Home Novel Cinta MY WEIRDO GIRL
MY WEIRDO GIRL
rabetkha
30/4/2022 03:51:03
429
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 6

DIA menggariskan satu senyuman nipis bila ada mata-mata manusia memandang ke arahnya. Ada yang berikan dia senyuman nipis. Tak kurang juga ada yang memberi maksud renungan terkejut kepadanya. Seri tarik nafas lantas dihelanya panjang. Manusia-manusia yang kini berada di kawasan dewan hotel, memenuhi ruang. Majlis sudah dimulakan kurang beberapa minit. Mata Seri merenung sekeliling, mencari Wafiy yang masih tak kelihatan. Mana pulalah mamat ni. Staf lain dah pandang dia macam nak tercabut biji dari soket mata. Dia jadi segan tak terkata. Ada beberapa orang staf lagi sudah merenung dia di kejauhan. 

Haih, Seri paling tak suka bila ada lelaki pandang dia atas bawah! disebabkan perangai lelaki spesis suka pandang atas bawahlah dia tak suka nak pakai baju jenis-jenis kewanitaan ni. Dia lebih suka pakai baju kemeja macam kebiasaan. Nasib baiklah ini majlis formal. Kalau tidak?  kirim salam sajalah dia nak pakai baju manik-manik kasut tinggi.  Huh, leceh!

Dia akan berpakaian vouge bila dia nak feeling-feeling cantik saja saat nak bergambar. Itupun bila berseorangan. Kalau kat majlis besar dan dikerumuni ramai orang? memang dia berasa kekok bila menjadi perhatian.

Seri berjalan untuk menikmati hidangan yang disediakan sebelum daddy tiba di lokasi. Nanti, kalau makan lambat-lambat ... dia pula yang susah nak kena makan dengan daddy dan kawan-kawan daddy. Kalau makan depan mereka, mulalah dia kena belajar jadi sopan-santun. Tak kuasalah nak jadi fake! tapi kalah tak jadi fake,  daddy pula yang marah.

"Aku dengar cerita, anak owner Hotel Warisan tu nafsu kuda.  Dua-dua boleh.  Perempuan dia boleh balun, laki pun boleh. Kejap lagi, kalau dia datang sini...  you try la goda dia. You usap punggung dia je, confirm dia syok kat you."
Seri tersentak bila telinga dapat menangkap perbualan di antara dua orang staf yang bekerja di departmentnya. Cepat-cepat dia berhenti dari menciduk makanan.

Bila sebut 'anak owner Hotel Warisan' lagilah dia mahu pasang telinga tikus. 

"Setahu I, ada orang kata dia tu nafsu songsang je. Sebab itulah tak kahwin sampai sekarang. You tengok adik-adik dia? semua dah kahwin. Kasihan Tan Sri Abdullah dapat anak sulung spesis macam itu."
Tidak semena-mena, Seri telan liur yang terasa pahit.

Fulamak, dia orang ni sibuk nak cakap orang lain nafsu songsang. Yang mereka tu gaya-gaya makyah kat lorong haji taib, tak ada siapa pula nak kisah?
Sibuk betul dengan hal keluarga orang.

"Betul you. Hari tu kan, my adik ada beritahu pasal si Bahran tu. Dia cakap, ada perempuan mengamuk-ngamuk pegang anak tau? perempuan tu lahirkan anak dia tu, tapi dia tak nak bertanggungjawab.  Siap lempang perempuan tu lagi tau?"
Bahran?  itu bermakna mereka sibuk mengata mamat wolverine yang dia jumpa tempoh hari?
Rasa nak tercekik kerongkong bila Seri terdengarkan perkataan perempuan mengamuk-ngamuk. 
Woi, mereka macam cakap pasal aku je? sempat hati menjerit terkejut.
Tak sangka pula hal tersebut sudah sampai ke telinga staf di syarikat daddy. Lain macam penangan mamat wolverine tu.

Kejap ... bila cakap pasal lempang, dia rasa hairan jap.
Lempang? Aik, bukan aku ke yang lempang dia?  kenapa pula si nyah ni pusing cerita? puaka juga mulutnya.
Kalau iapun lelaki itu kejam, tak baiklah pula mereka mensongsangkan lelaki itu ikut suka mereka. Dasar mulut tak ada insurans!

"Apa kata, kita update pasal hal ni dekat sosmed nak?  atleast, kalau netizen tahu ... letop-letopan facebook kita, ramai like and followers." Rasa nak terkeluar biji mata Seri bila lelaki berbaju ungu berbulu-bulu di leher membuat perancangan sedemikian di tempat awam begini.

Woi, fitnah teruk tu! tak baiknya nak jatuhkan maruah orang sampai ke tahap itu.
Haih, aku jerut leher dia dengan kain bulu-bulu dia tu, baru dia tahu erti penyesalan. Senang-senang nak fitnah orang! nak tutup periuk nasi orang hingga mencemarkan maruah dan agama orang lain.

Tanpa berfikir panjang, Seri pantas menyelit di tengah-tengah tempat kosong di antara tempat mereka berdiri. Hubungan songsang itu adalah isu sensitif dalam kalangan umat islam. Mereka jangan buat hal!

"Dah banyak kumpul pahala ke sampai suka sangat sibuk hal orang?  Dah bersedia ke nak cari orang yang diumpat tu kat akhirat nanti?" Terlopong bibir mereka berdua bila Seri selamba membidas sambil meneguk air berperisa anggur di tangan. Mereka terkebil-kebil.

"Eh, Cik Seri dah sampai? maaf, kami tak perasan." Tergagap-gagap mereka dibuatnya.

"Macam mana nak perasan kalau sibuk mengumpat hal orang je?" Seri panggung muka depan lelaki berbaju ungu. Senyuman sinis dia lemparkan.

"Relaks, kami bukan mengata cik pun. Kami just cakap pasal ...," jawab lagi seorang staf berbaju hijau tua.
Seri bersilih ganti pandang mereka atas bawah.

"Belajarlah jaga tepi kain sendiri daripada sibuk jaga tepi kain orang.  Takut nanti, tepi kain sendiri koyak pun you tak perasan!" Setelah selesai menyinis, dia berlalu pergi dari kawasan itu. Sempat hujung mata menjeling.

Fuh, bab nak sound orang setepek memang kepakaran kau Seri Nur Ilyuni.

"HAI, minah ranggi. Sorry beb aku lambat sikit. Jalan jem teruk der." Tergesa-gesa Wafiy menarik kerusi dan duduk di sebelah Seri.  Tangan melambai betul-betul depan muka rakannya itu.  Seri membalas dengan jelingan.
Banyaklah dia punya sorry! hampir setengah jam dia menunggu, lelaki itu baru munculkan diri.

"Banyaklah kau punya der! Kalau aku tahu kau datang lewat tadi, aku tak akan gerak awal." Seri mengomel geram. Dia ketap bibir.

"Rindu akulah tu." Wafiy membalas nada nakal. Siku menyenggol halus tubuh Seri. Dua belah kening diangkat tinggi.

"Banyaklah kau punya rindu. Aku backhand kepala kau baru kau tahu." Seri menunjuk buku lima depan muka Wafiy.  Wajah cemberut ditayangkan.
Hubungan rapat dia dan Wafiy tidak dapat disangkalkan. Ke mana saja Seri pergi, pasti lelaki itu akan ada sekali.
Kalau Wafiy terlewat sedikit, mulalah dia tayang muncung itik.
Hanya Wafiy yang mampu melayan kerenah peliknya.  Sikap Seri tidak terduga dan tidak semua orang boleh terima.

"Tetamu VVIP tak sampai lagi?" Sambil mata mengitari kawasan majlis, dia bertanya. Seri buat muka kosong,  bahu dijongket.

"Entahlah. Ada ke tetamu terhormat dalam majlis kita ni?" dia akhiri ujaran dengan soalan.  Wafiy kecilkan biji mata tanda protes.

Nama saja anak bos. Tapi, hal penting sedikitpun tidak mahu ambil tahu.

"Hei, kau ni! orang suruh ambil tahu hal kerja, kau tak mahu. See, agenda majlis pun kau tak tahu! sibuk sangat mengular, tu yang tak tahu menahu hal yang wujud dalam company bapak sendiri."
Seri katup dua belah telinga bila Wafiy dah panjangkan bebelan.

Adeih, tanya sepatah tapi jawab berpuluh patah. Itulah kelebihan Wafiy yang boleh bercakap berpuluh patah perkataan dalam satu nafas.

"Kau ni kuat bebellah. Aku tanya, jawab jela." Tangan menubuk halus pergelangan tangan Wafiy. Bibir diherot ke tepi. Wafiy tarik nafas dalam-dalam lalu melepaskannya semula.

"Agensi pelancongan kita bekerjasama dengan Hotel Warisan bermula tahun ini. So, hari ni pihak kita akan memperkenalkan Pengurus Hotel Warisan kepada para tetamu kat sini."
Seri terangguk-angguk. Dalam waktu yang sama, dia, terkejut mendengar nama hotel yang disebut-sebut. Rasa nak terjatuh jugalah bulatan otak dia bila syarikat daddynya menjalinkan perhubungan bersama Hotel Warisan. Cuba dikawal perasaan itu depan Wafiy.

Alamak,  matilah aku. Hope, kalau terserempak mamat tu ... dia tak kenal aku.

"Fuh,  kau punya penerangan macam tengah baca buku ooo. Kiranya mamat wolverine tu memang orang terpenting untuk company bapak aku?" lanjut Seri.  Tawa halus terletus.  Perangai Wafiy memang begitu. Jika dia menerangkan sesuatu perkara, perangai skema muncul secara spontan.

"Mamat wolverine?  kau kenal Encik Bahran?" terkedepan muka Wafiy menghadam perkataan yang dilontarkan Seri. Bibir membulat luas. Dan-dan, Seri disapa perasaan gelisah.

Tersalah bual pula.

"Haaa, maaa mana ada." Tergagap-gagap. Dia ketawa kuat-kuat, tangan pula sengaja pukul-pukul Wafiy semata mahu sembunyikan perasaan tak tentu arah.
Makin dia tunjuk perangai pelik, makin Wafiy perasan yang Seri sedang sembunyikan sesuatu.

"Dah tu? kenapa kau panggil dia macam itu?" Wafiy menduga. Dalam-dalam dia pandang Seri. Menanti jawapan.

"Diamlah. Dah, cepat makan."

BAHRAN sedikit canggung bila pandangan mata dapat menangkap beberapa figura perhatikan gerak-gerinya.
Dah kenapa pula kepala mereka dok tersenget-senget pandang dia?  Haih,  lain macam juga para tetamu di situ.

Dalam keadaan tidak senang, dia tetap duduk di bahagian meja yang disediakan bersama setiausahanya. Sesekali, tuxedo dibetul-betulkan. Di saat pandangan mata melingas pandang sekeliling, dia perasaankan satu wajah gadis berambut keriting duduk menghadapnya. Matanya sedikit membulat.

'Nampak sama, tapi confirm bukan dia.' Hatinya berbisik perlahan. Tidak berkelip matanya fokus kepada wajah itu. Air berperisa oren disisip seketika walaupun pandangan masih tak berkalih ke tempat lain.

"Encik Bahran?" seseorang menepuk bahunya.  Laju Bahran pusing kepala.  Melihat wajah itu, segera dia bangkit dari duduk. Sedikit gabra bila bertemu mereka bergelar datuk ni.

"Ya, Datuk Yunus." Kepala ditundukkan tanda hormat. Senyuman manis diukir lembut. Datuk Yunus angkat tangan kanan lantas diusap lembut bahu lelaki itu. Rasa tenang bila melihat anak muda itu.

"Saya ada dengar isu baru-baru ni. Ada perempuan serang kamu di hotel.  Betul ke?" tak menyempat nak duduk, beliau bertanyakan isu yang sedang hangat diperkatakan di kalangan stafnya.  Bahran bulatkan mata.

"Datuk tahu tentang hal tu?" Terkebil-kebil dia buat seketika. Tayang wajah pelik.

"Ada orang kirim video dekat saya. Siapalah perempuan yang nak sabotaj kamu tu, kan?  Saya tak dapat pula tengok muka dia.  Sebab dalam video tu mereka kabur muka perempuan tu." Lihat Datuk Yunus menceritakan hal yang diketahuinya.  Bahran pamerkan senyuman tawar.

Ternyata, isu tempoh hari mampu mengganggu kehidupan hariannya.

"Video? maknanya video dari CCTV atau video rakaman?"
bertanya lanjut. Kepastian perlu dicari.

"Nampak gayanya ada orang rakam." Pembantu peribadi Datuk Yunus pula menjawab.

"Allahuakhbar. Patut orang pandang saya pelik." Terasa bahang seluruh muka.

Siapa pulalah yang merakam kejadian tersebut!

"Sabarlah, perniagaan besar-besar macam kita ni memang banyak musuh. Uncle yakin, kamu boleh hadapi masalah ni." Terlihatkan wajah Bahran berubah risau dan tidak tentu arah, kata-kata positif dititipkan.

"Uncle?  eh, macam segan aje bila datuk ..." tak sempat teruskan ayat, Datuk Yunus terlebih dahulu menyambung kata.

"Panggil Uncle Yunus je." Kuntuman senyuman dilemparkan kepada Bahran. Hati rasa berkenan pula melihat budi bahasa yang ditonjolkan sejak pertama kali mereka bertemu.

Sayangnya lelaki kaya dan baik hati seperti Bahran tidak punyai permaisuri hati. Kalau jadi menantunya,  bagus juga. Hubungan yang terjalin pasti akan lebih rapat di antara mereka.

"Oh, ya.  Tadi anak saya dah sampai. Mana pula budak tu pergi eh? Saya ingat, nak kenalkan dia dengan kamu."
Datuk Yunus berura-ura mahu perkenalkan Bahran kepada Seri.

Anaknya itu masih bujang.  Daripada dia berhubungan rapat dengan Wafiy sepanjang masa, ada baiknya dia mencari seseorang yang mampu menjadi peneman halal buat anaknya.

"Tu dia datuk." Jemari pembantu peribadi Datuk Yunus terhala ke arah meja yang menempatkan Seri.

"Aik, dah kenapa pula budak tu tutup muka dengan handbag? Macam tahu-tahu saya nak panggil dia." Datuk Yunus kenal sangat perangai anak perempuannya itu. Kalau dia dah buat perangai tutup-tutup muka, itu bermakna dia sengaja menyembunyikan diri daripada pengetahuan Datuk Yunus yang mencari.

Tutup-tutup muka konon. Apa dia ingat orang tak perasanlah rambut keriting dia yang berwarna karat tu? 

"Seri Nur Ilyuni?" Suara Datuk Yunus yang bergema di segenap ruang buatkan Seri tertegak. Terus kepala dipusing menghadap lelaki separuh abad itu.


  • update: 30 april 2022 BAB 1-BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh rabetkha