Home Cerpen Umum Jika Aku Mampu Melihat Dunia Lagi
Jika Aku Mampu Melihat Dunia Lagi
Nazsuha Faizila
6/9/2016 11:18:29
1,070
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

GITAR yang berada di sudut bilik itu kucapai. Biarpun gitar itu sudah lusuh dan buruk namun, tetap menjadi pilihanku. Aku tersenyum. Kuraba gitar tersebut perlahan-lahan. Talinya masih utuh dan kuat.

Badannya? Maksudku, badan gitar tersebut. Hmm… ada terkopak sedikit nampaknya. Bahagian yang terkopak nanti akan kubaiki supaya lebih elok dan cantik dipandang orang.

Bunyinya? Aku mencuba memetik gitar tersebut. Ternyata bunyinya juga masih sama. Masih seperti dulu. Tiada apapun yang berubah. Tanpa kusedari bibirku menguntum senyuman walaupun aku tahu aku tidak akan dapat melihat senyuman itu.

Gitar tersebut kuletakkan kembali di sudut bilik. Kusandarkan baik-baik supaya gitar tersebut tidak terjatuh. Kemudian, aku sambung aktivitiku yang tergendala tadi.

Hipster Pomade kuletakkan pada rambutku agar nampak rapi dan hmm… kacak! Bak kata rakanku yang memperkenalkan kepada aku pomade ini. Katanya menjadi trend jejaka-jejaka Malaysia di luar sana. Aku… ikut sahaja.

Kusisir rambutku dengan kemas menggunakan sikat. Setelah kuyakin kemas, aku capai pula kaca mata hitam. Kukenakan kaca mata hitam untuk nampak… kacak? Tidak! Bukan kacak tujuannya. Aku… mengenakan kaca mata hitam ini atas alasan yang tertentu.

“Din, sudahlah tu. Kau dah cukup handsome dah!” Kedengaran suara rakanku, Hafiz menegurku dari arah belakang.

Hafiz juga merupakan rakan serumahku dan juga peneman aku selama ini. Aku tidak punya sesiapa kecuali Hafiz dan Hafiz juga tidak punya sesiapa kecuali aku. Kami senasib. Sebatang kara.

“Kau ni, Din. Cepat sikit! Pak Mat teksi dah lama tunggu kita kat luar tu.” Dia, memang tidak habis-habis membebel.

“Yelah, Fiz. Tunggu aku sekejap,” balasku agar Hafiz boleh mengunci mulutnya daripada terus-terusan membebel.

Oh, lupa! Aku belum perkenalkan diriku. Namaku Tayuddin tapi orang panggil aku Din. Nama penuh? Tak perlulah semua itu. Cukuplah tahu nama samaran aku dan nama panggilan aku sahaja. Usiaku masih muda. Baru mencapai 42 tahun. Kacak? Semestinya kacak.

PASAR Seni. Tempat aku dan Hafiz mencari rezeki. Kami berdua bekerja di sini. Pelukis? Tidak! Bukannya kami pelukis di sini. Kami hanyalah pemain muzik jalanan sahaja. Bak kata orang sekarang, busking. Ya, busking! Dan kami pula buskers.

Alhamdulillah. Hasil kami yang tidak seberapa ini dapatlah menampung perbelanjaan kami di sini.

Aku meletakkan blind stick milikku di tepi dinding berdekatan dengan aku berdiri.

“Din, hari ini kau nak main lagu apa?” tanya Hafiz.

Aku dapat rasakan yang sekarang dia sedang mengerut dahi sambil memandang ke arahku. Matanya pula mula mengecil dek menahan cahaya matahari yang terkena matanya.

Aku tidak dapat melihat segala reaksinya bahkan wajahnya tetapi aku dapat mengagak berdasarkan nada suaranya. Naluri hatiku kuat!

Aku mendiamkan diriku sambil perlahan-lahan cuba untuk duduk di atas bangku kecil yang kami bawa. Kuraba bangku tersebut sebelum melabuhkan punggungku untuk memastikan bangku tersebut berada di kedudukan yang betul.

“Aku pun tak tahu, Fiz. Semua lagu kita dah main.” Aku buntu. Tidak dapat berfikir. Otakku kosong kini, sekosong hatiku.

Beberapa saat kemudian, aku tidak mendengar suara Hafiz. Dia diam. Mungkin sedang berfikir barangkali ataupun sedang menyusun alatan muzik untukku berdasarkan bunyi-bunyian yang terhasil daripada alat muzik tersebut.

Aku hanya menggaru kepala. Sudah banyak lagu yang aku main dan nyanyi sepanjang aku menjadi pemuzik jalanan di Pasar Seni ini. Aku tidak tahu.

“Din.” Hafiz menepuk bahuku menyebabkan segala kata hati dan fikiranku terus sahaja senyap sunyi.

“Apa kata kau main lagu Ronnie. Dikoyak waktu. Lagu tu famous, Din. Aku dengar baru-baru ni masuk final AJL.” Nadanya kedengaran gembira.

Aku dapat rasakan yang Hafiz sangat gembira sambil tersenyum lebar kerana dia punyai idea yang sangat bernas dan yakin aku akan bersetuju.

“Setuju!” Pantas aku memberikan kata putus.

Nampaknya, memang dia dapat memberikan keyakinan kepadaku. Ya, sentiasa!

“PAPA, kenapa orang tu jalan pakai tongkat? Dia dah tua ke papa? Tapi kenapa Yana nampak dia macam muda lagi? Sebab dia pakai cermin mata hitam. Cermin mata hitam yang papa selalu pakai.”

Aku tersentak mendengar kata-kata daripada seorang kanak-kanak kecil yang kebetulan sama-sama mahu melintas jalan denganku. Hatiku tergores sedikit dengan kata-katanya namun, apakan daya? Memang sudah aku begini.

“Din, sabarlah.” Hafiz menepuk bahuku. Mungkin dia tahu isi hatiku ini. “Biasalah, budak-budak. Dia belum tahu apa-apa.” Dia tahu hatiku tergores dengan kata-kata budak kecil itu.

Aku hanya mengangguk namun, tiada sebarang patah perkataan pun yang keluar daripada mulutku.

Hafiz memegang erat lenganku. Dia membantu aku untuk melintas jalan. Biarpun aku menggunakan blind stick namun, masih belum mencukupi. Masih banyak lagi kekurangan dalam diriku ini.

Dulu, aku boleh melihat dunia. Seperti semua orang. Dulu aku tidak buta. Tidak juga rabun. Penglihatanku jauh lebih baik daripada segelintir orang yang berkaca mata di luar sana.

Tapi, betullah kata orang. Allah itu Maha Berkuasa! Dia boleh ambil bila-bila masa sahaja nikmat-Nya yang diberikan kepada kita.

Satu sahaja peristiwa sudah cukup meragut nikmat pemberian Allah ini.

Aku buta! Ya, aku sudah tidak dapat melihat keindahan dunia ini lagi. Aku tidak boleh melihat langit, matahari, awan, bulan, bintang bahkan aku tidak boleh menatap wajah sendiri.

“Tuhan! Kenapa?! Kenapa Kau jadikan aku buta, Tuhan! Kenapa?!” Aku meraung, meratap dan menangis semahu-mahunya.

Aku tidak mahu! Aku tidak mahu dunia ini gelap! Aku masih mahu melihat warna-warni dunia ini! Aku tidak mahu jadi buta! Aku tidak mahu!

Aku berteriak semahu-mahunya sehinggakan doktor dan semua jururawat cuba untuk menenangkanku. Habis satu hospital mendengar jeritanku yang kuat ini.

Biarlah! Biarlah semua orang dengar! Biarlah semua orang dengar jeritanku ini! Biarlah semua orang tahu yang aku ini buta! Biarkan satu dunia tahu!

AKU merintih dalam sujudku. Berkali-kali aku berdoa agar aku bisa melihat dunia lagi namun, masih tidak dimakbulkan.

Mungkin Allah sayangkan aku. Dia mahu dengar rintihan daripadaku. Dia mahu melihat air mataku menitis di atas sejadah. Aku tahu. Allah itu Maha Penyayang. Dia tidak akan menurunkan ujian kepada hamba-Nya jika hamba-Nya itu tidak mampu.

Aku tahu, aku mampu. Aku mampu hadapi ujian dan dugaan ini dengan penuh rasa tenang walaupun terkadang ada sedikit terdetik di hati, “Jika aku mampu melihat dunia lagi.”

Terkadang kita alpa menyebabkan kita hanyut dalam arus dunia yang menyesatkan. Allah rindu hati resah kita. Allah rindu rintihan kita. Dia sengaja jentikkan hati kita agar kita merintih kepada-Nya. Dia sengaja datangkan ujian kepada kita agar kita berdoa dan memohon ampun kepada-Nya.

“DIN, isteri kau tak cari kau?”

Aku terdiam saat gegendang telingaku menangkap soalan yang keluar daripada mulut Hafiz. Lama aku mendiamkan diri.

“Anak-anak kau? Takkanlah diorang tak cari kau?” Mungkin dia menyedari aku mendiamkan diri menyebabkan satu lagi soalan diajukan kepadaku.

Kuhadam dua soalan tersebut sebaiknya. Sukar sebenarnya mahu menjawab soalan tersebut walaupun mudah sebenarnya. Jawapan dia terlalu sukar untuk aku lontarkan.

“Fiz, aku hmmm…” Aku mulakan bicara namun, terhenti seketika. Aku tidak dapat meneruskannya. Nafas kuhela lemah namun, panjang.

“Entahlah, Fiz.” Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum menuturkan bicara.

“Sampai sekarang diorang tak cari aku pun. Dah berapa tahun aku duduk kat sini? Tak ada sorang pun yang datang cari aku. Entah-entah diorang ingat aku dah mati.”

Hatiku tiba-tiba sahaja sayu saat menuturkan satu perkataan itu.

‘Mati’. Ya, mati! Satu perkataan yang pasti dan semua makhluk di atas muka bumi ini akan merasainya. Kita sahaja yang tidak tahu bila.

“Yalah, kemalangan tu pun dah cukup buat semua orang percaya yang aku dah mati.”

Kemalangan, yang menyebabkan aku begini. Satu kemalangan yang ngeri dan memang membawa kepada maut yang telah aku alami suatu ketika dahulu.

Masih segar dalam ingatan namun, tidak mahu pula aku ceritakan. Cukuplah ianya hanya tersimpan sebagai satu peristiwa hitam yang pastinya tidak akan berulang kembali.

“Kau… tak nak cari diorang?” Hafiz bertanya lagi. Mungkin dia bosan agaknya sampaikan tiada topik lain yang mahu dibualkan.

Aku tertawa halus. “Buat apa aku nak cari diorang?” Lucu dengan soalan yang kudengar sebentar tadi.
Diorang yang sepatutnya cari aku. Kalau aku cari diorang dalam keadaan aku macam ni kau rasa… diorang nak ke terima aku?” Sengaja aku mempersoalkannya.

Hafiz diam. Mungkin dia tidak punya jawapan.

Aku juga tidak punya jawapan untuk soalan itu. Biarkan. Biarkan soalan tersebut terus sahaja menjadi tanda tanya tanpa jawapan kerana aku tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan seterusnya.

“Jika aku mampu melihat dunia lagi…”

Mungkin bukan tiap semua soalan perlukan jawapan. Kadang-kala ada soalan yang kita sendiri tidak perlukan jawapannya. Biarkan soalan tersebut menjadi tanda tanya sampai bila-bila.

Bukan semua cerita perlukan pengakhirannya. Ada juga cerita yang tergantung dan mungkin tidak berakhir.

Sama seperti cerita kehidupanku yang aku rasa tidak perlukan pengakhirannya. Kerana aku tahu pengakhiran tiap sesuatu adalah rahsia!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.