Home Cerpen Keluarga Pemuzik Jalanan
Pemuzik Jalanan
Mr. Rare
28/10/2018 15:01:00
957
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Pemuzik jalanan. 


Senja datang. Matahari akan hilang. Seorang pemuzik sedang berjalan. Berjalan lambat melangkah lemah. Di hayunkan kakinya satu persatu. Menikmati keindahan muram. Bayang-bayang mentari di ufuk barat di atas lautan, nyata menghangatkan lagi kasih cinta bagi yang datang berpasangan. 

Pemuzik jalanan duduk di salah satu bangku kosong. Tatkala senja begini, memang banyak yang kosong. Mungkin ramai yang sudah pulang. Berehat bersama keluarga. Melepaskan rindu. 

“Malam menanti siang, 

Siang menanti malam, 

Bagai berkurun lamanya, 

Masa memisahkan kita”

 

Dengan cahaya lampu neon yang sengaja dipasang, pemuzik jalanan mengira habuan. Menghitung rezeki Allah. Alhamdulillah. Gitar tua di letakkan di sisi. Begitulah sehari-hari. Hidup seorang pemuzik jalanan. Berjalan menyusuri pantai. Sambil tangan memetik gitar mengalunkan lagu indah. Hei. Lagu cinta, lagu sedih, lagu gembira. Semuanya boleh didendangkan. Tidak kira baru atau lama. 

Sambil memetik not-not gitar, mulut asyik mendendangkan irama. Walau suara tidak semerdu mana, namun ramai yang boleh mengikuti lirik-liriknya. Masakan tidak, lagu popular Jamal Abdillah. Semua orang tau liriknya. 

“Kau kekasih awal dan akhir, 

Kau kekasih zahir dan batin, 

Setelah ku sedari, 

Cintamu yang abadi” 


Topi penyambung nyawa. Itulah gelaran yang diberikannya. Topi yang dipakai pabila panas. Topi ajaib yang jatuh kedalamnya duit. Balas pendengar yang suka akan lagunya. Ada juga yang suka mendengar percuma. Pemuzik itu tidak kisah. Tidak pernah berkira. Langsung tidak meminta. Baginya meminta itu umpama orang yang lemah. Orang yang tidak pandai bersyukur. 

Petang itu lain benar keadaannya. Seorang pemuda merenungnya dari jauh. Seperti biasa pemuzik mendendangkan lagu-lagunya. Mengharap ada yang sudi mendengar. Menyanyi dengan penuh perasaan. 


“Takku harap tak ku peduli, 

Walau bulan jatuh ke bumi, 

Dan hadir bidadari, 

Takku impikan lagi” 


Pemuda itu masih lagi ditempatnya. Masih lagi memerhatikannya. Senja datang. Pemuzik seperti selalu berjalan lemah. Duduk di tempat sama setiap hari pabila senja. Merenung matahari, merenung lautan. Muncul pemuda tadi. 


“Ayah.” 


Pemuzik itu diam seribu bahasa. Yang tadi lincah menyanyi lagu-lagu indah kini membisu. Tiada kata yang zahir dari muluntya. 

“Ayah, ni Man ayah.” Pemuda itu merenung pemuzik itu dalam-dalam. 


Pemuzik melihat wajah pemuda itu. Wajah indah dan molek persis dirinya. 

Pemuda itu duduk merapati pemuzik itu.

 

“Maafkan ayah Man, maafkan ayah.” Pemuzik merenung jauh ke lautan. Merenung dalam-dalam. Sedalam perasaannya ketika itu. 

“Ayah. Sampai bila ayah nak jadi macam ni.” 

“Sampai bila-bila.” 

“Cukuplah tu ayah.” 

“Cempaka tidak pernah mati. Mak kau tidak akan pergi dari diri ini. Dia tetap dihati. Salahkah ayah mendendangkan lagu kepada mereka-meraka ini. Salahkah ayah menghidupkan perasaan cinta di hati mereka. Agar mereka tahu. Agar mereka tahu Man, yang cinta itu ada dalam hati mereka.” 

“Kalau mak ada mesti dia tak mahu melihat ayah begini.” 


Pemuzik diam. Jika Cempaka ada aku lebih bahagia. Namun takdir datangnya dari Illahi. Mungkin aku habiskan waktu petang dengan berjalan-jalan bersama di pantai ini. Bergurau senda. Ketawa sambil mengimbau perkenalan pertama. Menangis melihat kedukaan yang pernah melanda. 

“Man malu ayah. Malu.” Masakan seorang pemimpin muda mempunyai ayah yang gila bernyayi setiap hari di sini. Mengemis mencari duit. 

“Aku tak pernah meminta-minta.” Jawab pengemis marah. Selama ini dia tidak pernah melarat. 

“Bukan itu maksud Man.” 

“Kau jangan lupa. Dengan seni lah ayah membesarkan kau. Tapi bila kau dah berjaya kau lupa pada seni.” 

“Tapi apa orang kata nanti.” 

“Orang nak kata apa. YB mempunyai ayah yang gila, begitu” 


Pemuda senyap. 


“Biarlah ayah begini Man.” 

“Tapi .” 

“Biarlah ayah habiskan sisa hidup ayah begini. Kalau Man tak nak mengaku aku ni ayah pun tak mengapa” 

“Ayah! Man tetap anak ayah.” Pemuda memandang pemuzik itu dengan keluh kesah. Dia malu penerimaan masyarakat terhadapnya. Oh! Anak pengemis menjadi pemimpim. Biarlah dia memimpin keluarganya dahulu sebelum memimpin kita. 

Pemuzik jalanan masih lagi merenung lautan. Suasana sepi. Biarlah orang lain nak kata apa. Dia tetap dengan dirinya. 

Pemuda itu bangun. Melangkah lemah pergi dari pemuzik. Mungkin pulang kerumah. Atau mungkin merajuk. Yang pasti dia akan datang lagi. Memujuk dirinya. Memujuk ayahnya. 

“Sekian lama terpisah, akhirnya bertemu, 

Mengenang dosa mengenang rindu, 

Dan ternyatalah cintaku yang satu.. 

Kerana Kau lebih mengerti....” 


Dan senja itu, pemuzik itu bermimpi. Mimpi indah. Di suatu sudut melihatkan dia dan anaknya bernyanyi. Bermain gitar bersama. Menyanyi bersama. Perkara yang sudah lama tidak berlaku. 

Dalam tidurnya pemuzik itu tersenyum. Dalam mimpinya, mereka masih lagi bergembira. Dari satu lagu ke satu lagu. Tiba-tiba datang isterinya. Senyumannya manis. Rindu benar dia dengan senyuman isterinya. Terlalu lama. 

Dia merapati isterinya. 


“Anak kita sudah menjadi hebat. Lebih hebat dariku”. 

Isterinya tersenyum. Anak pemuzik masih lagi bermain gitar. Dari satu lagu ke satu lagu. Tidak menyedari kedatangan ibunya. Lagu rancak. Lagu sedih. Lagu Hindustan. Lagu pop. Pemuzik gembira. 


“Sudah sampai masa,” bisik isterinya. Anaknya masih lagi berirama. Kali ini lebih rancak dari yang biasa. Lebih bersemangat. 

Pemuzik gembira. Bangga darah seni yang mengalir dalam tubuh anaknya. 


“Ya, sudah sampai masa,” balas pemuzik. Isterinya memimpin tangan suaminya pergi. Anak pemuzik masih lagi dengan lagunya. 

Dalam senja, terkujur kaku seorang pemuzik. Matanya pejam. Gitar di sisi. Namun mulutnya tersenyum.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mr. Rare