Home Cerpen Islamik Nur Menyapa Lembaran Baru
Nur Menyapa Lembaran Baru
Nazsuha Faizila
10/3/2016 12:17:00
1,189
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik
KEDENGARAN bunyi mesin dari wad kecemasan. Bising dan bingit. Kelihatan susuk tubuh yang memakai jubah putih dengan beberapa orang wanita yang memakai uniform berwarna putih bergegas menuju ke wad kecemasan itu. Susuk tubuh yang memakai jubah putih itu sudah memegang stetoskop. Sekujur badan yang terbaring kaku di atas katil itu mula mendapat perhatian oleh beberapa orang wanita yang beruniform putih dan susuk tubuh yang bejubah putih itu.
“Doktor, macam mana?” Salah seorang wanita yang beruniform putih itu bertanya. Dahinya berkerut.
Susuk tubuh yang memakai jubah putih itu mendiamkan dirinya sebentar. Stetoskop dilekapkan pada sekujur tubuh yang terbaring kaku itu. Riak wajahnya pantas sahaja bertukar saat stetoskop tersebut melekap pada bahagian kiri dada sekujur tubuh itu. Wajahnya diangkat memandang wanita yang beruniform putih itu. “Ini satu keajaiban! Dia hidup!”

“Kau siapa?” Gadis itu mengerutkan dahinya. Dia yang sedang duduk di atas katil meluruskan pandangannya. Tidak mahu dia melihat gadis bertudung labuh yang berada di sebelah kanannya. “Aku tak pernah kenal kau pun. Kenapa kau kenal aku?” Nada suaranya kedengaran keras. Tiada nada mesra langsung.
Syafika mengeluh kecil. Mangkuk yang berisi bubur itu diletakkan di atas paha semula. “Amy memang tak kenal dengan Syaf tapi Syaf kenal dengan Amy. Dah banyak kali Syaf cakap yang kita pernah satu kuliah dulu.” Bibirnya tetap juga tersenyum. Sudu yang berisi bubur itu disuakan ke bibir gadis yang bernama Amy itu.
Amy diam. Dia yang menyedari ada sudu mendekati bibirnya, mula berdecit sedikit. Kepalanya digelengkan. “Tak, tak.” Dia memusingkan badannya. Mengahadap Syafika yang setia berada di sebelah katilnya. “Aku memang tak pernah kenal perempuan yang bertudung labuh macam kau ni. Tak pernah kenal.” Dia memandang wajah Syafika. Tepat ke dalam anak matanya.
Syafika menghela nafas panjang. Dia menundukkan wajahnya seketika.
“Doktor kata Amy boleh keluar dari hospital ni lusa.” Dia mengangkat wajah. Memandang wajah Amy yang mula masam mencuka itu. “Amy ikut Syaf. Balik ke rumah Syaf. Biar Syaf jaga Amy sampai Amy sembuh.” Lembut sahaja nada suaranya.
Amy diam. Tidak kedengaran kata-kata keluar daripada mulutnya. Selimut yang berada di atas katil digenggamnya erat. Giginya diketap geram. Dadanya mula kelihatan berombak.

“Mak cik, kenalkan.” Syafika mula bersuara. “Ini Amy. Amy yang Syaf ceritakan dulu.” Bahu Amy disentuh lembut.
Mak Cik Phea tersenyum. Pantas tangan kanannya dihulur untuk bersalaman dengan gadis yang berambut perang itu. “Apa khabar, nak?”
Amy diam. Matanya meliar melihat kawasan sekelilingnya. Sangat aneh kawasan tersebut. Dahinya berkerut. Bibirnya cemerut. Wajahnya masam mencuka. Huluran tangan kanan Mak Cik Phea itu tidak dihiraukan.
“Tak apalah, mak cik. Amy mungkin tak biasa dengan tempat ini.” Syafika pantas mencelah untuk membetulkan keadaan. “Mak cik bawa Amy masuk ke dalam dan tunjukkan biliknya.”
Mak Cik Phea pantas menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. “Baiklah, Syaf.” Pandangannya beralih pula ke arah gadis yang baru dikenalinya itu. “Mari, Amy. Mak cik tunjukkan bilik kamu.”

Kedengaran suara orang sedang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran menerjah gegendang telinga Amy. Suaranya yang merdu itu menarik perhatiannya. Dia bingkas bangun dan mengatur langkah mencari arah suara tersebut. Semakin dekat dia dengan suara tersebut hatinya semakin tenang. Tidak pernah dia rasakan setenang ini.
Amy mengintai di sebalik tingkap kaca tersebut. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang mengaji. Kelihatan juga Syafika yang sedang mengajar kanak-kanak tersebut. Dia ralit melihat kanak-kanak tersebut. Tenang sahaja matanya melihat. Bibirnya pantas sahaja menguntum senyuman yang penuh makna.
Syafika yang menyedari kehadiran Amy itu pantas mengalihkan pandangannya. Dia tersenyum sambil memandang wajah Amy yang sedang ralit itu. Hatinya terusik. ‘Mungkin dia datang untuk sama-sama menuntut ilmu denganku.’ Dia bingkas bangun daripada duduknya lalu mengatur langkah ke muka pintu.
“Assalamuaikum, Amy.” Syafika mula menegur Amy. Dia tersenyum sambil memandang wajah Amy.
Amy tersentak seketika. Dia yang ralit melihat kanak-kanak tersebut tidak sedar akan kehadiran Syafika. Wajahnya ditundukkan sedikit. “Wa…wa…wa…waalaikumussalam.” Teragak-agak dia menjawab salam daripada Syafika. Bibirnya diketap atas dan bawah.
“Amy nak belajar mengaji dengan Syaf?” Lembut sahaja Syafika bertanya kepada Amy. Dia mula mendekati Amy.
Amy pantas menggelengkan kepala. “Tak.” Dia mengangkat wajah. “Ak…aku nak pergi tandas sebenarnya,” Dalihnya. Cuba untuk berselindung. Dia mula mengatur langkah pergi dari situ.
“Amy,” panggil Syafika sewaktu Amy hendak angkat kaki dari situ. “Tunggu dulu.” Dia cuba untuk menghalang Amy untuk pergi dari situ. Perlahan-lahan dia mendekati Amy.
Amy memberhentikan langkahnya. Dia diam. Kaku di situ seketika. Menunggu langkah Syafika yang semakin mendekatinya.
Syafika meraih pergelangan tangan Amy. “Dah sampai masanya, Amy.” Dia tersenyum memandang wajah Amy.
Amy membalas pandangan daripada Syafika. Dahinya dikerutkan. Dia tidak faham. Pandangannya seolah-olah meminta penjelasan daripada Syafika.
Syafika tersenyum. Bibirnya seolah-olah tidak jemu untuk menguntum senyuman. “Mungkin Allah dah buka pintu hati Amy. Mungkin hati Amy mula disapa Nur.”

Amy membetulkan tudungnya. Dia tersenyum sambil melihat penampilan dirinya pada biasan cermin. Jubah dan tudung labuh kini menjadi perhiasannya. Indah sekali kelihatan dirinya. Sejak tiga bulan yang lalu dia telah berubah. Berubah menjadi seorang insan yang meninggalkan segala larangan-Nya dan mengerjakan segela suruhan-Nya. Dia bukannya Amy yang dahulu. Al-Quran yang berada di atas meja itu diambilnya.
Syafika perlahan-lahan menapak ke bilik Amy. Langkahnya lemah dan longlai. Dia sudah tiada daya lagi namun, demi setitis ilmu dia gagahkan jua dirinya. Semakin lama kepalanya semakin sakit. Sakit yang teramat sangat.
Amy menunggu kehadiran Syafika. Al-Quran diletakkan di atas rehal. Dia duduk di atas lantai. Perlahan-lahan Al-Quran tersebut dibuka. Helain demi helain diselaknya. Dia sudah jatuh cinta dengan Kalam Allah ini. Bibirnya tersenyum saat pandangan matanya tumpah pada ayat-ayat suci Al-Quran tersebut.
‘Ya Allah! Berikanlah diriku kekuatan. Sesungguhnya aku ingin menyampaikan ilmu-Mu.’ Syafika cuba bertahan. Langkah demi langkah dia atur. Longlai dan lemah. Badannya juga terasa melayang-layang. Dia sudah tidak tertahan lagi. Pandangan matanya mulai kabur. Perlahan-lahan dia rebah di muka pintu bilik Amy.
“Ya Allah! Syaf!” Amy pantas meluru ke arah sekujur tubuh yang kaku di muka pintu biliknya. Kepala Syafika dipangku. “Syaf! Bangun! Syaf!” Tubuh badan si gadis yang dibaluti jubah putih itu digoncangnya. Diam. Tiada sebarang reaksi daripada Syafika.
Air mata Amy mulai menitis saat pandangan matanya tumpah pada wajah Syafika. Pucat lesi. Tiada sebarang darah pun yang kelihatan di sekitar wajahnya. Kelihatan cecair berwarna merah keluar daripada hidung dan telinga Syafika. “Mak cik! Tolong! Mak Cik Phea!” Dalam sedu-sedan dia cuba melaung memanggil nama Mak Cik Phea.

Amy menutup Surah Yaasin setelah selesai membacanya. Kubur yang berada di hadapannya dipandang sayu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian, perlahan-lahan nafasnya dihela.
‘Syafika, terima kasih kerana telah membawa Nur dalam lembaran baru hidupku. Terima kasih kerana kau telah mengajar aku erti kehidupan. Terima kasih juga kerana telah menarik aku keluar daripada lembah kegelapan. Terima kasih, Syafika. Terima kasih.”
Air mata yang sedari tadi bertakung di sekitar tubir mata Amy telah pecah. Perlahan-lahan air mata laju menuruni lekuk pipinya. Dia bersyukur kerana telah dipertemukan gadis yang sungguh baik akhlaknya. Syafika telah membawa Nur dalam kehidupan barunya.
‘Syafika, kini giliran aku pula. Aku ingin jadi sepertimu. Mujahidah yang solehah.’ Dalam sedu-sedan bibir Amy cuba untuk menguntum senyuman. Dia bingkas bangun. Mengatur langkah meninggalkan kubur milik gadis yang tidak dikenalinya dahulu. Sebelum dia melangkah pergi, sempat dia menoleh semula. “Syafika, semoga Allah tempatkan rohmu di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.