Home Cerpen Keluarga Masih Rahsia
Masih Rahsia
sha_shira sha_shira
16/9/2013 13:42:18
2,012
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Rayyan masih tersedu-sedu menangis. Perit tangannya apabila dicubit berkali-kali oleh ibunya hanya kerana memecahkan sebiji pinggan.Itupun secara tidak sengaja. Gara-gara tersepak kaki kerusi, pinggan di tangannya terlepas dari pegangan. ‘Prang!’ Bunyi pinggan berderai di simen terus menarik perhatian mamanya dan sedar-sedar, tangan mamanya tanpa simpati mencubit-cubit tangan kecilnya. Air mata yang tumpah di wajah comelnya langsung tidak dapat menarik simpati Aireen. Malah, Aireen terus memukul-mukul tubuh kecil itu sehinggalah Ariana muncul dan membawa anak itu ke dalam bilik dan dipujuk penuh kasih sayang. Aireen buat tidak peduli. Dia malas hendak memujuk tangis Rayyan, apatah lagi anak itu menangis kerananya. Biarlah! Bisik hatinya.

Selepas tangisan Rayyan reda, Ariana pantas melangkah ke ruang tamu mendapatkan Aireen yang sedang melayan drama Korea. Tanpa salam, adiknya itu terus diberi tazkirah percuma. Mata Aireen tetap tekun menonton drama yang disiarkan di KBS siaran 391 Astro tanpa mempedulikan suara Ariana yang nyaring berbaur marah.

“Anak kau ni tak berdosa. Kau tak patut layan dia macam sampah, Reen. Bukan salah dia!Kau patut sayang dia, bukan buat dia macam ni.”

Aireen memasamkan muka. Sakit telinganya mendengar ceramah percuma daripada Ariana. Kakak sulungnya itu memang tidak suka caranya melayan Rayyan Firdaus, anak tunggalnya yang berusia lima tahun. Tapi, nak buat macam mana? Dah hatinya memang tidak boleh menerima kehadiran Rayyan, maka anak itu dilayan bagaikan tunggul. Dengan cara itu, Aireen puas. Aireen tahu Rayyan tak bersalah, tapi masalahnya, dia juga tidak pernah bersalah! Hanya orang yang tak tahu hal sebenar meletakkan kesalahan itu pada bahunya.

“Reen, kakak tahu kau masih marahkan perogol tu.Tapi, Rayyan tak pernah bersalah. Jangan layan dia dengan buruk. Kakak tak suka! Walau apapun, Rayyan tetap anak kau!”

Aireen mencebikkan bibir. Memang dia tahu Rayyan Firdaus itu anaknya. Lahir daripada rahimnya. Tak perlu diingatkan pun, dia tahu hakikat itu dan kenyataan yang tersurat tidak mungkin akan dapat diubah walau apapun yang dilakukan. Setiap kali menatap wajah polos Rayyan, hatinya diterjah rasa marah yang teramat sangat. Kalaulah hidup di dunia ni tak ada undang-undang, serasa sudah lama Rayyan lenyap daripada muka bumi ini. Mujurlah iman yang senipis kulit bawang berjaya menghalangnya daripada melakukan perkara bodoh kepada zuriatnya sendiri.

Ariana cuba membuatkan Aireen faham tentang hakikat yang Rayyan Firdaus tidak pernah bersalah dalam kemelut yang melanda. Kerakusan seorang lelaki yang dirasuk syaitan dan nafsu membuatkan Aireen mengandung anak luar nikah. Mujur Ariana peka dengan perubahan Aireen. Aireen disoal siasat bagaikan pesalah hingga si gadis (yang ketika itu berusia 20 tahun) akhirnya membuka mulut dan menceritakan peristiwa malang yang menimpanya.

Niat Aireen hendak menggugurkan kandungan berjaya dihalang walaupun Ariana terpaksa mengurung adiknya itu di dalam bilik tidurnya sendiri. Mujur Aireen akhirnya sedar diri. Bayi dalam kandungannya selamat dilahirkan walaupun Aireen benci hendak menatap wajah polos itu. Ariana tidak kisah asalkan bayi itu tidak disakiti secara fizikal. Baginya, itu sudah memadai.

“Aku benci dia, kak. Sebab dia, aku dipandang serong. Sebab dia jugak, aku dipulau kawan-kawan aku. Mereka kata aku perempuan tak bermoral. Padahal, mereka semua tak tahu apa yang aku tanggung. Masing-masing cuma pandai menuding jari dan menuduh aku macam-macam, padahal mereka tak rasa apa yang aku rasa.”

Ariana menarik Aireen ke dalam pelukannya. Rasa marah melarut, berganti dengan rasa kasihan yang singgah di hatinya, malah melimpah-ruah buat adik yang seorang itu. Dia tahu betapa menderitanya Aireen apabila diri dianggap yang bukan-bukan oleh masyarakat. Betapa sepanjang kehamilan, Aireen berendam air mata. Tidak ada seharipun yang berlalu tanpa air mata Aireen membasahi pipi. Segala yang berlaku memang berat untuk ditanggung, tapi Ariana mahu Aireen sedar yang Rayyan tak pernah bersalah. Rayyan tidak patut menerima hukuman atas kesilapan orang lain.

Wajah Aireen yang manis Kevin tatap dengan rasa tidak percaya. Bertahun-tahun gadis itu menghilangkan diri, kini sekujur tubuh itu berdiri tegak di depannya. Kevin menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu sepuas-puas hati. Selama ini, rindunya pada Aireen tidak pernah mati.

Peristiwa yang berlaku hampir enam tahun lalu menghantuinya ke mana-mana. Tangisan dan rayuan Aireen sampai sekarang masih menemani tidurnya, membuatkan Kevin lemas dalam rasa berdosa kerana terlanjur menyakiti gadis itu.Kerana itu, Kevin tidak jemu mencari Aireen. Dia mahu memohon maaf.

Aireen yang berdiri di depannya ini sudah berubah. Kalau dulu, rambut Aireen dibiarkan terdedah tanpa bertutup, kini Aireen manis bertudung. Malah, Aireen kelihatan matang.

“Aireen? You Aireen, kan?”

Aireen memerhatikan seraut wajah tampan di depannya dengan teliti. Serasa macam kenal jejaka yang sedang tersenyum kepadanya itu, namun Aireen tidak pasti.Siapa ya? Rasa macam kenal. Tapi, takkanlah dia!

“Ya, saya Aireen. Siapa, ya?Sorry, saya tak cam.”

Walaupun malu hendak mengaku, Aireen terpaksa berterus-terang. Jejaka itu dengan yakin memanggil namanya walaupun diluahkan dalam bentuk pertanyaan, sedangkan dia terkebil-kebil kebingungan menatap wajah yang terasa asing itu.

Kevin tergelak lepas. Wajah Aireen yang berkerut-kerut mencuit hatinya.

“I Kevin. Kevin Zahrein. Takkan you dah lupa?”

Aireen selamba mengangguk. Hakikatnya, dia memang tidak kenal mana-mana jejaka bernama ‘Kevin Zahrein’.

“Dulu budak-budak TESL panggil I, Vin. Takkan you tak ingat ?I ni jejaka idaman UPM dulu, tau?»

Aireen akhirnya teringat. Vin! Sepotong nama itu dulu begitu terkenal dalam kalangan teman-temannya. Jejaka Melayu kacukan Inggeris yang menjadi idaman ramai gadis.Cuma dia yang tidak pernah ambil pusing tentang Vin kerana terlalu sibuk dengan hal pelajarannya. Baginya, lelaki bukan prioriti pada waktu itu.

“Oh, Vin rupanya! Sorry, I lupa.Dah tua, kan? Sorry, ya?”

Kevin ketawa lagi. Lucu apabila Aireen mengatakan dirinya sudah tua pada usia 25 tahun. Padahal, dia tua dua tahun daripada Aireen.

“Kalau Aireen umur 25 dah tua, saya yang dah 27 ni, apa pulak ya?”

Aireen senyum sahaja mendengar kata-kata Kevin yang terlebih ramah pula hari ini. Agaknya gembira sangat dapat bertemunya. Tiba-tiba, telefon bimbit Aireen berdering. Aireen pantas menyambungkan panggilan.

“Ya, kak? Kenapa?”

Ariana menahan sabar mendengar betapa selambanya Aireen berkata-kata. Dalam hatinya, terasa mahu meletup kerana marahkan Aireen. Sikap acuh tak acuh Aireen terhadap Rayyan amat dikesali.

“Amboi! Boleh pulak kau buat-buat innocent, kan? Kenapa kau tak jemput Rayyan? Dia dah lama tunggu kau. Kakak tak boleh pergi ni sebab ada meeting kejap lagi. Kalau kau tak nak kakak bertukar jadi Pontianak Harum Sambal Belacan, baik kau pergi ambil dia sekarang!”

Aireen menjauhkan telefon daripada telinga. Bingit telinganya mendengar Ariana membebel. Datang bulan ke apa? Seranah Aireen dalam hati. Walaupun hendak tergelak dengan lawak kurang waras daripada Ariana, Aireen berusaha bertahan. Kalau tidak, tidak pasal-pasal telinganya tembus menerima peluru kemarahan Ariana yang tidak bermata. Kalau Pontianak tu dengar, mahu meraung dibuatnya. Aireen gelak dalam hati.

“Yalah, yalah. Aku nak pergilah ni. Aku jumpa kawan kejap. Tu pun nak kecoh.”

Talian segera dimatikan. Wajah Kevin yang tersenyum memandangnya ditatap. Walaupun dia mahu berlama-lama melayan Kevin sambil mencuci mata menatap wajah kacak ciptaan Tuhan itu, dia tahu ada tanggungjawab lain yang menantinya. Walau seburuk manapun dia melayan Rayyan, dia tetap mengakui bahawa anak itu zuriatnya.Di sudut hati paling dalam, masih tersisa rasa sayang terhadap anak kecil itu. Dan dia sama sekali tidak sanggup untuk kehilangan anak itu!

“Sorry, Vin. Aku kena gerak dah ni. Aku kena pergi jemput anak… I mean, anak saudara aku kat taska. See you!”

Kevin hanya memerhatikan langkah Aireen meninggalkannya masih terpaku di situ. Mujur dia tidak terus beku apabila Aireen tiba-tiba meminta diri. Sempat juga dia mengambil nombor telefon Aireen dan berjanji untuk terus kekal berhubung. Peluang kedua ini tidak akan sesekali disia-siakan. Tekad Kevin dalam hati.

Rayyan yang monyok dihampiri oleh Cikgu Ayu. Guru muda itu duduk di tepi Rayyan. Air muka anak kecil itu yang keruh menarik simpatinya.

“Rayyan, kenapa ni? Sedih je cikgu tengok.”

Rayyan geleng-geleng kepala. Dia tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Mamanya masih belum juga muncul walaupun taska itu sudah sepi.Kawan-kawannya sudah lama dijemput pulang oleh ibu bapa masing-masing. Hanya dia yang masih setia menjadi penunggu di situ. Pun dia sanggup kerana Mama Ariana mengatakan bahawa mamanya akan menjemputnya hari ini.

“Rayyan janganlah risau. Cikgu dah telefon mama Rayyan tadi.Kejap lagi, mesti mama datang.Sabar, ya ?”

Rayyan tetap membisu. Mulut kecilnya seakan-akan terkunci.

Aireen melangkah pantas mendapatkan Rayyan yang terus berdiri apabila melihatnya. Wajah anak itu jelas nampak teruja. Cikgu Ayu turut tersenyum melihat perubahan riak wajah Rayyan.

«Cikgu, maaf. Saya lambat. Ada hal sikit tadi.»

Cikgu Ayu senyum sahaja melihat kekalutan mama Rayyan.

«Tak apa. Saya faham.»

Rayyan pantas masuk ke dalam kereta Proton Saga FLX milik mamanya itu. Cikgu Ayu yang masih memerhati, dilambai-lambai. Hatinya sungguh gembira dapat pulang bersama-sama dengan mamanya pada hari ini.

“Mama, terima kasih sebab ambil Rayyan hari ni. Rayyan dah lama nak naik kereta dengan mama.”

Aireen membalas kata-kata Rayyan dengan ‘hmm’ sahaja. Malas dia mahu melayan bicara Rayyan. Dibiarkan anak itu berceloteh sendirian. Dan bila anak itu mengatakan ‘I love you’ kepadanya, Aireen terasa hatinya bagai disimbah air dingin. Sejuk dan menenangkan. Sejujurnya, dia suka ucapan itu daripada Rayyan. Cuma, dia tidak punya kekuatan untuk membalas ucapan itu.

Aireen senyum sendiri selepas puas bergayut dengan Kevin. Tidak cukup dengan pertemuan mereka siang tadi, Kevin tiba-tiba menghubunginya dan meminta untuk berjumpa. Kata Kevin, rindukan kawan lama. Aireen tidak menolak.

Pertemuan di The Mines Seri Kembangan itu berlangsung dalam suasana yang cukup mesra. Kevin melayan Aireen lagak seorang kekasih yang sudah lama terpisah membuatkan Aireen yang sememangnya sudah lama ketandusan kasih sayang lelaki cepat sahaja merasa selesa di sisi jejaka tampan itu.

Kevin menatap wajah Aireen, perempuan yang sudah lama bertakhta di hatinya itu. Sudah seharian dikumpulkan kekuatan untuk berterus-terang. Dia mahu meminta maaf atas kesalahannya terhadap Aireen hampir enam tahun lalu. Kerana nafsu, Aireen yang menjadi mangsa. Dia bukan pengecut, maka sebaik sahaja bertemu semula dengan Aireen, Kevin tidah betah untuk terus menangguhkan hasratnya itu.

Seusai makan malam di Kenny Rogers’ Roasters, Kevin membuat keputusan untuk membuka mulut. Rasa hatinya sudah tidak tertahan lagi. Rasa bersalah menyerkup sekujur tubuhnya. Aireen pelik melihat perubahan Kevin. Lelaki itu kelihatan pucat.

“Aireen, I ada hal nak beritahu you. I ... I sebenarnya...”

Kevin tergagap-gagap menyusun kata. Kata-kata Kevin terhenti apabila telefon bimbit Aireen tiba-tiba berdering. Hisy, spoil betul! Bentak hati Kevin.

Aireen memohon maaf dan menyambung panggilan. Berita yang disampaikan oleh Ariana di hujung talian seolah-olah menyentap jantungnya. Menggigil seluruh tubuh dan Aireen terduduk di atas kerusi. Rayyan, anak mama!

“Kenapa ni, Aireen? Apa yang tak kena? Apa yang berlaku?”

Aireen menggeleng-geleng kepala. Dadanya terasa sangat sebak hingga menghalangnya berkata-kata.

“I kena pergi. Anak I... anak I sakit.Dia ada kat hospital sekarang.Ya Allah, jangan ambil Rayyan. Tolong, Kevin, tolong hantar I pergi hospital sekarang! My baby needs me!”

Kevin panik melihat Aireen yang hampir histeria saat berkata-kata. Air mata membasahi pipi wanita itu. Dalam hati, Kevin tertanya-tanya. Anak? Anak Aireen, maksudnya... anak aku jugak? Allah!Betapa berdosanya aku! Kevin menahan air mata yang ingin menitis. Dia tidak mahu Aireen merasa curiga dengan tingkahnya.

Menggeletar tangan Kevin sewaktu memegang stereng kereta.Istighfar diucap berkali-kali untuk menarik semangat kembali dalam diri. Ya Allah, selamatkan anak itu. Aku belum sempat menemuinya dan mengatakan kalau akulah bapanya. Ya Allah, aku mohon. Doa dan harapan tidak putus-putus diserahkan kepada yang Maha Esa.

Tiba di Unit Kecemasan Hospital Serdang, Aireen mendapatkan Ariana yang sedang teresak-esak menangis di luar bilik rawatan. Ariana yang melihat Aireen terus memeluk tubuh adiknya itu.

“Kak, apa yang berlaku.Rayyan… apa dah jadi pada Rayyan ?”

Ariana tarik nafas panjang. Tangannya mengesat air mata dengan tisu yang sudah hampir lunyai. Dia mengenang kembali sikap pelik Rayyan ketika sedang makan malam bersama. Anak itu mengucapkan terima kasih kepadanya dan mengatakan dia sayang akan mama dan Mama Ariana. Wajah anak itu nampak bercahaya pada pandangan Ariana dan dia tidak tahu kenapa. Selepas itu, Rayyan masuk tidur. Setengah jam kemudian, Ariana yang masuk ke bilik Rayyan untuk mengucapkan selamat malam terkedu melihat keadaan anak itu.

Wajah Rayyan pucat. Bibirnya juga sudah mula membiru. Dada Rayyan yang berombak lemah membuatkan Ariana terasa bagai ingin mati. Segalanya terasa bagai mimpi bila beberapa orang paramedik datang dan mengejarkan Rayyan ke hospital.

“Kakak minta maaf, Reen. Salah kakak agaknya. Kakak pun tak tahu kenapa Rayyan jadi macam ni. Salah kakak!”

Ariana sudah mengongoi dalam pelukan Aireen yang turut tersedu. Kevin yang mendengar cerita Ariana turut mengesat air mata dalam diam. Ternyata dia punya anak yang bakal meninggalkannya tanpa sempat dia mencurahkan kasih sayang kepadanya. Sesungguh hati dia memohon agar anak itu selamat.

Seorang doktor keluar daripada bilik rawatan dan mendapatkan Aireen dan Ariana. Masing-masing berdebar-debar menanti doktor itu berbicara.

“Anak puan mengalami serangan lelah. Mujur dia cepat dibawa ke hospital. Alhamdulillah, dia selamat.”

Aireen dan Ariana berpelukan erat. Rasa syukur seakan tidak terucap.Doktor itu berlalu meninggalkan mereka. Kevin turut melepaskan nafas lega.

Suasana di wad kanak-kanak itu sunyi. Aireen duduk di sisi Rayyan, memegang tangan kecil anak itu yang selalu dicubit-cubit. Rayyan yang sedang tidur nampak tenang walaupun sedikit pucat.Aireen mengusap kepala Rayyan. Kini, baru dia sedar anak tunggalnya itu punya paras rupa yang menawan dan hampir seiras dengan… Kevin!

“Mama minta maaf, sayang. Mama janji mama takkan buat Rayyan nangis lagi. mama tak bencikan Rayyan, mama cuma marah. Marah pada perogol tu, pada masyarakat, pada diri sendiri. Mama marah pada semua benda. Mama tak reda dengan takdir. Mama berdosa pada Rayyan!”

Luahan hati tulus ikhlas diucapkan perlahan di telinga Rayyan. Dia mahu Rayyan Firdaus tahu yang dia sebenarnya sayang kepada anak itu. Dia cuma marah dan keliru sehingga mempersiakan anugerah Tuhan itu. Dia khilaf! Kini, dia sudah sedar. Aireen berjanji akan menjadi mama yang lebih baik buat Rayyan.

Kevin yang berdiri di tepi Aireen menahan sebak di dada. Matanya bergenang menatap wajah zuriatnya. Dia akan berterus-terang kepada Aireen. Dia mahu bersama-sama Aireen membesarkan Rayyan. Dia mahu menebus dosa silam.

Wajah Aireen ditatap.

“Reen, sudikah Reen terima Vin jadi suami Reen?”

Kevin menanti dengan penuh debaran. Dia mahu Aireen mengucapkan ya! Dia mahukan Aireen dan Rayyan. Dan Aireen terkaku dengan lamaran itu!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.