Home Novel Komedi/Romantik Komedi I LOVE YOU ABANG SINGA
I LOVE YOU ABANG SINGA
ZAITON ABD.RAHMAN
8/10/2015 08:22:39
147,986
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
BAB 22

BAB 22

     Aku bergolek-golek atas katil. Penat dah buka dan tutup kelopak mata. Mengantuk aku sudah terbang entah ke mana. Sepanjang petang di pejabat, fikiran aku asyik teringatkan Tuan Emir. Entah macam mana keadaan dia sekarang ni ek? Telefon bimbit aku capai. Nombor Tuan Emir aku cari. Tak sampai beberapa saat kedengaran suara orang memberi salam. Aku jawab salamnya dengan suara yang tergagap-gagap.

     Huii… Macam tak percaya aje aku. Tuan Emir beri salam dahulu kepada aku. Biasanya kalau aku yang menelefon dia, mesti aku yang memulakan salam terlebih dahulu. Jangan harap dia nak mulakan dulu. Sudah ada perubahan sikap nampaknya. Baguslah tu.

     “Baru sekarang awak nak telefon saya Aleesya!” Aik… Aku baru saja puji dia, dia dah buat balik perangai cengil dia tu. Tarik baliklah pujian aku tadi.

     “Kalau bos nak marah saya, saya letak baliklah telefon ni. Good night bos!”

     “Hei, nanti…” Hah, tau pun dia takut aku tamatkan panggilan aku. Sengaja sebenarnya aku cakap macam tu. Masak sangat dengan perangai dia. Nak bergurau dengan aku konon, tapi ayat yang digunakan tak sesuai langsung.

     “Aleesya Syaurah...” Lembut aje dia menyebut nama aku. Pelik betullah sikap Tuan Emir malam ni. Tiba-tiba saja menyebut nama penuh aku. Dahlah waktu tengah malam ni, tangkap syahdu aku bila dengar suara Tuan Emir yang romantik tu. Ishh… Kawal diri sikit ya Aleesya.

     “Err… Bos… Bos dah sihat ke?” Tersekat-sekat suara aku bertanya. Takut juga kalau Tuan Emir terasa.

     “Bila masa saya sakit ni Aleesya?”

     “Yang siang tadi tu apa?” Bos aku ni… Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Main tarik tali pulak tengah-tengah malam ni.

     “Tak ada apa-apalah Aleesya. Saya okey saja.” Masih tak mahu mengaku ya. Entah apa tah yang hendak dia sembunyikan daripada aku.

     “Okey bos kata? Bos…”

     “Aleesya, please…. Jangan sebut pasal kisah siang tadi boleh tak? Saya tak suka. Awak dengar suara saya ni macam suara orang sakit ke?”

     Aku lagi tak suka… Belum habis ayat aku, dia dah potong cakap aku. Ngee…

     “Aleesya, dengar sini. Saya harap awak tidak akan menyebut atau mengungkit pasal kejadian siang tadi ya. Anggap sahaja yang awak tidak pernah menyaksikannya. Suatu hari nanti awak akan tahu juga kenapa saya jadi macam tu.”

     “Kalau awak ada kisah sedih, saya pun ada juga. Hidup ini tidak selalu membahagiakan Aleesya. Ada ketikanya hati kita kecewa dan merana kerana diuji. Awakkan pernah mengalaminya dulu. Saya juga punya cerita sedih. Cuma kisahnya sahaja yang berbeza. Tak perlu awak tahu. Rahsia saya, milik saya.”

     Tak faham aku dengan kata-kata Tuan Emir ni. Ada kena mengena ke sakitnya dengan kisah sedihnya yang lalu? Musykil aku. Rahsia dia, milik dia. Itu dia pernah cakap dengan aku semasa di tepi pantai dahulu. So, jangan banyak tanya ya Aleesya. Jangan menyibukkan hal orang lain.

     “Bos, kadang-kadang Allah biarkan hati kita hancur berkali-kali sampai kita rasa tak ada harapan lagi untuk meneruskan hidup di dunia ini. Anggap sahaja itu sebagai tanda Allah cintakan kita. Jangan pernah berputus harap bos. Allah sentiasa ada untuk kita sandarkan harapan kepada-NYA.” Pandai pulak aku nasihatkan Tuan Emir. Dulu masa diuji, hampir setengah mati aku jadinya. Nasib baik tak kena tekanan jiwa. Alhamdulillah, aku cepat sedar diri. Allah uji aku sebab DIA sayangkan aku.

     “Saya minta maaf ya bos, kalau bos terasa dengan kata-kata saya. Insya-Allah, saya tak akan bertanya lagi pasal hal tu.”

     “Saya yang sepatutnya minta maaf dengan awak Aleesya. Banyak kali saya mengguris perasaan awak. Saya bukan orang yang baik, tetapi saya sedang berusaha untuk menjadi orang yang baik. Doakan saya ya.” Sedihlah pulak bila dengar Tuan Emir cakap macam tu. Walaupun aku selalu terasa dengan sikapnya yang menjengkilkan itu, tapi ada masa-masa yang tertentu dia akan menjadi orang yang bertimbang rasa juga.

     “Bos, saya pun bukan orang yang baik juga. Sama-samalah kita saling mendoakan antara satu sama lain. Berehat ya bos. Selamat malam.”

     “Aleesya, terima kasih sebab ambil berat pasal saya dan terima sayang sebab tolong picitkan kepala saya siang tadi.” Burr… Darah merah hangat menyerbu muka aku. Malu aku bila mengingatkan kejadian siang tadi.

     “Hah… Terima sayang? Bos salah sebut tu.” Aku dah rasa lain macam. Mamai agaknya bos aku ni.

     “Eh, kasih dan sayang tu tak sama ke maksudnya Aleesya?” Ha ha ha... Gelak pulak bos aku ni. Sengal…

     “Entah...” jawapan orang yang sudah tebal muka. Tak tahu nak jawap apa sebenarnya.

     “Esok saya cuti. Doktor suruh berehat. Awak jangan rindu dengan saya tau kalau saya tak ada nanti.” Seronok pulak mengusik Aleesya. Mesti merah muka dia sebab malu. Terbayang-bayang wajah Aleesya yang tersipu-sipu bila dia segan dengan aku.

     “Tak ada maknanya saya nak rindu dengan bos. Aman sikit hidup saya sebab tak ada orang yang nak marah-marah dengan saya esok.” Seronoknya aku…

     “Uiks… Melampau tu… Sampai hati awak cakap macam tu Aleesya.” Terdengar suara Tuan Emir gelak di hujung sana. Hemm... Dia tak marah dengan kata-kata aku. Sudah boleh dibawa bergurau bos aku ni. Ini sudah bagus.

     “Malam esok jangan pulak awak tak datang kenduri di rumah saya Aleesya.” Dia mengingatkan aku tentang kenduri kesyukuran malam esok.

     “Ishh… Kalau pasal makan freetak kan saya lupa bos. Insya-Allah saya akan datang dengan staf yang lain.”

     “Datang jangan tak datang,” ayat memaksa orang.

     “Kalau saya tak datang, bos nak buat apa?” Sengaja usik dia dan nak tahu jawapannya.

     “Kalau awak tak datang malam esok, saya tukarkan awak 24 jam pindah ke cawangan di Sarawak. Awak hendak ke saya buat macam tu?” Tiba-tiba bertukar garang pulak suara dia. Aku lagi suka kalau kena tukar. Boleh berjauhan daripada dia dan tak perlu makan hati sebab kena bambu selalu. Tapi… Tak naklah aku berjauhan dengan dia... Erkk...

     “Aleesya...” Ishh… Diam aje orang di sebelah sana. Tahu pun awak takut ya Aleesya kalau kena tukar tempat kerja. He he he… Kena acah sikit pun dah takut. Sanggup ke aku kehilangan setiausaha yang cekap dan rajin seperti Aleesya? Sendiri mahu ingatlah kan…

     “Aleesya Syaurah…” Sekali lagi aku sebut nama dia. Sedap pulak bila sebut nama penuh dia. Rasa macam tenang sangat jiwa aku bila menyebut nama itu.

     “Ya, bos…” lembut dan perlahan dia bersuara. Rasa macam mengocak kolam hati aku yang paling dalam. Sejuk, nyaman dan mendamaikan.

     “Datang ya, jangan tak datang. Saya tunggu awak malam esok…” Berharap sungguh aku. Pasti aku akan rasa hampa kalau dia tidak ada esok. Orang lain tak datang tak apa, tapi jangan dia. Kecewa aku nanti…

     Hati aku sudah kembang macam belon. Rasa macam hendak meletup dah ni bila dengar Tuan Emir kata yang dia akan tunggu kedatangan aku malam esok. Berharap sangatkan dia tu. Ecehceh… Perasan sungguh aku ni. Agaknya dia tak kisah kalau aku tak datang sekali pun. Siapalah aku ni kan…

     “Aleesya…” Hadoii… Sudah macam berbisik pulak suara bos aku ni. Bikin bulu roma aku meremang tiba-tiba. Tolonglah bos… Sudah hampir dinihari ni, seram aku…

     “Okey bos. Saya datang malam esok. Assalamualaikum bos, selamat malam.” Cepat-cepat aku matikan telefon. Selagi aku tidak memberikan jawapan yang pasti, selagi itulah dia akan terus memaksa aku. Baik aku setuju sahaja. Tak pasal-pasal nanti dia melalut yang bukan-bukan pulak. Udahlah malam semakin larut ni. Penat aku layan kerenah dia weii…

     “Bertuah punya setiausaha. Cepat sangat dia matikan telefon. Tak puas aku nak menyembang dan mendengar suara dia.” Punyalah lama menyembang dengan Aleesya sejak tadi, boleh pulak dikatanya cepat sangat dia matikan telefon ya Emir.

     Kelopak mata aku rapatkan. Membayangkan picitan dan urutan Aleesya siang tadi. Kalau boleh diputarkan masa, aku mahu kembali ke waktu itu. Dibelai oleh tangan lembut Aleesya. Belailah sangat ya Emir. Picit, urut dan belai tu sama maksud ke?

     Malam itu dia bermimpi indah. Belaian Aleesya bersambung dalam tidurnya. Asyik sekali…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh ZAITON ABD.RAHMAN