Home Cerpen Thriller/Aksi ANTOLOGI JIWA KACAU : DALANG
ANTOLOGI JIWA KACAU : DALANG
Ayim Rifqi
27/9/2013 12:53:20
4,189
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi
Beli Sekarang
DALANG

“Sari Berita Utama. Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan yang aneh. Seluruh tubuh badannya keras seperti patung. Pada mulanya dia ditemui oleh pekerja DBKL di kawasan longgokan sampah di pinggir ibu kota pada jam 7 pagi tadi dan menganggap ia adalah patung rosak dari kedai berdekatan. Namun apabila diperiksa, nyata ia adalah mayat seorang wanita. Mayat wanita itu kini berada di hospital untuk proses bedah siasat dan pengecaman. Kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga. Diminta segera menghubungi nombor yang tertera di kaca televisyen anda.”

Dahlia yang sedang menonton berita tersebut terkejut. Kini dia pasti, bukan dia seorang saja mempunyai kebolehan paranormal itu. Ada lagi manusia lain yang mempunyai kuasa deria keenam sepertinya. Dahlia tahu kuasanya cuma terhad terhadap sentuhan. Pernah Dahlia cuba menyiasat tetapi dia takut kuasa yang dimilikinya itu terbongkar. Paling aneh bila Dahlia mendapati hampir semua kes itu sebenarnya tidak menemukan pembunuh sebenar. Mereka yang ditangkap itu hanya kambing hitam sahaja. Dahlia juga masih musykil dengan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian ayahnya dua minggu lalu. Ada sesuatu tentang kemalangan itu yang meragukan. Dahlia masih cuba menyiasat walaupun kes itu sudah diserahkan kepada pihak polis.

Dahlia menghubungi Adam untuk mengetahui samada mereka sudah menerima hasil bedah siasat ayahnya. Inu adalah peguam syarikat ayahnya dan juga lelaki pujaan hatinya.

“Hai sayang. Sayang dah terima hasil bedah siasat ayah Dahlia?” tanya Dahlia dengan suara yang lembut.

“Dahlia. Berapa kali abang nak cakap ni. Jangan panggil abang sayang. Abang kan dah bertunang dengan Kirana.” Adam menjawab seakan tidak senang.

“Sampai bila-bila pun Dahlia akan panggil abang sebagai sayang. Sudah! Dahlia cuma mahukan jawapan pada pertanyaan Dahlia tadi.” Dahlia bertegas meskipun sudah beratus kali Adam menegahnya.

“Abang belum terima lagi. Mungkin dalam minggu ini juga, jangan risau. Abang akan uruskan semuanya.” Adam memberi pengharapan.

“Terima Kasih sayang.” Dahlia bersuara manja, lega hatinya mendengar suara Adam yang kini sudah bertunang dengan kakak tirinya Kirana.

“Assalamualaikum.” Adam cuba memutuskan perbualan.

“Waalaikumsalam. Selamat malam.” Dahlia menjawab salam itu dan meletakkan telefon.

Ting tong! Ting Tong!

Kedengaran loceng pintu berbunyi. Dahlia segera ke hadapan untuk melihat siapa yang datang. Segera dibukanya pintu.

“Assalamualaikum Dahlia.”

“Waalaikumsalam kakak. Ada apa datang malam-malam buta ni?” tanya Dahlia kurang selesa dengan kedatangan Kirana ke apartmentnya.

“Kalau ya pun jemputlah kakak masuk dulu. Kakak ada benda nak cerita dengan Dahlia ni.” Kirana memandang Dahlia.

“Apalah kakak ni. Telefon kan boleh. Kenapa susah-susah datang malam-malam buta ni.” Dahlia mengherotkan mulutnya dan membuka pintu pagar lalu menjemput kakak tirinya itu masuk.

“Terima Kasih Dahlia.” Kirana mengukir senyuman.

Kirana masuk ke dalam dan duduk di sofa. Dahlia pula berjalan ke beranda sengaja tidak mahu mempedulikan kakak tirinya itu. Hatinya sakit bilamana kakak tirinya itu pula yang mendapat abang Adam yang sepatutnya menjadi miliknya. Dahlia geram segeramnya.

“Kakak kata ada benda nak cerita. Ceritalah cepat.” Dahlia bersuara.

Plash! Pap!

Tiba-tiba barang-barang dalam rumah Dahlia dipecahkan. Segera Dahlia masuk ke dalam.

“Apa yang kakak buat ni hah? Kenapa rosakkan barang dalam rumah Dahlia? Jangan kerana Dahlia yang dapat uruskan syarikat tu. Kakak marahkan Dahlia pula. Dahlia hanya ikut wasiat arwah ayah dan kakak pun tahu Dahlia boleh buat.” Dahlia bersuara keras kerana dia masih merasakan Kirana marah padanya berkaitan dengan wasiat ayahnya dan sedikit pelik kerana hanya dalam sesaat banyak barang yang dipecahkan.

“Tolol! Aku bukan Kirana. Aku datang cuma mahu beri amaran agar kau jangan masuk campur urusan aku. Kalau tidak, kau juga akan menjadi mangsa macam ayah kau! Ingat tu!” Orang yang menjelmakan diri menjadi Kirana itu memandang Dahlia dengan tajam.

“Apa kau dah buat dengan ayah aku ha? Siapa kau sebenarnya?! Kurang hajar!” Dahlia bertanya dalam keadaan marah lalu melontar pasu bunga kepada orang yang menjelma sebagai Kirana itu.

Namun Dahlia tiba-tiba diangkat dengan kuasa orang itu. Dia meronta-ronta.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!”

Prak! Dahlia dihumban ke tepi.

“Urgh!” Dahlia kesakitan dan muntah darah.

“Itu baru sedikit. Aku cuma bagi amaran! Jangan cuba masuk campur urusan aku! Sama macam ayah kau, suka menyibuk hal orang!” Orang itu berlalu keluar dan merosakkan lagi barangan lain.

“Ayah..” itu saja yang terpacul dari mulut Dahlia ketika itu, mulutnya berdarah. Kini dia yakin. Kemalangan itu bukan meragut nyawa ayahnya, ayahnya mati sebelum kemalangan itu. Dalam dunia paranormal, tiada sebarang tanda dapat ditinggalkan apabila membunuh seperti senjata dan sebagainya. Tahap-tahap kuasa paranormal seperti menghentak, menjerut dan sebagainya itu berlaku dengan kuasa deria keenam yang tidak mungkin dikesan manusia pelakunya.

Dahlia sedaya upaya bangun dan cuba menghubungi abang Adam, tapi dia tidak mahu menyusahkan Adam dalam hal ini. Dahlia mengelap semua luka dan kemudiannya berehat. Esok dia perlu ke pejabat. Dia juga perlu berpindah ke rumah ibunya kerana rumah itu sudah tidak selamat untuk diduduki.

Tudung berwarna ungu yang dikenakan seperti fesyen terkini Hana Tajima itu cukup sesuai di wajah Dahlia. Sedikit bedak dikenakan untuk menutup beberapa kesan lebam. Pewarna bibir dan celak dikenakan seadanya. Barang-barang yang pecah di bahagian ruang tamu dibiarkan. Meskipun begitu, hal semalam masih tidak luput dalam ingatan Dahlia, kebenaran tentang kematian ayahnya itu mempunyai pelbagai kaitan dengan pembunuhan yang berlaku kini.

Dahlia sampai ke pejabat sekitar jam 10 pagi. Dari jauh, Dahlia terlihat Leo menunggunya di depan bangunan pejabat.

“Selamat Pagi Dahlia. Nampak manis pagi ini. Jom sarapan sama.” Leo cepat saja memasukkan jarum ke dalam benang.

“Selamat Pagi Leo. Maaf. Pagi ni saya ada kerja sikit. Selamat bersarapan ya.” Dahlia menolak dengan mulutnya diherotkan.

Dahlia sudah tidak kuasa untuk berbahas dengan lelaki itu. Bukannya Dahlia tidak sukakan Leo itu, tapi sebenarnya hati Dahlia masih pada abang Adam.

“Dahlia. Hujung minggu ni Leo hantar rombongan ke rumah Dahlia ya. Leo dah beritahu mak dan ayah Leo.” Leo memberitahu hasratnya.

Dahlia terkejut. Hal itu tidak boleh dibiarkan. Mungkin juga hal itu akan menjadi kenyataan apatah lagi keluarga Leo dan keluarganya saling mengenali. Dahlia terpaksa memikirkan sesuatu untuk menghalang.

“Leo. Hari ni saya temankan awak sarapanlah ya.”Dahlia membuat alasan.

“Betul? Gembiranya saya.” Leo kelihatan amat gembira.

Sampai saja di kafeteria. Dahlia dan Leo duduk di satu sudut selepas membeli makanan dan minuman.

“Leo. Bagilah saya sedikit masa lagi. Awak pun tahu apa yang baru berlaku dalam keluarga saya kan? Harap awak faham.” Dahlia meminta jasa baik Leo dalam hal itu.

“Saya faham. Saja nak hiburkan hati awak tu. Awak tu kurang senyum kebelakangan ni. Kalau ada masalah ceritalah dengan saya. Saya sudi membantu, tapak tangan awak tadahkan, satu padang bola saya bagi.” Leo cuba berlawak.

“Saya ada kerja ni. Saya sekejap saja ke pejabat hari ni. Ada hal dekat luar. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Dahlia meminta diri tiba-tiba.

“Waalaikumsalam. Kalau ada apa-apa hubungi saya. Lagi satu, hati-hati.” Leo menjawab salam dan sempat menyuruh Dahlia berhati-hati.

Dahlia pelik dengan arahan Leo itu dan kemudian berlalu naik ke pejabat. Sudah tidak kuasa dia melayan sikap Leo yang aneh-aneh sejak kebelakangan itu. Tapi sebenarnya dia ke pejabat pagi itu untuk mengambil dokumen sahaja. Dia mahu terus ke rumah Kirana untuk menemuinya. Ada hal yang mahu dia bincangkan sangat dengan kakaknya itu. Bukan saja pasal perihal abang Adam, malah juga pasal hal yang menjadi rahsianya selama ini. Mereka berjanji untuk bertemu di rumah ibu Kirana.

Semasa sedang melalui selekoh. Tiba-tiba Dahlia teringat pesan Leo. Dia kemudian mengubah laluannya. Apabila sampai ke laluan yang dia hendak masuk tadi, kelihatan tiga buah kereta bertembung dengan lori trailer dan mengakibatkan kemalangan ngeri. Nasib baiklah dia tidak lalu di kawasan itu tadi, kalau tidak Dahlia pasti menjadi salah satu mangsa kemalangan ngeri itu.

“Assalamualaikum.” Dahlia sampai ke rumah Kirana setengah jam selepas memandu dari pejabat.

“Waalaikumsalam Dahlia. Masuklah,” salam Dahlia disambut Kirana.

Kirana membawa Dahlia ke taman yang terletak di tepi rumahnya. Dua gadis bertudung itu saling pandang memandang.

“Sebenarnya apa tujuan Dahlia datang nak jumpa kakak ni?” tanya Kirana padanya.

“Kakak. Semalam Dahlia kena serang. Hal itu ada kaitan dengan keluarga kita dan dia kata ayah mati sebab masuk campur urusan dia.” Dahlia memberitahu hal sebenar, walaupun dia kurang suka kakak tirinya itu, namun dialah antara orang yang paling dia percaya di atas muka bumi ini, bak kata pepatah, orang yang paling anda benci itulah yang sepatutnya anda paling percaya.

“Kena serang? Adik tak apa-apa?” Kirana risau dan kemudian menyentuh tangan adiknya itu lama.

Seketika kemudian Dahlia mendapati luka-luka di pergelangan tangannya sembuh. Kini tahulah dia bahawa kakaknya Kirana juga mempunyai kuasa keenam itu.

“Terima Kasih. Jadi, selama ni kakak memang tahu yang adik pun punya kuasa keenam ni juga?” tanya Dahlia.

Kirana cuma mengangguk.

“Ayah?” tanya Dahlia.

“Ayah juga,” ringkas jawapan Kirana.

Selepas kejadian malam tadi barulah dia tahu rahsia keluarganya yang mempunyai kuasa keenam itu.

“Dahlia. Kakak minta maaf. Ayah yang nak kakak simpan rahsia ni sebab hal-hal macam yang berlaku pada adik semalam. Kakak tahu ada hal yang mencurigakan dengan kematian ayah. Kita biarkan abang Adam siasat dengan pihak polis.” Kirana memberitahu.

“Jadi. Kita kena berdiam diri saja dan biarkan ayah mati tak terbela?” marah Dahlia tiba-tiba, sikap Dahlia yang suka memberontak itu memang sebati dengan dirinya sejak kecil lagi.

“Laporan bedah siasat dah keluar pagi tadi, ayah ditikam dengan senjata yang tak diketahui sebelum ayah kemalangan dan keretanya menjunam ke gaung. Bersabarlah dik. Lambat laun kebenaran akan muncul jua.” Kirana memberitahu.

“Kakak. Ini soal ayah dan pembunuh yang masih berlegar bebas. Kakak kata boleh bersabar! Dia serang Dahlia, kalau dia serang mak kita macamana? Kita dalam bahaya kakak!” Dahlia naik angin.

“Adik. Kalau mahu menarik tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.”

“Kakak nak berkias lagi dalam hal macam ni. Itu ayah kak, ayah kita!” Dahlia berlalu pergi dengan perasaan tidak puas hati.

“Dahlia! Bahaya!” panggil Kirana apabila melihat Dahlia berlalu dengan marah.

Dahlia berlalu pergi dan hari ini dia tekad. Dia mahu ke hospital dan menyiasat melalui mayat wanita yang ditukar menjadi patung semalam.

Sampai di hospital. Dahlia terus menuju ke sebuah bilik mayat. Dahlia pasti masih belum ada sesiapa yang menuntut mayat perempuan tersebut.

“Mana satu pula mayat perempuan tu. Takkan nak tarik semua ni keluar.” Dahlia bercakap sendiri sambil memandang tempat mayat ditempatkan. Suhu bilik itu saja menerjah ke tulang sum sum Dahlia. Tapi tekadnya melebihi segala-galanya.

Mahu tidak mahu, Dahlia terpaksa juga menarik satu persatu mayat dan menyelak wajah setiap mayat itu. Hampir termuntah Dahlia apabila melihat beberapa mayat yang dijahit dan putus sana sini serta ada yang wajahnya hancur. Nasib baiklah mayat perempuan itu dijumpainya juga. Dahlia pasti itulah mayat wanita yang ditukar menjadi patung itu kerana dia melihat dengan jelas wajah perempuan yang ditukar menjadi patung itu secara jelas di kaca televisyen.

Perlahan-lahan Dahlia menyentuh dahi wanita itu. Semuanya berputar pantas sehingga Dahlia dapat masuk ke dalam satu dimensi dan berada di hadapan pembunuh itu dan juga seorang wanita.

“Aku nak kau tutup mulut dan jangan bersuara dengan sesiapa mengenai pembunuhan Tuan Sofian. Tapi kau tetap ingkar kan.” Orang itu bersuara dalam topeng yang samar-samar, suaranya mirip seseorang.

“Bukan. Aku tak buat begitu. Kirana cuma datang bertanya soalan dan saya jawab saja. Tapi saya tak sentuh apa-apa mengenai pembunuhan Tuan Sofian, betul. Sumpah!” wanita itu bersumpah.

“Sumpah perempuan ular macam kau sudah tidak berguna lagi Zita. Jangan ingat aku tak nampak apa yang kau sembunyikan. Kau memang tak cakap tapi kau bagi kertas dekat dia bukan?” tanya orang bersuara dalam topeng itu.

Zita menggigil ketakutan. Dahlia cuma memerhati.

“Saya cuma. Saya cuma teringatkan kebaikan Tuan Sofian pada saya. Tuan Sofian orangnya baik. Dia tak patut mati tragis macam tu.” Zita menunduk dan tahu seolah ajalnya bakal tiba.

“Baiklah. Itu yang kau pilih. Kau sudah tak layak hidup lagi!”

Orang bertopeng itu menghalakan tangannya ke arah Zita dan menukarnya menjadi patung dari bahagian kaki. Teriakan Zita tidak dipedulikan sehinggalah seluruh tubuhnya bertukar menjadi patung.

Kemudiannya Dahlia membuka mata. Kini dia tahu wanita itu adalah Zita. Setiausaha syarikat ayahnya dulu.

“Masih mahu masuk campur? Bagus! Ini kali terakhir kau hidup. Ada apa-apa yang kau nak cakapkan?” sinis orang itu bersuara di belakang Dahlia.

“Aku tak ada apa-apa untuk diperkatakan. Aku redha kalau aku mati hari ini. Tapi aku takkan mengalah macam Zita!” bentak Dahlia sedikit kuat dan berundur ke depan.

“Baik, aku nak tengok apa kau boleh buat!” Orang bertopeng itu tertawa kuat.

Dahlia sedar, dia cuma mempunyai kuasa paranormal melalui sentuhan. Tapi dia sedang mempraktikkan satu kuasa mengangkat barang berat dengan sentuhan tangannya itu. Dahlia kemudiannya tekad dan yakin. Dia cuba mengangkat beberapa barang di dalam bilik mayat itu. Kesemuanya bergetar kuat. Orang bertopeng itu memandangnya. Dahlia kemudian menghumbam barang-barang ke arah orang bertopeng itu.

Bap! Bap! Bap!

Kesemua barang itu tepat menuju ke arah orang bertopeng itu. Hati Dahlia puas. Dia berdiri dan melihat ke arah orang bertopeng itu berdiri. Hilang!

“Dasar pengecut!” marah Dahlia dan mengetap bibirnya geram.

Dahlia keluar dari kawasan hospital dan masuk ke dalam keretanya dan pulang dengan kecewa. Namun di dalam perjalanan, Kirana menghubunginya.

“Tolong kakak Dahlia! Dahlia!!..” suara Kirana merintih kedengaran.

“Kakak! Kakak! Jawab kakak! Jawab!” Dahlia dilanda kerisauan, selepas itu pula talian terputus. Berkali-kali Dahlia cuba menghubungi Kirana tetapi tidak berhasil.

Dahlia semakin risau. Dia akhirnya menghubungi abang Adam untuk meminta bantuan.

“Abang Adam. Ini serius. Baru sebentar tadi kakak Kirana hubungi Dahlia, suaranya dalam kesusahan. Tolong abang Adam cari dia.” Dahlia bersuara cemas.

“Ha?!” Abang Adam nyata terkejut dengan makluman dari Dahlia.

“Cepat abang Adam. Cepat! Saya takut kakak ada apa-apa!” Dahlia bersuara keras.

Dahlia juga cuba melajukan pemanduan kereta honda miliknya itu menuju ke rumah Kirana. Sampai saja di sana dia menemui ibu Kalsom yang tidak mengetahui di mana Kirana. Hati Dahlia semakin risau. Sampai akhirnya dia bertemu dengan abang Adam di situ juga.

“Apa sebenarnya yang Kirana cakap pada kamu Dahlia?” Adam seakan hilang sabar apabila tunangannya itu hilang.

“Dia minta tolong dan sebut nama Dahlia. Itu saja. Dahlia takut apa-apa terjadi pada kakak.” Dahlia semakin risau dan kerisauan itu tidak diberitahunya pada Ibu Kirana yang berada di dalam.

Kring! Kring!

Telefon bimbit Inu berbunyi. Tiada kata-kata yang muncul dari mulut Adam. Dia memandang Dahlia. Dahlia dilanda persoalan, dahinya berkerut. Kemudian Adam membawa Dahlia masuk ke dalam keretanya.

“Apa sebenarnya yang berlaku ni abang?” tanya Dahlia ingin tahu.

Adam hanya diam dan terus memandu. Tidak ternampak riak wajahnya.

Sampai saja ke satu tempat. Adam dan Dahlia berlari masuk ke dalam.

“Macamana keadaannya doktor?” tanya Adam sebaik sampai ke wad kecemasan.

“Kami cuba sedaya upaya untuk selamatkan dia. Kami sedang hentikan darah yang mengalir dari luka tikaman itu.” Doktor itu memberitahu.

“Ada orang nak bunuh kakak?” terkejut Dahlia.

“Ya Dahlia. Bersabarlah. Kita doakan kakak kamu baik-baik saja.” Adam memberitahu. Dahlia terduduk. Dahlia mahu menyiasat melalui sentuhan. Dia tahu, ini sajalah cara untuk mengesan pembunuh itu.

“Dahlia tak nak balik?” tanya Dahlia kepadanya.

“Dahlia nak tunggu di sini sampai Dahlia boleh melawat. Ibu Kalsom dan Ibu Ratna tidak tahu mengenai perkara ini. Dahlia wajib tunggu di sini sebagai ahli keluarga terdekat kakak Kirana.” Dahlia menjawab.

3 jam kemudian pelawat dibenarkan masuk tapi cuma seorang demi seorang. Dahlia adalah orang pertama yang masuk. Dia melihat Kirana terlantar di katil hospital itu. Seketika, Dahlia menyentuh dahi Kirana. Dia melihat kejadian yang berlaku pada Kirana sehinggalah sampai kepada Kirana ditikam. Dahlia memerhati senjata yang digunakan dan dia seakan tidak percaya. Ia adalah senjata yang dipandang biasa saja dan bagi Dahlia orang yang menikam Kirana itu memang sangat hebat. Dahlia terfikir, mungkin itu senjata sama yang digunakan untuk membunuh ayahnya dulu.

Setelah Dahlia keluar, Inu kemudian masuk. Inu dan Dahlia balik bersama-sama. Dahlia lebih banyak berdiam.

“Abang. Saya dapat tahu sesuatu.” Dahlia membuka bicara.

"Apa dia?"


bersambung...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ayim Rifqi