Home Cerpen Umum Cerpen Covid-19 Mangsa
Cerpen Covid-19 Mangsa
SHUKRIAH RODZI
7/4/2020 13:12:14
4,620
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Cerpen Covid-19

MANGSA


Hayati tergamam melihat hantaran pengumuman yang tular di halaman Facebook daripada Pejabat Kesihatan Seremban supaya semua penumpang yang menaiki bas ekspres RedBus bernombor pendaftaran VDM 2968 dari Terminal Bas Pasir Gudang ke Terminal One, Seremban pada 7.45 malam 17 Mac lalu supaya segera datang ke klinik kesihatan terpilih untuk menjalani ujian saringan Covid-19. Kebetulan, Hayati yang bertugas sebagai seorang guru juga telah menaiki bas yang sama untuk pulang bercuti ke kampung halamannya sempena cuti sekolah.

Menurut maklumat yang dipaparkan, salah seorang daripada penumpang yang menaiki bas tersebut baru sahaja didapati positif Covid-19. Lelaki itu yang pulang dari Korea melalui Singapura telah menjalani ujian saringan di pintu masuk negara dan sepatutnya mengkuarantinkan dirinya selama 14 hari tetapi gagal berbuat demikian. Sebelum cukup tempoh, dia sudah menaiki bas untuk ke Seremban pula. 

Mindanya mula mengimbas keadaan di dalam bas semasa itu. Apa yang dia perasan memang ada seorang lelaki yang duduk di kerusi hadapannya, sekali sekala batuk-batuk tetapi tidaklah terlalu teruk. Sebab itulah, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana memikirkan mungkin lelaki itu hanya batuk biasa.

Hayati sebak. 

Hanya selepas empat hari Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, barulah dia mengetahui tentang hal tersebut. Perasaannya bercampur baur. Marah dan kecewa. Saat itu, dia hanya memikirkan antara hidup dan mati. Disebabkan kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab pihak lain, dia dan keluarganya mungkin akan menjadi mangsa kepada virus yang sangat merbahaya itu. 

Lebih merisaukan Hayati adalah tentang nasib ibunya yang menghidapi beberapa penyakit kronik dan kakaknya yang sedang hamil lima bulan. Begitu juga dengan bapanya yang sudah tua dan uzur. Sememangnya amat berisiko bersabung nyawa. Bagaimana pula dengan nasib abang ipar dan tiga orang anak saudaranya yang masih kecil yang turut sama bercuti di kampung ketika itu? Semuanya membuatkan fikirannya jadi sesak dengan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku.

 Tidak disangka larangan suami yang tidak membenarkan dia memandu sendirian pulang ke Negeri Sembilan membawa padah. Ketika itu, suaminya masih bertugas di Singapura dan tidak dapat mengambil cuti untuk menemani Hayati pulang ke kampung. Lalu, dia mengambil keputusan untuk pulang sendirian menaiki bas.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dia patuh dengan arahan pihak berkuasa supaya sentiasa berada di rumah dan tidak keluar ke mana-mana. Hanya abang iparnya sahaja yang keluar bagi membeli barang keperluan untuk mereka sekeluarga.

Hayati meraung hingga menimbulkan perasaan panik kepada seluruh ahli keluarga. Masing-masing datang menerpa sambil bertanya. Tentulah kehairanan kerana Hayati menangis bagaikan orang gila. 

“Kenapa ni, Yati? Apa yang tak kena?” Ibunya memeluk Hayati sambil menyuruh dia perlahan-lahan bercerita. Dalam keadaan masih teresak-esak, Hayati segera menyampaikan khabar duka itu. Dia menunjukkan hantaran di Facebook yang baru dibacanya tadi. 

Masing-masing terus terdiam. Tidak tahu bagaimana mahu bereaksi dengan berita yang maha berat itu. Air mata kakaknya menitis laju. Lantas diseka dan disapu dengan tapak tangan. Abang iparnya pula segera memeluk untuk menenangkan perasaan isterinya yang sudah tentu sedang memikirkan antara ajal dan maut kehidupan mereka. Hayati tahu pasti kakaknya risau dengan nasib anak-anaknya terutama bayi yang masih di dalam kandungan.

