Home Cerpen Seram/Misteri Ulat Kelibir Ngang Ngang Ngang
Ulat Kelibir Ngang Ngang Ngang
Aurian
29/10/2013 16:18:43
1,500
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Pada satu petang yang suram. Bumi basah dek hujan renyai-renyai. Empat orang pemuda melangkah berhati-hati ke dalam hutan. Tujuan mereka adalah ingin mencari daun herba dan akar-akar kayu. Apa sahaja khazanah berharga yang di jumpai di hutan boleh menampung pendapatan. Mukhlis, bakal bertunangan lagi dua bulan. Meding pula ingin mengumpul duit untuk berhijrah ke bandar. Salleh dan Zubir hanya ingin mencari pendapatan tambahan. Zubir yang tahu selok belok hutan selalu memburu haiwan liar di situ. Malahan licik melepaskan diri dari di buru Perhilitan. Hutan dara inilah lubuk rezeki mereka. Sejak kecil mereka sudah biasa masuk ke hutan simpan ini. Yang juga tidak jauh dari perkampungan mereka.

“Orang kata kalau hujan senja-senja petanda tak baik Zubir” Mukhlis yang sedikit boroi merungut-rungut kerana tanah yang basah menyukarkan dia melangkah. Sudah berapa kali dia tergelincir. Meding dan Salleh di hadapan hanya mendiamkan diri. Sesekali mereka menepuk tampar nyamuk yang berdengungan.

“Hujan ni dari pagi lagi. Kalau tangguh lagi, bila lagi nak masuk. Lusa aku dah sibuk.” Sahut Zubir di hadapan. Kakinya tangkas melangkah. Mukhlis hanya mendiamkan diri. Permukaan bumi yang basah menjadikan jalan kecil laluan hutan sangat menyukarkan.

“Kalau hujan makin lebat macam mana?” Salleh menyambung. Gusar juga rasa hatinya dengan keadaan tidak selesa seperti ini. Hutan yang mereka teroka ini bukan calang-calang.

“Tak mungkinlah, hujan dah turun dari pagi, kejap lagi reda lah..” Gumam Zubir bosan dengan rengekan kawan-kawannya. Sesekali parang di tangan melibas ke rimbun pepohon yang menghalang laluan.

“Dah nak masuk maghrib, boleh bakar obor..” Arah Zubir. Sebentar kemudian dua batang kayu obor menjulang api. Menerangi jalan denai yang mereka terokai.

“Kau betul ke nak buat jalan baru?” Meding mengintai Zubir dari belakang.

“Iyalah barulah boleh dapat banyak hasil. Kau jangan risau kawasan ni aku penah masuk. Patut kita cepat sikit ni. Nanti dah malam sangat tak nampak jalan. Malam ni kita tidur tepi sungai.” Zubir membuang rokok di bibir. Sepenuh tenaga melibas pohon renek untuk membuat denai. Dari kejauhan bunyi air sudah kedengaran menandakan mereka tidak jauh dari sungai. Asal sahaja mengikut bunyi air mereka tak akan sesat.

Api dari unggun menjulang tinggi. Salleh dan Meding menambah kayu api. Nasib baik mereka membawa gasoline, jika tidak payah juga mahu bakar kayu yang basah.

“Malam ni kita tidur awal sikit, subuh-subuh kita dah boleh gerak.” Zubir sibuk mengasah kayu tajam perangkap haiwan liar. Rokok sentiasa tersisip di bibir bagi menghalau nyamuk. Salleh dan Mukhlis sudah mengunyah bekalan yang mereka bawa dari rumah. Meding yang keding sudah di dalam khemah berselubung kesejukkan.

Malam itu bulan mengambang terang. Rintik hujang makin melebat. Angin bertiup kencang, dedaunan dan ranting berterbangan. Deru angin mengundang ribut. Keempat-empat sahabat itu sudah tidur nyenyak sebelum bunyi patahan ranting kayu mengejutkan mereka. Meding yang terpisat-pisat menggosok mata memandang sekeliling. Dia terasa hujan mula membasahi badan. Bara api mereka sudah lama padam.

“Wei bangun, khemah kita pun dah terbang!” jerit Meding membuatkan ketiga rakannya yang masih mamai membulatkan mata.

“La, patutla badan aku dan basah kuyup!” Salleh mendengus. Terkocoh-kocoh mereka berempat mengemas barangan ke dalam beg galas.

“Ni semua kau punya idea lah! Mati kita kat dalam ribut ni!” Mukhlis membentak, suaranya berlawanan dengan bunyi ribut.

“Sudah! Tak payah nak bising lagi. Cepat kita cari tempat teduh!” Jerit Zubir sambil bergerak pantas di hadapan rakan-rakannya. Mereka menyusuri sepanjang sungai. Cuba menghindar dari ribut. Makin jauh berjalan, mereka belum nampak tempat teduh, sekurang-kurangnya pohon besar yang boleh jadi perlindungan sementara.

“Eh, nampak ada pondok kat hujung sana!” Salleh menuding ke arah kirinya.

“Eh, sejak bila pulak ada pondok kat situ?” Zubir kehairanan.

“Ai tak payah fikir, aku dah menggigil kena baham hujan ni. Pondok orang asli baru buat ke, mana kau tau?” Meding menggamit. Dia pantas ke hadapan menuju ke pondok.

Mereka berusaha menghidupkan obor yang sedikit basah. Keadaan gelap gelita. Bulan terang sudah menghilang. Pondok kosong itu disimbahi cahaya obor. Ianya kosong seperti pondok persinggahan hutan yang biasa. Obor di pacak di beranda pondok. Mereka berempat menukar baju yang basah. Kemudian merebahkan badan.

“Syukurlah ada tempat berteduh. Badan aku dah letih sangat..” Mukhlis sudah terjelepuk di tepi dinding. Malam yang meribut makin larut. Hujan belum ada tanda-tanda berhenti. Obor api di luar sudah terpadam dengan sendirinya. Gelap gelita. Keempat-empat sahabat itu sudah tidur nyenyak dalam satu barisan. Bunyi dengkuran mereka silih berganti. Tiba-tiba terdengar bunyi derap langkah kaki makin menghampiri pondok. Langkah kaki itu berbunyi berat. Derapan menyeret itu memecah keheningan malam.

“Kreeekkk!!” pintu pondok terbuka perlahan. Kemudian seretan derap kaki kedengaran langkah demi langkah di hadapan mereka berempat. Mata Mukhlis terbuka. Sayup-sayup dia mendengar bunyi tapak kaki itu menghampiri. Kini makin merapati hujung kaki. Dadanya berdebar. Peluh jantan mula menitis di dahi. Dia pura-pura tidur.

“Heh… heee… berapa…?” Terdengar suara garau itu berbisik dengan kekehan kecil. Kini derap langkah itu berada di atas kepala mereka. Derap itu berhenti betul-betul di atas kepala Mukhlis. Telinga Mukhlis terasa dicuit dengan jari yang sangat sejuk.

“Ulat kelibir ngang…” seretan kaki itu melangkah selangkah lagi. Kini dia berdiri di atas kepala Salleh. Telinga Salleh dicuit.

“Ulat kelibir ngang ngang…” seretan kaki berbunyi semula berserta kekehan kecil. Kini dia di hadapan kepala Zubir.

“Ulat kelibir ngang ngang ngang…” giliran telinga Zubir pula yang di cuit. Mukhlis yang mendengar segala-galanya sudah menggigil ketakutan. Dia yang pura-pura tidur berharap rakan-rakannya akan terjaga. Dia sudah kecut perut, tidak berani membuka mata.

Kini derap langkah ini berhenti di atas kepala Meding.

“Ulat kelibir ngang ngang ngang ngang…. Heheh..heee… empat ulat kelibir..” Seretan kaki itu berhenti, kini hanya dengusan nafas makhluk itu jelas kedengaran.

“Empat ulat kelibir. Mana satu yang aku mahu makan dahulu ya? Hehe.. Ulat kelibir ngang badannya gemuk. Banyak isi, boleh tahan simpan berhari hari…hehehehehe….” Suara itu mendesir dengan kekehan yang menyeramkan. Mukhlis sudah terkencing dalam seluar.

“Ulat kelibir ngang ngang ngang ngang kurus sangat. Banyak tulang.. boleh buat sup! hihihihihihiiiii!.” Kekehan itu makin nyaring. Mukhlis sudah telan air liur.

“Ulat kelibir ngang ngang badannya busuk! Boleh cuci di sungai dulu baru dipotong-potong…hhihihiii” Terdengar bunyi kegesekan dua tapak tangan. Bunyi nafas makhluk itu makin mendekat. Mukhlis yang menggigil cuba membuka sedikit mata. Gelap gelita, dia tidak nampak apa-apa. Hanya bunyi rengusan rakus yang jelas kedengaran..

“Ulat kelibir ngang ngang ngang…” Telinga Mukhlis terasa di cuit lagi. Mukhlis yang terkaku makin pucat. “Ulat kelibir ngang ngang ngang” Telinga Salleh pula dicuit..

Kini giliran Zubir. “A..ku.. suka yang nombor tiga… Ulat kelibir ngang ngang ngang ni aku nak makan duluuu…Hihihihi….”

Kali ini Mukhlis nekad bangun dan lari. Dia terperanjat bila Salleh, Zubir, dan Meding serentak bangun. Rupa-rupanya mereka juga sudah terjaga. Menghambur keluar empat sahabat itu dari pondok. Ada yang meluru keluar dari pintu. Ada yang melompat dari tingkap. Mukhlis tidak peduli lagi akan rakan-rakannya. Dia terus berlari tak cukup tanah, tanpa arah tujuan. Pokok-pokok dan dedaunan semuanya dia rempuh. Dia tidak peduli apa lagi selain menyelamatkan diri. Dia sangat ketakutan. Entah berapa kali dia terkencing dalam seluar..

Pagi itu orang kampung kecoh apabila menemui Mukhlis pengsan di tepi jalan bersebelahan hutan. Tubuh badan dan pakaiannya habis koyak rabak kerana merempuh pokok-pokok hutan. Kakinya yang tak berkasut luka-luka tercucuk duri.. Keadaannya sangat lemah. Penduduk kampung membawa dia ke hospital. Pagi itu satu kumpulan orang kampung melakukan gerakkan mencari lagi tiga orang rakan-rakannya.

Mukhlis meracau-racau. Sudah puas jururawat cuba menenangkannya. Ketua kampung yang sudah ada sedari tadi datang menghampiri. Mukhlis membuka mata. Mulutnya membebel tak tentu biji butir. Matanya melingas ke sana sini.

“Mukhlis, ini aku Tok Ketua. Apa yang dah jadi ni?.” Tok ketua memegang bahu Mukhlis. Perlahan Mukhlis merenung tok ketua.

“Tokkk! Tokkk!! Tolong saya takut…” Pantas Mukhlis memeluk Tok Ketua. Beberapa orang kampung yang berada di bilik itu sabar menunggu. Semua mahu tahu apa yang sebenarnya terjadi.

“Dah, tak ada apa-apa, Salleh, Meding semua dah jumpa. Mereka selamat…” Pujuk Tok Ketua.

“Zu…Zubirr??” Mukhlis terketar-ketar.

“Hurm, Mayat Zubir kami jumpa dalam gaung. Pagi tadi kami dah sempurnakan..”
“I..itu yang saya takut Tok.. Uuu..lattt Kelibir nak makan dia dulu.. Dia pilih Zubir dulu, lepas tu mungkin saya..” Mukhlis mengetap bibir.. Mukanya bertambah pucat.

“Apa kamu merepek ni Mukhlis. Zubir maut sebab tergelincir dalam gaung… Mana ada kena makan.. Merepek apa kamu ni. Cuba cerita apa dah jadi?”

“Be..tul Tok.. Ulat..kelibir….hiiii…” Mukhlis macam orang tak siuman. Dia menggaru-garu kepala yang tak gatal. Sekejap ketawa, sekejap menangis.

“Ulat kelibir ngang ngang ngang, ulat kelibir ngang ngang ngang…” suara malam itu bergema di pendengaran Mukhlis. Dia ketakutan lalu terkencing dalam seluar. “Tidakkkkkk!!!” Lantas lelaki itu menyorok di balik selimut. Orang kampung dan Tok ketua menggeleng kepala.

“Macam tu la jugak Salleh dan Meding Tok, balik-balik meracau ulat kelibir..” Kata salah seorang anak buah Tok ketua.

“Ulat kelibir itukan maksudnya cuping telinga. Apa yang dah jadi pada diorang ni?” Tok Ketua memicit-micit kepala.

“Itulah Tok, orang kata jangan sembarangan menjerat binatang liar dalam hutan tu. Kadang kala ada ‘tuannya’. Sekarang ni agaknya mereka pula yang kena jerat..” Utar salah seorang orang kampung. Mereka mengeluh sebelum masing-masing beransur pulang…

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.