Home Novel Cinta SANDARAN HATI
SANDARAN HATI
Aini Marisha Marisha
22/1/2016 12:56:19
14,640
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 18

18

Amalia bersandar di kerusinya. Fail yang diserahkan oleh Encik Farhan sebentar tadi diletakkan di atas meja. Amalia tahu dia sepatutnya berjumpa dengan Cik Diana untuk mengetahui bagaimana kerja ini boleh dimulakan. Tetapi dalam pada masa yang sama dia takut untuk melihat reaksi Cik Diana apabila Cik Diana tahu bahawa Encik Farhan telah memberinya satu fail yang agak besar jumlah urusniaganya. Setelah berfikir, akhirnya Amalia menolak perasaan takut jauh-jauh dari hatinya. Dia tahu dia perlu menunjukkan potensi yang baik di syarikat ini. Semua kejayaan adalah bergantung kepada dirinya sendiri. Amalia membuat keputusan untuk berjumpa dengan Cik Diana selepas rehat makan tengahari.

Ketukan di pintu kedengaran. Sharifah, kerani yang mula-mula bertegur sapa dengan Amalia kelihatan berdiri di muka pintu.

“Cik Amalia, kalau tak keberatan, saya nak ajak Cik Amalia keluar makan tengahari dengan saya. Di bawah bangunan ini ada kantin,” Sharifah berkata.

Amalia tersenyum. Dia tidak sedar bahawa masa telah berganjak ke pukul 1.00 tengahari.

“Baiklah, saya pun dah lapar,” Amalia terus bangun lalu mengekori Sharifah untuk menuju ke kantin.

Mereka berdua memilih meja yang agak jauh dari orang ramai. Amalia telah memesan mee goreng manakala Sharifah memilih nasi campur.

“Cik Amalia dah jumpa dengan girlfriend Encik Farhan? Tadi saya nampak mereka berdua keluar, ” Sharifah memulakan perbualan.

“Cik Farhana tu ke?” Amalia bertanya untuk mendapatkan kepastian.

Sharifah mengangguk.

“Cantik orangnya kan? Maklumlah model dan pelakon iklan…,” Sharifah berkata.

Amalia mengangguk. Patutlah dia rasa macam pernah melihat wajah Farhana, mungkin dalam salah satu iklan yang disiarkan di televisyen.

“Mereka tak nak kahwin lagi ke?” Amalia bertanya pula.

“Mereka tu baru je berkawan. Ada dalam lima atau enam bulan kot. Masih awal sangat lah kalau nak kahwin,” Sharifah berkata.

“Encik Farhan tu pun baru je balik dari luar negara. Baru habis belajar. Dulu Datuk Kahar yang kendalikan syarikat ni. Bila Encik Farhan dah habis belajar, dia terus ambil alih. Tapi mereka berdua memang baik. Bukan mereka berdua saja, malah boleh dikatakan kesemua ahli keluarga mereka baik-baik. Encik Farhan tu pun dua beradik je. Adik perempuan dia masih belajar di Tingkatan Lima,”

“Banyak ya yang Sharifah tahu tentang Encik Farhan,”

“Kami semua macam tu. Kami di sini macam satu keluarga. Itu yang Encik Farhan selalu tekankan. Dia pun rajin buat makan-makan di rumah keluarga dia. Dan selalunya dia mesti jemput kami semua,” terang Sharifah.

“Cik Farhana ni macammana orang nya?” Amalia bertanya lagi.

“Macam saya kata tadi, dia okey. Tapi kuat cemburu sikit…,”

“Kenapa awak kata begitu?”

“Ya lah…boyfriend dia tu handsome, baik pulak tu. Encik Farhan memang baik dengan kami semua. Selalu bergurau. Kadang-kadang ajak makan bersama waktu tengahari. Cik Farhana tu macam tak suka. Dia nak Encik Farhan tu tumpukan perhatian pada dia seorang sahaja,”

Amalia tersenyum. Itu memang sifat semulajadi wanita. Sukar untuk berkongsi barang kesayangan. Ya, memang Encik Farhan seorang lelaki yang kacak. Kesempurnaan dirinya ditambah pula dengan sikap baik hati dan mengambil berat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha