Home Cerpen Umum BAHALOL!
BAHALOL!
Abu Hurairah
30/12/2016 11:56:39
1,963
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Piiinn!! Pinnnnnnnnnn!!!!

Suasana hening pagi dibingitkan oleh bunyi hon motosikal milik Kamarul.

“Woi!!! Buta ka?? Tengok la dulu side mirror tu sebelum nak masuk simpang!!”

Herdikan keras dikeluarkan dari mulut Kamarul kepada sebuah kereta Proton Saga lama, ataupun lebih dikenali sebagai “Kereta Kebal Malaysia” itu.

Mulutnya terkumat-kamit kembali mengomel.

“Aku ni dah la bawa motor kecil. Elok ja aku menunggang di laluan motosikal. Tak kisah la ada orang panggil lorong kecemasan ka apa ka, tak kan lah aku nak bawa tengah-tengah jalan pula. Dah la bawa kereta tu slow, lain kali lepas bagi signal tu, tengok la dulu ada orang ke tak sebelum nak masuk simpang. Bahalol!!!”

Ketika berselisihan, Kamarul menjeling tajam untuk melihat siapakah pemandu kereta tersebut. Kelihatan seorang warga emas, yang cuba mengukir senyuman pahit, mengangkat tangannya dengan anggukan lemah, sebagai wadah meminta maaf. Songkok yang dipakainya agak lusuh, langsung tidak sepadan dengan wajahnya yang kelihatan bersih tanpa sebarang misai mahupun jambang. Disebelahnya terdapat sorang pemuda dalam lingkungan 20-an, anaknya barangkali, berpakaian kemas, rambutnya disikat rapi ke tepi, mungkin dia menggayakan rambutnya dengan minyak rambut yang agak trending sekarang, pomade. Pemuda itu bertali leher hitam dan memakai jaket gelap di sebalik kemeja putihnya. Pemuda itu turut serta memberikan senyuman. Ah bukan! lebih kearah senyuman sinis dengan kerutan kening seakan-akan hairan, dengan tangan kanannya diangkat, lebih kurang tinggi separa tingkap kereta, manakala tangan kirinya memegang kemas beberapa keping fail yang dilekapkan rapat ke dada.

“Huh! Datang nak interview la tu. Ajar bapak kau tu dulu cara memandu yang betul. Alert sikit dengan lalu-lintas! Haih! Susah betul la Homo Sapiens zaman sekarang. Bila la nk bangsa nak maju kalau macam ini,” gertak Kamarul jauh di dalam hatinya.

**********

“Adoi! Siapa pula berani ambil tempat parking motor aku ni?”

Tempat letak motosikal penuh hari ini. Bahkan, tempat kegemaran Kamarul pun sudah di ambil orang.

“Sahih budak-budak yang datang interview hari ni! Depa ni pun satu. Selalu macam ni. Buat event la apa la, open interview la apa la, buat tu reti, buat ni pandai, tapi tak pernah bersistem. Buat la bagi nampak sistematik sikit, bagi teratur, baru la orang salute. Bahalol!

**********

“Fuh! Nasib baik sempat harini, aku memang selalu on-time

Riak wajah Kamarul jelas terpapar perasaan riak, disokong dengan manik-manik peluh di dahinya. Nafas Kamarul termengah-mengah dek berlari anak bagi mengejar masa untuk punch card. Diperhatikannya lagi sekali sekali imbas. Terdapat 4-5 hari yang bertanda tanda merah untuk bulan ini yang menandakan dia selalu “ter” lambat.

“Alaaa, sekali-sekala je pun. Depa hat pegawai-pegawai tu lagi la. Masuk ofis pukul 10-11, kadang-kadang yang masuk kerja lepas waktu makan tengah hari pun ada. Dah la lambat, lepas tu masuk je ofis, terus buat muka “ketat”, muka habis busy konon-konon baru balik dari mensyuarat la apa la. Piirahh!”

