Home Cerpen Seram/Misteri MALAM SENAM ZUMBA ZOMBIE Kak Wok vs Pak Maon
MALAM SENAM ZUMBA ZOMBIE Kak Wok vs Pak Maon
Diq Na
11/8/2020 21:15:11
2,574
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

           Sang matahari dan sang rembulan

           Berhari-hari berzaman-zaman

           Menerang alam setiap masa

          Tidak pun pudar oh cahayanya…

           Di corong radio, lagu Hati Muda, gubahan klasik dendangan biduanita Saloma berputaran. Uyum ikut bernyanyi. Badan turut bergoyang sambil menguli roti canai. Dalam kepala terbayang aksi Pak Maon di lantai Malam Pesta Muda-Mudi, babak popular filem Nasib Do Re Mi arahan seniman agung P Ramlee.

           “Oi, anak dara kalau menyanyi di dapur, nanti dapat suami tua.”

           Wok Maisara melintasi ambang pintu dapur sambil menegur Uyum. Atau mungkin sekadar bergurau kerana Uyum satu-satunya pekerja yang masih bujang. Sebenarnya kalau tiada orang di dapur bengkel, dia pun akan buat perkara yang sama. Maklumlah hati tengah girang. Tempahan kuih sejuk beku baru masuk sempena majlis perkahwinan anak pelanggan tetapnya.

           Di sudut hujung, Lena yang sedang mengelim karipap tersenyum. Dia baru hendak menyebut pantang larang itu tetapi taukenya mencelah dahulu.

           “Alah, kalau yang berusia macam suami Kak Wok tak jadi hal. Harta banyak. Pencen pun ada. Terjamin masa depan.” Uyum menjawab.

           “Kak Wok tu lain. Masa kahwin dengan Abang Man Lampung dulu, statusnya janda. Kau yang anak dara tu, aku bimbang dapat si bongkok tiga pakej bertongkat sekali.” Lena menyindir.

           “Aku baru nak cakap,” Wok Maisara menyampuk.

           Maka meriahlah satu dapur dengan bunyi ketawa. Sekaligus menenggelamkan suara lunak merdu biduanita Saloma yang berbadan langsing itu.

           “Malam nanti jadi tak projek kita? Tak sabar nak berzumba. Dari raya puasa sampai ke raya haji, jenuh berdiet tapi badan tak susut pun,” tanya Yati, seorang lagi pekerja bengkel kuih sejuk beku.

           “Mestilah jadi. Dah seminggu aku berlatih. Ingat senang ke nak susun langkah lepas setahun tinggal. Semput juga dibuatnya,” pintas Eda.

           Rakan kongsi merangkap sepupu Wok Maisara itu baru pulang dari klinik ibu dan anak. Semenjak bergelar ibu, rutin harian bertambah sibuk.

           “Lagu Uyum nyanyi tadi ada dalam senarai. Kunci dewan pun Tuk Empat Madi dah bagi,” jelas Wok Maisara.

           Cadangan berzumba idea Wok Maisara. Pertambahan berat badan semasa mengandung dan sesudah melahirkan anak membuatkan dia runsing. Eda juga mengalami masalah yang sama. Mereka berazam untuk menurunkan berat badan ke asal sebelum berkahwin. Atau dapat turunkan separuh pun jadilah.

           Kesibukan mengurus perniagaan yang semakin meningkat maju menyebabkan mereka kesuntukan masa untuk bersenam. Di pekan memang ada aktiviti senamrobik dua kali seminggu. Namun dek kerana jadual yang padat menyebabkan mereka terlepas peluang menyertainya.

           Wok Maisara pun bukan suka sangat kumpulan senamrobik di pekan sana. Bersenam tidak sebanyak mana pun.  Membawang yang lebih. Lalu dia meminta Eda mengepalai senam zumba mereka. Sudah tentulah Eda setuju. Sepupunya itu memang kaki zumba sewaktu anak dara.

           Mereka menamakan kumpulan zumba sebagai Grup Wok Karipap Pusing. Sengaja mereka memilih karipap pusing kerana produk itu paling laris di Wok Resepi Warisan Frozen.

           “Oh ya, nyaris-nyaris lupa. Ada benda nak tunjuk.”

           Eda mencapai beg cebek kain yang dibawa bersama ketika datang ke bengkel kuih sejuk beku tadi. Dia mengeluarkan lima helai baju yang masih berbungkus plastik.

           “Haaa…baju kita. Cantik tak.”

           Eda menandingkan sehelai baju bercetak gambar wajah wanita. Di bawah cetakan wajah itu terdapat bentuk seakan-akan senduk bersilang. Nama grup zumba mereka juga ada. Kesemua baju bewarna merah.

           “Eksklusif tu. Barulah bersemangat nak berzumba.”

           Wok Maisara pun mengagih-agihkan baju kepada pekerjanya. Wok Resepi Warisan Frozen gamat sekali lagi.

 

           Jam 7.55 malam, Wok Maisara dan Eda tiba di balai raya. Izat dan Elsa ditinggalkan bersama ayah masing-masing. Baik Wok Maisara mahupun Eda, kedua-duanya sudah membuat perjanjian dengan suami.

           Sebelah petang, sebaik bengkel kuih sejuk beku menamatkan operasi, Man Lampung dan Zaki bebas melakukan aktiviti yang diminati. Man Lampung sudah tentulah dengan hobi memancing. Zaki pula tak lengkap catatan harian kalau tidak menyepak bola. Sementara sebelah malam, tiga kali seminggu, giliran Wok Maisara dan Eda membuat aktiviti riadah. Kecuali Uyum yang masih bujung, Lena dan Yati juga mendapat lampu hijau sang suami.

           Ketiga-tiga pekerja Wok Resepi  Warisan Frozen  terpacak di depan pintu dewan lengkap dengan pakaian yang bersesuaian. Perkarangan balai raya diterangi sebuah lampu jalan.

           Suasana di situ sunyi kerana kedudukannya agak jauh dari jalan besar. Jalan kampung bersebelahan juga lengang. Di seberang jalan kampung, padang bola yang menjadi tumpuan belia kala petang termasuklah Zaki sudah kosong. Ibarat burung pulang petang, semuanya telah kembali ke sarang.

           “Rasa macam sedang diperhatikan aje.” Uyum bersuara sambil mata sibuk memerhati di sekitar kawasan balai raya.

           “Kau jangan cakap macam-macam Uyum. Bukan kau aje yang rasa semacam, aku pun sama.” Lena turut kegelisahan.

            “Samalah kita. Sebab tu aku tak suka keluar malam.” Yati tidak ketinggalan berkongsi apa yang berkecamuk dalam diri.

            “Dah kenapanya. Siang tadi bukan main lagi. Tak dan-dan gayanya. Kejap-kejap tengok hari. Kejap-kejap tengok jam.” Eda mengomel.

            “Sekarang baru pukul berapa. Apa yang nak ditakutkan. Depan sana kedai Wak Mud. Belakang tu rumah Tuk Empat Madi. Sebelahnya rumah Cik Tipah, pengasuh Izat dengan Elsa. Keliling kita rumah orang belaka. Nak kuruskan badan ke tak?” Giliran Wok Maisara pula membebel.

            “Nakkk!” jawab ketiga-tiganya hampir serentak.

            Wok Maisara meraba kunci di dalam poket seluar. Sebaik kunci terbuka, dia menguak dedaun pintu. Bunyi berkeriut kedengaran, menggetarkan perasaan. Dia meraba suis lampu.

            TIK!

            Dewan kecil itu terang-benderang. Dahulu, ruangan itu sebahagian daripada balai raya lama. Separuh daripadanya terpaksa diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan balai raya yang lebih besar. Separuh lagi telah diubah suai untuk sebarang kegiatan kemasyarakatan.

            Hasil perbincangan bersama, dewan itu telah digunakan untuk  aktiviti kebudayaan. Kelab kompang, kelab gendang Pahang dan persatuan seni tari warisan kampung mereka antara yang memanfaatkannya. Di bahagian hadapan, pentas kecil masih dikekalkan. Di bahagian belakang pula ada cermin besar hasil sumbangan persatuan seni tari warisan dan orang kampung. Ada juga kedengaran ura-ura akan diadakan senamrobik hujung minggu. Namun semuanya masih dalam perancangan.

