Bab
20
Petang
itu, Irna Arina menjenguk-jenguk ke laman banglo dua tingkat yang tampak megah
itu. Dia menekan loceng berkali-kali sebelum pintu pagar terbuka seperti
merestui kehadirannya di situ. Irna Arina melangkah lambat-lambat. Entah ada
atau tidak Katrina di rumah! Bosan terperap di rumah, dia datang untuk berjumpa
teman lamanya itu. Katrina, gadis cantik yang sewaktu dulu adalah pelajar
perempuan yang digilai ramai lelaki. Berbagai ragam mereka yang ingin mendapatkan
Katrina. Ada yang sanggup memutuskan perhubungan yang sedia ada walaupun
Katrina tidak pernah menjeling mata kepadanya. Entah apa yang menarik perhatian
mereka tidak pula Irna Arina ambil tahu. Apa yang dia pasti, Katrina adalah
anak orang kaya! Anak orang ternama! Pasti ada sahaja yang ingin mendekati.
Tentang sikap Katrina, gadis itu seorang yang memilih dalam berkawan. Bukan
anak Dato’ ataupun anak Tan Sri, semuanya ditolak untuk menghampirinya.
Kononnya tidak sama taraf! Entah bagaimana Katrina boleh menerimanya sebagai
kawan malah sebagai teman baik. Mungkin dia tidak sesusah mana. Boleh dikatakan
tergolong dalam golongan orang berada walaupun tiada status Dato’ pada pangkal
nama ayahnya.
“ Erm..cari siapa?” soal seorang
lelaki separuh abad di hadapan Irna Arina. Wajah manis Irna Arina ditenung
lama. Naik segan pula Irna Arina dibuatnya.
“ Katrina ada pak cik?” soal Irna
Arina teragak-agak untuk senyum. Lelaki berumur itu masih segak pada pandangan
matanya. Sukar untuk meramalkan umur lelaki itu melihat kepada gaya dan cara
pemakaiannya.
“ Janganlah panggil saya pak cik!
Macam tua lah pulak!” Balas Dato’ Redzuan tersenyum tipis. Irna Arina menelan
air liur. Bagaikan ada magnet untuk dia terus memandang lelaki itu. Dadanya
berdebar saat mata mereka bertentangan agak lama sebelum seseorang datang
menyapa.
“ Arina?? You? Kenapa tak masuk!
Daddy, kenapa biarkan tetamu Katty kat luar ni?” soal Katrina seraya menarik
Irna Arina masuk. Wajah Irna Arina kemerahan. Janganlah Katrina perasan apa
yang telah dibuatnya sebentar tadi.
“ Arina baru je sampai! Daddy tak
sempat nak panggil Katty,” dalih Dato’ Redzuan seraya duduk di sebelah Datin
Zainab yang asyik menonton televisyen.
“ Siapa bang?” soal Datin Zainab.
Dia memandang seraut wajah manis Irna Arina yang duduk bersebalahan dengan
Katrina.
“ Mummy, ni kawan baik Katty, Arina!
Dia baru habis belajar dekat London. Dah lama tak jumpa! Alih-alih dah nak
kahwin!” Ujar Katrina sambil tergelak kecil. Irna Arina melempar senyum sambil
bangun untuk menyalami Datin Zainab. Lupa pula dia untuk memperkenalkan diri.
Dato’ Redzuan yang mendengar
berita itu seakan tidak senang duduk. Entah kenapa hatinya terpaut dengan Irna
Arina. Saat pertama kali bertemu, hatinya mula merindu. Rindu yang bukan
dibuat-buat! Wajah gadis itu sentiasa bermain di ruangan mata. Sentiasa di
layar ingatannya! Jika Datin Zainab dan Katrina dapat menghidu perasaan dan
getar di jiwanya itu, pasti bom atom akan meletus!
“ Baru habis belajar? Arina kerja
apa sekarang?” soal Datin Zainab seakan senang dengan tetamu yang dperkenalkan
oleh anak gadisnya. Belum sempat Irna Arina menjawab, bibik Nara datang dengan
sedulang air dan pemanis mulut. Dia kemudian berlalu dari situ untuk ke dapur.
“ Belum kerja lagi Datin. Tak ada
rezeki lagi!” balas Irna Arina dengan jujur.
“ Daddy tak nak ambil pekerja ke?
Ambillah Arina! Katty yakin, Arina ni cekap orangnya!” Puji Katrina secara
tiba-tiba. Air muka Irna Arina merona merah. Malunya semakin bertambah apabila
lelaki 40-an itu merenung kepadanya dengan senyuman. Senyuman yang hanya dia
seorang sahaja yang memahami saat itu.
“ Boleh juga! Arina nak kerja, saya
boleh aturkan! Kerja dengan saya. Kebetulan tak lama lagi setiausaha saya akan
berhenti. Ingin berubah angin katanya.” Dato’ Redzuan mereka cerita. Irna Arina
mengerutkan dahinya. Begitu mudah dia mendapat kerja! Kalau dah razeki, untuk
apa ditolak? Irna Arina menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.
“ Ye ke daddy? Erm..dengar tu Arina.
Dah rezeki kau dengan daddy aku! Kau kerja rajin-rajin! Jangan makan gaji
buta.” Katrina senang dapat membantu temannya itu. Dalam teruknya, ada juga
baiknya! Sempat Katrina menilai peribadi diri.
“ Dahlah tu sembang. Arina, jemput
minum!” Datin Zainab melempar senyum. Irna Arina mengangukkan kepalanya. Sempat
dia melihat sekeliling. Perabot mewah dan nampak klasik menghiasi rumah banglo
tersebut. Terasa begitu kerdilnya dia berada dikalangan mereka yang berharta.
Kehidupannya tidaklah sepayah mana jika dibandingkan dengan mereka yang susah
di luar sana. Orang tuanya menjalankan perniagaan warisan keluarga. Berniaga
makanan di Restoran yang berada di Cheras Jaya itu sudah cukup untuk mereka
merasa senang. Kerana perniagaan itulah dia dapat menyambung pelajaran ke luar
negara dan berjumpa dengan Irwan Hanif.
Irna Arina mencapai segelas
jus tembikai dan meneguknya perlahan.Katrina dan Datin Zainab asyik bergelak
ketawa. Irna Arina tersenyum melihat telatah mereka. Tiba-tiba pandangan Dato’
Redzuan menikam anak matanya dalam-dalam. Irna Arina merasa lemas! Entah kenapa
jantungnya berdegup kencang. Bagaikan hatinya berbisikkan sesuatu. Sesuatu yang
membuatkan dia merasa tidak tenang.
“ Katty, aku nak baliklah!” Irna
Arina seakan berbisik apabila gadis itu memeluk bahunya dengan kemas.
“ Dah nak balik? Cepatnya! Okey, aku
hantar. Kau tunggu sekejap!” Katrina bergegas ke biliknya dan mengenakan mekap
ala kadar. Kemudian dia meminta izin orang tuanya untuk menghantar Irna Arina.
“ Jangan lupa datang ke pejabat!
Arina boleh mula kerja bila-bila yang Arina suka!” ucap Dato’ Redzuan sambil
diperhatikan oleh Datin Zainab.
“ Baik Dato’! Datin, saya balik
dulu.” Irna Arina menghulurkan tangan kepada Datin Zainab. Pelukan wanita
anggun itu membuatkan Irna Arina merasa serba salah. Serba salah dengan
perasaannya kini!
****
Seusai
menghantar Irna Arina ke rumah, Katrina memecut keretanya untuk pergi ke rumah
Datin Zahara. Hatinya bagaikan dicuit-cuit untuk berjumpa dengan Muadz Hazami.
Entah kenapa hatinya merindu kepada lelaki itu. Ada sesuatu yang membuatkan
hati Katrina tertarik kepada Muadz Hazami. Senyumannya? Ya, senyuman itulah
yang membuatkan hatinya menjadi cair biarpun Muadz Hazami tidak pernah
melemparkan senyuman ikhlas kepadanya. Katrina sampai di hadapan banglo dua
tingkat itu. Pantas dia memasuki halaman banglo dan mencari kelibat Muadz
Hazami. Setelah enjin kereta dimatikan, Katrina bergegas keluar dari perut
kereta dan mendapatkan Pak Abu yang sedang menilik sekuntum bunga ros.
“ Pak Abu, mana Muadz? Saya nak
jumpa dia sekejap!” Ucap Katrina smbil melilau mencari bayangan lelaki itu.
“ Encik Muadz belum balik lagi! Mungkin
sekejap lagi, sampailah dia.” Pak Abu menjawab sekilas sebelum meneruskan
kerjanya. Katrina mendengus kecil seraya menuju ke pintu utama untuk berjumpa
dengan Datin Zahara. Belum sempat dia memanggil penghuni rumah, kedengaran
bunyi motosikal memasuki halaman rumah tersebut. Pantas Katrina berpaling
sebelum menjengilkan biji matanya. Muadz Hazami menaiki motor buruk? No! Jatuh
standard! Katrina pantas menghampiri Muadz Hazami yang membuka helmet dan
meletakkannya ke dalam raga motor.
“ Sayang..kenapa You naik motor
buruk ni? Kereta BMW You mana? Kenapa tak pakai?” soal Katrina bertalu-talu.
Pak Abu yang mendengar kata-kata gadis itu menelan air liur. Tidak pasal-pasal
motosikalnya menjadi mangsa!
“ Pak Abu terima kasih! Lepas ni Pak
Abu kena beli motor lain!” Laung Muadz Hazami tanpa menghiraukan Katrina yang
membelek motor tersebut dengan air muka yang tidak senang. Dia memegang tangan
lelaki muda itu dengan erat sambil melemparkan senyuman yang paling manis.
“ Eh, kau ni pegang-pegang aku ni
kenapa? Tak tahu halal haram?” sergah Muadz Hazami. Pantas tangannya ditarik
kuat. Wajah Katrina direnung sekilas sebelum berlalu untuk memasuki rumah.
“ Sayang..You ni tak boleh ke
berbaik-baik dengan I ? Asyik nak marah je!” rungut Katrina mengekori langkah
Muadz Hazami. Dia tidak menghiraukan pandangan sinis Pak Abu. Sibuk hal orang!
Sempat Katrina mengomel sendiri.
“ Yang kau panggil aku sayang ni
kenapa? Dah buang tabiat?” soal Muadz Hazami seraya duduk di atas kusyen. Dia
menyandarkan dirinya untuk menghilangkan rasa penat. Seharian bekerja di
pejabat benar-benar mengajarnya erti kesabaran. Selain disuruh menghantar surat
dan membuang sampah, Muadz Hazami turut mejadi pembancuh air di situ. Apa yang membuatkan
Muadz Hazami naik geram apabila Quezairy yang beria-ria menyuruhnya itu dan
ini! Hendak atau tidak, diturutkan juga demi memenangi hati Ellysa Qairina.
Hati perempuan yang berjaya membuka hatinya kini!
“ Muadz, I datang nak jumpa You!
Kenapa You garang sangat ni? Tak suka I datang?” soal Katrina berjauh hati. Dia
turut duduk di atas kusyen. Sesekali dia melilau mencari Datin Zahara. Namun
kelibat wanita separuh abad itu tidak kelihatan di matanya.
“ Encik Muadz sudah pulang? Nanti
bibik bawakan air!” Bibik Sarti menjeling Katrina sekilas. Dia berpaling untuk
ke dapur. Malas dia melayan air muka masam gadis itu. Silap haribulan dia
diherdik tanpa sebarang sebab.
“ Bibik, bawakan saya jus oren!” Arah
Katrina dengan suara yang kuat. Tidak lama kemudian, bibik Sarti datang dengan
dua gelas jus oren dan meletakkannya ke atas meja kaca. Dia berdiri di situ
sambil menilik kecantikan Katrina. Wajah Katrina yang putih bersih ditambah
dengan mekap yang tidak keterlaluan menambahkan lagi keayuan gadis itu.
Rambutnya yang panjang mengurai membuatkan bibik Sarti merasa cemburu. Kalaulah
dia secantik itu, pasti..
“ Bibik ni kenapa renung saya macam
tu? Buang tabiat?” soal Katrina tidak senang.
“ Sebenarnya Cik Katty, saya suka
lihat wajahnya Cik Katty! Mukanya cantik bangat!” jelas Bibik Sarti sambil
tersengih lebar. Muadz Hazami hanya mencebik sebelum tersenyum kecil.
“ Bibik..panggil Si Katty! Saya
rindu nak jumpa dia!” Muadz Hazami tiba-tiba bersuara. Katrina kelihatan
tercegang. Rindu? Sama siapa? Diakah? Mustahil!
“ Si Katty mana ni Encik Muadz!
Orangnya dah ada di hadapan mata!” bibik Sarti kelihatan bingung.
“ Ala bibik..bibik tak ingat kucing
yang saya jumpa tempoh hari. Namanya si Katty. Ala kucing yang suka berak
merata tu! Bibik tak ingat?” soal Muadz Hazami sambil mencuri pandang reaksi
Katrina.
“ Ooo..kucing besar tu ya Encik
Muadz! Aduhai, bibik rasa kucing tu dah terlepas! Payah mahu jaganya. Tak
faham-faham bila dimarahi! Asyik mahu dekat saja..” tokok bibik Sarti mula
faham dengan sindiran majikannya itu.
“ Eh bibik! Mulut tu jaga sikit!
Jangan nak menyibuk!” Katrina mula bengang. Dia bangun dengan wajah yang
tegang. Bibik Sarti mencebik apabila ditengking seperti itu. Belum sempat dia
bersuara, kedengaran suara Datin Zahara dari arah bilik. Mungkin terdengar
percakapan mereka yang tidak mesra alam.
“ Apa ni bising-bising? Eh, Katty
pun ada? Kenapa tak panggil aunty!” Datin Zahara memeluk erat Katrina yang
tersenyum hambar. Kemudian dia menarik gadis itu untuk duduk di sebelahnya.
Kemudian matanya menangkap air muka Muadz Hazami yang mencentun. Anak bujangnya
itu langsung tidak mempedulikan Katrina. Hairan bin ajaib! Gadis cantik macam
Katrina tidak tersangkut pada mata anak muda itu.
“ Mummy apa khabar? Sihat?” soal
Datin Zahara
“ Sihat aunty! Alhamdulillah..Ni
Katty dah nak balik. Nanti bising pulak Mummy tu.” Katrina malas berlama-lama
di situ. Sakit matanya melihat gelagat Muadz Hazami yang memusuhinya tanpa
sebab.
“ Kenapa cepat sangat? Tunggulah
dulu. Nanti makan malam kat sini,” ujar Datin Zahara seraya memegang erat
tangan gadis itu.
“ Tak boleh aunty. Nanti mummy
tunggu. Katty dah janji nak makan dengan mummy. Lain kali kita makan
sama-sama.” Katrina melempar senyuman manis. Datin Zahara mendengus kecil
sebelum menganggukkan kepalanya.
“ Yalah..Nanti kirim salam aunty
pada mummy dan daddy Katty!” balas Datin Zahara seraya bangun menemani Katrina
sehingga ke pintu. Pantas gadis itu berlalu mendapatkan keretanya tanpa
berpaling lagi. Sakit di hatinya bagai ditusuk duri sembilu. Tidak nampak
dimata, tapi sakitnya cukup terasa. Cukup untuk dia merasa terdera!