Tersenyum sinis Kamarul apabila memorinya mengimbau senario seorang pelawak tanah air dalam satu rancangan realiti di mana pelawak tersebut sedang membina sebuah mesin masa, dan tujuannya hanyalah semata-mata untuk kembali ke masa lampau untuk berjumpa dengan pencipta punch card dan melakukan “punch gunalan” kepada pencipta “punch card”. Ye betul! Pencipta punch card memang bahalol!

**********

Maka bermula lah kisah kerja rutin harian Kamarul yang agak membosankan. Masuk ofis, kemas fail, susun dokumen, taip surat, fotostat memo, lagi dan lagi dan lagi kerja-kerja yang langsung tidak berkaitan dengan surat tawaran yang diperolehinya. Pendek kata, kerjanya sedap digelar “balaci” bos.

Kamarul masuk ke pejabatnya dengan langkah yang sangat bergaya. Dia mempelajarinya daripada drama bersiri korporat yang selalu ditontonnya di televisyen yang tidak pernah tertinggal walau satu episod sekalipun. Akan tetapi, Kamarul selalu terganggu dengan bunyi bising enjin motosikal Haji Khairi, jirannya, tatkala menonton drama yang ditayang pada lewat petang itu, yakni di waktu azan maghrib sedang berkumandang.

“Tak payah la nak start motor depan-depan rumah kalau dah tahu bunyi enjin tu dah macam tongkang pecah. Surau depan rumah tu kan ada, pi ja la jalan kaki, apa susah, nak juga pi masjid kat taman sebelah. Haish. Bahalol!”, bisikan hati Kamarul yang melepaskan geram kerana terganggu dengan bunyi bising motosikal jirannya itu.

Kamarul menuju ke arah mejanya tanpa menoleh ke kiri atau kanan. Tidak dilupakan, muka “ketat”nya. Diletaknya beg galas di atas kerusi, dihidupkan komputer riba milik syarikat, dan dengan lincahnya.......bergerak keluar ke arah warung Wak Erman yang terletak di belakang bangunan pejabatnya.

“Ingat tu! Kerja kita kena proaktif! Work hard play smart! Untuk menghasilkan kerja yang bermutu, kita haruslah berada dalam keadaan yang terbaik! Oleh itu, sarapan itu wajib ye tuan-tuan”

“Kah Kah Kah Kah!!”

Itulah jawapan pegawai bahagian teknikal syarikat kepada Kamarul dan rakan sepejabatnya tatkala mereka beramai-ramai meng-imarahkan warung Wak Erman ni.

**********

Kamarul mengeluh panjang melihat timbunan dokumen-dokumen di atas mejanya yang setebal buku teks sekolah rendah itu. Masih banyak yang tertangguh. Masih banyak yang perlu diselesaikan. Jadual untuk bengkel bulan hadapan belum disediakan, notis memo bulanan pun belum disentuh lagi, apatah lagi surat permohonan sebut harga kepada pihak kontraktor milik adik ipar ketua pengarah syarikatnya itu. Perasaan risau dan gelisah semakin menguasai dirinya.

“Aduh! Banyaknya kerja aku. Tak padan langsung dengan gaji yang dibayar. Gaji seciput! Kerja banyak nak mampos!

Terngiang-ngiang di telinga Kamarul teguran pedas bos-nya semalam.

“Hang ni! Aku suruh buat kerja sikit pun ambil masa sampai seminggu. Dulu, kalau aku suruh Si Fahrina tu buatkan, setengah jam ja dah siap hang tau tak? Proaktif la sikit! Ambil inisiatif. Jangan la jadi macam pahat dengan penukul! Dah la lembab, banyak pula tu kesalahan.”

“Apa la nak jadi dengan melayu gen-y zaman sekarang.”

“Bila aku marah mula la nak start tarik muka la apa la.”

Kamarul hanya diam membisu mendengar teguran tersebut. Ditundukkan kepala memandang kasut berkilat pengurusnya itu. Kadang-kadang terlintas di fikirannya, “pukul berapa la ‘mangkuk’ ni bangun pagi semata-mata nak kilatkan kasut tu”. Tangannya digenggam erat menahan sabar. Hanya bisikan hatinya mampu melawan. Itupun bisikan hati yang nun jauh di sudut paling belakang.