            Di depan cermin, Eda mengetuai senam zumba. Wok Maisara berpengalaman berzumba sewaktu menetap di bandar. Memang tiada masalah baginya. Lena dan Yati yang sesekali mengikuti senamrobik di pekan juga tidak kekok mengikut Eda. Cuma Uyum yang terkial-kial mengatur langkah kerana ini merupakan pengalaman pertama namun tetap bersemangat.

            Di radio, lagi Hati Muda berkumandang. Eda pantas menyusun gerak mengikut irama. Senam zumba semakin rancak laksana ligatnya tarian Pak Maon. Mulut turut becok seperti riuhnya ‘Playboy Malaya’ itu. Hilang segala stres. Peluh mulai merecik di dahi. Kurus, kurus, kurus… impian setiap wanita itu menari-nari dalam minda mereka.

            Kemudian, lampu tiba-tiba berkelip. Spontan mereka mendongak ke siling. Lampu terus padam. Lagu turut terhenti. Uyum, Lena, dan Yati menjerit ketakutan sambil meraba-raba dalam gelap.

            “Blackout, kacau betullah!”

            Sebaik mulut Wok Maisara menyebut, lampu menyala semula. Lagu Hati Muda kembali berputaran. Uyum menjerit sekali lagi. Tangan menunjuk-nunjuk ke arah cermin. Bibir bergerak-gerak tetapi tiada suara yang kedengaran.

            Semua mata terarah ke cermin besar. Terlihat ‘mereka’ di dalam cermin dengan wajah putih pucat berpakaian compang-camping sedang berzumba. Gerak langkah ‘mereka’ kemas dan mantap.

            Eda yang berada di depan terlopong. Wok Maisara terpaku di tempat dia berdiri. Uyum, Lena dan Yati pula saling merapati.

            ‘Mereka’ di dalam cermin membuat bulatan dan berpusing sambil melakukan aksi Pak Maon takutkan bini. Kemudian ‘mereka’ berpecah membentuk satu barisan dan terus meluru ke depan seolah-olah mahu menerkam mereka di luar cermin. Kelima-limanya tidak menunggu lagi.

            “Zombie,lariii…!”

            Eda memekik. Wok Maisara orang pertama yang menerjah keluar kerana dia paling hampir dengan pintu. Disusuli ketiga-tiga pekerjanya. Eda paling akhir.

            Mereka berlima memecut larian menuju ke jalan kampung.

 

            Madi yang sudah terlewat ke masjid membelok masuk ke simpang di depan balai raya. Jalan itu merupakan jalan pintas tetapi jarang dilalui kerana sunyi pada waktu malam. Di kejauhan, bersuluhkan cahaya lampu jalan dia melihat beberapa kelibat sedang berlari di jalan kampung.

            Sebagai ketua kampung, menjadi kewajipan mengambil tahu siapa orangnya. Jangan-jangan pencuri. Entah-entah orang yang ditimpa kesusahan dan memerlukan bantuan. Madi menambah kelajuan motosikal.

            Ketua Kampung Jambu Sebatang itu terus memintas kelibat-kelibat yang berlarian. Rupa-rupanya Wok Maisara, Eda dan pekerja Wok Resepi Warisan Frozen. Kelajuan motosikal ditambah lagi. Beberapa meter di hadapan, Madi terus membrek.

            “Laaa… berzumba ke berjoging?”

            Sayangnya tidak ada seorang pun yang berhenti untuk menjawab pertanyaan. Kelima-limanya meneruskan larian.

            “Lari tuk empat. Ada zombie berzumba!”

            Madi mendengar pekikan Wok Maisara. Dia memandang ke depan. Kesemuanya sudah hilang dalam pekat malam.

            “Zombie zumba? Tak pernah dengar pun. Setahu aku zumba ala-ala menari bukannya berlari. Zumba stail baru kot. Menari sambil berlari. Macam-macamlah orang perempuan ni kalau nak kurus. Senamrobiklah, senam senilah, poco-pocolah, tabatalah. Yang si Wok, zombie zumba. Pelik juga, buat apa nak pinjam dewan kalau boleh berlari aje. Hish, tak fahamlah aku!”

            Madi berhenti menceceh lalu meneruskan perjalanan ke masjid.

 

            Di ambang pintu dewan, mulut Imam Ali terkumat-kamit membaca ayat-ayat Al Quran. Selesai membaca, dia menjengulkan kepala ke dalam dewan. Kosong. Di sudut tepi kelihatan beberapa beg dan botol minuman.

            “Hah, apa lagi yang tercegat di luar. Masuklah, ambil barang. Tak da apa-apa pun,” arah Imam Ali.

            Wok Maisara, Eda, Uyum, Lena dan Yati melangkah masuk dengan rasa takut-takut. Mata masing-masing berkelintaran di sekitar dewan.

            “Hi hi hi hi…”

            Kelima-limanya menjerit sebaik mendengar suara mengilai. Di luar dewan Madi dan beberapa orang kampung ketawa.

            “Kau ni Madi, jangan main-main. Sekarang kau sakat orang. Esok lusa kau yang kena sakat.” Iman Ali menegur.

            Wok Maisara, Eda dan pekerja bengkel kuih sejuk beku yang lain bergegas mengambil barang-barang yang ditinggalkan. Kejadian setengah jam lalu terus menghantui mereka. Lelah juga berlari sampai ke masjid untuk mendapatkan pertolongan.

           “Dengar sini Wok, yang lain-lain pun. Ada beberapa perkara aku nak cakap. Pertama, berzumba atas alasan kesihatan atau nak hilangkan tekanan tak salah. Buatlah ikut kemampuan. Kedua, tempat yang kamu guna pun tak jadi masalah. Tertutup dan terlindung segala aib serta aurat perempuan. Ketiga, sesama sejenis. Itu lagi baik, tak jadi fitnah. Keempat, ini yang menimbulkan masalah. Masa yang kamu pilih tak sesuai.” Imam Ali mengulas lebar.

           “Betul, aku setuju perkara akhir tu. Tolak Uyum, yang lain dah nikah belaka. Sepatutnya masa-masa sekarang kamu semua duduk di rumah. Utamakan keluarga. Layan suami, layan anak. Wok dengan Eda, beranak kecil lagi. Memang tak sesuai sangatlah rasanya.” Pak Mus turut meluahkan pendapat.

           “Aku nak menambah lagi, terutama yang perempuan. Orang dulu-dulu pesan, malam-malam jangan tengok cermin. Hilang seri wajah. Nak-nak lagi anak dara. Tengok jauh nampak cantik. Tengok dekat tak lawa langsung. Begitulah lebih kurang.” Mak Besah pula menokok.

           “Aku pun nak menambah, zaman tuk nenek kita memang pantang tengok cermin malam hari. Takut yang dalam cermin tu mengajuk atau menyakat. Macam kes tadilah. Rasanya Wok Maimon pesan macam tulah pada bakal-bakal pengantin yang dia nak andam. Wok, takkan kamu dah lupa pesanan arwah mak,” Mat Apam Balik juga tidak ketinggalan memberi nasihat.

           “Aku pernah tengok video sama macam kau orang alami. Anak aku yang hantu cerita hantu tu tunjuk. Dalam CCTV. Kejadian kat luar negaralah, di studio tarian. Budak perempuan tu syok betul menari. Habis lagu, dia pun berehat. Lepas tukan, ‘dia’ dalam cermin tu tiba-tiba bangun dan sambung menari. Lari lintang-pukang budak tu,” cerita Madi, ketua kampung.

           “Apa yang berlaku tadi buat pengajaran. Lepas ni jangan berzumba malam-malam. Balik bincang dengan laki masing-masing. Pilih waktu petang, cari masa yang sesuai,” Mak Besah memberi cadangan.

           Wok Maisara, Eda, Uyum, Lena dan Yati mengangguk faham.

           “Sudahlah, jom balik. Madi, tutup lampu. Kunci dewan.” Iman Ali meminta semua yang berkumpul segera bersurai.

           Satu demi satu kenderaan meninggalkan balai raya. Suasana kembali sepi. Tidak semena-mena lampu di dalam dewan menyala sendiri. Lagu Seperti Mati Lampu gubahan semula Elmo Genk dan Conrad Good Vibration bergema.

           Seperti mati lampu ya sayang, seperti mati lampu

           Cintaku tanpamu ya sayang, bagai malam tiada berlalu…

           Lantunan asal Nasar, penyanyi tanah seberang itu memang menjadi kegilaan di kalangan kaki-kaki zumba. Lampu dewan dan lampu jalan turut berkelip-kelip seiring ritma yang rancak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.