Home Novel Cinta PELANGI
PELANGI
Zahra Darina
9/4/2022 13:44:28
741
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
PROLOG

HUJAN lebat dan malam yang kelam menyukarkannya untuk melangkah laju ke hadapan. Suara tangisan bayi yang dikendongnya kedengaran perlahan. Bunyi guruh berdentum mengejutkannya. Langkahnya semakin laju membelah malam yang kelam.

            “Berhenti!!!”Jerit satu suara dari belakangnya. Dia berpaling sekilas ke arah suara itu sebelum melangkah lebih laju ke hadapan tanpa mempedulikan arahan pemilik suara itu.

            Satu das tembakan kedengaran dari belakang. Tembakan itu terkena tepat padanya. Dia tergamam sebelum rebah ke tanah. Darah  merah mula mengalir perlahan dari tubuhnya. Bayi yang dikendongnya tadi dipeluk erat. Air matanya mula mengalir perlahan saat memikirkan nasib anaknya yang masih berusia dua bulan.

            “Ha...Ha...Ha...Kau ingat kau boleh lari jauh. Aku diupah untuk menamatkan riwayat kau dan keturunan kau. Jadi, selagi kau tak mati, sehingga itulah aku akan kejar kau walau sampai ke lubang cacing sekalipun. Sekarang rasakan peluru ini sekali lagi.” Ujar lelaki berwajah bengis itu sambil mengacukan pistol ke arahnya.

            “Kamu boleh bunuh saya, tapi tolong kasihankan bayi saya. Jangan apa-apakannya. Dia masih kecil dan baru saja hidup di dunia ni. Dia tak bersalah. Tolonglah.” Rayunya. Air matanya mengalir semakin deras. 

            “Ha...Ha...Ha...Tak ada gunanya kau merayu macam tu. Kau salah orang. Kau ingat aku peduli ke kat bayi ini? Sejak aku jadi pembunuh upahan, aku dah tak ada perasaan kasihan pada siapa pun. Di mata aku hanya nampak duit saja. Sekarang rasakan ini.”  

           Satu lagi das tembakan dilepaskan ke arah wanita yang berusia 30-an itu. Peluru itu mengenai tepat di kepalanya. Jasadnya kaku di situ. Suara tangisan bayi itu semakin kuat diiringi dengan bunyi guruh berdentum.

            “Sekarang giliran bayi ini pulak.” Muncung pistolnya dihala ke arah bayi itu.

            Bunyi siren kereta peronda polis mengejutkannya. Tanpa berfikir panjang, dia segera melangkah laju meninggalkan bayi yang sedang menangis dan mayat wanita yang baru dibunuhnya sebentar tadi.

 

 

         “MACAM MANA? Kau dah bunuh dia ke?” Soal seorang wanita berusia 40-an sebaik sahaja seorang lelaki berusia 30-an masuk ke dalam perut kereta Persona miliknya.

            “Dah! Saya dah jalankan tugas saya. Cuma...” Dia terdiam sebentar.

            “Cuma apa?” Soal wanita itu dengan nada marah. Dia berpaling ke arah lelaki yang duduk di sebelahnya dengan riak wajah yang serius.

            “Saya tak sempat nak bunuh bayinya. Saya memang dah nak bunuhnya tapi tiba-tiba terdengar bunyi siren kereta peronda polis kat situ. Saya terpaksa larikan dirilah. Nasib baik mereka tak nampak saya. Tapi jangan risau, saya tak tinggalkan apa-apa kesan pun.” Terang lelaki itu.

            “Apa? Belum bunuh bayi itu?” Soal wanita itu. Riak wajahnya kelihatan terkejut. Sesaat kemudian, dia tersenyum sinis. Dia kemudiannya mengeluarkan satu sampul coklat bersaiz B5 dari tas tangannya.

            “Takpalah. Asalkan kau dah bunuh wanita tak guna itu. Bayinya itu tak penting pun. Ini habuan buat kau. Dan ingat, jangan pernah munculkan diri lagi di hadapan saya! Kau boleh pergi jauh-jauh dari sini bersama duit ini.” Ujarnya sambil menyerahkan sampul coklat bersaiz B5 kepada lelaki itu.

            Mata lelaki itu bersinar sebaik sahaja melihat isi sampul itu. Dia memandang sekilas kepada wanita itu sebelum memandang semula ke arah sampul itu. Bibirnya terukir senyuman sinis.

            “Terima kasih.” Ucap lelaki itu. Dia mula membuka pintu kereta yang ditutup rapat sebelum melangkah ke arah kereta waja miliknya yang diparkir tidak jauh dari kereta wanita itu.

            Tanpa disedari, sepasang mata sedang memerhatikan dari jauh, lelaki yang baru keluar dari perut kereta wanita itu. Dahinya berkerut saat melihat lelaki yang mencurigakan itu.

 

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zahra Darina