Home Cerpen Thriller/Aksi CERPEN SAIFAI THRILLER - LIF
CERPEN SAIFAI THRILLER - LIF
S.Kausari
10/6/2016 15:45:36
7,365
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi


CERPEN SAIFAI THRILLER: LIF

Oleh Salleh Kausari

SHAHIDEE hanya mampu tunduk sambil memandang ke meja di bilik yang sempit itu. Satu bahagian dinding dipenuhi sebahagian besarnya dengan cermin. Namun dia tahu itu adalah cermin sehala. Pemerhati di luar bilik dapat melihat apa yang berlaku di dalamnya. Malah mungkin juga mendengar setiap perkataan yang diperbualkan.

Di hadapannya seorang lelaki bertubuh kurus tinggi dan kelihatan segak berkemeja dan bertali leher. Lengan bajunya dilipat hingga hampir ke siku. Wajahnya nampak bengis dengan misai tebal yang disisir rapi. Renungan tajam pada wajah sawo matang itu menambahkan rasa gentar.

Lelaki itu kemudiannya meninggalkan Shahidee seorang diri dan keluar.

“Bagaimana?” tanya Inspektor Azizi, lelaki yang baru lepas bersama Shahidee di dalam bilik interogasi.

Lelaki Cina bertubuh gempal dan berkaca mata yang sejak tadi memerhati di luar itu mengeluh. “Kita tanya dia lagi. Perkara yang sama tetapi dengan cara yang lain. Mungkin ceritanya akan berubah. Dan memang sah dia menipu.”

Inspektor Azizi tidak senang dengan kehendak Daryl Wee, saintis dan wakil FBI itu. Lelaki yang menetap di New York itu masih fasih berbahasa Melayu walaupun telah lama menetap di bumi Amerika. Namun dia tiada pilihan lain. Kemudian dia masuk dan duduk di kerusi bertentangan dengan Shahidee.

“Saya nak awak terangkan apa yang telah berlaku.” Kata Inspektor Azizi.

“Bukan ke saya dah terangkan tadi?” Shahidee tidak puas hati.

Inspektor Azizi hanya memandang dengan renungan dingin. Dia tidak menjawab. Pandangan itu sudah cukup difahami oleh Shahidee.

“Saya dah beritahu apa yang berlaku semalam. Pada tarikh 1 Jun 2016. Semuanya bermula bila saya disuruh hantar dokumen ke Menara RJ. Saya naik terus tingkat 13. Sampai di tingkat tu saya terus keluar. Tapi…”

@@@@@

Semalam

Tingkat 13, Menara RJ

SHAHIDEE meneliti alamat di atas dokumen. “Mr. Freddie Goh, Bravo Shipping Agency, Floor 13A.”

Matanya melihat sekeliling. Ada dua lif yang saling bertentangan di tingkat itu. Kemudian dua wing di kiri dan kanan dilabelkan dengan 13A dan 13B. Dia menuju ke wing sebelah kiri dengan label 13A.

“Bravo Shipping Agency?” tanya Shahidee kepada seorang gadis Cina kecil molek dengan bang rambut menutupi keningnya.

Gadis itu melihat Shahidee dengan rasa pelik.

“Ini bukan Bravo Shipping Agency?” Shahidee mula rimas diperhatikan sebegitu.

Gadis itu geleng.

Ini mesti kes salah alamat ni. Leceh betullah macam ni. Hatinya menggerutu.

“Kat mana syarikat ni?” Shahidee mula terasa bosan.

“Tak ada.”

“Mana boleh. Mesti ada.”

Gadis itu menunjuk ke arah daftar syarikat di setiap tingkat yang ada terpampang bersebelahan dengan lif. “Cuba cek situ.”

Shahidee berlalu. Dia meneliti senarai itu. Tiada Bravo Shipping Agency di tingkat 13. Kemudian dia mencari nama itu di semua bahagian lain. Juga tiada.

“Ini mesti kes admin salah alamat ni. Menyusahkan betul!” Rungut Shahidee.

Dia mencapai telefon dan cuba menghubungi syarikatnya. Tiada talian. “Teruknya! Takkan tak ada line kat tempat tinggi macam ni.”

Dia menekan butang lif yang digunakan tadi. Ia tidak berfungsi. Terus dia menuju ke lif satu lagi dengan pelbagai perkara bermain di fikiran.

“Kenapa malang sangat nasib aku hari ni? Dahlah salah alamat. Line tak ada pulak.” Bebelnya di dalam lif menuju ke tingkat paling bawah.

Shahidee tergamam ketika melangkah keluar dari lif. Dia terasa seperti berada dalam satu episod Twilight Zone. Suasana sekeliling tidak sama seperti apa yang dia lihat semasa tiba di Menara RJ ini tadi.

Hampir kesemua bangunan sama rupanya dengan yang sebelum ini. Cuma keadaan agak kelam tanpa matahari. Malah awan juga tidak kelihatan. Setelah diamati, baru dia perasan tiada tumbuhan di sekeliling. Walaupun rumput yang melata di celah-celah simen. Apatah lagi pokok-pokok yang biasanya di tanam di kaki lima.

Keadaan manusia yang lalu-lalang dan kenderaan tidak banyak berbeza. Cuma tiada bau asap kenderaan dalam keadaan trafik yang agak sesak.

Shahidee terasa seperti sedang bermimpi dalam jaga. Dia tenggelam punca. Motosikal yang diparkir di bahagian terbuka sebelah bangunan juga telah tiada. Dalam kebuntuan dia mencari tempat duduk di bahagian yang berbumbung.

Di sebelahnya ada seseorang yang sedang membaca akhbar. Terbeliak mata Shahidee melihat muka depan akhbar.

WARTA METROPOLITAN

1 Jun 2016

MASALAH ALAM SEKITAR SEMAKIN PARAH

Dunia sedang mengalami kemusnahan setelah spesis pokok semakin pupus. Kos yang tinggi diperlukan untuk membaik pulih sistem ekologi hijau yang telah semakin susut semenjak sepuluh tahun yang lepas. Dunia mengalami ancaman kepupusan tumbuh-tumbuhan sepertimana zaman pupusnya dinosaur.

“Biar betul!” suara lantang Shahidee tanpa disedari.

Insan yang sedang membaca akhbar itu segera melihat Shahidee. Dia memandang dengan rasa pelik.

“Maaf,” Shahidee termalu.

Lelaki itu tersenyum.

“Ini akhbar baru ke? Yang saya biasa dengar Metro, Utusan, Berita Harian dan Sinar Harian.” Shahidee sekadar ingin menutup malu.

“Akhbar apa tu? Tak pernah dengar. Dah berpuluh tahun inilah akhbar di sini.” Jawab lelaki dalam lingkungan tiga puluhan itu.

Shahidee tergamam.

“Fazril,” lelaki itu menghulurkan salam.

“Shahidee. Panggil Dee je.” Shahidee masih keliru dengan apa yang terjadi.

“Kau… baru sampai ke sini?” Lelaki itu menduga.

Aku dah lama tinggal sini, tapi rasa macam baru sampai dari tempat yang entah kat mana sekarang ni. Detik hati Shahidee.

Shahidee mengangguk malas. Dia hanya memandang berita muka hadapan akhbar.

Fazril perasan dan mula membuka cerita, “Isu ni dah berpuluh tahun ditimbulkan. Tapi banyak pihak yang ambil sambil lewa. Konon-kononnya bumi mampu berevolusi mengikut keadaan semasa. Ternyata tangan-tangan manusia ni terlalu beracun sampai alam sendiri pun menyerah kalah.”

“Kenapa tak ada pokok di kawasan ni lagi?” tanya Shahidee.

“Udara terlalu beracun untuk tumbuhan. Manusia lagi pantas mengadaptasi dalam keadaan seperti ini. Akhirnya pokok-pokok tak mampu diselamatkan. Semakin lama semakin banyak spesis yang pupus. Sebatang pokok memerlukan kos yang tinggi untuk dipelihara.”

Shahidee hanya mendengar dengan rasa takjub.

Dahi Fazril berkerut. Seolah-olah dia dapat mengesan sesuatu yang pelik tentang Shahidee.

“Ada apa-apa yang kau nak kongsikan dengan aku?” tanya Fazril.

Shahidee melihat sekeliling untuk memastikan tiada yang mendengar perbualan mereka. “Kalau saya cerita, abang pun takkan percaya rasanya. Saya… bukan dari kawasan ni.”

“Kau baru sampai dari mana?”

“Dari sini, tapi bukan kat sini.”

Fazril duduk tegak. “Aku tak faham.”

“Saya dari alam serupa macam ni, tapi berlainan. Entah, saya pun tak tahu macam mana nak terang.”

“Maksud kau, dimensi lain.”

Spontan Shahidee angguk. Konsep itu baru terfikir di benaknya.

“Cuba kau cerita apa yang dah berlaku sebenarnya ni.” Fazril melipat suratkhabar dan sedia untuk mendengar.

Shahidee teguk liur. “Saya kena hantar surat ke Menara RJ.”

“Menara RJ?”

Shahidee angguk sambil menunjuk ke bangunan di belakangnya. Apabila dia menoleh, dia tergamam. Menara itu sebenarnya bernama Menara Senggora.

“Okey teruskan.” Fazril tidak sabar.

“Saya nak hantar surat ke menara… ini. Saya naik lif ke tingkat atas. Tingkat 13. Bila keluar, semua dah berubah. Syarikat yang saya nak hantar dokumen tak wujud. Telefon pun dah tak ada line. Kawasan ni pun dah lain.”

Fazril berfikir sejenak.

“Aku pernah dengar tentang kes macam kau ni.” Fazril sebenarnya masih belum pasti sama ada dia percaya sepenuhnya kisah Shahidee, tapi dia mengandaikan kisah itu benar-benar berlaku.

“Menurut kajian yang belum dapat dibuktikan lagi, ada dunia parallel yang berhubung kait antara satu sama lain. Mungkin persekitarannya sama. Atau mereka yang wujudnya ada persamaan.” Terang Fazril.

Shahidee sukar menumpukan perhatian kerana dia kurang berminat dengan sains. Apatah lagi fiksyen sains. Hakikatnya sains adalah berkait rapat dengan kehidupan seharian.

“Pada masa dan lokasi tertentu, dunia-dunia ini saling berhubung atau bertindan. Seperti ada portal rahsia yang tidak diketahui atau dilihat dengan mata kasar.” Tambah Fazril.

“Tapi… macam mana abang tahu semua ni?”

“Aku belajar quantum physics. Cerita saifai memang minat aku.” Jawab Fazril sambil tersengih.

“Ooo…” Shahidee angguk.

“Dalam kes kau, mungkin lif tu adalah portal. Apa tarikh hari ni?” tanya Fazril.

“Satu Jun 2016.”

“1… 6… 16,” kata Fazril sambil berfikir. “Ada pattern.”

“Apa maksud abang?

“Mungkin tarikh itu berkait dengan kedua dimensi dan lif tu.”

“Lif!” Shahidee terfikir. “Mungkin itu jawapannya untuk saya balik semula ke tempat saya.”

“Kau tunggu sekejap. Aku tanya prof universiti aku.”

Semasa Fazril sibuk di telefon, Shahidee buat keputusan untuk mengambil tindakan sendiri. Dia meninggalkan Fazril dengan senyap-senyap. Dia menaiki lif semula dan pergi ke tingkat 13.

“Kalau betul macam yang dia kata, jalan untuk balik ke tempat asal aku mesti dalam lif tu.”

Setibanya di tingkat 13, Shahidee hampa. Kelihatan seorang lelaki memakai overall biru tua sedang berdiri di lif yang tertutup itu. Papan tanda LIF SEDANG DIBAIKI diletakkan di depan pintu lif.

“Lama lagi ke bang?” tanya Shahidee dalam keadaan resah.

Lelaki itu melihat Shahidee dengan rasa pelik. “Baru mula. Guna lif sebelah tu.”

“Tak boleh bang. Saya kena guna yang ni. Tolonglah bang.”

“Kau ni apa hal? Sudah! Jangan kacau kerja aku boleh tak? Pelik betul!” jerkah lelaki itu.

Shahidee serba salah. Dia turun semula untuk berjumpa dengan Fazril.

“Aduh! Lif pulak rosak. Macam mana kalau aku tak dapat balik? Aku tak nak stuck kat sini. Mesti aku dilaporkan sebagai kes orang hilang.”

Shahidee baru berkira-kira ingin meminta pertolongan Fazril yang berpengalaman dalam bidang ini. Malangnya apa yang dilihat menimbulkan rasa curiga.

Dari celah pintu kaca, Shahidee ternampak Fazril sedang berbual seorang lelaki. Bersama mereka kelihatan dua orang lelaki memakai kot hitam.

Shahidee mula syak. Fazril sedang bertekak dengan lelaki itu sebelum mereka bergerak ke menara. Shahidee segera bersembunyi di hujung koridor.

“Prof, saya rasa dia ni orang gila prof. Atau dia hilang ingatan.” Pujuk Fazril.

“Kita tak boleh lepaskan peluang. Kita kena jalankan ujikaji ke atas dia. Mungkin betul dia dari dunia paralel yang lain. Kajian kita mungkin boleh membuktikan teori selama ini.” Kata lelaki berumur dan berkaca mata itu.

“Saya rasa lebih baik kita lepaskan dia prof. Dia tak bersalah.” Fazril tidak putus asa.

Namun lelaki itu tidak mengendahkannya. Dia bersama kedua pengiring masuk ke dalam lif.

“Pssst!”

Fazril memandang ke arah Shahidee. Kemudian dia pergi mendapatkan Shahidee.

“Kau buat apa kat sini?” bisik Fazril.

“Siapa tu?” tanya Shahidee.

“Prof aku. Rupa-rupanya dia bekerja dengan The Lab. Dia nak tangkap kau lepas aku ceritakan hal kau tadi. Mungkin dia nak jadikan kau bahan kajian makmal.”

“The Lab? Nak tangkap?” Shahidee kalut.

“Kita tak ada masa. Kita kena ke tingkat 13 sekarang.”

Mereka naik menggunakan tangga untuk ke tingkat 13. Terasa lelah mendaki 13 tingkat tangga hingga nafas termengah-mengah dan baju lencun dengan peluh. Mereka mengintai dari tepi dinding.

Kelihatan profesor bersama dua pengiringnya berbual dengan mekanik yang membaiki lif. Kemudian mereka bertiga turun menggunakan lif.

Setelah mereka beredar, Fazril dan Shahidee pergi mendapatkan mekanik itu.

“Bang, dia ni kena masuk semula dalam lif ni sekarang.” Kata Fazril.

“Kau ni apahal? Aku dah beritahu dia suruh guna lif yang elok tu. Tak reti bahasa ke apa?” Jawab lelaki itu dengan bengkeng.

“Apa masalah lif ni sebenarnya bang?” tanya Shahidee.

“Lif ni okey. Cuma pintu ketat sikit. Kalau nak masuk kena umpil guna besi tu. Nak tutup pun kena tolak sendiri.” Jawab mekanik itu telus dengan harapan dia tidak diganggu lagi.

Shahidee dan Fazril beredar seketika dari mekanik itu.

“Nampaknya kita tak ada cara lain.” Kata Fazril.

Seperti memahami, Shahidee angguk.

Fazril mencapai sepuntung kayu yang digunakan untuk menahan papan tanda supaya tidak tumbang. Dengan berhati-hati, dia berdiri di belakang mekanik dan memukul bahagian belakang kepalanya. Lelaki itu tumbang tidak sedarkan diri di lantai.

Shahidee mencapai umpil besi dan memasukkannya di celah pintu. Dia mengumpilnya dan dibantu oleh Fazril. Pintu terbuka sedikit dan Shahidee masuk melaluinya.

Mereka menolak pintu dengan tangan hingga tinggal beberapa centimeter yang masih renggang.

“Terima kasih bang,” ucap Shahidee.

“Jaga diri kau baik-baik. Tak sangka hari ini aku berjaya buat penemuan baru dalam sejarah. Kalau ini kali terakhir kita berjumpa, aku ucapkan selamat pulang untuk kau.” Jawab Fazril.

Shahidee terasa berat ingin meninggalkan tempat itu. Namun dia tidak mahu terus terperangkap dalam dunia yang asing ini.

“Terima ka…” Belum sempat dia habis bercakap, kedengaran suara dari hujung koridor.

“Itu dia!” suara profesor.

Fazril berpaling melihat.

Dari celah pintu, Shahidee nampak Fazril ditangkap kedua lelaki yang memakai kot. Tanpa berlengah Shahidee merapatkan pintu lagi dan terus menekan butang G.

Dia memejamkan mata sambil berdoa dalam hati. Dia berharap segalanya akan kembali seperti sedia kala.

“Janganlah aku terperangkap dalam dunia ni. Aku tak nak jadi macam tikus makmal. Entah apa prof tu nak buat dengan aku.” Bisiknya dengan peluh yang masih bersisa.

Lif mula bergerak. Nombor berubah satu demi satu hinggalah terpampang huruf G. Dahi Shahidee mula merecik dengan peluh dingin dalam ketakutan yang teramat sangat.

Pintu terbuka.

Shahidee menjengah keluar dengan rasa curiga. Segala-galanya seperti ketika dia mula-mula tiba di bangunan ini. Dia berlari keluar dan melihat puncak bangunan. Terpampang tulisan Menara RJ.

“Alhamdulillah,” ucap Shahidee dalam lirih.

Dia masuk semula ke dalam bangunan. Baru saja dia ingin masuk ke dalam lif seperti masa mula-mula dulu, dia teringat sesuatu. Lalu dia keluar dan masuk ke dalam lif satu lagi. Dia menekan butang bernombor 13. Dengan rasa seriau, dia menunggu.

“Kalau betul ini dunia aku, tak dapat aku jumpa Abang Fazril. Apa agaknya nasib dia? Aku terhutang budi sebab dia dah selamatkan aku.”

Dia kini berada di tingkat 13. Pintu terbuka.

Dia menjengah keluar. Tiada tanda lif satu lagi sedang diperbaiki. Tiada kelibat Fazril, profesor atau pengiring berdua.

Dia segera menuju ke bahagian 13A dan bertanya, “Bravo Shipping Agency?”

“Ya, ada dokumen?” tanya penyambut tetamu. Bukan seperti gadis yang dilihat sebelum ini.

Setelah menyerahkan dokumen, Shahidee memeriksa telefon. Signal talian amat bagus di sini. Dia menghela nafas lega.

Setibanya di pejabat, dia menceritakan kisahnya kepada teman sekerja. Namun semua menganggap dia hanya bergurau. Kemudian dia menulis status di Facebook. Reaksi rakan Facebooknya juga serupa.

Hinggalah seorang inspektor polis bersama seorang polis beruniform datang mencarinya.

Akhirnya dia ditahan dan dibawa ke balai polis.

@@@@@

Shahidee merenung wajah Inspektor Azizi. Lelaki itu memerhatikannya dengan pandangan yang tajam.

“Itulah ceritanya. Kalau inspektor nak suruh saya cerita sekali lagi, ceritanya sama. Tak ada yang berubah.” Shahidee berang.

Inspektor Azizi keluar meninggalkannya. Daryl Wee mengeluh sebelum mereka meninggalkan Shahidee dan ke pejabat Inspektor Azizi.

Daryl Wee mengeluarkan sebuah fail dari dalam begnya.

"Ini bukan kali pertama. Sejarah telah membuktikan ada yang telah mengalami perkara yang sama tanpa penjelasan yang tepat." Katanya.

Dia mengeluarkan sisipan pertama dan menyerahkan kepada Inspektor Azizi.

“Kes pertama, seorang wanita bernama Lerina G Gordo. Dia bangkit dari tidur dan menyedari beberapa perubahan dalam hidupnya. Sama ada objek di persekitarannya, mahupun beberapa orang penting dalam hidupnya. Dalam tahun 2008 dia bertanya di sebuah forum jika ada yang mengalami nasib seperti dirinya.”

Kemudian Daryl Wee menyerahkan sisipan kedua.

“Di Tokyo Jepun pada awal tahun 90-an, seorang lelaki tiba dengan pesawat dari sebuah negara yang tak wujud. Anehnya pasport menunjukkan ia pernah digunakan beberapa kali sebelum ini dengan chop yang sahih. Lelaki kaukasian itu mendakwa negara itu wujud di Eropah. Setelah ditahan selama 14 jam di terminal, dia dipindahkan ke sebuah bilik hotel dengan jagaan rapi. Dia hilang begitu saja selepas itu. Gerakan mencari lelaki misteri itu tidak berhasil. Dia lenyap macam tu saja.”

Inspektor Azizi membaca dengan reaksi teruja. Kemudian sisipan seterusnya diserahkan kepadanya.

“Kes ketiga, seorang profesor di kawasan parkir yang agak sibuk hilang begitu saja setelah masuk ke dalam kereta yang dimilikinya. Ramai saksi yang nampak dia, malah ada yang sempat berinteraksi dengan melambai dan sebagainya sebelum kejadian itu. Sebaik saja dia masuk ke dalam kereta, dia terus hilang. Tanpa kesan.”

Inspektor Azizi masih dihantui curiga. “Tapi… benarkah dunia itu wujud? Atau sekadar teori yang masih belum mampu dibuktikan.”

“Hanya kerana tiada penerangan yang logik, tidak bermakna ia tak wujud.” Kata Daryl Wee.

“Tapi… mungkin juga dimensi yang dimaksudkan adalah alam golongan jin. Atau bunian. Mereka berkongsi dunia yang sama, Cuma dimensi mereka berbeza dan tidak ketara pada pandangan manusia. Penjelasan itu lebih mudah diterima akal. Daripada dunia parallel yang komplikated dan terlalu kompleks.” Hujah Inspektor Azizi.

“Itu terpulang pada penerimaan individu berdasarkan kepercayaan dan tahap pemahaman masing-masing. Apa yang penting sekarang adalah apa yang harus dilakukan dengan subjek bernama Shahidee tu. Sama ada dia perlu ditahan untuk kajian lanjut, atau dibebaskan begitu saja.” Daryl Wee memberi perspektif kepada masalah yang sedang mereka hadapi.

Inspektor Azizi hanya mampu menghela nafas yang dalam. Sukar untuk dia pastikan pengalaman yang dialami oleh penghantar dokumen bernama Shahidee benar-benar telah berlaku. Mungkin juga itu adalah halusinasinya kerana penyakit atau situasi sementara mindanya.

@@@@@

Setelah kejadian itu, Shahidee telah dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Pengalaman termasuk ke alam lain melalui lif tingkat 13 di Menara RJ adalah seperti satu pengajaran buat dirinya. Seolah-olah dia telah dibawa ke suatu masa di mana alam semulajadi sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Kini dia giat menjalankan aktiviti berkaitan pembelaan alam sekitar. Pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk kempen menghapuskan pencemaran, kesan rumah hijau, carbon footprint, penganiayaan terhadap hidupan liar akibat pelupusan sampah tidak bersistem, penanaman semula pokok hutan dan bakau, dan kitar semula.

Sama ada alam yang dimasuki secara tidak sengaja oleh Shahidee benar-benar wujud atau tidak, itu tidak begitu penting berbanding dengan mesej yang ingin disampaikan. Alam semulajadi adalah aset yang tidak ternilai di dunia ini. Janganlah kerana leka kita mengabaikannya hingga tiba berita buruk bahawa ia sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Sedangkan kita masih ada banyak masa lagi sekarang ini untuk membuat perubahan, sebelum tiba masa yang amat digeruni itu.

SEKIAN


Nota penulis:

Apa yang dialami oleh watak dalam cerita ini mungkin tidak akan dialami oleh orang lain dan itu telah mengubah hidupnya. Kalau diberi peluang, adakah anda cukup berani untuk melangkah masuk ke dunia parallel Zon Thriller SK?


Kembali ke indeks Zon Thriller SK...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=6778&idc=35908



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.