Home Cerpen Kisah Hidup Sekilas Noda
Sekilas Noda
Aweyah Rosmi
19/11/2018 17:01:44
2,672
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

        Sepi,kosong dan kelam. Suatu perjalanan berliku tiada kata tersela untuk lorong gelita itu.Hati bercampur aduk,bagai tiada kata putus.

         Petang menghampiri penghujungnya kian menutup pandangan,sebentar lagi malam pula bakal mengambilalih.Insan kerdil menuju ke mahligai masing-masing setelah penat lelah melayari hidup.Saat ini,termenung seorang insan kecil bergelar Dhabitah Ardi.Entah mengapa, tiada kata tergambar perasaannya saat malam kian mengambil tempatnya.

        Kotak akalnya seakan akan kosong,jiwanya pula seakan akan sudah tiada rasa.Tiada rasa pada insan bernama lelaki.Kerana? Dek kerana terlampau percaya pada insan bernama lelaki,habis musnah semua permata dalam hidupnya.Tindakan diambil tanpa fikir panjang yang diambil suatu ketika,mengubah corak hidupnya tanpa diduga.

        Sekilas matanya memandang anak kecil itu.Anak kedua Pak Manaf,juga jirannya bergelak ketawa menangkap anak-anak ikan kecil bersama ayahnya menggunakan jaring.Sekali sekala,melompat girang anak kecil itu mungkin jaringnya yang disauknya peroleh banyak anak ikan barangkali.Parit di hadapan rumah Dhabitah Ardi sememangnya lubuk anak-anak ikan bermain.Indahnya hidup anak kecil itu,sakan tawanya di samping ayah ibu.

        Tak semena-mena,semua peristiwa indah bersama ayahnya bermain main dalam benak fikiran Dhabitah Ardi.Dulu,di parit itu jugalah dia dan ayahnya sama-sama menangkap anak-anak ikan menggunakan sauk.Semakin berusaha untuk menidakkan memori itu,semakin galak pula ianya menerjah fikirannya.Tanpa sedar air mata bergenang di birai kelopak mata bundar Dhabitah.Air mata kekesalan seorang anak muda yang tak terkawal lagi.

        Satu persatu memori indah diulit Dhabitah,namun apakan daya kini semuanya itu hanyalah kenangan.Takkan berulang kembali saat-saat manis itu.Akhir Oktober,Dhabitah kehilangan ayahnya kerana pergolakkan yang dicetusnya.Dek kerana terlampau percaya pada kekasih hati Fadlan Haikal.Dhabitah bertindak pendek akal hingga tergadai maruah keluarga.

        Tika baru mahu mengenal dunia remaja,tanpa sedar hati Dhabitah Ardi terpaut pada Fadlan Haikal.Hati kian memuncak untuk bercinta kerana rasa tercabar sahabat sekeliling masing-masing punya teman istimewa.Hari demi hari,Dhabitah Ardi berbahagi rasa cinta bersama Fadlan Haikal.Di mata Dhabitah,Fadlan begitu baik dan sempurna sekali.Semuanya sanggup dilakukan demi kekasih hatinya itu.

        Dhabitah menyangka “disangka panas hingga ke petang,kiranya hujan di tengahari”.Fikirnya,dia cukup mengenali hati budi Fadlan. Namun,sangkaannya meleset sama sekali.Segala perwatakan Fadlan Haikal  peramah,baik,penyayang hanya sandiwara permainan licik lelaki itu.Fadlan berkelakuan begitu hanya untuk menipu dan mengambil kesempatan ke atas dirinya.Dek kerana termakan pujuk rayu dan kata manis Fadlan Haikal.Dhabitah terjerat jatuh ke dalam perangkap Fadlan Haikal.

        Kesilapan Dhabitah Ardi mempercayai bait kata Fadlan Haikal telah menyebabkan keluarganya menerima tempias negatif.Tanpa sedar, Dhabitah telah mengadaikan maruah mahkota milik hawa pada Fadlan Haikal.Keluarga Dhabitah dipulau dan dipandang serong masyarakat sekeliling.Malu ditanggung,dalam masa yang sama dia kehilangan ayahnya.Ayahnya seorang penghidap penyakit jantung.Tekanan yang diterima ayahnya sangat berat,hingga ayah Dhabitah Ardi terkena serangan jantung.Nyawa turut melayang dek kerana serangan itu.Keadaan Dhabitah ketika itu bagai jatuh ditimpa tangga.

        Peristiwa itu menyebabkan Dhabitah Ardi begitu kesal akan perbuatannya.Namun,kesalnya kini tiada makna lagi.Dek silap langkah,dia kehilangan lelaki pertama yang dia kenali dalam hidup iaitu ayahnya.Ibunya pula telah menyalahkan dirinya  kematian suaminya.Dia hilang tempat bergantung.Hubungan ibu dan anak semakin retak seribu setelah ibunya bertindak membuang dirinya.

        Setelah beberapa lama diri merempat,bergerak tanpa hala tuju bagai layang-layang terputus tali.Akhirnya,kehidupan Dhabitah ternoktah di pusat Teratak Jalinan Kasih.Dia menemui teratak itu dengan bantuan rakan karibnya.Di Teratak Jalinan Kasih,sahsiah dan peribadi dibentuk semula.Rasa ketuhanan dengan Pecipta semakin meresap dalam relung hatinya.Hari demi hari,hubungan itu semakin utuh dan kukuh.Kini,perwatakkan Dhabitah Ardi turut berubah.Jilbabnya semakin labuh terlitup,bajunya longgar selari dengan tuntutan islam.Setelah  beberapa ketika,Dhabitah kembali menemui ibunya.Alhamdulilah,ibunya telah melupakan peristiwa kelam yang melanda.Kini,hubungan mereka semakin erat bahkan bertambah baik jauh sekali berbanding masa lalu.Sesungguhnya hikmah itu ada dan wujud di balik uji.

        Pengajaran disini adalah janganlah kerana noda hari semalam,hari ini kamu berfikir dia masih begitu.Itu tidak benar sama sekali,jelas sekali manusia boleh berubah selari seperti perjalanan Dhabitah Ardi.Sedarlah setiap insan dibumi ini takkan lari dari ujian cuma caranya sahaja berbeza.DIA takkan uji melebihi kemampuan hambaNya.Sedarlah bahawa siapa kita sebagai manusia untuk mengadili setiap berlaku maka ubahlah pemikiran.Jauhi negatif dan teruslah menikmati sisi baik setiap dugaan.




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aweyah Rosmi