“Ayah, mak, maafkan Yati. Kak Dhiya, Abang Umar. Yati tak sangka akan jadi macam ni. Kalau tahu nak jadi macam ni, baik Yati drive masa balik hari tu. Yati bersalah.” Badannya terhinjut-hinjut menahan tangisan. Diselubungi perasaan bersalah yang tidak bertepi.

“Kenapa pulak kamu nak rasa bersalah? Bukan salah kamu. Salah lelaki tu. Dia yang tak bertanggungjawab. Patut dia kena kuarantin macam yang disuruh. Ini tidak. Degil! Sekarang orang lain tak pasal-pasal jadi mangsa. Ayah pun tak tahu nak cakap apa dengan orang yang macam ni. Jadi, kita hanya mampu berdoa banyak-banyak supaya kamu tak terjangkit dengan virus ni.” Bapanya masih bersikap rasional walaupun tadi dia hampir terduduk mendengar kata-kata Hayati.

“Habis, apa kita nak buat sekarang?” Kak Dhiya bertanya setelah rasa sedikit tenang sambil mengusap kepala anaknya di ribaan yang baru berusia dua tahun setengah.

“Kalau ikut pengumuman tu, kita kena hubungi segera PKD Seremban untuk jalani ujian saringan.” Sambil mengesat air mata, Hayati menjelaskan langkah seterusnya yang patut mereka lakukan selepas itu. Hati Hayati dibalut rasa simpati yang menggunung kepada seluruh ahli keluarganya dan berdoa semoga mereka semua terhindar dari wabak tersebut. Dalam masa yang sama, dia turut berasa lega kerana tidak dipersalahkan.

“Macam tu, Yati telefonlah mereka. Tanya macam mana kita nak jalani ujian saringan tu? Nak kena pergi ke hospital ke, macam mana? Kita tak boleh bertangguh lagi. Cepat kita tahu, cepat kita boleh dapatkan rawatan.” Hayati tahu abang iparnya juga cuba berlagak tabah dan tenang di hadapan mereka supaya kegalauan hati itu dapat diredakan.

“Baiklah.” Hayati menganggukkan kepalanya. Terlintas di hati untuk turut menghubungi suaminya bagi memaklumkan hal tersebut. Tetapi, ibunya bagaikan dapat membaca isi hatinya.

“Jangan kamu nak telefon cerita apa-apa lagi dengan suami kamu tu. Takut dia risau. Dia pun bukan boleh balik masa PKP ni. Tunggu bagi sahih dulu. Kalau dah sahih keputusannya, baru bagi tau.” Pesanan ibu bernada tegas supaya Hayati tidak menambah kerisauan kepada suaminya pula.


Setelah dinasihatkan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seremban untuk ke klinik kesihatan terdekat yang mempunyai kelengkapan untuk membuat ujian saringan Covid-19, mereka pun bersiap sedia untuk ke sana. 

Di sana, mereka diarahkan masuk melalui pintu yang dikhaskan untuk ke tempat menjalankan ujian saringan. Ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya mereka dapat diasingkan daripada petugas dan pesakit lain yang tidak memakai alat perlindungan diri bagi mengelak turut terkena jangkitan Covid-19 jika mereka positif dalam ujian saringan itu nanti.

Ada beberapa orang petugas kesihatan yang lengkap memakai alat perlindungan diri telah bersedia di situ. Selepas pemeriksaan suhu, seorang demi seorang daripada mereka menjalani ujian saringan. Mulut disuruh menganga luas. Salah seorang jururawat bertugas memasukkan satu kapas kesat polyester kecil yang berbatang panjang jauh ke dalam mulut mereka. Lalu, kapas yang dijolok itu digunakan untuk mengesat bahagian kerongkong bagi mendapatkan lendiran sampel. Kedalamannya adalah beberapa inci iaitu kira-kira jarak yang sama dari mulut atau hidung. 

Untuk anak-anak saudaranya yang masih kecil, jururawat memilih untuk memasukkannya ke dalam lubang hidung hingga sampai ke bahagian nasofarinks. 

