Home Cerpen Seram/Misteri KAK WOK KEMBALI Pau Hantu Cina
KAK WOK KEMBALI Pau Hantu Cina
Diq Na
22/3/2021 16:08:37
806
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Tiba-tiba Kampung Jambu Sebatang digemparkan dengan kemunculan hantu cina. Semuanya bermula apabila sekumpulan anak muda yang baru pulang memancing dikatakan terserempak dengan hantu itu.

            Pada mulanya disangka lelaki berjubah. Namun apabila lelaki yang kelihatan seperti memakai jubah itu mendekat sambil melompat-lompat barulah mereka sedar bahawa itu sebenarnya hantu cina. Masing-masing pun lari tak cukup tanah.

            “Macamlah tak da hari esok nak hantar karipap dengan pau si Mira tu. Bukannya kau tak tahu fiil dia. Kalau datang, makan-makan penuh semeja. Elok-elok COD aje dah kena singgah. Berborak berjam-jam.”

            “Pelanggan tetap, kenalah jaga hati. Walaupun mi goreng dia terlebih kicap, masinnya ya ampun.”

            “Aku baru nak cakap.”

            “Ha ha ha…”

            Eda menoleh jam di lengan. Sudah pukul 10.30 malam. Fikiran terus dibadai resah.

            “Kalau terserempak dengan hantu cina macam mana.”

            “Kita tanyalah, apek apek… nak tempah karipap tak? Pau pun ada. Apek mesti suka pau kan. Pelanggan baru dapat diskaun.”

            “Kau main-mainlah. Buatnya ada betul, tak dan nak ambil tempahan, kau dah pecut dulu.”

            “Alah, hantu cina yang Baim dengan geng dia jumpa tu kat jalan surau lama. Kita mana lalu situ. Entah betul ke tidak. Siapa tak kenal geng paling kecoh Kampung Jambu Sebatang.”

            “Betul ke tidak cerita lain. Jalan-jalan tu, sepusat sepusing tetap jalan yang sama. Kalau betul, berlumba dengan hantu cina kita karang.”

            “Alah, sekarang baru pukul berapa. Hantu cina tu kalau keluar, selepas tengah malam.”

            “Mana kau tahu.”

            “Dalam filem hantu cinalah. Aku dulu memang hantu cerita hantu cina. Kelakar weh. Siap sewa tape lagi. Zaman aku membesar famous cerita hantu melompat-lompat tu. Zaman kau lain. Cerita Bollywood. Shah Rukh Khan, Salman Khan, semua King Khan muda belia lagi.”

            “Ya ke?”

            “Ya. Baim cakap mereka balik memancing lebih kurang jam 12.15 malam. Betullah tu. Padan muka. Tak reti-reti duduk rumah. Mentang-mentanglah negeri kita dah PKPP, raya katak belaka. Kita ni lainlah. Cari rezeki. Entah bilalah wabak nak habis. Letih dah berPKP. Nak cari makan pun susah.”

            Malam PKPP sama seperti malam-malam yang berlalu. Sudah setahun lamanya Covid-19 berumah di Malaysia. Budaya keluar malam, kecuali Baim dan gengnya semakin terhakis. Kalau tidak kerana terputus bekalan makanan atau ada keperluan mendesak, ramai yang memilih untuk berada di rumah. Tempat paling selamat untuk mengelakkan sebarang jangkitan.

            Ditambah larangan merentas negeri, jalan raya turut lengang. Hanya sesekali mereka berselisih dengan kenderaan. Namun Wok Maisara tetap memandu dengan berhati-hati. Malam-malam sebegini bimbang haiwan ternakan yang lepas bebas tiba-tiba melintas terutama di kawasan kampung.

            “Depan tu simpang masuk ke rumah kita. Tetiba aku rasa semacam. Tengok ni, terus tegak bulu roma.”

            “Tak da apa-apalah. Kalau jumpa pun seronok. Hantu cina tu kelakar.”

            “Itu dalam filem. Yang real punya entah-entah ganas macam zombie.”

            Eda memang penakut. Wok Maisara pun malas nak berpandir-pandir. Sejujurnya dia pun takut tetapi terpaksa keluar sebab esok boleh fokus pada tempahan lain pula. Harap-harap paparan dalam filem itu betul.

            Mereka pun tiba di simpang kampung. Wok Maisara membelok dengan berhati-hati. Dia memperlahankan van. Bimbang berselisih dengan kenderaan lain secara tiba-tiba. Orang kampung pun ada yang jenis suka bawa motor dan kereta laju-laju. Entah apa yang dikejar pun tak tahulah.

            “Apa beza pocong dengan hantu cina?”

            “Pocong hantu Melayu. Hantu cina tu hantu Cinalah.”

            “Itu aku tahulah. Dua-duanya melompat. Jadi apa ciri-ciri pocong yang tak ada pada hantu cina?”

            “Pocong berbungkus kain kapan. Hantu cina ada pakaian. Cantik pakaiannya. Macam maharaja China tu. Cer kau buka YouTube, carian hantu cina.”

            “Tak naklah. Aku mana minat cerita hantu. Tak kiralah hantu Melayu ke, hantu Cina ke, hantu orang putih ke. Eee…”

            “Ada dua ciri yang membezakan hantu cina dengan segala hantu dalam dunia ni. Pertama, nak hapuskan kena pakai kertas mentera. Kelepak kat dahi, senyaplah. Kedua, tangannya terangkat lurus ke depan macam gini.”

            Sebaik Wok Maisara melakukan aksi hantu cina yang meluruskan tangan itu, van terus terbabas ke tepi jalan. Kedua-duanya menjerit cemas.

            “Agak-agaklah kak. Tengah memandu ni. Tak sayang nyawa ke. Anak kat rumah baru pandai menyebut mak. Karang tak pasal-pasal laki aku jadi duda, laki kau menduda kali kedua.”

            “Sorry, aku seronok sangat mengenang zaman dulu. Lepas tengok cerita tu siap ajuk hantu melompat-lompat lagi. Mahal betul momen tu.”

            Mujurlah van terbabas ke kawasan semak samun. Tiada sebarang kerosakan dan kecederaan. Wok Maisara mengundurkan van dan menuju ke jalan kampung semula.

            “Hantu cina tu mukanya putih tak?”

            “Betul. Alah lebih kurang pelakon opera cina tulah.”

            “Macam tu ke?”

            “Macam tu ke apa?”

            “Tuuu… yang kat luar tingkap kau.”

            Wok Maisara melihat muka Eda bagaikan tak berdarah. Dia pun berpaling ke luar tingkap. Ada lelaki Cina bermuka pucat lesi dan berpakaian era dinasti sedang melompat-lompat, menyaingi van mereka.

            Jeritan memenuhi van sekali lagi. Wok Maisara terus memecut. Di belakang van hantu cina itu melompat dengan laju, cuba mengejar mereka. Sementara di pinggir kampung, lolongan anjing milik tuan punya kebun turut kedengaran.

 

            “Antara Tanah Melayu dengan Tanah Besar China, di tengah-tengahnya Laut China Selatan. Jauh tu. Macam mana boleh terlepas ke sini. Pelik juga.” Tuk Empat Madi memandang anak buahnya seorang demi seorang.

            “Naik tongkang kot.” Zaki menjawab dengan selamba.

            “Ini tahun berapa. Mana ada tongkang lagi. Tongkang Pecah ya ada. Kampung arwah nenek bini aku kat Batu Pahat sana.” Tuk Empat Madi menepis cakap Zaki. 

            Di dalam grup WhatsApp kampung, cerita hantu cina terus meledak sebaik Wok Maisara dan Eda memberitahu tentang kejadian yang menimpa mereka. Semalaman orang kampung tidak tidur lena kerana bimbang didatangi hantu cina. Sebaik terang tanah, mereka berlonggok di Wok Resepi Warisan Frozen untuk mendengar cerita sebenar dari mulut mangsa kena kacau.

            “Alah, sedangkan virus dari Wuhan China boleh merebak satu dunia, tak mustahil hantunya pun sama. Sekarang zaman moden, naik kapal terbanglah. Apa hantu tu kesah. Dia dah jadi hantu. Bukan kena bayar tiket pun.” Man Lampung pula mengeluarkan pendapatnya.

            “Tak pun tumpang kurier. Masa ni semua beli online. Barang-barang banyak made in China. Betul tak,” kata Wak Mud pula.

            Kesemua yang berkumpul di situ menganggukkan kepala. Logik juga kata-kata lelaki berketurunan Jawa itu. Jika tidak bagaimana hantu cina boleh muncul di Kampung Jambu Sebatang.

            “Tak pun ikut barang-barang antik yang orang kita beli. Kan hantu tu datang dari dinasti-dinasti China dulu.” Mat Apam balik pula menelah.

            Mereka yang berada di situ bersetuju dengan Mat Apam Balik. Persoalannya siapa.

            “Ada yang beli barangan lama dari China tak? Baik mengaku. Tak pun mana-mana orang kampung yang ada beli barang antik, kalau tahu beritahu cepat. Kita nak selesaikan segera masalah hantu cina yang mengganggu kampung ni,” tanya Tuk Empat Madi selaku ketua kampung.

            “Hah… Konah anak Pak Mus. Empat hari lepas dia pos gambar pasu lama dalam FB. Gayanya pasu dari China.” Zaki menebak sambil memandang Pak Mus.

            “Betul ke Pak Mus?” Tuk Empat Madi segera menyoal.

            “Betullah tu. Memang Konah ada beli pasu tapi dari Nilai 3 sana. Pasu celup bukannya ori.” Pak Mus menerangkan situasi sebenar.

            “Jadi bukan made in China.” Tuk Empat Madi menuntut kepastian.

            “Bukan, buatan Malaysia,” tegas Pak Mus.

            Jadi Konah terkeluar daripada senarai. Mereka meneruskan perbincangan. Punca perlu dicari dan ditangani. Jika tidak semua akan hidup dalam ketakutan. Baru hendak mengecapi sedikit kebebasan setelah PKP dilonggarkan, mereka terpaksa berkurung semula gara-gara hantu cina.

            “Hah, saya dah ingat!”

            Wok Maisara yang banyak mendiamkan diri sepanjang sesi perbincangan itu akhirnya bersuara lantang. Kini semua mata bertumpu ke arahnya pula.

            “Minggu lepas, hantu cina tu ada datang beli pau. Banyak…,” sambung Wok Maisara.

            “Hantu cina beli pau!” suara ramai hampir serentak,

            “Eh, silap! Apek yang beli pau tu seiras dengan hantu cina,” jelas Wok Maisara.

            “Kalau gitu betullah hantu cina yang beli pau. Ni mesti hantu cina moden. Siang-siang pakaian macam orang biasa. Bila malam baru stail maharaja China.” Man Lampung cuba buat lawak.

            “Orang cakap betullah. Bukan main-main.” Wok Maisara terus mencubit lengan suaminya.

            “Saya pun baru teringat. Rasanya pernah berselisih dengan apek yang seiras hantu cina tu. Dekat jalan kampung kita nilah.” Eda turut mengiakan kata-kata sepupunya.

            “Kejap kejap. Wok kata tadi apek beli pau tu mukanya sama dengan hantu cina. Nama dia Jefry Tan kan?” Wak Mud memintas dengan soalan.

            “Ya, betullah tu. Dia suruh panggil Uncle Jef aje. Katanya sebelum buka kebun durian, dia jual pau dengan mendiang isterinya. Siap bagi rahsia pau yang sedap dan gebu lagi.” Wok Maisara menambah.

            “Akulah yang suruh datang sini sebab kat kedai dah habis. Dia nak duduk seminggu di kebun. Membaja, menerangkan semak, macam-macam lagilah. Stok untuk seminggulah tu,” Wak Mud menokok.

            “Uncle Jef tu aku kenallah. Dah lama juga dia buka kebun kat sini. Memang baik dan peramah orangnya.  Kalau dijemput kenduri kahwin mesti datang, siap pakai baju batik lagi,” puji Tuk Empat Madi.

            “Persoalannya, mengapa apek beli pau dengan hantu cina tu seiras?” Zaki menimbulkan tanda tanya sambil mata meliar memandang semua.

            Mereka saling berpandangan. Suasana di bengkel kuih sejuk beku itu juga senyap. Tiada seorang pun yang tampil bersuara, menjawab misteri itu.

            PANGGG!

            Bunyi sesuatu jatuh di bahagian dapur mengejutkan semua. Eda terus melatah. Wok Maisara yang paling hampir dengan dapur memeluk Man Lampung. Wak Mud bingkas bangun memasang kuda-kuda. Belum sempat berpencak, Pak Mus di sebelah terus menenangkannya.

            Yati, salah seorang pekerja Wok Resepi Warisan Frozen muncul di ambang dapur sambil tersengih-sengih memegang talam. Dia turut menanding bahagian talam yang sedikit kemek akibat terjatuh ke lantai. Masing-masing menarik nafas lega.

            “Jangan-jangan apek cina tu ada membela hantu raya. Jadi penjaga kebunnya.” Man Lampung menambahkan lagi misteri hantu cina.

            “Dah, dah… lagi lama duduk sini, lagi banyak hantu yang keluar karang. Uncle Jef tu baik, tak mungkin dia buat benda yang bukan-bukan. Untuk mengelakkan sebarang fitnah dan spekulasi, kita jumpa dia sekarang juga,” cadang Tuk Empat Madi.

            Mereka bersetuju lalu beramai-ramai menuju ke pinggir kampung. Di situ banyak kebun buah terutamanya durian milik orang kampung dan pekebun-pekebun luar. Kebun durian Jefry Tan tidaklah jauh sangat tetapi agak tersorok kerana berada di atas bukit.

            Kedatangan mereka disambut dengan satu bau yang kurang enak. Man Lampung, seorang bekas tentera pantas mengenal bau itu. Bagaimanapun dia mengunci mulut selagi tidak melihat dengan mata kepala sendiri.

            Pagar terkatup rapat tetapi tidak berkunci. Tuk Empat Madi melaung nama tuan kebun berulang kali. Berbeza dengan kebun bangsa Cina yang lazimnya ada anjing, Jefry Tan hanya menempatkan anjing-anjingnya ketika musim durian sahaja. Dia tidak mahu orang kampung  berasa kurang selesa. Hal itu pernah diluahkan kepada Wak Mud.

            “Tak payah panggil-panggillah. Jom masuk aje. Kita terus ke pondok sana.”

            Man Lampung mengetuai yang lain. Semakin mereka mendekati pondok, semakin kuat bau. Ada yang terus menutup hidung kerana tidak tahan lagi. Pintu dan tingkap bertutup. Sementara kenderaan pacuan empat roda yang terparkir di sebelah pondok dilitupi plastik besar bewarna biru.

            Man lampung memulas tombol pintu. Tidak berkunci tetapi diselak dari dalam. Mereka merempuh pintu pondok beramai-ramai.  Sebaik terkuak bau busuk yang teramat sangat menerpa keluar. Ada yang berlari menjauhi pondok. Ada pula yang hampir termuntah.

            Man Lampung yang sudah dapat mengagak dari awal punca bau itu terus masuk. Di ruangan dapur dia menemui mayat Jefry Tan yang terkujur di atas lantai.

            Dua minggu selepas penemuan mayat Jefry Tan, anaknya yang bekerja di Singapura bertemu dengan orang kampung di balai raya. Dalam pertemuan itu, Bryan Tan anak tunggal pekebun durian itu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada orang kampung.

            Dia memuji keprihatinan orang kampung walaupun berlainan bangsa. Sebagai mengenang budi, Bryan Tan turut membawa buah tangan. Belimbing, mangga dan buah naga berkotak-kotak banyaknya untuk diagihkan.

            “Mulai malam ni, kita tutup bab hantu cina. Anggaplah yang hantu cina tu dah balik ke China ikut kurier barang rosak yang nak dipulangkan. Dia bukan saja-saja nak ganggu kita. Cuma nak berkhabar yang Jefry Tan dah meninggal. Lepas jumpa mayat, gangguan pun hilang.” Tuk Empat Madi berpesan sambil memasukkan buah mangga ke dalam plastik.

            Pacuan empat roda milik mendiang Jefry Tan yang dipandu oleh anaknya perlahan-lahan meninggalkan balai raya. Tanpa disedari oleh sesiapa ada sesuatu yang melompat-lompat, mengekor di belakang. Semakin deras kenderaan bergerak, semakin laju juga lompatannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.