Home Cerpen Keluarga DOA IBU
DOA IBU
Viviana Rose
11/11/2014 23:39:38
5,071
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga
 AKU sedang asyik bermain guli bersama adik-adikku , Ilham dan Imran di halaman rumah. Manakala ibu pula begitu khusyuk menyapu dedaun kering yang sudah mula menutupi tanah. Sudah seminggu aku tidak melihat ibu menyapu dedaun kering itu. Mungkin kerana letih atau kurang sihat, aku sendiri tidak pasti.

Tiba- tiba perhatianku terhadap permainan kami tiga beradik terganggu. Suara Kak Salwa, jiran sebelah rumah kami menjerit memanggil nama ibu begitu kuat menyapa pendengaranku. Aku berpaling. Jelas, sosok tubuh Kak Salwa sedang berjalan pantas menghampiri ibu sambil tersenyum. Senyuman yang aku rasakan dibuat-buat dan tidak ikhlas. Aku menjadi tidak sedap hati lalu berdebar-debar sendiri. Bimbang dengan cerita yang bakal keluar dari mulut Kak Salwa. Cerita kurang enak yang selalu menganggu emosi ibu dan juga emosiku sendiri.

Teguran adik-adikku agar aku meneruskan permainan yang telah tergendala tidak aku hiraukan. Aku hanya berdiam diri sambil memasang telinga, cuba mencuri dengar perbualan antara Kak Salwa dan juga ibu. Mataku pula tetap setia memandang kedua-dua mereka.

“Ha… Alia, kau dah pergi sekolah ke, belum?” tanya Kak Salwa. Senyuman tidak ikhlas masih lagi menghiasi wajah wanita yang hampir sebaya dengan ibuku.

“Dah… kenapa?” soal ibu sambil tersenyum tawar. Mungkin kerana ibu sudah dapat mengagak maksud kedatangan Kak Salwa yang sememangnya terkenal dengan sikapnya yang suka membanding-bandingkan kepandaian anaknya Aiman dengan anak-anak orang kampung.

“Macam mana dengan keputusan UPSR Ikram? Lulus tak? Berapa A yang dia dapat?” Tanya Kak Salwa lagi. Lagaknya sudah seperti pegawai polis yang sedang menjalankan tugas menyoal siasat pesalah. “Atau… gagal? Yalah…Ikram tu, kan tak berapa nak cerdik. Pendek kata lembab!”

Pap! Aku berasa tertampar dengan kata- kata Kak Salwa. Kak Salwa memang kejam! Tidak pernah langsung berfikir tentang perasaan orang lain. Pantas wajah ibu aku perhatikan. Ibu bersedih! Semuanya jelas tergambar di sebalik hambar senyuman. Redup sinar mata ibu juga sudah cukup untuk menjelaskan segalanya walau ibu cuba bertenang sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, Ikram lulus walau tak secemerlang mana.” Bergetar suara ibu menjawab pertanyaan Kak Salwa. Ibu masih tetap tersenyum walau agak payah. Senyuman yang jelas tawar dan hambar.

“Itulah… dari dulu aku dah kata yang Ikram tu tak payah hantar ke sekolah. Tak ada gunanya pun! Buat habis duit kau aje. Budak kalau dah slow memang payah nak terima pelajaran.”

Aku terkedu! Tanpa rasa bersalah, Kak Salwa melontarkan kata- kata yang sangat tajam dan kejam seolah-olah masih tidak cukup lagi melukakan hati ibu. Sekali lagi wajah cengkung ibu kucari. Wajah ibu sudah mula merona merah. Pasti hati ibu benar- benar terpukul dengan kata-kata penghinaan yang keluar dari mulut Kak Salwa. Aku pasti kerana hati aku juga turut sakit mendengarnya. Kalaulah aku bukan seorang anak yang terdidik dengan sikap sopan dan hormat kepada orang tua, pasti mulut Kak Salwa sudah aku tampar sekuat hati. Rasa hormatku kepada Kak Salwa selama ini mati saat itu juga!