“Hang tu cakap ja pandai belia botak. Aku buat itu tak kena, buat ini tak betul, walhal orang lain pun ada je buat salah. Tu, si Nor tu, banyak juga buat salah. Tak pernah pula hang marah dia depan orang lain?”, kata Kamarul di dalam hati.

“Harap belajar ja tinggi-tinggi. Menara gading lah sangat. Setiap kali perjumpaan ka bagi ucapan ka, tak habis-habis memuji diri sendiri, bercerita pengalaman kerja kat pelajar-pelajar praktikal tu, konon-konon merendah diri tapi bermegah dengan kejayaan segulung ijazah master hang tu. Bermegah dengan pangkat yang hang dapat tu. Bermegah dengan kemajuan bahagian syarikat di bawah pimpinan hang tu. Piiirahhh!! Tunggu la. Tuhan itu Maha Adil!. Dasar bos bahalol!

**********

Kamarul menghela nafas panjang. Disedutnya udara sedalam yang mungkin, dari rongga hidung, udara yang disedutnya bergerak perlahan melalui saluran pernafasan, sehingga memenuhkan rongga paru-parunya, dan dihembuskannya kembali nafas, melalui mulutnya secara perlahan-lahan. Dilihatnya sticky note yang dilekatkan di tepian skrin komputer ribanya, tergerak dek hembusan nafasnya. Satu persatu dokumen yang perlu disiapkan mula dibelek dan diteliti. Butir-butir perancangan mula berpucuk di setiap pelusuk akalnya. Apa? Bagaimana? Siapa? Kenapa? Bila? Di mana? Persoalan-persoalan yang akan diselesaikan oleh Kamarul dengan jayanya. Jari-jemarinya mula lincah menaip perkataan-perkataan formal, yang selalu digunakan dalam surat-menyurat. Kadang-kadang, beberapa kali dia menggelengkan kepalanya. Tersilap taip barangkali. Ataupun, mungkin juga kurang bersetuju dengan penggunaan perkataan dari Bahasa Inggeris yang dipinjamkan kepada Bahasa Malaysia, terlalu banyak!

Bzzttttt! Bzzttttt!

Terasa getaran. Oh! Telefon bimbitnya! Matanya menjeling ke arah skrin telefon yang diletakkan bersebelahan keyboard komputer ribanya. Bukan mudah untuk Kamarul, banyak rintangan kewangan yang perlu ditempuhi sebelum dia dapat memiliki dan menggunakan telefon pintar yang agak mahal itu. Sejak dia mendaftar pakej ansuran bulanan telefon pintar itu, Kamarul terpaksa menukar jenama rokoknya. Jika sebelum ini Kamarul banyak membantu ekonomi negara dengan menyumbang sedikit sebanyak dalam pembelian rokok yang dikenakan cukai, sekarang tidak lagi. Bahkan susu formula untuk anak kecilnya juga terpaksa ditukarkan kepada jenama yang lebih murah.

“Siapa pula yang kacau aku ni? Rasanya aku dah mute semua group notification dalam whatsapp ni,” bisiknya lagi kepada diri sendiri.

Kamarul membaca paparan mesej di telefonnya;

“Abang, nanti tolong ambil Amir dekat stesen bas boleh? Dalam pukul 11.30 nanti dia sampai lah. Sayang tak sempat la, si Aisya ni MC pulak last-last minit, mentang-mentang la esok dia cuti. Sayang kena ganti dia masuk meeting ni.”

Kamarul membalas mesej isterinya itu;

Meeting apa?”

Dibalas isterinya;

“Ntah la bang, depa cakap meeting penting gak. Tapi sayang cuma penuhkan quorum ja.”

Kamarul tahu isterinya itu sedang menaip sesuatu yang agak panjang, ataupun ditaip dan dipadam berulang-ulang kali. Agak lama status “Sayang is typing...”

