Home Cerpen Lucu Sakit Tak?
Sakit Tak?
BERUKA MAKINO
22/8/2015 15:26:08
1,794
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

“Tak”, kata Abah.

“Betul ni? Janganlah main-main.”, aku tetap berkeras Abah beritahu aku perkara sebenar. Perkara ini sahaja sudah buat aku tertekan hampir seminggu. “OK. Sikitlah. Macam kena gigit semut.”, Abah angguk-angguk manakala Aman tersenyum sinis. Ah Aman itu! Memang selalu menyakat aku! Mentang-mentanglah dia sudah kena lima tahun lepas waktu dia 10 tahun, bolehlah dia nak kenakan aku. Aku ini pula sudah dua kali mengelat. Lari. Jadi untuk kali ini aku tak mahu pecah rekod lari untuk kali ketiga. Lagipun, aku sudah tak ada masa hendak dibazirkan sebab kata Aman, “Makin tebal, makin susah nak potong. Makin kau tua, makin liatlah dia. Kau tu dah 14 tahun, tahun ni.” Sementara aku cuba mengawal amarah, ada budak lelaki kecil bergegas masuk dengan ayahnya ke klinik. Wajahnya pucat.

Dia duduk di sebelah aku dan menyemat ikatan kain pelikat yang hampir melorot. Di kaunter pula, ayahnya memerhati dengan wajah bimbang. Abah dan Aman seperti biasalah, asyik memperli aku, asyik cakap-cakap sesama sendiri kemudian mengekeh. Tak faham aku dengan perangai mereka ini. “Dahlah. Kali ni memang betul-betullah.”, elok saja aku habis berkata-kata, makin galak mereka ketawa. Sudahnya, aku putuskan untuk beralih perhatian untuk si budak kecil di sebelah aku ini.

“Err...datang potong jugak ke?”, aku mulakan bicara aku. Wajahnya aku lihat berkerut-kerut. “Tak.”, balasnya. “Saya dah minggu lepas.”, sebaik dia menambah bicaranya, makin aku teruja hendak mendengar. “Habistu, kenapa ada kat sini lagi? Masih pakai kain. Diorang cakap seminggu dah baik.”, budak lelak itu telengkan kepalanya hendak melihat Abah dan Aman seraya aku tuding jari pada mereka berdua. “Saya punya tak kering-kering. Lepastu sekarang ni bengkak pulak. Sakit sangat!”, aku telan air liur. Akan selamatkah aku?

“Umur berapa?”, aku tanyakan padanya. Dia mengepak-ngepak kain pelikat sambil mengeluh. Mungkin, dia sedang menahan sakit dengan tubuhnya yang kecil itu. Tatkala aku lihat dia menggigil sedikit, peluh dingin aku pecah. “10 tahun.”, jawabnya. Maruah jantan aku pecah berderai mencium lantai. “Oh, saya 14.”, entah mengapa aku beritahunya umurku.

Budak lelaki itu mengangguk dan sambung bernafas dengan berat. Aku hendak bertanya lagi tetapi terbantut apabila ayahnya datang. “Doktor kata kejap lagi doktor tengok adik. Ayah nak telefon mama kejap. Adik tunggu sini ya.”, ayahnya pun bergegas keluar.

Sebaik ayahnya pergi, aku pun mengambil kesempatan untuk bertanya soalan yang penting (aku agak). “Boleh tak kalau saya tanya macam mana diorang potong?”, terlontar juga soalan itu. Budak lelaki itu terkebil-kebil sekejap bagai tidak percaya. Tetapi kemudian, dia kongsi juga denganku. “Mula-mula tak sakit. Doktor cucuk jarum sampai dah tak rasa apa-apa. Jadi kebas.”, wajah aku memaparkan riak minat yang tinggi seraya aku mengagguk dan mataku terbeliak apabila nama jarum disebut.

“JARUM?”, tak mahu aku mengaku yang aku ini takutkan jarum.

“Doktor suruh baring. Dia tengah siapkan jarum. Lepastu dia cucuk. Bila dah tak rasa, dia potong kot.”, dia berjeda sebentar, membuka simpulan kain pelikat. “Tapi, kita boleh dengar dia potong. Macam bunyi gunting kertas.”

“Macam...gunting KERTAS? Kau gurau ke apa?”, dalam terkejut dan hati yang walang, aku menggumam sendiri. Si budak kecil itu pula melihat ke dalam kain pelikat, memeriksa luka barangkali. “Nak tengok bang?”, tawarnya.

“Takpalah...”, mustahil aku hendak biarkan ketakutan aku menguasai emosi aku sekali lagi. Telah aku bulatkan tekad kali ini aku pasti lakukannya juga. Tidak boleh tidak! Jadi, caranya ialah dengan menapis segala kesan-kesan negatif berhubung perkara itu. Ketakutan ini bukanlah apa sangat sebenarnya. Dahulu waktu Aman buat, aku juga sepatutnya kena buat waktu itu. Tetapi, entah mengapa kecil betul hati aku ini sampai aku menangis macam perempuan. Meminta-minta supaya giliran aku ditangguhkan. Bodoh benar aku ini. “Bacul!”, itu kata-kata Aman waktu dia pulang dari klinik hari itu sementara aku masih menangis dalam rangkulan emak.

“Bang, pakcik tu panggil.”, si budak kecil itu mencuit bahu aku, menyedarkan aku ke alam realiti. Aku lihat Abah sedang membuang pandang ke arah aku. “Dah sampai giliran. Jom.”, Abah mendekati aku. Kini, aku terasa seperti mahu melihat bagaimana rupanya nanti setelah dipotong. Lalu, kugagahkan diri dan berkata, “Bolehlah tengok sikit. Saya tengok laju-laju.”. Budak kecil itu pun menarik kain pelikatnya keluar, memberi aku cukup ruang untuk melihat. Sumpah! Aku tak boleh berhenti menggigil. Tatkala aku ternampak hujung bahagian yang dipotong itu, aku mula pening. Telinga aku membingit. Aku dah nampak! Bengkak betul! Merah lagi!

Pandangan aku mula berlapis menjadi dua. Aku memang cari nahas. Lalu, aku bersandar pada tempat duduk aku tadi, tercungap-cungap. Kerja pernafasan menjadi sukar. “Hei Amin, kuatkan semangat.”, aku dapat rasakan Abah menggoncang bahu aku beberapa kali. Aku lihat Aman dan budak kecil itu. Kedua-duanya sedang memerhatikan aku, tanpa dapat berbuat apa-apa. Abah memanggil aku lagi “Amin.” , dengan suaranya yang hampir tenggelam. Aku tidak dapat respon sebelum pandangan aku menjadi gelap. Tekad aku yang kononnya bulat itu mati lagi untuk kali yang ketiga. Sungguh memalukan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.