Kasihan Hayati melihat anak-anak saudaranya yang masih kecil terjerit-jerit menangis ketakutan apabila alatan itu dijolok ke dalam lubang hidung mereka. Terpaksalah kakaknya menahan dan memegang kepala mereka daripada meronta-ronta. Bagi orang dewasa, prosedur itu tidaklah terlalu menyakitkan tetapi tentu sahaja memberi rasa yang tidak selesa dan menggerunkan pula kepada kanak-kanak.

Selesai semuanya, jururawat itu memaklumkan bahawa sampel itu akan dihantar ke makmal untuk diuji dan keputusan akan diperolehi dalam tempoh lebih kurang 24 jam hingga ke 48 jam. Ujian itu akan mengekstrak bahan genetik virus daripada sampel yang diperolehi.

Disebabkan masing-masing belum menunjukkan gejala, kesemua mereka dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin diri selama 14 hari dari tempoh Hayati terdedah kepada penumpang bas yang positif Covid-19 itu. Seorang pegawai kesihatan akan datang ke rumah secara harian dan memantau gejala mereka. Jururawat mengingatkan mereka supaya akur dan mematuhi arahan itu demi keselamatan diri mereka dan orang lain juga. Ini untuk memastikan supaya tiada rantaian yang diteruskan andainya mereka positif.


“Assalamualaikum... ini Puan Hayati? Saya jururawat dari Klinik Kesihatan Seremban.” Terdengar suara di hujung talian memperkenalkan diri.

“Waalaikummussalam. Ya, saya.”  Hayati berdebar-debar menerima panggilan dari klinik kesihatan itu. Sudah tentu berkaitan dengan keputusan saringan Covid-19 yang dijalani keluarganya sebelum ini.

“Saya harap puan tabah ya. Puan diminta untuk bersiap sedia. Sekejap lagi ada ambulan yang akan datang menjemput puan di rumah untuk ke Hospital Seremban. Daripada ujian yang kami jalankan, puan disahkan positif Covid-19.” Bagaikan dihempap dengan beban di atas jemalanya apabila mendengar perkhabaran itu. Telinganya seolah-olah disambar halilintar. Tangannya yang masih memegang telefon bimbit itu pula terketar-ketar.

“Allah!” Hanya kata-kata itu terlantun dari bibirnya.

Lebih menambahkan lagi kesedihan, jururawat yang membuat panggilan turut memaklumkan ibu dan kakaknya turut positif dalam ujian itu. Anak kakaknya yang sulung turut berjangkit. Mungkin kerana Farah yang berusia sembilan tahun itu setiap malam tidur bersama dengan Hayati sepanjang berada di kampung. Namun, syukur kerana ahli keluarga yang lain didapati negatif. Hayati meraup muka bersama esakan panjang.



Sayu hati Hayati melihat Kak Dhiya dan Farah yang duduk bertentangan dengannya menangis sambil melambai-lambai dari cermin tingkap ambulan yang perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman rumah. Kak Dhiya memeluk Farah dengan erat selepas melihat dua orang lagi anaknya berlari-lari mengejar ambulan sambil menangis. Dari jauh, Hayati melihat Abang Umar berusaha bersungguh-sungguh cuba menenangkan dua orang anaknya itu. Namun, masing-masing masih meronta mahu mengikut ibu mereka.

Kak Dhiya sebentar tadi langsung tidak bersalam dengan Abang Umar dan mencium kedua-dua anaknya yang masih kecil itu atas nasihat petugas kesihatan kerana bimbang menjangkiti virus itu kepada mereka pula. Hayati memahami perasaan Kak Dhiya yang ingin sangat memeluk anak-anaknya sebelum ditinggalkan. 

Hayati membayangkan jika suaminya pun turut ada tadi, pasti Hayati juga tidak cukup kuat untuk menghadapinya. Sebelum ambulan sampai tadi, Hayati sudah menghubungi suaminya untuk memaklumkan tentang kemasukannya ke Hospital Seremban disebabkan positif jangkitan virus Covid-19. Sempatlah suaminya menitipkan kata semangat supaya dia menjaga diri dan kuat menghadapi ujian. Suaminya akan pulang secepat mungkin selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Di kesempatan itu, Hayati turut meminta ampun dan maaf andai umurnya tidak panjang.

Mata Hayati beralih pula kepada ibunya. Walaupun, nampak tenang secara luaran tetapi Hayati tahu hati ibunya sangat gementar. Bibir tuanya terkumat-kamit berzikir untuk menguatkan hati. Sebelum mereka bertolak tadi, ayahnya sempat berpesan supaya ibunya kuat semangat. Ayahnya berjanji akan sentiasa mendoakan mereka supaya cepat sembuh.

“Mak, jangan takut ya. Yati dan Kak Dhiya ada.” Hayati memeluk ibunya. Cuba berkongsi kekuatan.

“Mak okey. Kamu jangan risau.” Dari dulu begitulah jawapan ibunya jika tidak mahu anak-anak  kerisauan. 

Sampai di hospital, mereka dibawa ke bilik isolasi. Mujurlah Hayati dan keluarganya ditempatkan bersama-sama di bilik tersebut. Tidaklah rasa terlalu sunyi. Sekurang-kurangnya Hayati dapat melihat ibu, kakak dan anak saudaranya di depan mata walaupun katil mereka dijarakkan lebih kurang satu meter setiap satu. 

Boleh dikatakan kesemua jururawat yang bertugas sangat memahami dan tetap melayan mereka dengan baik walaupun Hayati tahu tentu sahaja para petugas itu tidak selesa memakai alat perlindungan diri sepanjang masa. Basah lencun pakaian mereka dengan peluh kerana kepanasan. Maklumlah, bilik pengasingan itu tidak dibenarkan dipasang penghawa dingin atau kipas demi merencatkan virus yang cuba merosakkan antibodi badan. Apa yang Hayati tahu, virus itu tidak suka dengan suhu panas.

Setelah beberapa hari di situ, mereka mula menunjukkan gejala penyakit walaupun pihak hospital sudah memberikan rawatan. Masing-masing mulai tidak sihat dan demam dengan suhu mencecah hampir 39°C. Tekak dan hidung mulai terasa kering. Batuk pula datang bertalu-talu. Dada terasa sangat perit dan sakit apabila bernafas. Azabnya hanya Tuhan yang tahu. Terasa bagaikan disalai di atas bara. Badan berpeluh-peluh kepanasan. Demam tidak kebah-kebah. 

Hayati mengurut dadanya yang terasa sakit. Dia berdoa jika sudah sampai ajalnya ketika itu, semoga dia mati dalam keadaan yang beriman.

Namun, Hayati bersyukur Kak Dhiya masih mampu bertahan. Mungkin dia kuat semangat untuk anak yang masih di dalam kandungan. Ada ketikanya Hayati ternampak Kak Dhiya sebak mengusap perutnya yang sudah memboyot itu sambil berkata sesuatu. Namun, kadang-kadang kekuatan Kak Dhiya tergugat juga apabila Farah yang sudah lemah asyik merengek-rengek kepanasan dan sudah tidak mampu menahan rindu kepada bapa dan adik-adiknya. Dia mahu pulang. Farah juga selalu bertanya adakah dia akan mati? Dia berjanji tidak akan nakal-nakal lagi dan akan menjadi anak yang baik jika Tuhan tidak mengambil nyawanya.

Tangisan Hayati tumpah setiap kali melihat keadaan yang amat menghibakan itu. Lebih sedih mendengar Kak Dhiya membuat panggilan telefon secara video kepada Abang Umar dan bercakap dengan anak-anaknya yang berada di rumah. Dua orang anaknya itu asyik bertanya bila Kak Dhiya dan Farah akan pulang kerana mereka sangat merinduinya.

Sesuatu yang sangat menyentuh hati Hayati apabila Abang Umar bercerita dia dihalau dari kedai runcit oleh orang kampung kerana bimbang dijangkiti Covid-19 setelah mengetahui keluarga mereka dijemput ambulan. Berkali-kali Abang Umar menjelaskan dia sihat dan tidak dijangkiti dan merayu diberi ruang untuk membeli barang keperluan dapur tetapi tidak diendahkan.

Hayati merenung pula ke arah ibunya yang berada di katil sebelah kanan. Tahap kesihatan ibunya sudah merosot. Badan sudah lemah dan wajahnya kelihatan pucat. Ibunya hanya terbaring lesu dan bibirnya hanya mampu beristighfar. Deria rasa ibunya seakan sudah hilang. Ibu Hayati sudah tidak selera untuk menjamah makanan. Bila disuapkan nasi, dia akan terus termuntah. Hanya bergantung kepada air yang dimasukkan melalui tiub. Keadaan itu mungkin disebabkan oleh sejarah kesihatannya yang kronik menyebabkan sistem keimunan badannya tidak cukup kuat untuk melawan virus corona.

“Panas... Panas... Air... Air...” Terdengar suara ibunya lemah meminta air. 

Hayati menggagahkan diri untuk turun dari katil bagi membantu ibunya namun ditegah oleh jururawat yang baru muncul di situ. Sebaliknya, jururawat itu dengan segera mendekati ibu Hayati untuk membantu. Dia mengangkat sedikit kepala ibu Hayati untuk memudahkannya meminum air dari dalam gelas tetapi bibir tua yang telah kering menggelupas itu terlalu sukar untuk meneguk air yang diberikan.

Hayati memejamkan mata menahan rasa pilu. Doanya tidak putus-putus kepada Tuhan supaya mereka pulih daripada penyakit itu dan dipanjangkan usia untuk meneruskan kehidupan. Dia juga berdoa semoga masih berpeluang untuk bertemu suaminya nanti.


Malam itu, Hayati dan Kak Dhiya mulai resah dan menangis apabila nafas ibu mereka sudah tercungap-cungap. Berombak keras turun naik hingga kelihatan tidak cukup oksigen untuk disedut. Langsung tidak bersuara bila dipanggil oleh jururawat. Ibunya terkena serangan akut ke atas organ paru-paru.

Beberapa orang jururawat yang bertugas kelam kabut cuba memberi bantuan mesin pernafasan. Doktor juga terkocoh-kocoh datang untuk memeriksa ibunya. Masing-masing berwajah risau. Bimbang dengan keadaan pesakit yang mulai merudum tahap kesihatannya. Memberi bantuan mesin pernafasan adalah langkah terakhir untuk membantu pesakit yang sudah tidak mampu bernafas sendiri secara normal.

 “Ya Allah, kau selamatkanlah ibuku. Tolonglah, angkat segala kesakitannya. Berikanlah kesembuhan kepadanya. Aku merayu ya Allah, janganlah kau ambik nyawanya lagi dalam keadaan penyakit ini.” Tidak putus-putus Hayati berdoa di dalam hati.

Tidak lama kemudian, ibunya terpaksa disorong ke bilik ICU dalam keadaan graf pernafasannya semakin lemah. 

“Mak.... Tolonglah kuat. Tolonglah Mak!” Hayati sudah meraung. 

Dia cemas melihat keadaan itu. Begitu juga dengan Kak Dhiya. Tetapi, mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Hanya doa dipanjatkan kepada Tuhan supaya nyawa ibu mereka dipanjangkan.

Malam itu suasananya sangat menakutkan. Bagaikan membilang detik kematian. Hayati tidak mampu tidur nyenyak kerana bimbang tiada lagi peluang untuk bertemu dengan ibunya. Otaknya tidak lepas-lepas memikirkan keadaan ibunya yang berada di wad kecemasan.


“Puan Hayati, takziah kami ucapkan. Ibu puan baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir pagi ini. Dia sudah kembali ke rahmatullah. Sesungguhnya, Allah lebih menyayangi ibu puan. Sama-sama kita berdoa dia ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Kami, pihak hospital tumpang bersimpati.” Seorang jururawat datang menyampaikan berita sedih kepada Hayati keesokkan harinya dalam nada sebak dan serak-serak suaranya.

“Innalillahiwainailaihirajiun.” Hayati terpempan dengan berita itu. Seluruh tubuhnya menggeletar kerana terkejut. 

Dia tahu, dia tiada peluang untuk mengucup dan mencium ibunya buat kali terakhir. Tidak dapat lagi mendakap tubuh tua yang telah melahirkannya ke dunia ini. Malah, tidak berupaya mencurahkan bakti untuk memandi dan mengkafankan arwah yang telah tiada. Apatah lagi untuk mengiringi perjalanan ibunya ke pusara untuk pulang ke negeri abadi buat selama-lamanya. 

“Mak... Ampunkan Yati. Halalkan air susu yang kami dah minum dan segala apa yang mak telah berikan kepada Yati dan Kak Dhiya. Moga mak ditempatkan bersama para solehin.” Air matanya meluncur laju. Sungguh dia tidak cukup tabah untuk menghadapi keadaan itu.

“Keluarga puan di kampung sudah kami maklumkan tentang berita sedih ini. Pihak hospital yang akan menguruskan segala urusan pengkebumian. Tiada sesiapa dari kalangan ahli keluarga yang dibenarkan menghadirinya. Tetapi, saya tak sampai hati nak bagi tahu kakak puan dalam keadaan dia yang macam tu. Saya takut ini memberi tekanan emosi yang berat kepadanya nanti. Saya rasa eloklah puan sendiri yang bagi tahu dia ya...” Jururawat itu melahirkan nada simpati sambil mengerling Kak Dhiya yang berada di katil hujung sana.

Hayati mengangguk lemah. Air mata segera diseka.

“Insha Allah, kakak saya kuat orangnya. Terima kasih nurse bagi tahu saya. Boleh tak kalau nak minta senaskhah Yaasin. Saya nak baca untuk dihadiahkan kepada ibu saya.”

“Boleh. Nanti saya carikan ya. Sabar banyak-banyak puan. Tuhan menguji hamba-hambanya supaya menjadi lebih kuat. Sama-sama kita berdoa supaya puan, kakak puan dan Farah cepat sembuh. Saya keluar sekejap ya.” Jururawat itu meminta izin untuk berlalu. Walaupun mulutnya bertutup dengan topeng tetapi Hayati tahu dia tersenyum. Dari raut mukanya, nampak sangat dia keletihan kerana bertugas melebihi waktu yang sepatutnya. 

Tidak pernah sekalipun jururawat itu menunjukkan wajah yang masam di hadapan pesakit sedangkan Hayati tahu tentulah dia tidak selesa dengan pakaian perlindungan diri yang berlapis-lapis itu ditambah lagi penutup hidung dan mulut serta penutup muka plastik. Serentak itu, Hayati mengimbas kembali bagaimana dia membuka penutup hidung dan mulut ketika berada di dalam bas kerana rasa rimas memakai terlalu lama. Mungkin faktor itulah yang menyebabkan dia dijangkiti virus.


Setelah dua minggu dirawat, akhirnya Hayati, Kak Dhiya dan Farah sembuh daripada penyakit Covid-19. Mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah. Seribu kesyukuran dipanjatkan kerana terselamat daripada pandemik yang membunuh ribuan nyawa di dunia ketika ini. 

Walaupun begitu, di sisi lain, Hayati tetap bersedih kerana bapanya dilanda kemurungan kerana kehilangan seorang isteri yang sangat disayangi dan tidak dapat melihat wanita itu di saat akhir sebelum pemergiannya buat selama-lamanya. Semuanya bagaikan pantas berlaku. Hari-hari, bapanya meracau memanggil nama ibunya kerana terlalu merindui wanita itu. Maklumlah selama ini, bapa dan ibunya memang tidak pernah berpisah lama sepanjang perkahwinan mereka. Merindui orang yang telah pergi dan tidak akan kembali tentulah perit sekali rasanya kerana kerinduan itu tidak akan terubat selama-lamanya.

Apabila tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Hayati berniat akan membawa bapa untuk menziarahi pusara ibunya. Semoga bapanya reda dan tabah menerima hakikat bahawa permaisuri hatinya telah disemadikan dan damai di alam sana. 

Hayati juga akan cuba berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan semula kebahagiaan yang telah hilang dalam keluarga mereka walaupun peristiwa menjadi pesakit Covid-19 itu tetap menjadi sejarah pahit dan kekal dalam ingatan buat selama-lamanya.


TAMAT


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.