Home Novel Cinta Hati yang Terpilih
Hati yang Terpilih
Sue Ann
5/6/2022 17:52:31
8,657
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

"SAKIT, Mak Su."


Humaira ketap gigi menahan sakit sewaktu Puan Suraya menyapu minyak urut di sekitar pergelangan kakinya yang bengkak.


"Tahan sikit..minyak ni bagus tau.InshaAllah, cepat baik ni nanti."


Humaira hanya mengangguk lemah.Kaki yang sememangnya sudah sakit kini bertambah sakit selepas terjatuh dari katil.


"Tak jadilah nampaknya kita keluar cari baju esok.Maira rehatlah dulu ya sampai dah boleh berjalan macam biasa."


Puan Suraya menutup minyak urut lalu duduk di samping Humaira.Dia merenung gadis itu yang sedang membelek kakinya.Sayu hati Puan Suraya melihat wajah Humaira yang sembab dek kerana terlalu banyak menangis.


"Maira okey tak ni?"


Tanya Puan Suraya.


Laju Humaira menganggukkan kepala tanpa memandang wajah Puan Suraya.Betapa malunya dia dengan Puan Suraya dan Encik Nazri atas sikapnya yang keterlaluan sebentar tadi.Bertindak tanpa usul periksa dan terlalu mengikut emosi.Humaira menyesal!




"Maira, ini anak Mak Su, Haikal.Cuba Maira tengok betul-betul muka dia.Sama ke macam muka lelaki tu?"


Puan Suraya cuba memujuk Humaira dan menyedarkannya supaya tidak terus-terusan bermain dengan imaginasi.Tersentak dengan kata-kata itu, Humaira yang masih bersembunyi di belakang Puan Suraya memberanikan diri untuk memandang wajah Haikal.Matanya yang basah disapu berkali-kali bagi melihat dengan lebih jelas.


"Maira mintak maaf, Maira tak sengaja.Maira ingatkan.."


"Siapa?Razman??"


Celah Haikal yang jelas masih tidak berpuas hati dengan gadis itu.


"Kal, sudah.Su, awak pergi bawak Maira naik atas.Biar dia berehat."


Encik Nazri bertindak pantas mengawal keadaan agar tidak bertambah keruh.




"What?!Are you serious, pa?"


Terkejut besar Haikal dengan apa yang diceritakan oleh Encik Nazri.


"Kenapa, Kal ada masalah ke Maira tinggal dengan kita?"


"It's not the point, pa..yang penting sekarang ni kita tak kenal dia.Tak tau asal usul dia.And then senang-senang je papa kutip dia, tinggal dengan kita.Apa ni pa?"


"Jaga mulut kamu, Kal.Papa tak pernah ajar Kal bersikap angkuh macamni."


Encik Nazri sangat tidak menyenangi sikap Haikal yang suka merendah-rendahkan orang lain.


"I'm sorry, pa.Tapi Kal cuma risaukan keluarga kita.Kalau betul papa tolong dia sebab dia ada masalah, it's okay.Tapi macamana kalau dia ada niat yang tak baik dengan kita?Macamana kalau tu semua lakonan dia semata-mata.Papa pernah terfikir tak?Zaman sekarang ni macam-macam orang boleh buat untuk dapatkan harta."


Haikal mengeluarkan teorinya satu persatu.Sungguh dia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh ayahnya.


"Stop, Kal.Jangan cuba nak hasut papa.Papa tau dan papa yakin Humaira bukan gadis macam Kal fikirkan.And satu papa nak pesan, ya.Satu je.Tolong layan Humaira dengan baik, sekalipun Kal tak suka dia."


Sedikit pun Encik Nazri tidak termakan dengan hujah-hujah Haikal.Dia tau Haikal sememangnya tidak senang dengan kehadiran gadis itu.Namun keputusannya untuk membawa Humaira masuk ke dalam keluarga itu sudah bulat dan tiada siapa dapat merubahnya.


*************


Haikal melihat jam pada telefon bimbit.Sudah hampir satu petang.Haikal mendengus lalu turun dari katil dengan malas.Kemudian dia menuju ke balkoni untuk menghirup udara segar.Haikal memandang ke langit yang cerah sambil merenggangkan badan.Selepas kejadian pagi tadi, sukar sekali untuk dia melelapkan mata.Hampir siang, barulah dia dapat tidur nyenyak.Haikal mendengus kasar.Kesal dia dengan sikap Encik Nazri yang terlalu mudah mempercayai orang luar di mana latar belakangnya langsung tidak diketahui.




Usai membersihkan diri, Haikal turun ke bawah untuk mengisi perutnya yang berkeroncong.Matanya diliarkan ke seluruh ruang rumah yang kosong bagaikan tidak berpenghuni.


"Cari siapa, Kal?"


Teguran Mak Uda, yang datang dari arah dapur hampir membuat Haikal terlompat.Wanita yang lebih tua dari Puan Suraya itu tersengih-sengih melihat reaksi lucu Haikal.Beberapa pinggan lauk yang dibawa di susun di atas meja makan.


"Mak Uda ni..nasib la Kal ni tak melatah."


Haikal memerhatikan lauk pauk yang sudah terhidang di atas meja.Seleranya semakin melonjak.


"Mak Uda tanya tak jawab pun."


Mak Uda, pembantu rumah yang telah berkhidmat hampir sepuluh tahun dengan keluarga itu sudah biasa mengusik Haikal yang dianggap seperti anak sendiri.Begitu juga dengan Haikal yang selesa bergurau dengan wanita tua itu.


"Oh, cari papa dengan mama lah, Mak Uda."


Jawab Haikal bersahaja lalu menyuap sotong bersalut tepung ke mulut.


"Oo..ingatkan cari bidadari.."


Usik Mak Uda lalu berlengang ke dapur.Beberapa saat kemudian dia datang semula dengan membawa pinggan nasi.


Haikal sungging bibir mendengar perkataan 'bidadari' yang disebut Mak Uda.Tahulah dia yang dimaksudkan wanita itu tidak lain tidak bukan adalah Humaira.


"Kal tanya Mak Uda tak jawab pun."


Haikal memulang paku buah keras, berpura-pura tidak mendengar kata-kata wanita itu tadi.


"Lepas je makan tadi, diorang pergi hospital, bawak Humaira periksa kaki dia yang sakit tu.Kesian Mak Uda tengok.Teruk jugak bengkaknya tu."


Jawab Mak Uda.Sepinggan nasi yang telah dicedok dihulurkan kepada Haikal yang sudah mengambil tempat duduk.


"Aik, takkan jatuh sikit macamtu pun sampai ke hospital?Biar betul."


Haikal mengomel sendiri.Tidak percaya dengan apa yang didengarnya.


"Apa Kal cakap?"


Tanya Mak Uda kebingungan.Tidak dapat menangkap suara Haikal yang perlahan.


"Tak ada apalah Mak Uda.Jomlah makan sekali."


"Tak apa, Kal makanlah dulu.Mak Uda nak bereskan kerja kat dapur tu dulu."


Haikal hanya memerhatikan kelibat Mak Uda sehingga menghilang di sebalik dapur.




Kira-kira satu jam kemudian, mereka pun pulang dari hospital.


"Pelan-pelan, Maira."


Ujar Puan Suraya sambil memimpin Humaira yang terincut-incut berjalan.


"Kal, tak keluar kamu hari ni?"


Tegur Encik Nazri sebaik ternampak Haikal yang sedang bersandar di pintu masuk sambil berpeluk tubuh.


"Malas, pa."


Jawab Haikal pendek.Matanya tidak lepas dari memerhatikan gerak geri Humaira.


Sesampainya di muka pintu, sempat Humaira memandang Haikal sekilas.Kecut perutnya melihat tatapan tajam lelaki itu yang seakan mahu menelannya.Itulah kali pertama mereka bertentangan mata dengan jarak yang hanya sedepa.Pembalut luka yang menghiasi dahi kanan lelaki itu menambahkan lagi rasa bersalah di hati Humaira.Ingin sekali dia memohon maaf atas keterlanjuran sikapnya, namun lidahnya kelu untuk menutur kata.




"Teruk sangat ke pa?Malam tadi tak adalah kuat pun dia jatuh.Katil tu bukan tinggi pun."


Haikal mendapatkan Encik Nazri yang tidak terus masuk ke dalam sebaliknya duduk berehat di luar rumah.


"Oh yelah, papa lupa bagitau Kal.Masa papa jumpa Maira tu kaki dia memang dah sakit.Doktor cakap terseliuh.Tak taulah sebab apa.Papa tak sempat nak tanya lagi."


Jawab Encik Nazri bersahaja.Seraya dia teringatkan kejadian itu di mana dia bertemu dengan Humaira yang tidak sedarkan diri di pinggir jalan.Sewaktu itu, Encik Nazri dalam perjalanan pulang dari melawat keluarga-keluarga miskin di perkampungan.Sudah menjadi kesukaannya membantu apa yang termampu kepada yang kurang bernasib baik.Tidak banyak, sedikit.Sebagai amal jariah.


"Kal masih curigakan Humaira ke?"


Encik Nazri bersuara lagi apabila melihat Haikal yang hanya diam seperti sedang memikirkan sesuatu.


"Entahlah, pa.Sampai sekarang pun Kal masih tak percaya yang papa senang-senang je bawak orang luar masuk dalam keluarga kita."


Sinis kata-kata Haikal.Bukan mudah untuk dia menerima kehadiran Humaira, apatah lagi pertemuan mereka bermula dengan kejadian yang menyebalkan.


"Papa faham kalau Kal susah nak terima, tapi cuba Kal bayangkan kalau Kal berada di posisi dia.Hidup sebatang kara, tak ada tempat bergantung, tak ada tempat nak dituju.Dan bukan kehendak dia pun untuk hidup macamtu.Kalau bukan papa pun, mungkin orang lain yang jumpa dia akan buat benda yang sama."


"Allah temukan kita dengan seseorang ada sebab dan hikmahnya, Kal.Bukan hanya kebetulan."


Sambung Encik Nazri lagi.Dia menepuk lembut belakang anaknya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah, meninggalkan Haikal terkebil-kebil sendiri.


**********


Humaira gelisah.Sekejap dia berpusing ke kiri dan sekejap ke kanan.Dari tadi matanya degil sekali untuk dipejamkan.Tutup saja mata, bayangan Razman dan arwah ayahnya mula muncul menghantui diri.Penghawa dingin yang dipasang terasa panas membahang.


Humaira bangun lalu bersandar di kepala katil.Selimut tebal yang menyeliputi tubuh ditolak ke tepi.Tekaknya terasa kering tiba-tiba.Dipandangnya bekas air di atas meja yang telah pun kosong.Humaira mencapai getah rambut lalu mengikat rambutnya yang panjang terurai.Perlahan-lahan dia menginjakkan kaki ke lantai.Humaira lega.Kesan ubat tahan sakit yang disuntik oleh doktor siang tadi masih tersisa.


Dengan berhati-hati, Humaira menuruni anak tangga satu demi persatu.Sesampainya di dapur, dia mencapai sebiji gelas kaca lalu diisi penuh dengan air dingin.Sesudah meneguk rakus, Humaira bergerak pula ke sinki untuk membasuh cawan yang digunakan.


"Siapa Razman?"


Terkejut dengan suara itu, cawan kaca yang berada di tangan terlepas dari genggaman.Humaira panik.Melopong mulutnya melihat gelas kaca di dalam sinki yang terbelah dua.


"Semalam kau pecahkan kepala aku.Hari ni kau pecahkan gelas, lepasni apa pulak kau nak pecahkan."


Bicara Haikal dengan bersahaja namun penuh dengan sindiran.


"Saya mintak maaf, saya tak sengaja."


Terketar-ketar suara Humaira.Badannya turut menggigil, takut dengan tindakkan yang bakal diambil oleh Haikal.


"Kau dengar tak apa aku tanya tadi?Aku tanya siapa Razman?Kenapa susah sangat nak jawab?Kenapa kau panggil aku dengan nama tu semalam?"


Humaira mengetap bibir menahan perasaan apabila dijerkah sebegitu oleh Haikal.Air hangat mula bergenang di pelupuk mata.Kerana ketakutan yang amat, Humaira mengambil keputusan untuk pergi saja dari situ tanpa mempedulikan pertanyaan Haikal.Baru saja Humaira berpaling dan menapak beberapa langkah, lengannya dicengkam kuat oleh Haikal.


"Kau memang saja cari pasal dengan aku kan perempuan.Aku cakap baik-baik, tapi kau blah macamtu je.Kau fikir kau siapa dalam rumah ni?"


Mencerlang mata Haikal memandang Humaira.Sedikit pun tiada belas kasihan di hatinya melihat air mata yang berderaian di pipi gadis itu.


"Sakit, encik."


Humaira merintih agar tangannya dilepaskan.Namun esakkan tangis gadis itu membuat Haikal semakin hilang sabar lalu mencengkam sebelah lagi lengan Humaira.


Tubuh Humaira mengeras apabila menyedari jarak di antara mereka hanya sejengkal cuma.Dada bidang Haikal hampir saja menyentuh dadanya.


"Air mata ni langsung tak berkesan untuk aku.Kau boleh perbodohkan mama dan papa aku, tapi bukan aku.Sampai bila-bila pun aku takkan terima perempuan macam kau dalam rumah ni.Kau ingat tu!"


Usai memberi amaran, Haikal melepaskan Humaira lantas beredar dari situ.Humaira terdiam beberapa ketika sebelum terduduk di lantai.Sungguh dia merasa sangat terhina diperlakukan sebegitu oleh Haikal.Humaira menekan dadanya yang terasa ketat.Air mata pun sudah tidak mampu mengalir lagi.


***************


"Maira, jom kita sarapan."


Puan Suraya menjenguk ke dalam bilik tidur Humaira namun hairan melihat gadis itu tiada.Kemudian dia memeriksa bilik air pula namun Humaira tidak ditemui.


"Mana budak ni?Bila masa dia turun bawah.Tak ada nampak pulak."


Puan Suraya membebel sendiri sambil menggaru kepala yang tidak gatal.


"Ada nampak Maira tak, bang?"


Tanya Puan Suraya sebaik turun ke bawah semula.Tergesa-gesa dia mendapatkan suaminya yang duduk di meja makan.


Encik Nazri tidak jadi mencicip kopi panas mendengarkan soalan itu.


"Eh, manalah saya tau.Bukan ke awak pergi panggil dia?"


"Tak ada, bang..Maira tak ada dalam bilik dia.Mak Uda, Mak Uda ada nampak Maira tak?"


Tanya Puan Suraya kepada Mak Uda yang baru muncul dari dapur.


"Dari tadi saya dekat dapur, tak ada pulak nampak.Kal ada nampak tak?"


Mak Uda menjeling Haikal yang hanya diam menikmati sarapan.


Haikal memandang Mak Uda sekilas lalu menjongket bahu.Dalam hati dia turut tertanya-tanya ke mana perginya gadis itu?


"Ya Allah, bang.Jangan-jangan Maira lari tak?"


Puan Suraya sudah mula panik dan berfikir yang bukan-bukan.


"Ish kamu ni, Su.Cuba cari betul-betul dulu..Entah-entah dekat luar ke ambik angin.Cepat sangat nak fikir yang tak baik."


Encik Nazri cuba menenangkan isterinya sedang hatinya sendiri mulai dipagut bimbang.


"Tak ada, bang..puas dah saya cari!Macamana ni, bang?!"


Beberapa minit kemudian, Puan Suraya datang semula diikuti Mak Uda di belakang setelah puas mencari kelibat Humaira di sekitar kawasan luar rumah.


Encik Nazri berhenti dari menyuap nasi goreng ke mulut.Kemudian dia berdiri mencekak pinggang seakan berfikir sesuatu.Haikal turut berhenti makan.Dia mula cuak dengan apa yang sedang berlaku.


*************


Humaira memicit-micit kakinya yang lenguh.Sudah hampir satu jam dia berjalan tanpa arah tuju.Pergelangan kakinya kembali berdenyut-denyut.Humaira tidak mampu berjalan lagi.Akhirnya dia duduk melepaskan lelah di sebuah bangku kayu berdekatan taman.


"Ya Allah, mana aku nak pergi ni.."


Humaira merintih.Peluh renek yang membasahi dahi disapu dengan hujung lengan baju kurung.Humaira memerhatikan sekitar kawasan taman yang luas tanpa pengunjung.Mungkin kerana hari masih pagi dan orang ramai pergi bekerja, tempat itu sunyi dan sepi sekali.


Humaira merenung sayu tasik yang luas terbentang di hadapan mata.Tempat itu mengingatkannya pada kampung halaman, Yusra dan ayahnya.Humaira sebak mengenangkan nasib diri yang malang.Hidupnya bagaikan kapal di lautan yang terumbang ambing.


Sebentar kemudian, wajah Puan Suraya dan Encik Nazri pula terawang di mata.Humaira menekup muka dan menangis semahunya.Dia tahu apa yang dilakukan itu salah.Dia tidak sepatutnya membalas kebaikan mereka dengan tindakkan bodoh seperti itu.Namun apalah dayanya kini.Hatinya terlalu rapuh untuk menelan kata-kata pahit yang dilemparkan Haikal.Menyedarkan dirinya yang sememangnya tidak layak untuk menumpang kasih di rumah agam itu.


**************


"Jumpa je dia terus call mama!"


Puan Suraya berpesan untuk yang kesekian kalinya kepada Haikal sebelum mereka sama-sama bergerak untuk mencari Humaira.


"Saya yakin bang, Maira masih tak jauh dari sini."


Puan Suraya cuba menyedapkan hati yang diombak resah.Kesudian Haikal untuk sama-sama membantu mencari Humaira sedikit sebanyak melegakan hatinya.


"Doa banyak-banyak.InshaAllah, Maira selamat."


Ujar Encik Nazri sambil matanya diliarkan mencari kelibat Humaira.


"Mana kau pergi Humaira.."


Haikal menopang kepalanya dengan sebelah tangan.Hatinya mula diburu rasa bersalah.Tidak menduga sama sekali yang gadis itu nekad berbuat demikian hanya kerana kata-katanya.


'Kalau jadi apa-apa dekat kau, aku takkan maafkan diri aku sampai bila-bila.'


***********


Setelah agak lama melepaskan lelah, Humaira berkira-kira untuk melanjutkan perjalanan yang dia sendiri tidak tahu arah tuju.Sewaktu berdiri, Humaira dapat merasakan yang tubuhnya begitu lemah sekali.Mungkin kerana sejak pagi lagi dia tidak menjamah sebarang makanan, ditambah pula dengan berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer jauhnya.


Tekaknya mula terasa kering dan haus yang teramat.Namun Humaira tetap memaksakan diri berjalan dengan kaki yang terincut-incut.Melangkah saja beberapa tapak, kepalanya mula terasa berpusing-pusing.Beberapa saat kemudian, gadis malang itu rebah ke bumi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sue Ann