Home Cerpen Thriller/Aksi Sampai Mati Tetap Bersama
Sampai Mati Tetap Bersama
Jia Ariza
18/11/2013 22:35:52
3,284
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
“Budak bodoh! Tak habis-habis nak menyakitkan hati aku! Aku dah kata jangan kacau aku buat kerja. Kenapa bebal sangat tak faham bahasa ni?!” Tengking wanita berwajah bengis itu. Pipi si kecil yang baru berusia tujuh tahun itu ditampar kuat. Kemudian rambutnya dicekak hingga kepalanya terdongak.

“Sara minta maaf, mummy.Sakit...” Sara merayu sambil menangis teresak-esak. Tangannya menggenggam tangan ibunya, cuba untuk meleraikan tarikan pada kulit kepala.

“Pergi masuk bilik kau, duduk diam-diam kat situ. Kalau aku dengar suara kau lagi, aku belasah kau sampai mampus! Faham?!”

Sejurus itu, Sara ditolak kasar hingga jatuh tertiarap. Sempat lagi wanita itu yang merupakan ibu kandung Sara menampar kepala Sara hingga pandangannya terasa berpinar-pinar.

“Berambus!”

Lalu dengan langkah lemah Sara masuk ke dalam biliknya dan terus merebahkan tubuhnya di atas katil. Biliknya dibiarkan bergelap. Wajahnya yang basah dengan air mata disembam ke bantal. Dia cuba untuk menahan tangis agar tidak kedengaran oleh ibunya.

Fida menghempaskan tubuhnya kasar di atas sofa. Wajahnya masih tegang. Sudahlah dia tengah serabut dengan hal kerja, anaknya pula buat perangai merengek-rengek bertanyakan ayahnya.

Nafas wanita itu turun naik menahan marah. Kertas-kertas yang bersusun di atas meja dibiarkan tak bersentuh. Moodnya hilang untuk menyudahkan kerja.

***

Sara terjaga dengan wajah sembab setelah semalaman menangis hingga tertidur. Tubuhnya masih terasa lemah manakala pipinya terasa berdenyut-denyut. Kesan lebam akibat ditampar mula kelihatan.

Dia tak lagi menangis, namun wajahnya masih monyok. Agak lama Sara berbaring sambil memandang siling biliknya dengan pandangan kosong. Langsung tak bergerak. Kejadian semalam di mana dia dipukul dan ditengking oleh ibunya terbayang-bayang kembali di minda. Malah jeritan nyaring ibunya masih jelas kedengaran di telinganya. Sara mula menangis. Dia betul-betul takut hingga tubuhnya menggigil.

Bunyi tombol dipulas dari luar menarik perhatian Sara. Matanya tertancap pada pintu. Sebaik saja wajah ibunya terpacul, Sara cepat-cepat mengelap air mata dan bangkit dari pembaringan. Dia takut dipukul lagi.

“Dah mandi nanti, pergi makan. Hari ni tak payah pergi sekolah, mummy dah bagitahu cikgu yang Sara demam.” Tiada langsung nada mesra dalam tutur katanya.

Sara hanya melihat ibunya menutup pintu bilik. Tiada sebarang kata yang terluah dari bibir anak kecil itu. Memang begitu kebiasaannya bila dia dipukul. Terpaksa ponteng sekolah untuk menyorokkan lebam-lebam di tubuhnya. Hari ini, dia akan keseorangan lagi di rumah setelah ibunya keluar bekerja.

Pulang dari tempat kerja, Fida sempat singgah ke Taman Warisan untuk membeli makan malam. Roti john untuk Sara dan tauhu bakar untuk dirinya. Memang mereka dua beranak jarang menjamah nasi untuk makan malam.

Selesai membeli, ketika Fida mahu melangkah ke arah tangga, matanya tertancap pada seorang lelaki yang sedang duduk di sebuah meja seorang diri. Terdapat dua buah pinggan dan dua buah gelas yang sudah kosong di atas meja menandakan lelaki itu berteman. Serta-merta rasa marahnya membuak. Lalu langkah diatur. Dia duduk dengan riak selamba di hadapan lelaki itu. Rasa marah cuba disembunyi.

“Kenapa? Tak suka jumpa saya?” Fida menyoal apabila lelaki itu memperlihatkan wajah kurang senang.

Soalan Fida dibiar tak berjawab. Lelaki itu melegarkan pandangan, mencari wajah seseorang dalam kalangan manusia yang berada di situ.

“Mana bini muda awak?” Soal Fida lagi. Nadanya sinis.

Lelaki itu memandangnya tajam.

“Kalau setakat nak cari pasal, baik awak balik je. Saya tak ada masa nak layan awak.” Suaminya membalas kasar dengan nada terkawal.

Fida mencebik. “Dah lima bulan tak jumpa, alih-alih awak nak halau saya. Kalau tak kisah pasal saya sekalipun, takkan taknak tanya pasal anak sendiri?”

Muiz sekadar memekakkan telinga. Dia lebih suka memberi perhatian kepada telefon pintarnya. Fida dianggap tak wujud depan matanya.

“Rumah saya dengan rumah awak bukannya jauh mana, tapi susah sungguh awak nak balik jenguk anak. Kenapa? Kena ikat dengan bini muda? Tak sangka pula awak ni jenis senang kena kawal. Kalau saya tahu dari awal lagi...”

“Kau jangan nak kurang ajar! Kalau nak cari gaduh pun bukan kat sini!” Muiz mula hilang sabar dengan perangai Fida yang sengaja memprovoknya.

“Habis tu nak bergaduh kat mana? Rumah? Balik pun tak. Takkan saya nak kena buat appointment dulu untuk jumpa awak semata-mata sebab nak bergaduh.”

“Bukannya saya tak pernah balik langsung.” Suaminya mendengus kasar. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menampar mulut perempuan itu. Laser makin menjadi-jadi!

Fida mengetap bibir. Geram dengan suaminya. Sejak berkahwin lain dua tahun lalu, hanya beberapa kali saja dia pulang ke rumah. Itupun hanya bermalam dua tiga hari. Macam mana dia nak bersabar?

“Kalau awak benci sangat dengan saya, kenapa tak lepaskan saya? Dulu saya pernah cakap, kalau awak nak kahwin lain awak kena ceraikan saya. Tapi kenapa awak nak pegang saya lagi? Dahlah nafkah tak pernah nak bagi.” Suara Fida mula meninggi.

Suaminya baru mahu membuka mulut apabila pandangannya tertancap pada isteri muda yang sedang berjalan ke arah mereka. Dia mula tak senang duduk. Risau jika berlaku pergaduhan di situ.

“Pergilah balik dulu. Malam ni saya balik, kita berbincang elok-elok.” Si suami mula merendahkan suara.

Fida yang perasan arah pandangan Muiz mula menoleh. Dia terlihat susuk tubuh wanita yang amat dibencinya. Perempuan yang merampas dan menghancurkan rumahtangganya. Kemudian dia merenung wajah suaminya dalam-dalam. Hingga sekarang dia masih tertanya-tanya apa kelebihan wanita itu hingga suaminya lupa pada keluarga sendiri. Memang wanita itu masih muda bergaya, tapi dia sendiri tak ada cacat celanya.

“Sekurang-kurangnya bagilah saya bertegur sapa dengan madu saya.” Ujar Fida bersahaja.

“Fida...!” Suara Muiz kedengaran menderam. Dia tahu ulah Fida. Namun Fida hanya memandangnya sekilas sambil membuat muka selamba sebelum dia berdiri dan menyapa wanita itu. Mukanya sengaja dimaniskan.

“Rasanya ini kali kedua kita jumpa, kan?”

Wanita itu sekadar mengangguk dengan senyum nipis. Bertemu dengan isteri pertama suaminya adalah salah satu perkara yang dia mahu elak. Dia mula rasa menyampah melihat lagak Fida yang dianggap sengaja menunjuk mesra. Lantas dia merapati Muiz dan membuat muka kurang senang.

‘Huh! Gaya macam aku yang merampas laki dia. Tak sedar diri!’ Fida menempelak dalam hati.

“Saya cuma tanya Abang Muiz kenapa dah lama tak balik. Sara tu asyik tanya pasal abah dia. Takkanlah Abang Muiz tak rindu kat anak sendiri, kan? By the way, awak tak berisi lagi ke?” Mata Fida terhala pada perut wanita itu.

Riak wajah wanita itu bertambah tegang. Dia cukup tak suka kalau orang menyentuh isu itu. Namun dia tahu bahawa Fida sengaja memprovoknya, maka ditenangkan hati agar tidak melenting.

“Kami balik dulu. Nanti saya balik jenguk Sara.” Cepat-cepat Muiz mencelah.

Tangan isteri mudanya digenggam dan dia mula mahu mengatur langkah apabila wanita itu bersuara. “Kami memang taknak ada anak buat masa ni. Tak puas lagi nak berhoneymoon. Nanti kalau dah ada anak susah pula nak bagi perhatian kat suami. Macam orang tu, kan sayang?”

“Oh, ya ke? Bukan sebab mandul?” Fida tersenyum sinis. Kata-kata wanita itu – alasan yang pernah diberi oleh suaminya ketika mahu menikah lagi langsung tak terkesan di hatinya.

Tak semena-mena tapak tangan Muiz yang kasar hinggap di pipi Fida. Tamparan kuat itu menyebabkan Fida terdorong ke belakang. Serta-merta rasa perit menjalar. Fida memegang pipinya yang sudah merah.

“Mulut tu jangan nak kurang ajar sangat!” Muiz menengking. Isteri mudanya pula sudah mencerlung, seolah-olah menunggu masa untuk menyerang Fida.

Ketika itu, mereka bertiga sudah menjadi perhatian manusia-manusia yang ada di situ. Masing-masing berbisik sambil memerhatikan mereka dengan wajah ingin tahu.

“Apa? Salah ke soalan saya?”

“Jomlah, sayang. Buang masa je layan orang gila!” Wanita itu segera menarik lengan Muiz. Kalau diikutkan hati, memang dia mahu membelasah Fida hingga puas. Tapi dia tak mahu memalukan diri sendiri depan orang ramai.

***

Menjelang maghrib baru Fida sampai ke rumah. Riak wajahnya masih lagi tegang. Air mata masih bersisa di tubir mata. Plastik berisi makanan bungkus dihempas ke atas meja makan. Sejurus itu Fida mengatur langkah ke biliknya. Namun langkahnya terhenti apabila bunyi kaca pecah kedengaran serentak dengan jeritan Sara. Fida lantas bergegas ke dapur.

“Ish, budak ni! Tak habis-habis buat hal!” Fida menjerkah apabila melihat mi segera tumpah bersepah di atas lantai. Pecahan mangkuk kaca pula berselerakan. Mata Fida mencerlung memandang Sara yang menangis kesakitan akibat terkena percikan kuah mi segera yang masih panas.

“Mari sini!”

Sara teragak-agak untuk mendekati Fida. Takut terpijak kaca dan takut dipukul ibunya. Air mata yang membasahi pipi dilap dengan belakang tangan. Dia memandang ibunya memohon simpati.

“Cepatlah, bodoh!” Fida meninggikan suara.

Lantas Sara melangkah berhati-hati mendekati ibunya yang berdiri di muka dapur, cuba mengelak daripada kaca-kaca yang bertaburan. Namun dia menjerit kecil apabila terpijak serpihan kaca halus. Sara menghentikan langkah dan mahu membuang serpihan itu apabila ibunya menarik lengannya tiba-tiba. Tapak kakinya terasa ngilu apabila mencecah lantai. Darah yang mengalir dari luka melekat bertompok-tompok pada lantai dapur.

“Pandai-pandai kau je nak masak sendiri! Kenapa, rasa diri tu dah besar sangat?” Kepala Sara ditunjal-tunjal. Langsung tiada rasa simpati melihat anaknya sendiri dalam kesakitan.

“Sara lapar...” Ujar Sara dengan suara tersekat-sekat.

“Tak boleh tunggu aku balik?!” Plastik makanan di atas meja diambil dan dibaling ke arah Sara. “Ni, aku bawa balik makanan. Bukannya aku pernah biar kau kebulur! Kau ni kalau tak menjahanamkan harta aku memang tak sah, kan?!”

Kepala Sara ditampar sekuat hati dan tubuhnya dipukul berulang kali bagi melepaskan geram. Rasa sakit hati pada suami dan madunya yang masih belum surut dihamburkan pada Sara. Sara yang tak mampu melawan hanya menangis meraung-raung sambil merayu agar dilepaskan. Perutnya terasa senak akibat ditendang. Kulit kepalanya pula bagai mahu tercabut apabila rambutnya ditarik dengan kuat.

Setelah puas, barulah Fida menghentikan perlakuannya yang seperti kerasukan itu. Sara yang sudah lemah hanya tertiarap di atas lantai sambil menangis teresak-esak. Seluruh tubuhnya berasa kebas.

“Pergi kemas dapur tu. Aku nak tengok dapur aku bersih. Kalau tak, siaplah kau!” Fida mengarah dengan suara melengking.

Sara cuba untuk bangun, namun tubuhnya serasa lumpuh. Dia tertiarap kembali.

“Cepatlah!”

Mendengar tengkingan ibunya, Sara menggagahkan dirinya untuk bangun. Kemudian dia ke dapur dengan langkah yang lambat dan terhincut-hincut.

“Cepatlah, bodoh!” Tubuh Sara ditolak kasar.

Buat seketika, anak kecil itu sekadar merenung lopakan mi segera. Kemudian matanya memandang serpihan-serpihan kaca yang berselerakan. Dia tak tahu bagaimana mahu membersihkan semua itu. Lalu wajah ibunya dipandang.

“Ambil penyapu tu, sapu sampai habis! Apa yang lembab sangat ni?!”

Lalu Sara mendapatkan batang penyapu yang tersandar pada dinding. Kemudian dia menyapu kaca-kaca dan tumpahan mi segera dan cuba untuk memasukkannya ke dalam penyodok. Caranya kelihatan kekok.

“Kalau macam tu cara kau buat kerja, bila nak habis?” Fida yang hanya memerhati sambil memeluk tubuh menegur dengan kasar. Dia mendengus geram.

Sara menjerit kecil apabila kaki kirinya pula terpijak kaca. Darah mula berjejeran keluar dari luka pada tapak kaki. Sakitnya teramat sangat.

“Mummy...” Suara Sara bergetaran. Sara memandang wajah ibunya yang mencuka, cuba meminta belas.

Namun Fida hanya mencebik sebelum melangkah ke biliknya. Sempat dia mengugut Sara agar menyudahkan kerja.

***

Fida meletakkan piring berisi dua keping roti dan sebotol air masak di atas lantai bilik Sara. Kemudian dia terus keluar tanpa berkata apa-apa. Pintu bilik dikunci dari luar untuk menghalang Sara dari melarikan diri.

Cepat-cepat Sara turun dari katil. Dia menyumbat roti di dalam mulutnya dengan lahap. Dia benar-benar lapar. Sudah tiga hari Sara dikurung di dalam biliknya sebagai hukuman kerana memecahkan mangkuk kaca ibunya. Dia langsung tak dibenarkan keluar kecuali untuk ke tandas. Dalam sehari, hanya dua keping roti diberi untuk dia mengalas perut. Tubuhnya makin menyusut akibat kurang makan.

Selesai makan, Sara meneguk minuman. Kemudian dia panjat semula katilnya. Dia melangut di tepi tingkap, memandang ke arah taman permainan yang terletak bersebelahan bangunan apartmennya. Waktu petang begini ramai kawan-kawannya bermain di situ. Dia teringin untuk turun ke bawah dan bermain seperti dulu.

Dulu ketika ayahnya masih ada, dia dan ibu bapanya selalu bermain di situ. Ibunya dulu penyayang, selalu memanjakannya dan selalu membelainya. Dia selalu dibawa berjalan. Namun sejak ayahnya jarang pulang ke rumah, ibunya turut berubah laku. Selalu marah-marah. Pantang silap sikit, pasti dia dipukul.

Perhatian Sara teralih apabila terdengar suara ayahnya di ruang tamu. Lantas Sara turun dan melangkah ke pintu. Cuping telinga dilekapkan ke pintu untuk mendengar butir bicara. Namun dia cukup bijak untuk tidak membuat sebarang bunyi demi mengelak daripada dipukul oleh ibunya.

“Mana Sara?” Suara ayahnya menyoal.

“Kat rumah kawan dia.” Ibunya menjawab dengan nada bersahaja.

Kemudian terdengar lagi bicara kedua-duanya yang kadang-kadang timbul tenggelam dan tak jelas butirnya. Lama-kelamaan, percakapan antara ibu bapanya bertukar menjadi perang mulut. Mereka saling meninggikan suara dan memaki hamun. Kemudian, kedengaran pintu rumah dihempas kuat. Pasti ayahnya sudah pergi dari situ. Sara menangis. Dia sedih kerana tak dapat berjumpa dengan ayahnya.

Sara cepat-cepat memanjat katil dan mengelap air mata apabila terdengar bunyi kunci dibuka dari luar. Kemudian daun pintu terkuak dan ibunya melangkah masuk. Wajahnya membengis.

“Kau dengar ayah kau cakap apa tadi?” Fida menyoal. Sara hanya menggeleng perlahan.

“Dia nak ambil kau duduk dengan dia. Huh! Tak guna betul! Dah betina tu mandul, nak rampas anak aku pula!”

Sara diam. Matanya terkebil-kebil memandang Fida. Fida melabuhkan punggung di birai katil dan menghela keluhan halus. Rambut Sara diusap perlahan. Dia merenung wajah anak tunggalnya itu.

Sara terasa disayangi semula apabila ibunya berbuat begitu. Dia ingin memeluk ibunya, namun tiba-tiba usapan lembut terhenti dan rambut Sara dicekak kuat. Kepala Sara tersentak ke belakang akibat tarikan kasar oleh ibunya. Sara menangis lagi.

“Sara nak duduk dengan ayah dan mak tiri Sara ke? Sara nak tinggalkan mummy sorang-sorang? Tak kesiankan mummy ke?” Soal Fida lembut, namun rambut Sara masih dicekak kuat.

“Kalau Sara pergi nanti, mummynak main dengan siapa? Sara jangan tinggalkan mummy,tau.”

Fida mula menunjukkan perlakuan seperti orang tak siuman. Walaupun bibirnya mengukir senyuman, namun ia kelihatan menakutkan. Kedua-dua tangannya menjalar ke wajah Sara. Air mata yang mengalir di pipi Sara dilap kasar. Kemudian dia mengelap kesan air mata pada kelopak mata anaknya dengan lembut. Tetapi usapannya bertukar kasar dan menekan hingga Sara menjerit kesakitan.

Sara yang ketakutan segera turun dari katil dan cuba untuk berlari keluar. Namun ibunya lebih pantas menangkap tubuhnya lalu dia ditolak hingga tertiarap. Fida menggenggam kuat rambut Sara dan mengheretnya ke ruang tamu. Sara meronta-ronta cuba melepaskan diri. Kemudian Fida mencangkung di atas tubuh Sara. Pipi mungil anak kecil itu ditampar perlahan berulang kali.

“Kau pun sama macam bapak kau. Dua-dua tak sayangkan aku! Dua-dua nak tinggalkan aku! Tapi jangan harap aku nak bagi kau pergi kat dia. Sampai mati kau kena duduk dengan aku!”

“Sakit, mummy... Sakit...” Sara meraung. Tangan ibunya ditepis.

“Kau nak tinggalkan aku ke? Hah? Cakaplah!” Sara menggeleng laju. Suaranya tersekat-sekat kerana menangis teresak-esak.

Dari mencangkung, Fida duduk di atas perut Sara. Berat tubuhnya membuatkan Sara sesak nafas. Tulang rusuknya seperti mahu patah. Terkapai-kapai si kecil itu cuba mencari udara.

Fida merapatkan mukanya ke muka Sara. “Betul kau taknak duduk dengan ayah kau?” Dia menyoal lembut.

“Jawablah!” Fida menampar lagi pipi Sara.

Namun Sara langsung tak dapat bersuara. Dia bernafas tersekat-sekat. Mukanya mula membiru.

Mummy... tolong...” Suaranya tenggelam di kerongkong.

Fida terus mengarut seorang diri. Membebel-bebel tentang Muiz dan isteri mudanya. Meluahkan rasa sakit hatinya terhadap dua orang tersebut dan keinginannya untuk membunuh mereka. Dia langsung tak menyedari keadaan Sara yang sudah longlai hinggalah beberapa minit kemudian.

“Sara,” Dahinya berkerut melihat anaknya yang sudah berhenti bergerak. Lantas Fida beralih duduk di atas lantai.

“Oi, bangunlah!” Tubuh Sara digoncang kuat. Namun langsung tiada reaksi. Jantung Fida mula berdegup kencang. Terketar-ketar tangannya menyentuh wajah Sara.

“Sara, jangan takutkan mummy.Bangunlah sayang.”

Tubuh Sara kaku. Dadanya juga sudah tidak berombak. Fida mula meraung memanggil nama anaknya. Berulang kali dia menggoncang tubuh Sara mengharapkan anaknya itu sedar semula. Namun perlakuannya hanya sia-sia.

Namun seketika kemudian, tawanya meletus seolah-olah ada perkara lucu yang sedang berlaku. Wajah anaknya diusap lembut.

“Baguslah. Sekarang tak ada siapa yang boleh ambil Sara dari mummy.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.