Dari jauh aku melihat air mata ibu sudah mula bergenang. Penghinaan ke atas anak yang dikandung dan dibesarkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima oleh sesiapa pun. Aku tahu ibu benar- benar kecewa. Kasihannya ibu!

“Kenapa Lia? Tak betul ke apa yang aku kata tadi?” Tanya Kak Salwa lagi apabila ibu tidak membalas kata-katanya sebentar tadi.

“Tak apalah Salwa. Kalau dah itu rezeki dia… aku terima. Lagipun, langkah Ikram masih panjang, masih ada lagi masa untuk dia berubah dan berusaha bersungguh-sungguh. Dan aku sebagai ibu… tidak boleh berputus asa dengan anak yang aku kandung dan lahirkan. Aku akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Ikram dan adik-adiknya.” Sayu suara ibu meluahkan rasa hati.

Kecewa? Ya, aku tahu ibu kecewa! Yang pasti, akulah puncanya kerana gagal melakukan sesuatu yang terbaik untuk ibu. Gagal mengharumkan nama ibu. Aku mengeluh.

“Balik-balik doa! Doa aje takkan ke mana kalau tak ada usaha. Budak yang malas dan slow macam tu… boleh ke?” Sekali lagi Kak Salwa cuba mendera dan bermain-main dengan perasaan ibu dan juga perasaanku sendiri. Pipiku terasa panas, manakala dadaku pula sudah mula terasa sesak akibat rasa sakit yang hampir-hampir membunuh kesabaranku.

“Insha-Allah Salwa. Sebagai ibu, aku tak boleh berputus harap. Mereka amat memerlukan sokongan dan doa ibu mereka,” jawab ibu perlahan.

“Kalau kau dah cakap macam tu, aku tak boleh nak buat apa. Jangan kau menyesal sebab dah berhabis duit tapi hasil tak ada… sudahlah!” Ucap Kak Salwa lalu berpaling memandang ke arah aku dan adik-adikku. Hanya sekejap sebelum berpaling semula memandang ibu. “Aku gerak dululah. Aku nak ke kedai Shida nak beli barang sikit. Nak masak special untuk makan malam kami anak-beranak,” tambah Kak Salwa lalu beredar meninggalkan ibu.

Kulihat ibu hanya memandang kosong pemergian Kak Salwa yang berjalan dengan angkuh dan senyuman lebar di bibir. Wajah mendung ibu kutatap. Sesaat kemudian pandangan kami berlaga. Cepat-cepat aku menunduk. Rasa bersalah kerana telah megecewakan ibu telah mula membungkus dada. Kuat dan ketat.

Ibu pula pantas menyudahkan kerjanya yang tertangguh kerana kedatangan Kak Salwa. Dedaun kering yang sudah siap di sapu dikumpul di dalam bakul sampah. Setelah itu, pantas ibu mengatur langkah menaiki anak tangga.

“Ikram, Ilham, Imran… cepat naik, dah senja!” panggil ibu sebelum bayang ibu hilang di sebalik pintu rumah kami.

Aku berdiri. Pantas Ilham dan Imran kugamit. Ilham hanya menurut sementara Imran memuncungkan bibir tanda dirinya masih tidak puas bermain. Seperti biasa, Imran yang baru berusia enam tahun itu masih belum mengerti sketsa yang telah berlaku sebentar tadi.

“Dahlah tu, esok kita sambung lagi,” kataku lantas menarik tangan Imran agar segera mengikuti langkahku.


AKU gelisah sendiri. Wajah mendung ibu selama dua hari ini membuatkan rasa bersalahku semakin parah, semakin kuat melingkari hatiku kecilku. Selepas makan malam tadi, ibu pantas masuk ke dalam bilik. Berkurung sendiri sama seperti malam sebelumnya. Entah apa yang ibu lakukan. Mungkin ibu menangis atau menyesal kerana mempunyai seorang anak sepertiku yang gagal membanggakan dirinya? Atau mungkin ibu menyesal kerana telah melahirkan anak yang telah membuatkan dirinya dihina begitu? Telahku.

Aku akui yang aku bukanlah seorang murid yang cemerlang dalam pelajaran. Antara aku dan Aiman terlalu jauh berbeza. Tetapi aku bukanlah seorang anak yang lembab dan bodoh! Aku hanya malas belajar dan lebih banyak bermain. Kalau mengulangkaji pelajaran pun hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Tidak ada kesungguhan langsung untuk meraih kejayaan. Aku alpa tentang tanggungjawab yang harus kupikul sebagai seorang anak yang paling tua antara kami tiga beradik. Aku cuai dalam menunjukkan tauladan yang baik kepada adik-adikku. Dan untuk itu, aku benar-benar menyesal kini.

Tidak tahan dengan rasa bersalah yang semakin bertambah, pantas aku berdiri lalu menapak laju menuju ke bilik ibu. Bilik tempat ibu tidur bersendirian setelah kematian ayahku dua tahun yang lalu. Pintu bilik kutolak perlahan. Aku terkaku di situ!

“Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah dan maha Pemberi Rahmat, Kau berikanlah kekuatan untukku menghadapi segala ujian-Mu. Berikanlah cahaya keimanan dan kebijaksanaan kepada anak-anakku. Jadikanlah mereka manusia yang Berjaya di dunia dan di akhirat. Terangkanlah hati mereka untuk menerima sedikit dari ilmu-Mu yang Maha Luas agar mereka boleh mengharungi segala ujian dan cabaran yang mendatang. Jadikanlah mereka manusia yang tenang dan berjiwa besar serta dapat berbakti di jalan-Mu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim… hanya kepada-Mu lah tempat aku meminta dan bergantung harap. Tidak ada Tuhan selain-Mu, Ya Allah. Amin ya rabbal alamin,” doa ibu lalu kedua-dua tangannya diraup ke wajah.

Tanpa sedar, air mataku mengalir menuruni pipi. Aku cukup tersentuh dengan doa ibu yang tulus dan bersungguh-sungguh. Betapa dalamnya kasih ibu untuk aku dan adik-adikku. Semakin sesak dadaku akibat rasa menyesal kerana telah mengabaikan tanggungjawab yang terpikul di pundakku. Tanggungjawab yang Allah berikan kepadaku sebagai seorang anak dan lelaki yang bakal menjadi pemimpin kepada keluargaku. Aku menyesal Ya Allah, aku menyesal!

“Ikram, kenapa berdiri di situ? Masuklah,” tegur ibu sebaik menyedari kehadiranku di muka pintu biliknya. Aku tersentak lalu wajah lembut ibu yang masih bertelekung kutatap. Sesaat kemudian, aku menghampiri ibu. Tangan ibu kugapai lalu kucium berkali-kali. Air mataku pula masih setia menuruni pipi.

“Kenapa ni, Ikram?” Tanya ibu lembut sambil tangan kirinya mengusap lembut ubun kepalaku.

Aku tidak menjawab. Sebaliknya aku terus memeluk ibu dengan erat. Beberapa ketika aku tenggelam dalam rasa kasih ibu yang tidak terhingga. Rasa kasih yang membuatkan aku tenang dan rasa selamat. Rasa kasih yang penuh keikhlasan.

“Ikram,” panggil ibu lagi. “Cakaplah… ibu sedia mendengar,” sambung ibu dengan suara yang sangat lembut. Langsung tidak kedengaran nada kecewa kerana aku gagal membanggakan dirinya.

“Ikram minta maaf. Ikram dah kecewakan ibu! Ikram bukan anak yang baik, bu,” ucapku lalu menghamburkan tangisan di bahu ibuku.

“Ikram tak kecewakan ibu. Ibu tahu, Ikram dah buat yang terbaik.” Ibu cuba memujukku. Selepas di hina oleh Kak Salwa pun ibu masih tidak menyalahkan aku. Sungguh suci kasih ibu. Ikram sayang ibu!

“Tapi, Ikram tak berusaha bersungguh-sungguh. Ikram lalai, Ikram malas!” Aku melepaskan pelukan lalu duduk di hadapan ibu. Wajah ibu sangat tenang. Redup mata ibu memandangku. “Ikram bukan… bukan anak yang baik!” Aku masih mahu meluahkan apa yang aku fikirkan tentang diriku sendiri.

“Ibu tak pernah anggap Ikram macam tu. Ikram anak yang baik. Percayalah!” balas ibu sambil membalas renunganku.

“Tapi, Ikram dah buat ibu dihina oleh orang lain. Ikram tak mahu begitu. Ikram tak suka!”

Wajah ibu tenang dan berseri. Mungkin gembira dengan pengakuanku. Ibu tersenuym lembut kepadaku.

“Ibu bersyukur yang Ikram dah sedar dengan kelekaan Ikram selama ini. Ibu bahagia, nak. Ibu berharap agar Ikram tetap berada dalam kesedaran ini dan teruslah istiqomah dalam usaha untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Jadikan penghinaan dan kesusahan hidup kita sebagai satu kekuatan dalam diri Ikram. Ibu percaya, Ikram pasti akan berjaya suatu hari nanti.”

Aku terharu. Sekali lagi tubuh ibu kupeluk erat.

“Ikram janji bu, Ikram akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya seperti yang ibu harapkan. Ikram juga berjanji yang Ikram akan membahagiakan ibu dan menjadi contoh kepada adik-adik.” Janjiku kepada ibu.

Ibu turut menitiskan air mata sambil mengangguk-angguk memandangku sebaik pelukan kuleraikan.

“Jangan lupa doakan Ikram sentiasa ya, bu. Doa ibu sangat penting buat Ikram.”

“Ibu akan sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak ibu selagi ibu masih bernafas,” ucap ibu perlahan tapi bersungguh.

Ya, aku akan membahagiakan ibu. Aku akan buktikan kepada ibu dan juga kepada dunia yang aku mampu menjadi anak yang terbaik dan terhebat untuk ibu. Insha-Allah!


UDARA nyaman di desa kelahiranku ini begitu mendamaikan perasaan. Di desa inilah jatuh bangun hidup seorang anak yang bernama Ikram dilakar dan disimpan. Desa kelahiran yang telah lama aku tinggalkan akhirnya kujejak lagi. Tidak sabar rasanya untuk aku melepas rindu yang telah lama tersimpan rapi di sudut hati.

“Ibu… anakmu ini telah pulang kembali ke pangkuanmu. Pulang bersama segenggam kejayaan yang kita impikan bersama,” ucapku sendiri sambil memandang rumah kayu yang telah lama aku tinggalkan. Aku kemudiannya tersenyum lalu melangkah pantas menuju ke rumah ibu.

Ketika aku berjalan menuju ke rumah ibu, mataku sempat menangkap kelibat Kak Salwa yang sedang berdiri di beranda rumahnya. Sesaat mata kami berlaga. Sempat kuhadiahkan senyuman untuk wanita yang hampir sebaya dengan ibuku itu sebelum aku meneruskan langkahku. Kak Salwa sempat membalas senyumanku. Senyuman yang tidak ada serinya bagi penglihatanku. Melihat Kak Salwa, ingatanku segera beralih kepada Aiman, anak yang selama ini dibanggakan kebijaksanaannya oleh Kak Salwa.

Menurut adikku Ilham, Aiman kini sedang berada dalam tahanan polis. Menanti masa untuk dibicarakan atas kesalahan mengedar dadah. Satu kisah perjalanan hidup yang tidak pernah dijangkakan oleh sesiapa pun termasuklah diriku sendiri. Namun, takdir Tuhan siapalah yang boleh mengagaknya.

Entah… aku sendiri tidak tahu apa yang harus aku rasakan. Cuma rasa simpati sahaja yang kuat berlingkar di hatiku saat ini. Yang pastinya, satu kerugian masa hadapan telah berlaku. Untuk itu, siapakah yang harus dipersalahkan? Takdirkah atau diri sendiri kerana tunduk dengan pujukan nafsu serakah. Huh… aku tidak tahu bagaimana hendak memikirkannya.

“Assalamualaikum!” Salam kuucapkan sebaik berdiri di muka pintu rumah. Sengaja aku tidak melangkah masuk dan hanya menanti ibu di situ. Sebab yang sama kenapa aku merahsiakan kepulanganku hari ini. Aku ingin membuat kejutan untuk ibu.

Pintu rumah dikuak luas. Ibu terkaku di situ sebelum pantas mendapatkan aku seraya tersenyum lebar tanda gembira menyambut kepulangan anak yang telah lama berada di negara orang.

“Ya Allah, Ikram! Kenapa tak bagi tahu ibu yang Ikram balik hari ni?” soal ibu kepadaku.

“Kalau Ikram bagi tahu… bukanlah kejutan namanya, kan bu?” jawabku. Tangan ibu aku salam dan cium. Selepas itu, kami beriringan masuk ke dalam rumah. Mataku memandang ke seluruh ruang tamu rumah.

“Hmm… patutlah ibu teringat nak masak rendang ayam, rupanya anak ibu sampai hari ni,” ujar ibu lalu memeluk lenganku. Mungkin masih belum puas melepas rindu terhadap anak yang telah empat tahun tidak pulang ke kampung halaman.

“Ya ke, ibu? Bestlah ibu ni!” Ceria suaraku membalas kata-kata ibu. Naluri seorang ibu ternyata amat kuat.

“Sebelum tu… macam mana dengan London? Seronok tak?” Tanya ibu tidak sabar untuk mengetahui bagaimana suasana di tempat orang. “Ibu dengar, orang kata seronok. Ya lah, boleh main salji,” tambah ibu lagi.

“Tapi, taklah seseronok kampung sendiri. Betul tak, bu?”

Ibu mengangguk setuju dengan kata-kataku. Wajah ceria ibu saat ini betul- betul membahagiakan aku. Minit seterusnya, aku dan ibu terus berbual rancak hingga terlupa untuk ke dapur. Begitu leka ibu mendengar cerita tentang keadaan hidupku di rantauan orang.

Sedang asyik berbual dengan ibu, Aku dikejutkan dengan suara derapan kaki dari arah dapur. Pantas aku menoleh.

“Abang!” jerit Imran dengan suara teruja. “Bila abang sampai? Im dan ibu tak tau pun yang abang nak balik hari ni.”

“Saja nak surprise,” balasku ringkas.

Imran mendekatiku lalu menghulurkan tangan untuk bersalam denganku. Kepala adik bongsuku yang suatu masa dulu amat manja dengan ibu dan diriku kusentuh lembut. Imran, adik bongsuku ini kini sedang belajar di tingkatan 6 rendah. Manakala Ilham pula sedang melanjutkan pelajarannya di mesir dalam jurusan pengajian Al-Quran. Pasti ibu sudah boleh tersenyum lega. Masa pula dirasakan terlalu pantas berlalu meninggalkan kenangan jauh di belakang. Masa yang tidak akan dapat diundurkan semula andai kita sudah terlepas pergi.

Kami tiga beranak sedang asyik berbual-bual sambil melepas rindu yang telah lama terkunci rapi sebelum dikejutkan oleh suara seseorang memberi salam di muka pintu. Serentak kami menoleh ke arah datangnya suara itu. Kelihatan Kak Salwa berdiri di situ sambil tersenyum tawar kepada kami tiga beranak.

“Masuklah Salwa,” pelawa ibu apabila Kak Salwa masih berdiri tegak di situ. Mungkin teragak-agak untuk melangkah masuk.

Kak Salwa mengangguk lalu melangkah masuk. Perlahan dia duduk di atas sofa buruk berhadapan dengan ibu sambil matanya tidak lepas dari memandangku. Dari sinar matanya aku tahu yang Kak Salwa dihambat rasa bersalah. Aku tersenyum memandangnya.

“Balik jugak kau akhirnya Ikram. Akak tumpang bangga dengan kejayaan kau,” ujar Kak Salwa lembut. Ikhlas kedengarannya.

“Alhamdulillah. Rezeki dari Allah Kak Salwa,” balasku perlahan

“Hmm… Ikram, akak sebenarnya nak minta maaf atas kelancangan mulut akak mengata Ikram dan ibu Ikram. Akak menyesal!” Bergetar suara Kak Salwa mengucapkan kata-kata maaf. Wajah ibu dan wajahku dipandang silih berganti. Air mata Kak Salwa jelas kelihatan bertakung di tubir mata.

“Benda dah lepas Kak Salwa. Tak usahlah dikenang lagi.” Timbul rasa simpati di hatiku untuk wanita itu. Serentak itu kulihat ibu mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kataku.

“Akak sedar kesilapan akak. Sebagai manusia akak lupa yang Allah itu lebih berkuasa atas segalanya. Akak lupa yang bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik balik segala anugerah yang Dia telah berikan kepada akak. Selama ini akan suka mendabik dada terhadap kepandaian yang Aiman miliki. Akhirnya, tengoklah sekarang… Aiman dah buat kesalahan yang besar.” Semakin kuat getaran suara Kak Salwa. Air mata menyesal dan sedih sudah mengalir deras membasahi pipinya. Hilang senyuman angkuh yang menghiasi wajah Kak Salwa selama ini. Sungguh besar kuasa Allah dalam mengatur perjalanan hidup setiap hamba-Nya.

“Sudahlah tu Salwa. Banyak-banyaklah bersabar. Semua tu ujian dari Allah. Insha-Allah, pasti ada jalan penyelesaiannya.” Ibu cuba memujuk Kak Salwa yang sudah menangis teresak-esak. Ibu bangkit dari duduknya lalu menghampiri Kak Salwa. Bahu Kak Salwa ditepuk-tepuk lembut.

Itulah ibuku, wanita yang sentiasa lembut tutur bicaranya walau kepada orang yang telah menjatuh dan menyakitkan hatinya. Ibu langsung tidak menyimpan dendam terhadap Kak Salwa. Sungguh aku bangga dengan ibuku!

“Itulah dia karma, kan Alia? Dulu aku mengata kau, dan sekarang aku pulak yang merasanya.” Kedengan sayu suara Kak Salwa menyatakan kekesalan diatas keterlanjuran sikapnya selama ini.

Aku memandang Kak Salwa yang sedang ditenangkan oleh ibu. Manakala Imran hanya berdiam diri, hanya senyap menjadi pemerhati. Hatiku turut berasa sedih dengan masalah yang sedang menimpa keluarga wanita itu. Simpatiku melimpah ruah.

“Saya dah lama maafkan akak. Malah saya patut berterima kasih pada akak kerana telah menyedarkan saya tentang tanggungjawab yang harus saya pikul. Kesedaran yang telah membawa perubahan besar dalam diri saya,” kataku dengan penuh yakin.

Ya, aku patut berterima kasih kepada Kak Salwa kerana telah melontarkan kata-kata yang membuatkan aku sedar akan kelekaan diriku. Tidak ada lagi dendam. Tidak ada lagi marah terhadap Kak Salwa. Sesungguhnya manusia tidak akan lepas dari melakukan kesilapan. Tanpa kesilapan, manusia bukanlah manusia. Dan tanpa kesilapan juga, manusia tidak akan dapat memperbaiki diri untuk masa hadapan yang lebih sempurna. Cuma, jangan jadikan kesilapan sebagai alasan untuk kita terus bergelumang dengan dosa dan maksiat. Apalagi jika kesilapan itu dijadikan alasan untuk kita terus bersedih dan menyalahkan diri sendiri.

Berdoa dan berusahalah untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam. Bahagiakanlah ibu yang telah melahir dan membesarkan kita. Doa ibu adalah sebaik-baik doa untuk seorang anak berjaya di dalam hidup. Tanpa doa ibu keberkatan pasti sukar menghampiri langkah kita seharian. Insha-Allah!

SEKIAN

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.