Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
51,145
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 11

CHEMPAKA AMNAmembuka matanya. Terbeliak dia memandang sekeliling. Di mana pula dia berada ni? Terbaring di katil. Chempaka Amna memejamkan matanya. Cuba mengingati apa yang dilalui sebelum ini? Sakit kepala Chempaka Amna memikirkannya. Kedengaran tapak kaki dan dia membuka matanya. Mata Chempaka Amna terbeliak. Di hospital? Bisiknya. Kenapalah dia didekatkan dengan hospital dalam beberapa hari meninggalkan rumah.

Seorang jururawat datang dan menilik-nilik pada kertas di hujung kaki kemudian berlalu. Dia memejamkan matanya kembali. Fikirannya kembali berserabut. Ingatan Chempaka Amna dihujani dengan wajah-wajah Iman, adik yang ditinggalkan begitu saja di rumah Mama Hanna. Bagaimana keadaan Iman? Bagaimana mungkin dia dapat menghubungi dan bertanya kabar Iman dalam keadaan dia kehilangan telefon bimbitnya. Dia cuba mengingatkan nombor orang penting dalam hidupnya sayangnya semuanya kelam dan pekat. Apa yang harus dia lakukan? Bunyi tapak kaki kedengaran lagi. Kali ini dia sudah malas membuka matanya. Sudah pasti dia akan melihat makhluk beruniform putih. Ataupun makhluk yang bertali di telinga dan bersambung dengan penapak di hujungnya. Siapa lagi kalau bukan doktor? Bunyi tapak kaki itu semakin mendekat. Chempaka Amna menunggu. Sejenak bunyi itu terhenti betul-betul di sebelahnya.

“Hey..awak!” Kedengaran suara lelaki separuh berbisik. Chempaka Amna mengerutkan kening. Masih belum bersedia membuka matanya.

“Awak ni kan, kalau tak menyusahkan saya. Tak senang agaknya hidup awak?” Kata-kata itu buat dada Chempaka Amna berdegup dan mula panas. Amna membuka sebelah matanya perlahan, sebaik sahaja pandangannya tertancap pada seraut wajah itu, dia terus membuka kedua matanya. Matanya membuntang memandang ke arah lelaki yang berdiri di sebelahnya. Chempaka Amna merenung lelaki itu. Lelaki yang sama pada malam lepas. Ya! Dia masih ingat semuanya. Lelaki itu membalas renungannya dengan lagak bersahaja. Tanpa senyum. Hati Chempaka Amna tidak senang melihat riak wajah lelaki itu. Apa agaknya yang ada dalam fikiran lelaki itu.

“Katil awak ni dah ada pesakit baru. Awak dah dibenarkan keluar.” Beritahu lelaki itu.

Chempaka Amna memandang sekeliling. Dua katil terdekatnya tidak ada penghuni kecuali katil yang paling hujung. Pandangan Chempaka Amna kembali ke wajah lelaki itu. Lelaki itu masih tidak senyum. Wah! Sombongnya mamat ni! Getus hatinya. Seorang jururawat tiba-tiba muncul dan menghulurkan sekeping kertas. Lelaki itu mencapainya. Jururawat itu menandang Chempaka Amna dengan senyum.

“Encik bawak isteri encik semula untuk rawatan susulan pada tarikh pada kad.” Ujar jururawat itu dengan sopan. Dada Amna berdebar. Isteri! Isteri! Apa ni? Ya! Apa kena dengan lelaki ini? Lelaki ini telah melampau. Apa yang dia nak? Untuk apa lelaki itu berbohong? Hatinya sakit. Apalah nasib Amna ni Tuhan, asyik-asyik berdepan dengan lelaki poyo ni. Jerit Amna hanya terlahir di dalam dadanya.

“Sayang…” Ucap lelaki itu sambil memegang lengannya perlahan dan hati-hati. Chempaka Amna tidak senang diperlakukan begitu. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia menghempuk lelaki itu sekuat hati dengan kerusi di sebelah katilnya. Apa? Dia ingat aku ni patung? Patung cendana ke apa? Dia merenung lelaki itu dengan jengkel. Chempaka Amna terus turun dari katil dan melangkah setapak menjauhi lelaki itu. Berkerut wajahnya menahan marah. Jururawat itu memandang ke arah Chempaka Amna dengan senyum.

“Cepat sayang..kita dah lambat ni.” Ujar lelaki dengan nada yang lebih tinggi dari sebelumnya. Chempaka Amna yakin, lelaki itu sengaja meninggikan suara supaya didengar oleh petugas-petugas yang ada di wad itu. Masha-ALLAH…sakitnya hati. Kenapa hari-hari kebelakangan ini hidupnya menjadi semakin malang? Lepas satu, satu peristiwa dilaluinya. Chempaka Amna mengerut keningnya. Chempaka Amna mencapai beg sandangnya dan terus melangkah keluar dari wad. Lelaki itu membontoti Chempaka Amna. Chempaka Amna memanjangkan langkahnya. Namun lelaki itu tetap mengekorinya langkah semakin mendekat dengannya.

“Hey…pokok! Pokok apa ya? Lupa pulak.” Kedengaran suara lelaki itu. Langkahnya terhenti kemudian menoleh ke arah lelaki itu.

“Kenapa dunia ni sempit sangat?” Tanpa sedar pertanyaan itu meluncur dari bibir kering Chempaka Amna. Wajah lelaki itu ditatapnya sekilas.

“Nasib baik dunia ni sempit. Kalau tidak entah diculik siapa awak, saya tak tahu. Lainlah kalau awak memang berniat nak cari mamat-mamat Bangla dan Nigeria.” Cis! Lantangnya mulut lelaki ni. Memang lelaki ni tak sayang mulut. Harap rupa aje yang hensem. Tapi budi bahasa, hampeh! Bentaknya di dalam hati. Kalaulah ada cili, elok jugak mulut mamat ni dicili-cilinya. Berdepan dengan lelaki ini, segala sifat santunnya terus lenyap.

“Kenapa awak pandang-pandang saya macam tu. Tak puas hati?” Tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah Chempaka Amna. Amna membalas dengan jelingan kemudian kembali memanjangkan langkahnya tanpa arah keluar dari perkarangan hospital. Amna terhenti sejenak di hadapan dengan pondok pengawal dan sebelum dia kembali melangkah terasa tangan merentapnya dengan kasar. Chempaka Amna tersentak. Dengan pantas dia menarik tangannya.

“Eh! Nangka! Kenapa awak pegang saya?” Ujar Chempaka Amna separuh menjerit sambil memicit lengannya. Lelaki itu tiba-tiba tertawa.

“Ikut saya ke balai. Awak didapati lari dari rumah.” Kata-kata lelaki itu membuat lututnya gementar. Lelaki yang dipanggil nangka itu polis? Pandangan tajam Chempaka Amna bertukar lembut.

“Ikut saya. Kan saya dah cakap ikut saya.” Arah lelaki itu sekali lagi kedengaran lebih tegas.

“Jangan cuba nak bertindak bodoh.” Sergah lelaki itu.

Sakit hati Chempaka Amna mendengarnya. Mentang-mentang dia polis, senang-senang dia memaki hamum kita ya! Kerja polis ke macam ni? Senang-senang dia menyamar? Bentak Chempaka Amna. Dia benar-benar marah. Keletihan dan rasa sakit seperti lenyap dari perasaannya. Semuanya terasa kembali bertenaga dan kuat. Dia tidak bersalah, dia tak perlu beralah. Bisik hati Chempaka Amna. Lelaki itu menarik lengannya. Semakin Chempaka Amna cuba menarik lengannya, semakin kuat cengkaman dirasakannya. Akhirnya dia mengalah. Chempaka Amna sudah tidak larat untuk berlawan dan bertekak. Semangatnya mula menurun. Dia bukan sahaja kembali letih, sakit malah apa yang sangat penting adalah tekaknya haus. Dia mengikuti apa yang diarah lelaki itu hingga tiba ke sebuah kenderaan pacuan empat roda. Lelaki itu menarik pintu dengan memberi isyarat supaya dia masuk ke perut pacuan empat rodanya itu. Tanpa berlengah Chempaka Amna melompat naik. Sejenak dia telahpun berada di dalam kenderaan milik lelaki itu. Sehingga kenderaan bergerak, Chempaka Amna hanya mendiamkan diri. Dia sudah tidak larat. Melihat wajah lelaki di sebelahnyapun dia sudah tidak larat. Janji dia selamat! Getusnya. Mamat ni anggota keselamatan. Bukan penjenayah. Bisiknya lagi. Dia memejamkan matanya. Sekadar buat-buat tidur. Tiba-tiba kedengaran muzik sentimental berkumandang. Dia seperti diulik. Chempaka Amna hanyut. Hanyut dalam alunan muzik itu. Entah bila dia tertidur, ketika dia membuka matanya kenderaan itu telahpun berada di garaj sebuah banglo mewah. Jantung Chempaka Amna berdegup kencang. Dia menoleh ke arah lelaki itu. Lelaki itu tidak langsung menoleh ke arah Chempaka Amna sebaliknya terus keluar dari kenderaan itu. Twit! Kedengaran. Pintu pacuan itu terus terkunci. Chempaka Amna tersentak. Lelaki itu selamba berlalu dan menuju ke pintu bangle yang tersergam itu. Kurang asam! Ini ke balai Polis? Chempaka Amna ingin menjerit. Tiba-tiba, seorang wanita menjengah dengan wajah berkerut. Wanita itu menarik pintu kenderaan itu.

