Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWEK AKU AMOI
AWEK AKU AMOI
20/3/2015 10:12:37
24,344
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
PROLOG

PROLOG

“Abang tak teringin ke nak kahwin dengan amoi?” Hampir tersedak Waiz mendengar pertanyaan adiknya. Wajah Wardiah di depannya dipandang sejenak.

“Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba aje tanya abang macam tu kenapa?” soal Waiz kembali meletak cawan kopinya ke meja.

“Manalah tahu kalau-kalau abang berkenan nak kahwin dengan mana-mana amoi ke. Diah suka dapat kakak ipar amoi tau.” Wardiah sudah tersengih-sengih. Menayang barisan giginya yang bersih.

“Kenapa pulak?” Waiz sudah mengerut kening. Adik aku ni dah kenapa? Tiba-tiba saja dah buang tabiat tanya perkara yang tak pernah ditanya. Entah apa-apa ajelah budak ni, getus hatinya. Lalu mata Waiz kembali mengadap komputer riba di atas meja. Tidak peduli Wardiah sudah merengus halus.

“Kenapa pulak abang tanya? Mestilah Diah suka sebab dapat kakak ipar yang putih melepak macam orang Jepun. Mata dia pun sepet aje, cantik. Lagikan…”

“Kalau setakat pasal cantik aje Diah nak abang kahwin dengan amoi, lebih baik tak payah. Orang Melayu pun ramai yang cantik, putih melepak. Zaman sekarang ni dik, dah ada macam-macam produk yang boleh putihkan kulit. Sedia duit aje,” cantas Waiz.

“Itu lain sebab bukan putih original. Lagipun abang, dapat pahala tau kalau kahwin dengan mualaf ni.”

“Pahala tu yalah dik tapi kalau salah didik, pahala boleh bertukar jadi dosa.”

“Alah, abang cakap macamlah abang tu cukup ilmu agama sampai tak boleh ajar isteri mualaf abang dengan didikan agama yang sempurna.”

“Dik, kita ni manusia biasa, bukannya maksum macam Nabi. Tak ada manusia yang boleh lari dari buat salah terutama bab-bab agama ni. Sedangkan tok imam pun boleh rogol cucu, inikan pulak kita yang imannya ala-ala telur dihujung tanduk aje ni,” suara Waiz seakan berhujah.

“Eh, kejap. Yang adik tiba-tiba nak sangat abang kahwin dengan amoi tu kenapa?” soal Waiz kemudian, baru perasan dengan keadaan tu. Wajah beria-ia Wardiah kembali menjadi habuan pandangannya.

“Ni hah, abang tengok tajuk suratkahabar ni. Ada ke patut dia orang kata lelaki Melayu tak romantik? Tak aci betul!” suara Wardiah lebih kepada merungut sambil menyua surat khabar di tangannya kepada Waiz. Lelaki itu hanya membaca seimbas pandang sebelum bibirnya menyungging senyuman.

“Alah, biasalah tu dik. Tak semestinya apa yang ditulis tu betul dan tak semuanya jugak salah. Semua tu bergantung pada pandangan dan cara seseorang itu menafsir makna romantik tu sendiri. Lain orang, lainlah pemikirannya.” Waiz hanya mengambil mudah perkara yang dirasakan remeh itu.

“Tapikan dik, apa kena mengenanya amoi dengan pasal romantik tu pulak?” Waiz kembali menyoal selepas itu, tidak faham.

“Adalah kena mengenanya. Sebab wartawan yang menulis artikel ni adalah wartawan Cina. Huh, nampak sangat orang perempuan Cina fikir lelaki Melayu ni tak romantik padahal dia orang tak tahu, orang Melayu pun pandailah bab-bab romantik ni. Bukan orang Cina atau Korea aje yang pandai tau.”

“Kalau dengar pada orang Cina cakap-cakap adik tu, tak pasal-pasal kita boleh bergaduh dengan dia orang tau sebab cakap adik tu dah berunsurkan perkauman.”

“Alah, benda dah betul. Mana boleh dia orang nak nafikan.”

“Dik, tak kiralah bangsa apa sekali pun kita ni, kalau kita jadikan agama sebagai tunggak utama kehidupan, Insya Allah salah faham macam ni takkan wujud. Jangan salahkan orang lain jika dia orang tuduh kita begitu begini padahal kita sendiri pun banyak kekurangannya. Manusia tak sempurna dik, pasti akan ada kurang dan lebihnya. Hanya kita yang kena belajar terima seadanya sesama sendiri. Lagi satu, adik kena ingat. Jodoh tu di tangan Allah Taala. Tak semestinya kita kahwin dengan Cina baru kita boleh buktikan yang kita pun boleh romantik segala bagai. Seperti yang abang katakan tadilah, semuanya terpulang pada penerimaan masing-masing terhadap orang lain, itu saja.”



“Lelaki Melayu tak romantik? Memang pun!” suara Christina terus menghempas suratkhabar di tangannya ke tengah meja setelah tajuk besar suratkhabar itu dibacanya kuat-kuat.

“Kalau aku jadi perempuan Melayu, dah lama aku cari lelaki bangsa lain. Lelaki Melayu ni jangankan romantik, pandai pun kurang, malas aje lebih.” Christina menyambung kata.

“Amboi kau, sedapnya mulut mengata lelaki Melayu. Kau sedar tak kau sedang duduk semeja dengan siapa sekarang? Kita orang ni perempuan Melayu sejati tau. Berbulu jadinya telinga aku dengar kau mengutuk gata lelaki sebangsa aku,” bebel Iman sudah menjegil mata pada Christina yang awal-awal lagi sudah tersengih lebar.

“Entah kau ni. cakap macamlah lelaki Cina tu bagus sangat. Dibuatnya satu hari nanti kau jatuh cinta dengan lelaki Melayu, baru padan dengan muka kau.” Ayra ikut sama marah.

“Aku nak jatuh cinta pada lelaki Melayu? Huh. Kirim salam!” sanggah Christina cepat.

“Kirim salam? Salam apa? Salam cinta? Sampaikanlah salam, cintaku padanya, walau…”

“Dah, dah. Tak payah kau gatal-gatal mulut nak menyanyi lagu kumpulan Alleycats tu. Lagu favourite aku tu wei.” Tak jadi Arya nak menyambung nyanyiannya bila Christina terlebih awal mencantas.

“Kau jangan cakap takbur sangat Miss Christina Jane Lau oi. Kalau dah takdir Tuhan kau jatuh cinta pada lelaki Melayu, kau jugak yang merana nanti.” Iman masih tidak puas bersyarah walau Christina tidak meminta.

“Betul-betul. Aku setuju dengan cakap Iman. Bab jodoh ni dalam tangan Tuhan, bukan dalam tangan kita. Kalau betullah kau jatuh cinta dengan lelaki Melayu nanti, kau jangan nak salahkan Tuhan pulak sebab memang itu ketentuanNya.” Ayra menyampuk sokong.

“Yalah tu kau orang. Mentang-mentanglah kau orang berdua ni original Melayu, sedap-sedap kau orang aje nak hentam aku begitu begini,” rengus Christina.

“Kita orang bukan nak hentam kau Tina tapi kau tu, berlagak sangat bila bercakap pasal lelaki Melayu. Lelaki Melayu tak ada kelaslah, lelaki Melayu tak boleh diharaplah. Macam-macamlah lagi, sampai aku dan Iman yang dengar ni pun nak muntah rasanya,” sanggah Ayra menjeling sekilas gadis itu.

“Dah memang begitu perangai lelaki Melayu, aku nak kata apa lagi,” sahut Christina dengan riak muka tetap selamba.

“Tapi tak semuanya macam tu. Kau tu aje yang suka samakan semuanya sekali.” Iman ikut sama tidak puas hati.

“Lantak kau orang lah nak kata apapun, tapi pada aku, jawapannya tetap sama. Lelaki melayu memang tak boleh dibuat suami. Muktamad!” tegas Christina.

“Kau yakin dengan cakap-cakap kau ni?” soal Ayra meminta kepastian.

“Seratus peratus,” angguk Christina tampak yakin dengan diri sendiri.

“Tak menyesal?”

“Tidak sama sekali.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh