Home Cerpen Thriller/Aksi Mask 5 - BAB 2
Mask 5 - BAB 2
AMNI ZIKRI
27/4/2020 22:15:53
128
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Bab 2  

“ Ini merupakan keadaan sebenar yang berlaku di sekitar Bank Utama Utara Nasional pada tengah hari semalam. Mengikut data yang diberi oleh Jabatan Polis Gempur Di-Raja Malaysia, jumlah anggota terkorban dianggarkan 250 anggota serta 65 kereta berperisai dan 20 kereta polis pula hancur keseluruhan. Pihak polis juga telah kehilangan 5 buah helikopter semasa kejadian itu berlaku. Hasil rompakan yang telah dianalisis oleh pihak bank ialah 80% ketul jongkong emas yang terdapat di dalam simpanan mereka. Mengikut pihak bank juga, tiada pekerja mereka yang terkorban hanya 5 orang sahaja yang cedera ringan. Pihak polis kini sedang berusaha untuk menjejaki mereka berlima. Itu sahaja laporan dari saya. Nabila Rosli.” Televisyen itu sedang memaparkan keadaan Bank Utama Utara Nasional yang hancur seperti dilanda ribut.

“ Teruk sangat kita buat semalam.” ucap Blue yang sedang sedang bersenang-lenang diatas sofa sambil menonton televisyen.

Dia yang seronok melayan berita itu mula menukar siaran. Black yang berada berdekatan terus mengetuk kepala Blue. Kegembiraan Blue terganggu kerana usikan yang diterima. Kini, mereka berada di rumah mereka. Rumah mereka ini agak besar namun tersorok di atas bukit. Kedudukan diatas bukit itu amat strategik untuk mereka berlindung daripada pihak polis. Bukit itu berada agak jauh dari pusat bandar. Rumah itu asalnya dimiliki oleh seorang hartawan namun selepas hartawan itu meninggal dunia kerana sakit tua, rumah serta hartanya telah diberikan kepada mereka berlima. Mereka berlima merupakan anak angkat kepada orang kaya itu.

Ghost yangsedang berbaring di lereng bukit menikmati pemandangan yang indah serta dibuai oleh angin malam. Di situlah tempat dia selalu meluangkan masa. Namun, malam itu bukan malamnya untuk berada di luar kerana hujan sudah mula datang menyinggah. Dia terus berjalan untuk masuk ke dalam rumah. Sedang dia berjalan, sebuah kotak peralatan menghalang jalannya. Dia menoleh ke kiri melihat White sedang menaik taraf dan mengubah suai helikopter polis yang dirampasnya semalam. Dia yang tidak berminat untuk berbual kini terus berjalan untuk memasuki rumah dan terus tidur.  

 

IBU PEJABAT PASUKAN POLIS GEMPUR DI-RAJA ( UTARA )

BANG!!! Bunyi meja mesyuarat yang dihentak kuat itu bergema. Semua ahli mesyuarat diam membisu tidak berani mengeluarkan suara. Amarah Ketua Pasukan Polis Gempur membuatkan dia hilang kesabaran dan memaki hamun kesemua ahli mesyuarat. Walaupun, kesalahan itu bukan berpunca daripada mereka namun mereka terpaksa hadap kerana sudah diberi tanggungjawab untuk menangkap Mask 5. Ketua Pasukan Polis Gempur, DSP Khairul, mula tersedar akan kesalahannya memaki hamun ahli mesyuarat terus memohon maaf. Dia yang berdiri terus duduk membisu sedang memikirkan rancangan. Namun, semua itu sia-sia kerana dia hanya menemui jalan buntu. Sedang dia terleka, mesyuarat itu menerima panggilan video daripada Perdana Menteri.

“ DSP Khairul, bagaimana dengan proses pasukan kamu untuk menangkap kumpulan Mask 5 tersebut?” soal Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad, yang ingin mengetahui perkembangan misi pasukan tersebut.

“ Pasukan saya gagal teruk dalam misi menangkap mereka semasa rompakan Bank Utama Utara Nasional seperti yang tuan dapat lihat di dalam berita.” jawab DSP Khairul hampa. Dia berasa malu untuk memberi laporan kepada Perdana Menteri dan Yang Di-Pertuan Agong.

“ Yang Di-Pertuan Agong telah menganugerahkan sebuah pasukan elit negara kepada pasukan kamu. Kalian perlu bekerjasama dengan mereka untuk menumpaskan kumpulan Mask 5. Pasukan itu terdiri daripada 5 anggota. Mereka akan melapor diri pada keesokan hari. Maka, saya berharap kalian dapat belajar daripada mereka dan selamat berjaya.” terang Tan Sri Ahmad lalu menamatkan panggilan video.

DSP Khairul terkesima kerana mendapat bantuan daripada YDPA. Dia bersyukur dan mendapat semangat baru untuk menjalankan misi mereka. 

Keesokan harinya, DSP Khairul menunggu pasukan elit khas negara yang dikatakan oleh perdana menteri semalam di Ibu Pejabat Polis Gempur Di-Raja. Dia menerima pesanan daripada perdana menteri bahawa pasukan itu akan melapor diri tepat jam 9 pagi. Khairul yang sedang berada di lobi bangunan tersebut mula mencari kerusi untuk berehat. Dia mula melabuhkan dirinya di sofa yang berada di tengah lobi itu. Jam tangan yang dipakainya menunjukkan jam 8:58 pagi. Perasaan hampa mula singgah di hatinya. Hampa kerana pasukan yang dikatakan elit itu tidak menepati masa. Baginya menepati masa itu penting kerana jika seseorang itu tidak dapat menepati masa maka dia adalah orang yang gagal. Tiba-tiba, bahunya rasa seperti disentuh. Dia tersentak lalu terus memandang ke belakang untuk melihat gerangan manusia yang menyentuh bahunya.

“Assalamualaikum dan selamat pagi, tuan.” suara misteri itu memberi ucapan salam kepadanya.

Dihadapannya kini terdapat lima orang lelaki asing sedang berdiri tegak sambil memberi tabik hormat kepadanya. Dia yang kebingungan itu turut memberi tabik kepada mereka.

“ Tuan, saya ialah Ejen Hassan, ketua skuad alpha pasukan elit khas negara, melapor diri.” terang salah seorang lelaki tersebut memperkenalkan diri. 

DSP Khairul yang tergamam itu pantas melihat jam tangannya untuk melihat masa. Dia bertambah terkejut kerana mereka muncul di hadapannya tepat pada masa sedangkan 2 minit yang lalu mereka masih tidak kelihatan. Baginya, mereka mampu beri tamparan hebat kepada kumpulan Mask 5 itu.

Tanpa melengahkan masa, Khairul terus membawa mereka ke bilik operasi untuk memberi penerangan tentang misi mereka.

“ Ini adalah bilik operasi untuk misi menangkap kumpulan Mask 5. Saya, DSP Khairul, ketua untuk misi ini.” ucap DSP Khairul memperkenalkan diri.

“ Tuan, izinkan saya memperkenalkan diri kami pula.” pinta seorang daripada mereka berlima sejurus sahaja mereka masuk dan menutup pintu bilik operasi itu.

“ Baiklah.” balas DSP Khairul memberi keizinan.

“ Saya, Ejen Hassan, ketua skuad alpha pasukan elit khas negara.” terang Ejen Hassan sekali lagi.

“ Dan disebelah saya ialah Ejen Adnan. Seterusnya, Ejen Hussin. Ejen Lim. Akhir sekali, Ejen Morgan. Kami berlima merupakan skuad khas yang ditugaskan untuk membantu pasukan tuan untuk menjayakan misi ini. Buat pengetahuan tuan, kami merupakan organisasi rahsia kerajaan yang tidak boleh didedahkan. Kami hanya bertindak berdasarkan arahan daripada YDPA dan perdana menteri sahaja tetapi kami juga akan mengikut arahan tuan untuk menjayakan misi ini. Namun, buat masa kini kami terpaksa mendedahkan sedikit kewujudan kami atas arahan Agong. Maka, tuan diarahkan untuk menyimpan rahsia ini.” ujar Ejen Hassan memberitahu sedikit rahsia mengenai mereka.

“ Bagaimana dengan identiti kalian pasti yang lain igin mengetahui siapa kalian.” soal DSP Khairul.

“ Tentang itu tuan tidak perlu risau. Kami berlima akan menyamar sebagai anggota tentera yang ditugaskan untuk membantu pasukan tuan.” ujar Ejen Hassan menjawab persoalan berkaitan kewujudan mereka.

 “ Seperkara lagi, jika tuan membocorkan rahsia kami. Tuan akan dikenakan hukuman daripada pihak kami dan pihak YDPA.” sambung Ejen Hassan memberi amaran. 

“ Baiklah,saya akan menyimpan rahsia mengenai identiti sebenar kalian dan juga kewujudan organisasi kalian.” balas DSP Khairul sambil berjabat salam sebagai simbolik perjanjian dipersetujui.        

 “ Mengenai pasukan saya, saya dibantu oleh beberapa lagi pegawai untuk melaksanakan misi ini. Kini, pasukan saya akan bekerjasama dengan kalian berlima.” terang DSP Khairul memulakan pembentangan.

“ Objektif kita adalah untuk menangkap kumpulan Mask 5 sama ada hidup atau mati. Pasukan saya diberi keistimewaan untuk mengerahkan beberapa batalion dengan keizinan untuk menjayakan misi ini.”

Kemudian, DSP Khairul menghidupkan komputer bilik operasi dan memulakan tayangan slaid. Tayangan slaid tersebut memaparkan gambar-gambar kumpulan Mask 5. Mereka berlima duduk di meja mesyuarat di dalam bilik itu sambil memandang DSP Khairul yang berada di tengah-tengah bilik itu.

“ Ini adalah wajah-wajah sasaran kita. Saya akan mula dengan ketua mereka iaitu Black. Black ialah otak kepada kumpulan ini. Mengikut apa yang kami lihat, Black mempunyai kemampuan menembak yang tinggi. Senjata utamanya adalah pistol berkembar. Walaupun dia menggunakan senjata jarak jauh namun dia lebih gemar untuk menyerang dalam jarak yang dekat seperti yang berlaku semasa rompakan Bank Utama Utara Nasional.Namun, kami tidak menafikan bahawa dia juga berkeupayaan untuk melakukan tembakan jarak jauh dengan tepat. Tambahan, taktik dia yang suka mengeluarkan asap hitam menyukarkan pasukan kami untuk menumpaskannya.” DSP Khairul memperkenalkan Black kepada mereka berlima sambil menayangkan imejnya.

“Seterusnya, Red. Dia merupakan perisai dan otot kumpulan ini. Badannya yang agak besar berbanding ahli yang lain menjadikan dia sasaran yang mudah. Namun,dia mempunyai kepekaan yang luar biasa membuatkan persepsi kami berubah. Senjatanya adalah dua bilah katana. Kemahiran berpedangnya amat tinggi sehingga dia dapat menangkis setiap peluru yang meluru ke arahnya. Dia sering dilihat bekerjasama dengan Black untuk berhadapan dengan pasukan polis.” tanpa membazir masa DSP Khairul menukar paparan slaid.

“ Saya teruskan, ini ialah Blue. Dia merupakan tangan dan kaki kumpulan ini. Mengikut pemerhatian pihak kami, Blue yang akan ditugaskan untuk melakukan tujuan mereka tetapi dia hanya kelihatan aktif semasa aktiviti rompakan sahaja tetapi dia masih dilihat semasa aktiviti yang lain. Senjatanya agak berbeza dengan yang lain kerana dia hanya menggunakan bom tangan. Dia pernah meletupkan sebuah kereta perisai milik pihak polis hanya menggunakan dua biji bom bersaiz guli.Maka, pendapat kami dia mempunyai pengetahuan tentang bahan letupan.”

“ Lelaki ini ialah White. Dia adalah kenderaan mereka untuk melepaskan diri. Dia jarang kelihatan semasa mereka menjalankan misi. Kami hanya mendapat sedikit sahaja data mengenai keupayaannya. Mengikut apa yang kami tahu, dia mempunyai kemahiran tempur tangan kosong yang setanding dengan pengamal seni beladiri professional.”

“ Akhir sekali, Ghost. Dia merupakan ahli kumpulan yang paling sukar ditangkap kerana ketangkasannya yang luar biasa. Kami masih tidak mengetahui bagaimana dia mempunyai kebolehan untuk menjadi asap. Dia merupakan ‘tikus’ yang mampu melemahkan pihak polis.”

“ Setakat itu sahaja maklumat yang kami dapati melalui rakaman aktiviti-aktiviti mereka.” DSP Khairul menamatkan pembentangannya.

Dia mula mendapatkan tempat duduk lalu melabuhkan dirinya yang agak keletihan selepas memberi keterangan.

“ Kalian ada soalan?” soal DSP Khairul yang melihat mereka yang tidak memberi sebarang reaksi.

“ Setakat ini tiada, tuan.” balas Ejen Hassan mewakili mereka berlima.

“ Tuan, bolehkah kami meminta tuan untuk menayangkan kesemua rakaman aktiviti-aktiviti kumpulan Mask 5 tersebut?” ujar Ejen Adnan.

“ Tiada masalah.” DSP Khairul mula mencari fail-fail rakaman yang dimaksudkan.

Semasa, DSP Khairul membuka dan memainkan rakaman yang pertama. Telefon pintar milik DSP Khairul mula berdering menandakan terdapat panggilan yang masuk.

“ Saya meminta diri sebentar. Kalian boleh melihat rakaman tersebut dahulu.” DSP Khairul terus keluar dari bilik tersebut dengan tergesa-gesa.

Sejurus, DSP Khairul keluar. Ejen Hussin terus pergi ke komputer dan memasukkan pemacu penanya. Dia menyalin fail rakaman. Kemudian, dia duduk kembali ke tempat duduknya. Mereka mula melihat kesemua rakaman aktiviti kumpulan Mask 5. Melalui tayangan itu, mereka dapat lihat setiap keupayaan Mask 5. Mask 5 memakai jaket kalis peluru yang berbeza warna dan topeng yang berlainan. Jaket mereka itu menjadi sebab mereka masih hidup dan topeng mereka dapat menyembunyikan identiti mereka sehingga kini.  

“ Menarik…”ujar Ejen Hassan.

“ Adakah mereka layak?” soal Ejen Lim.

“ Ya. Mereka layak.” balas Ejen Hassan dengan yakin.

Keempat-empat ejen yang lain mengangguk faham dan terus memberi fokus kepada rakaman yang dipaparkan.    

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh AMNI ZIKRI