Home Cerpen Thriller/Aksi Rage-V
Rage-V
Isha Idiaz
23/6/2013 20:09:29
4,035
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Cerpen : Rage-V

Oleh : Isha Idiaz

*****

23 Mei 2013. Johor Bahru.

ELINA menuangkan air panas ke dalam gelas yang berisi Milo 3 in 1. Berkepul-kepul asap keluar dari gelas tersebut. Langkah kaki di bawa ke ruang tamu. Elina melabuhkan punggungnya di atas sofa. Alat kawalan jauh televisyen ditekan. Skrin televisyen memperlihatkan berita jam 8 malam disaluran Heboh.

Mata Elina terus menatap berita yang dipaparkan di televisyen tersebut. Namun penglihatannya seakan-akan kosong. Fikirannya masih tidak dapat melupakan kejadian petang tadi. Mindanya kini sibuk mengingati semua yang mencetuskan kejadian yang tidak dia ingini petang tadi.

*****

“KAU fikir kau siapa ha?” jerit Daniel sekuat hatinya.

“Abang ni dah kenapa? Elina kan isteri abang,” soal Elina lembut. Cuba menenangkan suaminya yang entah kenapa seperti orang gila sekarang ini.

“Isteri kau kata? Isteri apa kalau masak pun kau tak reti-reti. Sepuluh tahun kau kahwin dengan aku. Tapi makanan yang kau masak ni,” Daniel berjeda di situ lalu bangkit dari meja makan. Elina turut sama bangun.

“Makanan kau masak ni kalau bagi anjing yang menyalak dekat luar tu makan pun anjing tu tak mahu!”

Suara anjing yang menyalak di luar semakin kuat. Sama kuatnya dengan suara Daniel yang memarahi Elina. Tenggelam timbul suara Daniel dan anjing menyalak membingitkan telinga Elina.

“Abang, enough okey?” Elina cuba membela dirinya sendiri.

Elina tahu dia bukanlah pakar memasak seperti ChefHanieliza yang terkenal itu. Bukan juga seperti juara-juara Master Chef di Malaysia. Tapi kalau setakat nak masak lauk Malaysia, setidaknya dia masih tahu. Sepuluh tahun Daniel makan masakan dari air tangannya. Tidak pula lelaki itu pernah merungut masakannya tidak sedap. Hari ini dia tidak tahu apa salahnya sampaikan soal makanan yang tidak kena dengan citarasa Daniel itu menyebabkan dia diherdik oleh lelaki itu.

Enough kau kata? Owh. Sekarang dah pandai melawan eh? Kau ingat masakan kau ni sedap sangat ke?” Daniel masih dengan nada suaranya yang sampai ke oktaf tertinggi.

“Elina mintak maaf abang kalau masakan Elina hari ni tak sedap,” ujar Elina perlahan. Hatinya terguris. Ini pertama kali Daniel memarahi dia sebegitu rupa. Itupun hanya kerana masakannya tidak memenuhi cita rasa suaminya itu.

Daniel menghampiri Elina. Rambut Elina yang panjang itu dielus lembut. Tubuh Elena ditarik ke dalam dakapannya. Elina hanya menuruti. Diam. Tidak banyak bicara. Daniel yang tadinya marah-marah kini sudah kembali sejuk.

Elina cuba curi-curi melihat wajah Daniel di sebalik dakapan lelaki itu. Wajah lelaki itu masih seperti tadi. Merah dan penuh amarah. Hati kecil Elina takut. Dia tidak tahu kenapa dulunya dalam dakapan lelaki ini dia merasa selamat namun tidak kini.

Jari-jemari Daniel yang tadinya mengelus lembut rambut Elina kini bertukar rentak. Daripada sebuah elusan yang lembut, kini jari-jemarinya mula menggenggam kuat rambut Elina. Elina menjerit kesakitan.

“Abang, sakit abang,” lirih Elina. Tergapai-gapai tangan Elina cuba melepaskan rambutnya di dalam genggaman Daniel.

Suara Elina tidak diendahkan. Rambut Elina semakin kuat dalam genggamannya. Kini Daniel menarik rambut itu sekuat hatinya dan menghentak kepala Elina ke meja makan dengan kuat. Berdenting bunyi kaca berderai di atas lantai.

“Kalau macam ni tak sakit?” herdik Daniel.

“Lain kali, masak ikut tekak aku. Jangan masak ikut tekak kau! Faham!” gertak Daniel. Tersentak Elina setiap kali suara Daniel melingking begitu. Dan serentak itu juga kepalanya mengangguk laju mengiakan kata-kata Daniel.

Berpuas hati, Daniel pergi meninggalkan Elina yang kesakitan dan bermandikan darah di dapur itu.

*****

SUARA yang datang dari televisyen mematikan lamunan Elina. Siaran berita masih ditayangkan. Elina menghirup air Milo di dalam gelas. Asap putih berkepul-kepul keluar dari gelas.

Rasa sakit yang sesekali datang membuatkan Elina memegang dahinya. Elina mendapat lima jarum jahitan di dahinya akibat terkena serpihan pinggan yang pecah sewaktu Daniel menghentakkan kepalanya ke atas meja tadi.

Tiba-tiba Elina teringatkan sesuatu. Sewaktu dia di hospital tadi, ramai juga yang menerima nasib sepertinya. Ada yang terluka di tangan, ada juga yang terluka di kaki. Malah paling menyayat hati, ada seorang bayi hampir kehilangan tangannya kerana ditetak oleh bapanya sendiri.

‘Ada sesuatu yang tidak benar terjadi sekarang ini,’ bisik hati kecilnya. Dan serentak itu, suara di televisyen menarik perhatian Elina.

“Seorang warga emas ditetak sehingga mati oleh anak kandungnya sendiri di rumahnya. Mangsa, Siti Rabiah, berusia 65 tahun ditemui mati dirumahnya di Johor Jaya pagi tadi sekitar jam lapan pagi. Penyebab warga emas tersebut ditetak oleh anaknya masih disiasat oleh polis. Diduga, penjenayah berada dalam situasi emosional yang tidak stabil sehingga menetak warga emas tersebut.”

Pandangan Elina terpaku pada skrin televisyen. Pelik.

“Saya cuma mendengar, anak Kak Rabiah terjerit-jerit memarahinya sebaik sahaja pulang dari kerja. Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi kaca pecah silih berganti dengan suara arwah menjerit kesakitan.”

Elina teringat peristiwa petang tadi. Situasi tersebut seakan-akan sama yang terjadi pada dirinya.

“Hari ini sahaja, kita menerima puluhan pesakit yang datang dengan kecederaan yang serius. Hampir semuanya ditetak oleh ahli keluarga mereka mahupun orang yang rapat dengan mereka. Kita masih menyiasat hal ini dan melakukan soal jawab terhadap semua mangsa yang berkunjung ke hospital,” ulas Doktor Helmi yang diwawancara di Hospital Ampuan Aminah.

Telefon bimbit kepunyaan Elina berdering. Cepat-cepat Elina bangkit dan mendapatkan telefon bimbitnya itu di dalam bilik tidurnya.

“Baik. Saya datang sekarang,” ujar Elina.

*****

HAMPIR semua tempat parkir terisi di kawasan Senai Ecological Institute itu. Elina meletakkan keretanya agak jauh daripada pintu masuk utama. Sebaik sahaja enjin keretanya dimatikan, Elina melajukan langkah kakinya memasuki bangunan tersebut.

Semua petugas kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing. Elina menuju ke arah lif dan menghilangkan diri di dalam perut lif itu dan menuju ke tingkat paling atas di mana ruang diskusi dan penelitian ditempatkan.

Elina menggoreskan kad pengenalan dirinya di sebuah pintu. Pintu itu terbuka dan tanpa membuang masa, Elina memasuki sebuah ruang kecil yang kedap udara dengan pakaian serba putih. Di ruangan itu, asap putih disembur ke arahnya untuk tujuan sterilisasi. Setelah selesai, Elina memasuki ruangan yang tertera V- Room di atasnya.

“Silakan masuk Dr. Elina,” ujar seorang lelaki di hadapan pintu.

Elina hanya mengangguk.

Yes, Dr. Elina. Have a seat,” ujar Dr. Zecth.

Elina duduk. Serius.

I guess you already know what really happen outside there?” ujar Dr. Zetch sambil menudingkan jarinya ke kaca putih yang memperlihatkan semua persekitaran di luar Senai Ecological Institute itu.

Elina mengangguk.

And I’m really sure you experienced it too,” tambah Dr. Zetch sambil membawa tangannya ke arah dahinya. Lebih kepada menyedarkan Elina yang dia juga menghadapi masalah yang sama dengan puluhan bahkan ratusan orang di luar sana saat ini. Elina memegang dahinya yang masih tersemat benang jahitan.

“Apa penyebabnya?” ujar Elina tegas.

Dr. Zetch berjalan ke podium. Sepantas itu juga layar di hadapan tertera sesuatu.

“Rage-V?” ujar Elina yang lebih kepada sebuah persoalan.

Dr. Zetch mengangguk.

Yes. Rage-V.”

Dahi Elina berkerut.

“Rage-V adalah termsyang saya berikan untuk keadaan yang melanda populasi manusia di luar sana sekarang. Rage-V disebabkan oleh suatu virus yang menyerang ventromedial prefrontal cortexyang kemudian menghambat penghasilan endorphin. Inhibisi ini menyebakan penghasilan endorphin berkurang malah tidak dihasilkan sama sekali. Hal ini menyebabkan rasa gembira atau keterujaan hilang sama sekali dan diganti dengan rasa marah.”

Elina masih mencerna setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Dr. Zech.

“Dalam kata lain, Rage-V menyebabkan aktivasi dari catecholamine yang akan menghasilkan norepinephrine lebih banyak dari epinephrine?”

Dr. Zetch mengangguk.

“Efek dari adrenocortical yang biasanya dipicu oleh sekresi dari kelenjar pituitary akan mempengaruhi kadar testosterone. Jadi secara teorinya, sistem pituitary-adrenocortical dan pituitary-gonadal akan terganggu dan menyebabkan pemicuan rasa marah yang meluap-luap?” Elena menambah lagi.

Dr. Zetch tersenyum.

You get it Elina.”

Elina tersandar di kerusi. Kini dia tahu apa yang menyebabkan orang di luar sana hilang kawalan dengan rasa marah yang mereka alami. Termasuklah suaminya Daniel. Hanya satu yang dia harus lakukan sekarang. Mencari penawar kepada Rage-V ini.

*****

ELINA memicit-micit kepalanya yang dirasakan sakit. Sejak mendapat informasi dari Dr. Zetch malam tadi, dia dan Dr. Zetch berusaha keras membuat penawar untuk Rage-V.

Terasa matanya pedih apabila seharian menghadap komputer dan juga mikroskop silih-berganti. Dr. Zetch menjeling Elina di sebelah. Lalu lelaki itu bangkit menuju ke pantri. Lelaki itu muncul semula dengan mug berisi Nescafe di tangan.

Here,” ujar Dr. Zetch sambil meletakkan mug berisi Nescafe itu di meja Elina.

Elina memandang lelaki itu seraya tersenyum.

“Terima kasih,” ujarnya.

Dr. Zetch hanya mengangguk.

Elina memusingkan kerusinya menghadap Dr. Zetch.

Yes? Anything you want to said?” soal Dr. Zetch.

Elina menggeleng perlahan. Pen yang berada di tangannya diputarkan laju. Kebiasaannya jika dia memikirkan sesuatu secara serius.

“Kenapa dia nak menyerang manusia? Kenapa bukan benda lain? Binatang ke?” akhirnya soalan itu keluar dari mulut Elina.

Dr. Zetch menoleh. Kedua-dua bahunya diangkat.

“Mungkin virus tu tahu manusia zaman sekarang ni lebih suka bergaduh daripada hidup dalam keadaan aman damai,” ujar Dr. Zetch tenang.

As simple as that?” Elina mengajukan pertanyaan lagi.

“Kita, manusia, Allah berikan akal untuk berfikir. Tapi tak semua orang gunakan akal mereka untuk melakukan sesuatu yang baik. Kebanyakan dari kita menggunakan akal mereka untuk memanipulasi fikiran orang lain. Menerapkan unsur-unsur negatif dalam fikiran orang lain. Sehingga pada akhirnya, mereka dapat menciptakan satu kelompok yang obses pada diri mereka sendiri.”

Elina mengangguk. Ada kebenaran di sebalik kata-kata Dr. Zetch tadi.

“Kita lihat saja sekarang, berapa ramai yang rasa diri mereka berkuasa. Mereka rasa mereka ramai pengikut dan dengan adanya pengikut-pengikut setia tu mereka menjadi lebih berkuasa dan boleh menentang satu dunia. Tapi mereka lupa, ada yang lebih berkuasa daripada mereka,” ujar Dr. Zetch lagi.

“Allah,” sambung Elina.

Dr. Zetch mengangguk.

“Dia yang lebih berkuasa. Mungkin dengan adanya Rage-V ini, manusia di luar sana akan sedar, jika semua manusia di dalam dunia ini memberontak macam mereka, apa akan jadi pada dunia. Jika semua manusia di dunia ini melakukan kerosakan seperti mereka, apa akan jadi pada dunia.”

Betul. Manusia itu kadang-kadang terlupa. Mereka sibuk melaungkan kata-kata kebebasan. Keadilan. Tapi mereka lupa untuk berlaku adil pada orang disekitar mereka dan merenggut erti kebebasan itu dari orang ramai. Perjuangan mereka bukan perjuangan masyarakat tapi perjuangan untuk diri mereka sendiri. Mereka lupa. Mereka lupa mereka penjahat sebenar kepada diri mereka sendiri. Mereka menganiayai diri mereka sendiri.

*****

12 JUN 2013. Johor Bahru.

ELINA menatap halaman pertama surat khabar yang baru dibelinya. Bibirnya tersenyum memandang halaman pertama itu.

‘Manusia Lupa Untuk Senyum Punca Utama Tersebarnya Rage-V’ - Dr. Zetch dan Dr. Elina.

Setelah berhari-hari bertapa di dalam makmal Senai Ecological Institute akhirnya Elina dan Dr. Zetch berjaya mencari punca kenapa Virus Rage mudah tersebar di dalam masyarakat. Elina masih ingat betapa Daniel sukar untuk tersenyum sepanjang sepuluh tahun perkahwinan mereka. Stress dengan kerjanya membuatkan Daniel susah mengawal emosinya dan akhirnya Daniel diserang virus itu.

Mungkin secara etiologinya teori ini harus diperkukuhkan lagi. Namun Elina bersyukur, setidaknya dia dan juga Dr. Zetch dapat menciptakan penawar kepada Rage-V itu. Vaksin Rage-V sudahpun disebarkan ke seluruh hospital di Malaysia setelah disahkan selamat digunakan untuk manusia. Walaupun Elina harus melakukan uji cuba terhadap suaminya sendiri dan ragu-ragu dengan hasilnya pada awalnya, namun Elina tekadkan hati untuk menyelamatkan puluhan malah ratusan manusia yang tidak bersalah di luar sana.

Daniel meloloskan diri ke dalam kereta. Dia tersenyum memandang tajuk utama di akhbar itu. Tangannya mengusap lembut dahi Elina. Bekas jahitan masih terasa di dahi isterinya itu.

“Maafkan abang Elina,” ujar Daniel rendah.

Elina menatap wajah suaminya dalam-dalam.

“Janji dengan Elina, abang tak cakap lagi Elina masak tak sedap,” ujar Elina dalam nada rajuk.

Terhambur ketawa dari mulut Daniel. Daniel menggeleng laju.

“Elina masak sedap. Mana pernah isteri abang ni masak tak sedap,” ujar Daniel memujuk Elina. Bahu isterinya itu diusap lembut.

“Janji dengan Elina, abang mesti senyum setiap hari,” ujar Elina lagi.

Daniel cepat-cepat mencuit hidung isteri kesayangannya itu.

“Ya sayang, abang janji,” ujar Daniel sepenuh hati.

Rage-V. Ia menyerang semua. Ia menyerang manusia yang lupa senyum. Ia suka manusia yang pemarah. Apalagi manusia yang suka berpecah-belah. Hati-hati. Ia bakal datang lagi bila manusia melupakan nilai-nilai insani!

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.