Home Cerpen Seram/Misteri Spirit..Spirit of the coin!
Spirit..Spirit of the coin!
Aida Adia
6/11/2016 15:28:58
3,390
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“Jadi tak malam ni projek kita?” tanya Eina. “Ehh.. mestilah jadi. Gila kau.. aku ada banyak lagi soalan nak tanya ni!” jawab Eyda. Eina sudah ketawa terkekeh-kekeh. Eina sudah mengagak yang Eyda pasti belum berpuas hati lagi dengan jawapan-jawapan yang diterima oleh mereka hasil daripada permainan yang paling ‘hot’sekarang ini iaitu ; “Spirit..spirit of the coin!”Nampaknya, mereka seperti sudah ‘ketagihan’ dengan permainan ini!

Ketika mula-mula Eina ‘mengenali’ permainan ini adalah melalui sepupunya, Mila yang bersekolah di asrama penuh di Perlis. Cuti sekolah bulan lepas, seperti biasa, Eina dan Mila berjumpa di rumah nenek mereka di Kampung Tengah, Melaka. Mila lah yang mengajarnya bagaimana cara-cara untuk bermain permainan ini. Lenguh dan sakit-sakit bahu dan belakangnya dek terlalu lama duduk menekuni permainan ini.

Mulanya dia tidak begitu yakin dengan permainan ini. Masakan kena panggil “roh orang mati” untuk jawab soalan-soalan yang ingin ditanya.Sudahlah tu, di siang hari pula! “Kalau kau nak lagi kick, panggilah mereka waktu malam di bulan mengambang! Itupun, kalau kau berani lah!” kata Mila. Antara percaya dengan tidak, Eina ikut sahaja arahan Mila dan ternyata, tidak berapa lama kemudian, bila disoal satu soalan, tiba-tiba duit syiling yang mereka sentuh tanpa dibenarkan mengangkatnya ‘memandu’ mereka ke huruf-huruf yang ada di atas kertas lantas membentuk satu ayat.

Ada juga Eina pertikaikan, mungkin Mila yang menggerakkan syiling itu tetapi Mila menafikan sekeras-kerasnya. Untuk membuktikan kesahihannya, Mila tamatkan permainan dan menyuruh Eina memulakan permainan semula secara berseorangan. Kali ini, barulah Eina percaya! Banyak juga soalan yang ditanyanya. Antaranya, apakah keputusan SPM yang bakal dia perolehi nanti dan adakah dia akan masuk universiti seperti yang diidamkan. Riangnya hatinya apabila jawapan yang diterima adalah dia bakal memperolehi Pangkat 1 dalam SPM dan akan ke universiti. Untuk menguji samada boleh percayakah dengan jawapan itu, Eina menanyakan apakah keputusan SRPnya dahulu dan syiling itu memandu kepada jawapan yang betul!

************************************************************

Suasana Asrama Puteri Sekolah Dato’Haji Abdul Samad sangat tenang dan sunyi tengah malam itu. Penghuninya sudah tidur nyenyak sebaik selesai “prep”.Namun, di tepi balkoni, berdepan dengan tandas di tingkat dua bangunan asrama itu, kelihatan dua orang gadis sedang bersiap sedia ingin memulakan permainan”spirit..spitit..of the coin!” itu.

Eina memandang wajah Eyda dengan perasaan cuak. Seram iya juga. Ini semua idea gila Eyda yang ingin bermain permainan ini di bawah bulan mengambang, di waktu tengah malam! Bukannya tidak boleh bermain waktu siang. “Tak kick lah!” jawab Eyda.”Ingat pantang larangnya, jangan angkat jari dari syiling selagi permainan belum tamat!” pesan Eina. Eyda hanya mengangguk.

“Spitit..spirit..of the coin.. Datanglah kau wahai P.Ramlee!” seru Eyda. Eina sudah menahan gelak. “Buat apa kau panggil P.Ramlee pulak?” tanya Eina. “Ehh..suka hati akulah! Dah..dah.. diam.. Fokus!!” balas Eyda. Selang lima minit kemudian, syiling ‘memandu’ jari mereka ke arah perkataan “YA”. Eyda tanpa menunggu sesaatpun terus bertanya soalan-soalan yang diinginkan. “Siapa nama bakal suami aku?” “”Apa keputusan SPM aku?” “Kalau aku kahwin, aku dapat berapa orang anak?” Dan..berbelas lagi soalan-soalan peribadi yang ditanyanya.

Sehinggalah…”Spirit..spirit..of the coin.. balik laa.. aku dah nak stop game ni. Aku dah dapat jawapan yang aku nak! Balik laa..!!” kata Eyda. Eina sudah mengadu keletihan. Tangan dan kakinya sudah kebas dek duduk terlalu lama duduk bersila. Begitu juga Eyda yang sudah terasa berat bahunya dan lenguh-lenguh.

Namun, syiling yang dipegang masih berlegar-legar di perkataan “NO” berulang-ulang kali menandakan ‘ianya’ tidak mahu balik! “Macamana ni Eina. Dia tak nak balik! Hari dah nak pagi ni. Jap lagi nak sekolah! Bahu dan badan aku sakit-sakit ni” tanya Eyda yang kedengarannya seperti mahu menangis.”Aku pun!” jawab Eina risau dan cuak. “Dah dia tak nak balik, kita tinggallah. Buat tak tahu je laa..!” kata Eyda memberi cadangan. “Boleh ke? Tak apa ke?” tanya Eina pula. “Tawakal saja lah!” jawab Eyda. “Aku bilang, 1..2..3.., kita angkat jari sama-sama ehh..!” kata Eyda. Eina hanya mengangguk.

“1..2..3..!” Mereka berdua sama-sama mengangkat jari namun ketika mereka hendak bangun, terasa bahu mereka dipegang kejap oleh sesuatu. Eyda dan Eina merasakan bahu sebelah kanan mereka terasa berat yang amat sangat sehingga terasa bahu mereka senget sebelah! “Apa ni Eina? Bahu aku terasa berat macam ada benda berdiri kat bahu aku!” kata Eyda. “Aku pun! Apa kita nak buat ni?” tanya Eina yang sudah ingin menangis.

“Jom kita lari dari siniii..!” kata Eina sambil berusaha ingin bangun. Dalam kepayahan itu, Eina dan Eyda cuba bangun dan sambil berpegangan tangan, mereka terus berlari masuk ke dalam dom dengan keadaan bahu yang senget!

Sebaik masuk sahaja ke dalam dom itu, tanpa diduga, mereka berdua mula tidak sedarkan diri dan meracau! Suasana Asrama Puteri yang tenang menjadi bising dan kacau bilau bila kedua-duanya diserang hysteria. Kelam kabut jadinya kesemua penghuni asrama puteri sehingga warden asrama meminta pertolongan ustaz yang kebetulan menjadi warden asrama pelajar lelaki.

“Kenapa kau ganggu anak-anak buahku?” tanya ustaz Mazlan kepada Eyda dan Eina yang sudah kerasukan. Mereka berdua dipegang kejap oleh beberapa orang pelajar perempuan bagi mengelak mereka bertindak lebih agresif. Mata Ustaz Mazlan tajam merenung Eyda dan Eina. Namun, tiada siapa yang tahu, Ustaz Mazlan sedang melihat seekor makhluk jin yang amat besar serta rupa yang amat mengerikan di mana kedua-dua kakinya sedang bertenggek di atas bahu Eyda dan Eina.

“Dia seru aku! Panggil aku! Ganggu ketenanganku!” jawab Eyda namun suaranya seperti seorang nenek tua! ““Dia panggil aku..tandanya dia suka aku!” jawab Eina pula. Dan kedua-duanya serentak ketawa mengilai. Rakan-rakan yang memegang Eina dan Eyda sudah ketakutan. Seram mendengar ketawa mengilai Eina dan Eyda.

“Lepaskan mereka. Maaf atas khilaf kami. Pulanglah ke tempat asal kau. Kami janji tak ganggu kau lagi!” kata Ustaz sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Serentak itu,kedua-duanya terkulai lemah dan tidak sedarkan diri.

Keadaan menjadi tenang seperti biasa. Kedua-duanya diangkat dan dibaringkan di atas katil di dalam dom mereka. Keesokannya kedua-duanya demam dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing dalam tempoh seminggu untuk berubat bagi memulihkan semangat mereka.

**************************************************

Seminggu kemudian…

Di bilik Tuan Pengetua. Eyda dan Eina telah dipanggil oleh Tuan Pengetua berhubung dengan kes penemuan sehelai manilakad yang digunakan untuk permainan ‘Spirit of the Coin’. Setelah disiasat, pihak asrama telah mendapat bukti bahawa Eyda dan Eina yang telah bermain permainan itu sehingga menyebabkan berlakunya kekecohan di asrama puteri awal subuh minggu lepas. Turut bersama dalam sessi perjumpaan itu ialah Ustaz Mazlan dan Ustazah Zabedah, warden asrama puteri.

“Kamu berdua tahu tak, permainan ini adalah syirik? Berani kamu yea..seru-seru roh orang mati! Walau siapa pun yang kamu seru, tok nenek kamu yang dah meninggal ke..artis popular yang dah mati ke.. yang kamu seru, yang kamu puja suruh datang tu..adalah syaitan! Kamu nak jadi apa ni? Mana akidah kamu??”tanya Tuan Pengetua. Walau suaranya mendatar, tidak meninggi tetapi kata-katanya itu membuatkan Eyda dan Eina kecut perut. Mereka berdua tunduk merenung lantai. Tidak berani bertentang mata dengan Tuan Pengetua.

“Nasib baik Ustaz Mazlan dan Ustazah Zabedah ada ketika itu. Buatnya mereka tak ada semasa kejadian, kamu ada terfikir apa akan jadi asrama puteri itu? Dan kamu berdua juga tahu apa akan jadi kepada kamu berdua kalau Ustaz Mazlan tak pulihkan kamu berdua tempohari? Pihak sekolah memandang serius kes ini, awak tahu tak? Kami terpaksa memanggil ibubapa kamu berdua dan kami akan adakan sessi perbincangan dengan mereka. Kami tiada pilihan melainkan.. menggantung persekolahan kamu berdua!” kata Tuan Pengetua. Kali ini suaranya begitu tegas sekali.

Eyda dan Eina berpandangan. Masing-masing takut untuk bersuara walau di dalam hati ingin merayu kepada Tuan Pengetua agar perkara ini tidak diberitahu kepada ibubapa mereka berdua. Pastinya perkara ini akan membuatkan ibubapa mereka marah dan kecewa.

Apakan daya, perkara sudah berlaku. Peristiwa tempohari benar-benar memberi kesan dan pengajaran kepada mereka berdua. Baik Eyda, mahupun Eina..mereka sudah serik dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

**************************************************

*cerita ini adalah inspirasi dari kisah sebenar di tahun 80an dulu.. Semoga terhibur!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.