr. Maria seperti mengjengkelkan sesuatu. “Boleh I cakap sesuatu.”

Semua perhatian tertumpu kepada Dr. Maria. Entah apa pula yang hendak dikomen oleh wanita itu. Ada saja yang tak kena pada fikirannya.

“Sekarang ni kerja tengah banyak. Kalau selalu sangat mesyuarat macam ni, bagaimana kumpulan I nak siapkan kerja mereka? Kami semua nak kenapresent hari Jumaat ni. Mana sempat.”

Dush! Kan dah kena sebiji! WajahDevil in Disguise berubah sedikit.

“Ni baru pertama kali I panggil mesyuarat. You tak boleh samakan I dengan Mr. Abraham atau Datuk. Ini tugas pertama I. Jadi I kena tahu dengan siapa I berurusan. Dan I pun tak suka nak ganggu masa orang lain. I tahu kita semua sedang kejardeadline. I bukan suka-suka nak panggil mesyuarat tanpa ada hala tujuan.”

Gedebuk! Sebiji bola rugbi halimunan terkena muka Dr. Maria. Durrah rasa seperti hendak melompat suka. Buku dah bertemu dengan ruas. Selama ini, Dr. Maria selalu saja mengadu pada Datuk mengenai orang lain yang tak secekap dia. Datuk pula lebih suka mendengar daripada sebelah pihak. Tapi nampaknyaDevil in Disguise bukan jenis orang yang makan puji. Ada harapan kumpulan lain hendak selamat daripada ancaman Dr. Maria yang sengaja suka mencari kesalahan orang lain.

Durrah menjeling ke arah Dr. Maria di sisinya. Wajah wanita berusia itu dah kelat.

“You?” Lelaki itu mengalih perhatian kepada Ginny dan Imas pula.

“Ginny. Ketua ID.”

“Imas, Ketua Editor... dan you siapa pula?” tanya Imas dengan berani.

Wah... berani sungguh Imas menyoalDevil in Disguise. Tapi Durrah rasa semua orang pun mahu tahu. Cuma segan mahu bertanya. Hatta Dr. Maria yang celopar pun nampaknya tak berani hendak bertanya identiti lelaki itu.

“You tanya I?”

Kedengaran angkuh betul cara dia menjawab. Durrah mula tak menyukai lelaki ini. Ego semacam.

“Zharif. Pengarah projek baru, menggantikan Mr. Akshay Kumar.”

Oh... Zharif nama dia. Gelaran apa nak bagi pada dia ya? Durrah mula mencongak-congak sendiri.

“You tak sepatutnya halau Mr. Akshay macam you halau anjing kurap!” Tiba-tiba Imas menyinga.

“Apa maksud you?” Zharif bersandar pada kerusinya sambil merenung tajam ke arah Imas. “Bukan I yang halau dia. Datuk yang tamatkan kontrak dia.”

“Tak kisahlah. Tapi pengurusan tak patut buat macam ni. Suka-suka hati nak buang staf tak ikut undang-undang buruh!” Kemarahan Imas semakin meluap-luap. Agaknya dah lama dia menyimpan perasaan itu.

“Eh... sabarlah. Janganlah macam ni,” pujuk Ginny sambil menepuk belakang Imas dengan lembut.

“I dah tak peduli lagi, Ginny. Semua perkara gila ni mesti dihentikan. I mahukan keadilan. Pengurusan tak patut buat kita semua macam ni. Layan kita macam keldai. Suruh kerja lebih masa tanpa beri apa-apa insentif. Konon nak bagi cuti ganti tapi tak ada apa-apa pun. Mana boleh kerja macam ni, Ginny? Kita bukan hamba abdi!” luah Imas penuh perasaan.

“Imas... tolong kawal suara you sikit. I tak mahu orang di luar bilik mesyuarat ni fikir yang bukan-bukan. Lagipun you tak boleh buat tuduhan melulu macam ni. Hari ni hari pertama I di sini. Bagi I masa untuk siasat apa yang berlaku. Tapi buat masa tu, tolonglah bertenang dan jangan cuba nak pengaruhi orang lain dengan kepercayaan you tu.”

“Apa maksud you? You fikir I yang pengaruhi semua orang supaya bencikan pengurusan?” Imas dah berdiri. “Tak payahlah I nak buang tenaga pengaruhi semua orang. Mereka semua ada mata dan hati. Boleh tengok sendiri apa yang pengurusan lakukan pada Mr. Akshay. Dia bukan gagal sebab dia tak boleh buat. Dia gagal sebab pengurusan, iaitu Datuk sendiri tak pernah beri tunjuk ajar pada dia. Jadi bila dia buat silap dan gagal penuhi kehendak Datuk, you terus hukum dia. Dan you!” Imas berpaling kepada Dr. Maria.

“Kalau tak kerana mulut you yang hasut Datuk macam-macam, semua perkara ni tak akan jadi macam ni. Kami semua masih boleh bekerja dengan tenang walaupun dalam keadaan tertekan. Kenapa mesti you buruk-burukkan Mr. Akshay depan Datuk? Adakah sebab you tak suka Mr. Akshay tegur cara kerja you yang tak macam orang ada PhD tu?”

“Eh... you jangan kurang ajar dengan I ya!” Kali ini Dr. Maria pula dah berdiri berhadapan dengan Imas.

“Siapa yang kurang ajar, Dr. Maria? You ke I? Kenapa you selalu cari masalah dengan orang lain? You adu macam-macam pada Datuk. You kata I sengaja lambat-lambatkan kerja. I ada kacau kerja you ke selama ni?” Imas dah berdiri berdepan dengan Dr. Maria.

“Hei... dahlah tu,” sampuk Ginny.

“Eh, Ginny. Kenapa you sibuk? Biarlah mereka bercakap. Encik Zharif perlu tahu apa yang berlaku.” Tiba-tiba Jack masuk campur.

“Eh... you diam! You pun sama. Suka masuk campur hal orang lain. Suka biar orang lain bergaduh!” Ginny dah mula sinsing lengan. Merah padam wajahnya memandang Jack.

“Ayoyo...kadawale!” Kokila dah menepuk-nepuk kepalanya. Cuak melihat pergaduhan itu.

Durrah pula, perlahan-lahan turun dari kerusi. Dia berniat untuk menyorok di bawah meja lagi. Dia tak perlukan itu semua. Dia mahu ketenangannya dikembalikan.

“Durrah! Jangan nak sembunyi bawah meja lagi! Tolong I tenangkan mereka!” Suara Zharif tiba-tiba meninggi.

“I? Tenangkan mereka? Itu kerja you. Siapa suruh jadi pengarah projek?” Entah kenapa Durrah rasa sakit hati kerana tembelangnya pecah. Ah! Zharif tahu dia bersembunyi di bawah meja pagi tadi. Disebabkan rasa malu dan marah, Durrah terus meluru keluar dari bilik mesyuarat yang dah gegak-gempita dengan suara orang bergaduh.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin