1,609
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Lima

Miss Marshmallow VSMr. Ego

Bab Lima

FAHEEM merapati Dija yang begitu asyik bertugas. Langkahnya dimatikan sebaik sahaja hampir dengan gadis berkulit gelap itu. Dija tidak menyedari kehadiran anak muda bongkak sombong anak bosnya itu. Gadis desa itu tetap dengan rutin tugasnya dengan begitu asyik.

Bila agak lama Dija tidak menyedari kehadirannya, Faheem berdehem beberapa kali. Dija tersentak dan terus menoleh ke arah suara Faheem. Sebaik sahaja mata Dija menyentuh pandang ke arah susuk tubuh Faheem, dia segera melangkah. Dia tidak ingin melihat atau mendengar apa-apa saja suara sindiran ataupuan penghinaan jejaka itu.

Dengan penyapunya di tangan, Dija melangkah pantas.

“Tunggu!” suara Faheem menghentikan langkah Dija.

Melihatkan Dija berhenti melangkah, Faheem merapati gadis yang dirasakan telah menimbulkan kemarahan dan kegeraman di hatinya.

“Budak Hitam...” berdesing telinga Dija bila Faheem memulakan kata. Namun, dia tetap mendiamkan dirinya. Suara dan kata-kata penghinaan itu sudah agak lali dalam pendengarannya. Sudah sinonim jadinya.

“Kau jangan nak tunjuk lagak sangat kat sini. Aku tak suka!” suara Faheem kini berbaur amaran.

Dahi Dija berkerut. Sudah kenapa dengan Mamat Bertaring ni?

“Mentang-mentang kelmarin papa bela kau, jangan kau ingat semua tu takkan berakhir. Jangan kau rasa papa sayangkan kau pulak. So, janganlah kau ni nak jadi kaduk naik junjung. Perasan lebih pulak...” sindir Faheem.

Dija semakin tidak mengerti. Dia kebingungan.

“Kau ingat aku tak tau niat jahat kau tu. Sudahlah kulit hitam, hatipun hitam!”

Dija berkerut lagi. Apa maksud Mamat Bertaring ni?

“Hey, Budak Hitam, walaupun tak ada orang yang tengok kau buat jahat, tapi aku tahu memang kau tu budak berhati jahat. Hati busuk!”

Dija menarik nafas. Dia cuba melangkah. Mahu meninggalkan Faheem yang sudah mengomel yang bukan-bukan. Entah apa ungkapan yang dilahirkan itu.

“Kau ingat ya, kalau kau buat lagi perkara tu, aku seret kau depan papa!” kerasnya amaran Faheem.

Apa ni? Aku memang tak mengerti apa maksud Mamat Bertaring ni.

“Kalau kau pancitkan tayar kereta aku lagi, nahas kau Budak Hitam. Aku akan buat sesuatu yang takkan kau lupakan seumur hidup kau!” semakin hebat amaran yang diberikan oleh Faheem.

Mulut Dija melopong. Dia memutarkan kepala dan badannya berpaling ke arah Faheem yang sedang dalam kemarahan. Wajahnya menyinga saat Dija merenung ke matanya. Nampak geram benar.

“Encik Faheem ni cakap dengan siapa?” soal Dija cuba mengawal diri. Padahal terasa ledakan gunung berapi sedang membara dalam dirnya bila dia dituduh begitu oleh Faheem.

“Cakap dengan orang yang dah pancitkan tayar kereta kesayangan aku!” tengking Faheem dengan nada yang amat gearm.

“Siapa yang pancitkan tayar kereta encik?” Dija kehairanan. Tuduhan melulu Faheem membuatkan dada Dija membuak. Dia tidak pernah buat kerja seburuk itu.

“Ohhh, pandailah kau buat tak tahu!” marah Faheem. “Memang adatnya macam tu, orang yang buat jahat takkan mengaku dengan segala perbuatannya itu.”

“Encik Faheem, cakap tu baik-baik ya?! Saya tak pernahpun buat perkara jahat macam tu. Tak pernah, encik! Saya ni memang hitam dan buruk rupa, tapi saya bukannya penjahat macam anggapan encik tu!” Dija sudah menaikkan suaranya agak tinggi. Matanya merenung tepat ke wajah Faheem.

“Habis, bukti yang ada, memang kau yang buat perkara jahat tu, Budak Hitam!” marah Faheem membalas renungan geram daripada Dija.

“Bukti? Apa buktinya encik tuduh saya ni?” Dija menyoal dengan yakin kerana dia tahu dia tidak melakukan perkara buruk itu.

Faheem mengeluarkan sebuah buku catatan kecil dari dalam koceknya. Kemudian ditayangkan di depan mata Dija. “Tengok ni...!”

Membulat mata Dija bila melihatkan buku catatannya berada di dalam genggaman Faheem. Mulutnya melopong.

“Haaa?” Dija cepat-cepat meraba kocek seluarnya. Melopong mulutnya. Membulat matanya. Begitulah keadaannya bila dia diburu debar dan gelisah. Ataupun sesuatu yang menggetarkan hatinya.

“Bukankah ini buku catatan kau?” soal Faheem.

“Memang itu buku catatan saya. Tapi...” Dija kehairanan. Bagaimana buku tersebut boleh berada dalam pegangan Faheem. Dia terus meraba kocek seluarnya. Ternyata bukunya tidak ada di dalam koceknya. Buku catatan tersebut sememangnya sentiasa berada di dalam koceknya walau di mana dia berada.

Bagaimana buku itu boleh hilang daripada koceknya?

Berkali-kali Dija meraba koceknya. Ternyata poket seluarnya kosong. Dia bagaikan tidak percaya dengan tangannya sendiri. Terus lagi diraba-raba koceknya itu. Sedang matanya pula melekat terus pada buku catatannya. Terkebil-kebil matanya itu. Faheem pula terus dengan keangkuhannya menayangkan buku tersebut.

Dija menelan liurnya sendiri.

“Catatan seorang Dija, anak desa mengembara ke kota!” Faheem membaca catatan pada muka surat pertama buku tersebut.

Dija cuba merampas buku catatan tersebut daripada tangan Faheem.

“Bagi balik buku saya!” Dija bersuara agak meninggi. Dia melompat untuk mendapatkan buku miliknya daripada Faheem. Namun, anak muda itu ternyata lebih tinggi daripada Dija. Dia mengangkat buku tersebut lebih tinggi lagi sehingga Dija tidak mampu untuk merampas buku catatan tersebut. Walaupun buku itu miliknya sendiri.

“Tidak! Buku ini adalah bukti yang boleh mendakwa kau yang pancitkan kereta aku, Budak Hitam!” sinisnya suara Faheem. “Aku takkan bagi balik buku ni.”

“Encik Faheem, bagi balik buku saya!” Dija hampir menjerit kegeraman.

“Tidak!’ tegas Faheem.

“Encik, saya bersumpah, saya tak pernah pancitkan kereta encik.” Dija seakan merayu. Namun, berbaur geram dan sakit hati.

“Habis, macamana buku ni boleh ada dekat dengan kereta aku?” soal Faheem.

“Saya tak pernah ambil tahu yang mana satu kereta encik. Mana mungkin saya boleh pancitkan kereta encik.” Dija tetap membela diri. Dia tetap cuba mendapatkan kembali buku catatannya itu.

“Ohhh, pandailah kau buat alasan ya!” jerkah Faheem, marah lagi.

“Encik, boleh tak kalau tak tuduh saya dengan perkara macam ni?” Dija bersuara lebih tinggi daripada tadi.

“Ohh, pandai melawan pulak!” jerkah Faheem lagi. “Kau jangan ingat aku takkan lempang mulut lancang kau tu Budak Hitam!”

Dija terdiam. Terasa sebu dadanya. Malas untuk dia bertekak dengan anak bosnya yang memang keras kepala itu. Tapi matanya tetap melekat pada buku catatan miliknya itu. Terasa ingin menitis air jernih daripada kelopak mata. Namun, ditahankan juga sebaik mungkin. Dia tidak akan menangis di depan Mamat Bertaring itu. Dia mesti kuat. Dia mesti bertahan!

Di dalam buku catatan itu banyak suara hatinya diluahkan. Terkadang dicatatkan dalam bentuk sajak atau puisi. Malah, termasuk juga bicara jiwanya yang rencam.

Dija memang suka mencatat!

“Demi Tuhan, saya takkan izinkan encik baca setiap patah catatan di dalam buku itu!” suara Dija kendur sahaja bunyinya.

Faheem hanya buat-buat tidak faham dengan ucapan Dija.

“Terkadang, orang-orang yang tidak berdosa sering sangat terfitnah. Orang miskin pula memang tak mampu nak membela diri sendiri kerana tak akan ada orang yang akan percaya...” Tambah Dija. Suaranya semakin mengendur dan sebak terhimpun.

Mata Dija masih jua melekat pada buku catatan kesayangannya. Aneh terasa kerana dia tidak sedar bila masa buku tersebut jatuh daripada koceknya. Selalunya dia akan pastikan bukunya sentiasa ada bersamanya. Bila ada masa, dia akan mencatat apa saja yang ingin dicatatnya. Bersajak atau berpuisi paling digemarinya sehingga hari ini.

“Takkan buku ni saja-saja bergerak sendiri. Mesti ada seseorang yang bawa ia ke sana. Tak lain tak bukan, tentulah tuannya!” sinis lagi suara Faheem.

“Encik, saya dah lalui banyak tempat hari ni. Tapi saya tak pernah tahu di mana kereta encik. Tak pernahpun saya ambil kisah mana satu kereta encik tu. Semua tu tak penting buat saya!”

Faheem ketawa menyindir. Sengaja mahu menyakitkan hati Dija.

“Kalau encik tak percayakan kata-kata saya, terpulanglah. Tapi, Tuhan lebih tahu siapa yang buat semua tu kepada encik.” Dija sudah semakin mengalah kini. Dia tahu Mamat Bertaring itu takkan mengalah. Jadi dia perlu mengalah demi mendapatkan balik harta kesayangannya itu.

Namun, akan mengalahkan Mamat Bertaring itu kepda seoreang tukang cuci yang selama ini memang tidak disukainya langsung?

Ohhhh, Tuhanku...

Tiba-tiba Dija mendapat semangat baru. Dia segera menerpa ke arah buku catatannya yang sedang berada di dalam genggaman Faheem itu. Apapun yang akan terjadi, dia sudah nekad untuk dapatkan kembali buku kesayangannya itu. Harta milik peribadi yang takkan dilepaskan begitu saja kepada makhluk yang paling membencinya.

Namun, Faheem lagi pantas daripadanya. Dengan segera dia melarikan buku yang sudah menjadi buktinya itu.

Dija pula cuba melompat lebih tinggi.

Tiba-tiba...

Bedebuk!

Tanpa disengajakan, badan Dija telah terjatuh ke atas Faheem yang sudahpun terbungkam di lantai akibat diterpa oleh Dija tadi. Keduanya bergolek di lantai. Dija tidak peduli dengan dirinya yang terasa sengal bila jatuh begitu. Dia tetap cuba merampas harta milik kesayangannya itu.

“Sayangggg...!?”

Kedengaran suara menjerit nyaring.

“Kenapa ni?” suara itu semakin meninggi.

Dija tidak pedulikan jeritan siapa yang menjerit nyaring itu. Apa yang penting, dia mesti dapatkan harta milik peribadinya itu. Dia tidak menoleh ke kiri atau ke kanan lagi. Belakang atau depan, semuanya tetap tidak dihiraukan. Dia hanya tahu miliknya itu mesti berada dalam tangannya saat ini.

“Nah, akhirnya dapat juga!” Dija sudah berjaya merampas kembali buku catatannya. Lalu dicium penuh sayang. Dia tidak menghiraukan Faheem yang sudah terbungkam di situ.

Peduli apa!

Dija mengatur langkah untuk pergi dari situ.

Pangggg!

“Perempuan gatal!”

Berkerut dahi Dija bila mendapat sebuah penampar hebat. Tangannya segera meraba pipi sambil matanya menghala ke arah orang yang telah menghadiahkan dia dengan sebuah penampar.

Rita!?

Wajahnya mencuka dan kelat.

“Budak Hitam yang gatal! Miang! Apa yang kau buat ni? Menggoda bakal tunang aku?” jerit Rita, nyaring. Wajahnya penuh dengan kemarahan. Dicerlungnya ke arah Dija.

Dengan pantas Faheem bangkit. Dia menerpa ke arah Rita yang seakan kehilangan pertimbangan. Gadis kesayangannya itu sedang dalam kemarahan yang membara. Mengalahkan kepekatan rasa geram yang ada dalam hatinya terhadap Dija di saat itu.

“Rita, sudahlah...!” Faheem cuba menenangkan buah hatinya itu.

Youpun satu! Depan l bukan main hina Budak Hitam ni. Tapi belakang l,apa yang youbuat? Sempat lagi bermesraan dengan budak hitam legam macam ni?” marah Rita dengan suara yang semakin dinyaringkan. “You tak takut ke debu-debu hitam melekat pada kulit you yang putih bersih tu?”

“Sayang, apa yang youcakap ni?” Faheem terus memaut bahu Rita. Takkanlah lada selera nak bermesraan dengan Si Hitam ni. She’s not my taste laaa...”

“Tapi, mata lsendiri yang tengok macamana youdan dia!” jerit Rita.

“Sayang, dengar sini. Biar lbagi penjelasannya.” Tangan Faheem terus memaut bahu Rita agar gadis kesayangannya itu lebih lembut hatinya.

Youni, kalaupun nak jadi buaya, janganlah sampai tak pilih bangkai langsung. Kalau setakat budak hitam legam macam arang ni, apa yang istimewanya?” Rita melenting dan menjerit kuat.

“Sayang, dengar sini...!”

Dija pula tidak ingin mendengarkan apa-apa lagi. Dia terus melangkah pergi. Ditinggalkan kedua merpati itu dengan rasa lega. Peduli apa dengan mereka berdua. Asal saja dia sudah mendapatkan harta milik kesayangannya. Itu yang lebih penting. Dia tidak boleh kehilangan buku catatannya itu. Apatah lagi melepaskannya ke dalam genggaman makhluk yang paling menyakitkan hatinya.

Rasa pedih kesan penampar Rita masih berdenyut. Namun, Dija tidak peduli.

“Biarkan! Sikit aje ni...” Dija mengusap pipinya yang masih pedih itu.

Langkah Dija terus diatur. Meninggalkan tapak-tapak kemarahan namun rasa lega bila buku catatan miliknya telah berada dalam genggaman sendiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh