Home Novel Kisah Hidup Budak Intern
Budak Intern
nvrmnssd
15/8/2019 20:50:33
501
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
1
2
3
3

Mereka mengintai ruang pejabat multimedia di sebalik pintu kaca. 

Masih gelap dan kosong.

Tanpa dirancang, serentak mereka melepaskan nafas lega. 

Nampak gaya, mereka yang terawal.

“Kita first.”

“Nasib baik.” Jam di tangan sudah menunjukkan 8.45 pagi. “Kalau diikutkan jadual masa Kak Lin, kita dah lambat.”

“Tadi nampak tak Kak Lin?”

Geleng. “Kat mana?”

“Dekat kafe. Tengah on the way dengan member dia nak breakfast.”

Fisyah memang macam tu. Semua benda dia perasan. Berbeza dengan dia, jalan jenis tengok lantai. Tak cukup dengan itu, dia jenis tak suka pakai spek mata. Maka, memang dia tak akan kenal orang atau cam sesiapa yang dia kenal.

 “Nasib baik dia tak nampak kita.”

 “Dia nampak kita. Tapi, aku senyum je la. Sebab kita tak ada lah lambat sangat pun.” Seingat dia ketika dia terserempak dengan Kak Lin tu dalam jam 8.35 pagi macam tu. “So, buat je la muka tak bersalah walaupun rasa darah semua turun ke kaki.”

Eli masih mengintai ruang dalam pejabat. Tangannya panjang menggapai tangan Fisyah. “Dah lah. Jom masuk. Nanti diaorang sampai nanti, karang tanya buat apa terhendap dekat sini?”

Pintu pejabat multimedia ditolak. Lambat-lambat mereka menapak masuk ke dalam ruang pejabat itu. Masing-masing meliarkan pandangan ke seluruh ruang pejabat. 

Timbul rasa risau. Manalah tahu kalau semua staf multimedia ada kerja luar tapi tidak maklumkan kepada mereka semalam. Mana tidaknya! Sudah jam 8.50 pagi tapi masih kosong pejabat itu.

Suasana sunyi itu hanya kedengaran degupan jantung sendiri yang berdetak laju. Rasa macam tengah pecah masuk pejabat orang lain walaupun pejabat sendiri. 

“Eli, nak buka lampu ke?” dengan nada berbisik, Fisyah turut mencari suis lampu. Serentak dengan itu langkah mereka berhenti beberapa tapak melepasi pintu pejabat.

“Tapi, macam ada orang je?” Eli membalas dengan bisikan juga. Dia memanjangkan leher melihat ruang belakang yang cerah disimbahi cahaya lampu.

Fisyah merapati Eli. Dia turut mengintai ke ruang belakang.

 Ruang belakang yang menjadi tempat Encik Mus selaku Ketua Bahagian Multimedia. Yang mereka lawat sekejap semalam memenuhi arahan Encik Mus sendiri untuk berjumpa dengan mereka.

Encik Mus baru masuk pejabat semalam selepas cuti dua hari. Jadi, tidak dapatlah untuk memperkenalkan diri pada hari pertama. Dan, pada hari kedua iaitu semalam barulah berkesempatan. Itupun sekadar berbasa-basi. Encik Mus bukanlah tipikal ketua yang mesra alam. Macam tegas. Campur pula dengan aura tidak mesra alam. Makanya, mereka berdua sedikit terbatas untuk suai kenal untuk tempoh yang lama. 

“Ye ke? Habis tu nak buka ke tak lampu ni?” bisik lagi. Fisyah sudah bergerak mendekati suis. Tangannya sudah diangkat. Tinggal mahu menekan suisnya sahaja.

“Boleh buka ke? Tak kena claim ke? Suka hati mak ayah awak je masuk tak tunggu senior lepas tu buka lampu?” Eli risau. Dia mendekati Fisyah. “Tapi lagi lima minit nak pukul 9.”

“Buka je la. Orang gila je nak marah kita sebab masuk awal and bukak suis lampu.”

“Betul ni?” Eli masih lagi ragu-ragu.

Fisyah mengangguk. Serentak dengan itu, dia menekan suis lampu. 

Automatik ruang pejabat multimedia terang-berderang. Eli melilaukan pandangannya ke seluruh pejabat. Mana tahu, ada yang sedang mencekak pinggang tunggu nak sembur mereka berdua sebab bertindak sesuka hati. 

Selepas memastikan situasi selamat dan rasa yakin untuk beraksi, perlahan-lahan dia menuju ke meja Encik Hadi. Fisyah sekadar membuntuti. Beg dan fail mereka diletakkan di atas meja tersebut. 

“Kesian kau kena tumpang meja aku.” Eli meluahkan rasa. Matanya mengekor gerak-geri Fisyah.

“Meja kau pun meja orang lain, Eli. Sama je nasib kita ni.” Fisyah menarik kerusinya dan duduk. Dia melepaskan keluhan sebelum dia mengambil begnya dan dijadikan bantal untuk meletakkan kepala. 

“Aku serius tak faham apa yang tengah berlaku. Are we allowed to be here or not? Like dah tiga hari kot kita kat sini. Perabot kerusi yang dijanjikan still tak nampak bayang pun?” Eli duduk. Dia sudah mula rasa beku. Penghawa dingin pejabat ini betul-betul membunuh. Tadi ketika dia buka pintu pun, boleh rasa angin penghawa dingin menyapa wajahnya. Patutlah Abang Wan selalu pakai jaket hitam dia. 

“Told ya. Kita ni terkontang-kanting lagi sebenarnya. Skop kerja pun tak dijelaskan lagi.”

“Macam tak dijemput.”

“Memang tak dijemput pun.” Memikirkan hal semalam, dia sedikit panas hati. Mana tidaknya, meskipun mereka datang ke pejabat ini sebagai pelajar praktikal bukankah ada baiknya jika mereka disambut dengan berlapang dada dan menjalinkan hubungan yang baik?

Ini tidak. 

Mereka bagaikan sedang berjalan di atas titian halus yang di bawahnya gaung yang mencuram.

“So, you all intern dekat sini nak buat apa? I mean apa skop tugas korang?” Encik Ehsan menyoal sambil meletakkan beg galasnya di atas kerusi. Jaket dan mafla dibawa keluar dari beg tersebut. 

“Kitaorang tak diberi penerangan lagi.” Fisyah menjawab jujur.

“Habis, semalam buat apa? Hari ni nak buat apa?” Beg galas itu dibawa ke kaki meja. Dia duduk setelah selesai memakai jaket dan mafla. Desktop dihidupkan.

“Semalam, belajar macam mana nak buat skrip untuk video. And cara nak tulis caption.”

Abang Ehsan menyandar. “Lepas tu?”

“Kami tunggu story masuk.”

“Uish, payahlah korang nak tulis report. Hari ni buat apa? Benda yang sama?” Abang Amin yang sedari tadi berdiri memerhatikan perbualan Fisyah dan Encik Ehsan mula mencampur tangan. 

“Hari ni saya tak pasti. Still tunggu mana-mana tugas yang boleh kami buat.”

“Err..” Abang Wan mengangkat wajah dari skrin komputer. “Saya plan nak tunjuk diorang cara nak buat voice over. Lepas tu mungkin nak suruh diaorang try buat voice over pakai skrip yang diaorang buat.” Abang Wan berdehem sambil membetulkan duduk.

“Oh..kau supervisor diaorang?” Abang Amin mula mengcekak pinggang.

“Eh tak. Bukan saya.” Isyarat tangan Abang Wan menyuruh Eli bersuara. 

Eli kejung seketika. Tidak pasti mahu menjawab apa. Akhirnya dia memandang Fisyah cuba minta jawapan melalui isyarat mata. 

“Err..kami tak tahu siapa supervisor kitaorang. Masih tak dimaklumkan.”

“Kalau tak silap, Encik Mus..” Fisyah membetulkan.

“Mana satu ni betul?” Encik Ehsan bersilih ganti memandang Eli dan Fisyah. Jawapan budak praktikal di hadapannya kurang memuaskan.

Mereka berdua serba-salah mahu bersuara.

“Kalau Encik Mus supervisor korang, then by today mesti dia akan list out tugas korang. So, kejap lagi ada lah kerja tu. Dia masuk petang nanti. So lepas lunch bolehlah jumpa dia sekejap. Kenalkan diri.” Encik Amin akhirnya duduk setelah memastikan situasi kembali positif. 

Kemudian, petang seperti yang diberitahu Encik Amin tiba. Abang Wan memaklumkan Encik Mus sudah sampai dan mereka berdua dibenarkan berjumpa dengan Encik Mus.

Akur dengan perintah, mereka akhirnya berjumpa juga dengan Encik Mus. 

Seperti biasa, mereka memperkenalkan diri termasuk daripada universiti mana, tempat tinggal di mana dan sebagainya. Kemudian, selesai! Encik Mus suruh pulang ke meja masing-masing. Tiada pula senarai tugas seperti yang Abang Amin maklumkan pagi tadi. 

“Buatlah apa yang patut.” Itu sahaja arahannya.

Tipulah kalau mereka tidak terkedu. Akhirnya, mereka pulang ke tempat mereka dengan kebuntuan. Jadi, mereka sekali lagi menghabiskan masa mereka sepanjang hari dengan hal yang telah mereka pelajari semalam dan selebihnya masa mereka terbuang.

“Agaknya hari ini apalah nasib kita.” Eli mengeluh dan mereka kembali ke reality. Dia menyandar pada kerusi. “Kalaulah tiga bulan kita macam ni, memang masak kita dengan Miss N.”

“Entahlah. Baru hari ketiga tapi dah mati akal duduk sini.”

Akhirnya masing-masing memilih untuk mendiamkan diri.

+

Eli dan Fisyah kalut berlari anak kembali ke pejabat memandangkan sudah jam dua petang. Terlajak 10 minit. Bukan sengaja lambat, tapi mereka tadi keluar makan tengahhari pun dalam jam satu suku. 

Masih tidak berani mahu keluar tepat jam satu petang. Seolah-olah tidak sabar mahu melepaskan diri walaupun hakikatnya memang jam satu petang adalah masa untuk makan dan berehat.

Tatkala pintu ditolak ke dalam, masing-masing rasa mahu patah balik keluar. Buat pertama kalinya, ruang pejabat multimedia agak penuh dengan staf. Tidak pasti ada hal apa, tetapi ketika itu diibaratkan bagai sedang merempuh masuk ke sebuah majlis yang tidak diundang. Secara tidak langsung meletakkan posisi mereka sebagai satu tumpuan utama. Terasa pandangan mereka merupakan pandangan yang tajam dan sinis.

Barangkali mereka sedang dinilai dalam diam.

Eli mula gemuruh. Namun, dia cuba untuk mengoyak senyum sebagai tanda hormat terhadap senior-seniornya.

“Peh. Suka hati masuk lambat macam company bapak dia punya.” 

Terus senyumannya mati. Matanya melirik kepada bayangan Fisyah yang sudah jauh meninggalkannya beberapa tapak. 

Fisyah tak dengar ke? Eli mengerling sekilas ke arah pemilik suara tadi. Dengan nada yang sedikit angkuh, lelaki bermata sepet itu sudah mengangkat kaki dari ruang itu.

Tatkala itu, Eli menyedari kehadiran mereka sudah mengundang satu kemarahan. Dia mengetap bibir melihat kerusi yang diduduki lelaki bermata sepet itu terundur menjauhi meja. Eli baru perasan mejanya kini bertentangan dengan lelaki itu.

Cuba untuk tidak peduli, Eli akhirnya membutakan mata dan tulikan telinga. Empat pasang mata lagi dia tidak pasti sama ada staf multimedia atau staf dari bahagian lain jadi dia tidak pula berniat mahu bermesra selepas menerima penerimaan keji tadi.

“Ni ke budak intern yang you all maksudkan hari tu?” satu suara lain memecah sunyi yang bertandang sejak mereka berdua menapak masuk.

“Haah. Dah tiga hari dah diaorang kat sini.” Suara Abang Wan sahaja yang mereka kenal menjawab persoalan wanita itu.

Fisyah memasang senyum kepada staf yang buat pertama kalinya dia nampak. Dua hari lepas, memang ruang pejabat itu bagaikan tidak hidup. Tidak sangka pula hari ini, bagaikan ada kenduri makan.

“Oh…”

Suasana kembali senyap. Semakin terasa suasana ofis itu semakin tegang. Bagaikan ada perang saraf yang sedang berlaku tanpa sebarang kata putus.

Eli menyimpan telekungnya di dalam beg sambil berpura sibuk mencari sesuatu. Fisyah di sebelah merenung skrip komputer yang gelap. Barangkali dia sedang berkira-kira sama ada mahu menghidupkan semula komputer itu atau tidak. Kalau hidupkan pun, mereka mana ada tugas untuk diselesaikan. 

“Hah! Aku rasa panas pula duduk dalam ofis ni. Tak pasang aircond ke korang ni?” Wanita itu bersuara lagi. Di hujung ayatnya, dia ketawa kecil. 

Fisyah akhirnya memilih untuk menghidupkan komputer. Dia tidak tahu mahu memberikan reaksi apa. Ayat-ayat wanita itu sedang menari di dalam mindanya. 

Begitu sinis.

Ya. Mereka sedang menjadi perhatian. Bagaikan pemangsa yang sedang menunggu masa untuk menerkam mereka.

“Aku gerak dululah. Nanti untuk next episode Coffee & Chat, aku briefing lainlah. Rasa macam tak kena pula timing.” Wanita itu ketawa kecil lagi. Bahu kawannya ditepuk berkali-kali

“Apahal pulak? Entah siapa-siapa diaorang ni. Eh korang kutip kat mana budak-budak ni!” 

Fisyah tersentak. Kutip? Matanya memandang wanita yang memanggil mereka berdua ‘budak kutip’.

“Hei kau ni Rin! Cuba berlembut sikit. Okeylah aku blah dulu. Apa-apa nanti Whatsapp je aku.” Wanita bernada sinis itu akhirnya meninggalkan ruang pejabat itu. Dia sendiri makin tidak selesa dengan keadaan yang kian ‘panas’.

“Kalau baru datang sini, buatlah cara baru datang. Ni masuk pejabat pun ikut timing sendiri.” Suara lelaki bermata sepet sekali lagi kedengaran menyebabkan Eli berhenti scroll laman portal akhbar syarikat mereka, ErDay News. 

Eli menghela nafas panjang. Agaknya, ada ke yang berani mahu memulakan perbualan kalau penerimaan pun keji sangat? Walaupun dia sekadar pelajar praktikal, rasanya dia berhak juga untuk beremosi jika ada yang turut beremosi dengannya.

Eli memberanikan melilaukan mata melihat keadaan sebelum dia mencapai botol airnya. Sah! Tiga pasang mata di hadapan mereka sedang merenung tajam. Itu belum lagi renungan dari dua pasang mata jauh terpisah beberapa kubikel daripada mereka. 

“Er, korang dah kenal dengan Kak Rin dan Abang Jat?” Abang Wan bersuara selepas dari tadi diam. Macam sibuk. Mungkin banyak story dah masuk? Tapi kenapa mereka masih tidak menerima sebarang tugas?

Fisyah menggeleng. Eli segera meletakkan semula botol airnya. Bibirnya yang basah dilapkan dengan belakang tapak tangan. Masing-masing segera bangun. 

“Ni Kak Rin. Nama dia Erin. Tapi panggil Kak Rin.” Abang Wan memanjang tangan menunjuk ke arah Kak Rin.

Fisyah menundukkan kepala. “Saya Fisyah.”

“Saya Eli.” Eli senyum.

Namun, Kak Rin mencebik. Fail-fail yang berterabur di atas meja disusun dan dihempas bersebelahan tas tangannya. Kemudian dia beredar ke ruang belakang. 

Sempat mereka berdua menangkap omelannya, “Macam mana boleh masuk sini? Semaklah! Kan department kita dah cukup!”

“Yang ini Izzat. Panggil Jat. Abang Jat.”

Eli menelan liur. Abang Jat sedikit pun tak pandang mereka berdua. Sibuk mengunyah lollipop sambil bermain dengan telefon bimbitnya.

“Weh, aku Wan? Aku pun staf sini jugak.” Dari jauh ada suara wanita menjerit.

Mereka bertiga laju mengalihkan pandangan. Wanita itu sedikit berusia jika dibandingkan dengan Kak Dina dan Kak Rin.

“Alamak! Sorry kak.” Abang Wan ketawa. “Yang tu Kak Su. Dia dengan Kak Dina, Abang Luqman, Syad..erm, kira semua meja yang disekeliling dia tu in-charge bahagian editing video dokumentari, shooting, and live.”

Eli dan Fisyah senyum kepada Kak Su. Kak Su sekadar mengangkat kening dan sambung membuat kerja. Syad di sebelah Kak Su, buat tidak peduli. Leka dengan editingnya. Telinga pun sumbat dengan headphone.

“Syad pun macam korang. Intern jugak.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nvrmnssd