Alaa, tak pa, bukannya ada beza pun. Depa ni time meeting ja “sembang lebat”. bukan ada action pun. Abang tolong eh, ambil Amir nanti. Thank you bang. Love you. Mmuahh3x XOXO <3

Satu lagi keluhan dikeluarkan oleh Kamarul. Kali ni keluhannya lebih cepat dan kuat dan diiringi dengan sebutan “haihhhhh”, tetapi dalam nada yang perlahan.

“Ni lagi satu masalah besar negara, adik ipar aku ni pun satu, nak datang pun time-time ofis hour. Dah tahu ada interview petang ni, pandai-pandai la cari kenderaan, pandai-pandai la atur perancangan, pandai-pandai la hidup, ni tidak, tak dak perancangan langsung. Tak sistematik langsung! Kalau hang tu bukan adik bini aku, dah lama aku kategorikan sebagai bahalol tau tak? Memang bahalol!” bebel Kamarul di dalam hatinya.

Kamarul membalas pendek mesej isterinya;

“K”

Cukup memadai. Kamarul sedar, sekiranya dia mencari seribu satu alasan, maka terpaksa la dia menghadap bebelan yang bertubi-tubi malam ni. Kamarul risau konsentrasinya untuk menonton drama kegemarannya tatkala waktu maghrib nanti terjejas. Isterinya kuat membebel, Kamarul sangat masak dengan perangai dan kehebatan isterinya dalam mengingati setiap satu persatu perincian dan akan mengungkit segala jasa dan kebaikan yang dilakukan oleh isterinya terhadap keluarga Kamarul ketika dia terdesak. Tiada satu pun yang tidak pernah terlepas!

Ditinggalkan komputer ribanya begitu sahaja. Begnya digalas dan Kamarul beredar pergi dengan langkah seribu. Tidak dilupakan, wajah “ketat”, bagi menunjukkan betapa sibuknya seorang kakitangan yang sentiasa berhemah itu.

“Kerja-kerja tu esok pun boleh siap kot. Sat ja. Eh! Tapi esok ada mensyuarat ahli kelab futsal pukul 10 kan? Ahh! Lantak la. Esok-esok la aku fikirkan.”

**********

“Abang Mat! Pinjam sat helmet bau “kepam” hang tu. Aku nak pi ambil adik ipar aku kat stesen bas”, kata Kamarul kepada rakan sekerjanya, dengan nada bergurau.

“Ambil lah, tapi jaga-jaga sikit bro, span helmet tu dah nak tercabut, jangan la pakai ganas-ganas sangat ye”, jawab Abang Mat.

Kamarul kembali menceloteh,

“Kah kah kah! Tu la bang, aku dah cakap, pila buat rawatan “kecemasan” rambut ka apa ka, apa-apa ja la janji bagi nampak elok sikit rambut hang tu. Teruk sangat aku tengok. Bersilau sangat botak tengahnya tu! Dah macam mentol lampu aku tengok dari belakang. Kah kah kah!”

Apa lagi yang boleh diperkatakan oleh Abang Mat, melainkan dia mampu mengukir satu senyuman pudar. Tetapi, jauh di sudut hati Abang Mat, hatinya terasa dengan jenaka rakan sekerja yang sebaya dengan anak sulungnya itu.

**********

Kamarul menghidupkan enjin motosikalnya. Helmet Abang Mat diletakkan di raga hadapan. Dikeluarkan sekotak rokok dari poket hadapan seluar kanannya, diambil sebatang rokok, dikepilkan di celahan bibir dan dicucuhnya. Kamarul menyedut dan menghembuskan beberapa kali asap rokok seludupnya itu. Cermin pandang sisi dibetulkan. Kamarul melihat jam tangan model G-Shock miliknya yang dibeli di pasar malam. Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi.

“Ok cantik! Ada lagi sejam. Amir sampai pukul 11.30. Sempat lagi pekena kopi secawan kat kedai janda tepi sungai tu.”

Vroooommmmmm!!

TAMAT.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abu Hurairah