“Masya-ALLAH..kenapa dibiarkan kawan dalam kereta macam ni…Luq…Luq..” Wanita itu menarik pintu dari luar dan mempelawa Chempaka Amna keluar dari kenderaan itu. Dia patuh dan melangkah keluar sambil menahan rasa letih yang amat sangat.

“Jemput masuk nak.” Pelawa wanita itu sekali lagi dengan wajah senyum. Chempaka Amna cuba untuk membala senyum namun dia tidak mampu. Hanya tangan yang dihulur untuk bersalam. Chempaka Amna membontoti wanita itu sambil mengomel dalam hati. Semuanya asing. Seperti makhluk asing. Marahnya di dalam hati.

“Duduk dulu ya nak, makcik buatkan minuman.” Ucap wanita itu sambil berlalu. Ya! Ya! Makcik memang saya haus! Kalaulah itu mampu diucapnya sudah tentu diucapnya agar makcik itu cepat-cepat memberinya minuman. Chempaka Amna menghempaskan punggungnya di sofa empuk. Dengan menarik nafas berat matanya melilau mencari lelaki tadi. Ah! persetakanlah! Marahnya sendiri. Wanita tadi muncul dengan menatang minuman dan diletaknya betul-betul di hadapannya.

“Jemput minum ya. Sudah tentu haus kan?” Pelawa makcik itu dengan senyum meleret. Manis wajah itu. Wanita yang membahasakan diri sebagai makcik itu merenung ke arah Chempaka Amna dengan pandangan sayu. Chempaka Amna mencapai minuman itu dan terus mencicipnya. Kalau ikutkan hati, satu jug itupun sanggup diminumnya bagi mengurangkan rasa panas dalam dadanya.

“Ini ke kawan Luq yang sakit tu ya? Kesian pulak ya….”Ujar wanita itu perlahan.

“Luq tu memang macam tu, suka tolong orang. Apa lagi kalau dia tahu, orang tu mangsa rogol atau mangsa dera macam anak ni.” Ujar wanita itu jelas kedengaran di telinganya. Chempaka Amna tersedak dan air yang diminumnya hampir kembali dimuntahkan. Chempaka Amna memandang wajah wanita itu tanpa berkelip. Dia seperti ingin menjerit memanggil lelaki itu. Apa yang telah diceritakan lelaki itu pada wanita di depannya itu.

“Makcik…tadi tu anak makcik?” Soal Chempaka Amna pantas.

“Siapa nama dia?” Soalan kedua disusul sebelum sempat wanita itu menjawab. Wanita itu memandang ke arah Chempaka Amna dengan mata membuntang kemudian tersengih menampakkan sedikit giginya.

“Kenapa? Dia cakap nama dia Justin Bieber?” Soal wanita itu dengan ketawa memenuhi ruang tamu rumah mewah itu. Ketawa wanita itu tidak langsung menariknya untuk ikut ketawa. Bukan masanya dia untuk ikut ketawa. Getus Chempaka Amna.

“Dia bertugas di balai mana makcik?” Soalnya pantas tanpa mahu menunggu lebih lama.

“Balai? Balai apa?” Wajah wanita itu berkedut seribu.

“Maksud saya, anak makcik tu inspektor di Balai Polis mana?” Ulang Chempaka Amna mengharapkan jawapan yang diterima pantas. Namun kata-katanya mengundang pandangan aneh dari wanita itu. Wanita itu tiba-tiba berdiri lantas memandang ke tingkat atas.

“Insektor Luqman! Cepat turun minum, air dah sejuk ni.” Wanita itu meninggikan sedikit suaranya. Chempaka Amna mengangguk-angguk. Betullah lelaki ini seorang anggota polis. Getus Chempaka Amna dalam diam. Ah! janji dia sekarang telah selamat. Bisiknya lagi. Wanita itu kembali duduk di hadapan Chempaka Amna. Wanita itu merenung tajam. Chempaka Amna gelisah.

“Anak ni dari mana?” Soal wanita itu menyoal Chempaka Amna dengan wajah yang bertukar menjadi serius.

“Sa…sa…saya dari Kuala Terengganu makcik.” Terbeliak wanita yang memperkenalkan diri sebagai makcik itu.

“Jauhnya! Kenapa datang jauh-juah ni?”Balas makcik itu sambil merenung ke arahnya.

“Maksu, namanya Chempaka Amna…” Kedengaran suara Luqman yang sedang berjalan turun dari tingkat atas rumah itu. Wanita itu memandang ke arah Luqman kemudian beralih memandangnya. Luqman telahpun berdiri di depan mereka.

“Owh….Chempaka Amna? Cantiknya nama anak ni. Sama cantik dengan wajah anak ni.”Ujar Maksu lelaki itu, buat matanya terbuntang. Begitu mak saudara, begitu anak saudara. Desisnya dalam hati sambil mengetap bibirnya.

“Ni! Nak panggil apa ni? Chempaka? Amna?” Tanya wanita itu. Huh! Dalam dua hari ni, dah beberapa kali dia menjawab soalan serupa. Kalaulah dia ni pakai bateri, dah berapa kali bateri itu ditukarnya.

“Chempaka? Chem? Paka? Atau Amna?” Soal makcik itu sekali lagi. Wah…makcik ni sudah buat dia semakin letih. Dia memandang ke arah Inspektor Luqman. Lelaki itu tidak langsung memandang ke arahnya sebaliknya lelaki itu kelihatan enak menikmati minuman di tangannya. Dia memandang kembali ke wajah makcik, makcik itu tersengih.

“Apa-apa aje yang makcik nak panggil saya. Semuanya baik pada saya, makcik.” Jawabnya sambil memberi senyum semanis mungkin pada makcik itu.

“Tapi, setau makcik, kalau di Terengganu, panggilan manjanya ‘mek’ atau ‘wook’ kan?” Allahuakbar…apa mek-mek dan wook-wook pulaknya makcik. Tu panggilan zaman-zaman tok kaduk. Jeritnya di dalam dada. Aduh….dia mengerut wajahnya.

“Chempaka dan Amna dah cukup manja makcik.” Jawabnya pantas.

Lelaki itu tersengih lebar memandang ke arahnya.

“Okaylah, makcik akan panggil Amna.” Ujar wanita itu lagi. Dia mengangguk-angguk dengan senyum masih tersisa di bibirnya.

“Maksu, Chempaka Amna menumpang di sini untuk sehari dua atau mungkin selamanya sehingga dia benar-benar selamat.” Kedengaran nada mengarah terlontar dari mulut Luqman. Dia memandang tajam ke wajah Luqman. Lelaki itu membalasnya dengan lebih tajam. Wanita itu terkebil-kebil memandang ke arahnya dan ke arah Luqman silih berganti.

“Dan Chempaka jangan panggil Makcik, panggil saja Maksu. ‘Maksu’ tu panggilan manja.” Tambah Luqman.

Amboi! Amboi! Mamat ni. Apa kes aku kena panggil makcik ni sebagai maksu? Aku tak ada apa-apa hubunganpun? Chempaka Amna menyumpah di dalam hati. Kalau nak tolong aku biar ikhlas! Tambahnya lagi. Eh! Apa kena dengan Amna ni, ya Tuhan? Semakin kasar perangai Amna. Isy…Chempaka Amna tiba-tiba meletak jari di bibirnya.

“Yalah nak. Betul jugak cakap Inspektor Luqman ni.” Celah wanita itu sambil menjeling ke arah lelaki di depannya itu.

“Ya..ya maksu.”Balasnya tergagap seakan-akan dipaksa.

“Ha! Macam tulah.”Ujar Maksu disusuli senyum. Wah! Sama karektor anak saudara dengan anak saudara. Omelnya di dalam hati.

“Maksu, berilah bilik mana-manapun pada Amna. Dia dah sangat letih tu.” Arah Luqman. Wanita itu mengangguk-angguk memandang ke arahnya.

“Sayapun dah letih ni.” Tambah lelaki itu lagi.

“Luq tak nak tambah minuman lagi?”

“Tak! Luq dah kenyang dah. Sekarang Luq dah tak sabar nak rehat ni Maksu.”

Tambah Luqman sambil berlalu sambil memandang sekilas pada gelas minuman yang telah kosong di depannya. Wanita yang diarah Luqman supaya Chempaka Amna memanggil Maksu itu menggeleng-geleng memandang Luqman yang melangkah meninggalkan mereka.

“Yalah…yalah. Amna minum dulu ya, maksu ke atas.”Beritahu wanita itu tiba-tiba. Dia hanya mengangguk perlahan.

“Maksu jangan susah-susah di mana-manapun saya boleh lena maksu.” Jawab Chempaka Amna dengan sopan.

“Amna tamu kami, tamu Luqman…okaylah, maksu ke atas sekejap.” Ujar wanita itu sambil berlalu meninggalkannya sendirian.

Chempaka Amna mula terdiam. Matanya melilau melihat sekeliling. Tergantung foto-foto keluarga Luqman. Erm!! Bukan sembarang orang. Getus Chempaka Amna sendirian. Dia juga melilau sekeliling ruang tamu. Cantik hiasannya. Sudah tentu hasil kerja maksu itu, ni. Bisiknya di dalam hati.

“Amna, jom ikut maksu.” Pelawa Maksu tiba-tiba. Chempaka Amna yang hampir tersentak itu memandang Maksu.

“Amna boleh berehat.” Ujar wanita itu lagi.

Chempaka Amna mencapai beg sandangnya dan membontoti Maksu hingga ke tingkat atas dan terus ke bilik yang ditunjukkan wanita itu.

“Okaylah Amna, maksupun dah nak masuk tidur.” Beritahu Maksu lantas menyelinap ke biliknya.

Chempaka Amna berdiri sejenak. Wah…tersentak melihat bilik yang lengkap dengan perabut. Dia menghenyakkan pungguhnya ke tilam. Dua kali dia melambung. Fuh! Kalau macam ni, tak bangkitlah jawabnya pagi esok bisiknya. Dia merenung almari pakaian, dibukaknya, hanya ada beberapa helai kemeja T dan seluar sukan. Chempaka Amna mengerut kening. Bilik mamat tu ke? Ish, tak kan kot! Takkan Maksu bagi aku tinggal di bilik mamat tu. Abis? Mamat tu tidur bilik mana? Getus Chempaka Amna. Ah! Apa aku kesah? Keluhnya sambil mencapai sehelai tuala dari penyangkut kemudian terus masuk ke bilik air. Terus dimandinya biarpun hanya mengambil masa lima minit untuk menyudahnya, Chempaka kembali berada di katil. Sekali lagi dia termenung ke arah beg sandangnya. Di keluarnyanya sehelai kemeja T. Tapi sarungnya tak dibawanya. Takkan aku nak tidur dengan tuala ni? Bisiknya. Atau aku memanggil Maksu itu. nanti mengganggu wanita itu. Mata Chempaka Amna menjeling ke arah almari pakaian. Bagaimana kalau malam ni, aku kebas pelaikat yang tersangkut dalam almari tu. Apa kata mamat tu kalau dia tau? Mati aku. Kalau pendingin hawa ditutup, dia tak dapat tidur panas. Dia terus meloncat turun dari katil dan terus melangkah ke almari. Dengan pantas dia membuka dan mencapai sehelai pelikat yang tersangkut dan terus menyarungnya. Sekelip mata dia melompat ke katil dan merebahkan badannya ke tilam. Hanya beberapa minit dia terkelip-kelip merenung siling yang cantik itu. Akhirnya dia terlelap. Entah dia dapat kembali membuka mata dia sendiri tidak tahu. Ya! Chempaka Amna tidur dengan lenanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani