Home Cerpen Kanak-kanak Kisah Adreena: Rumah Darul Huda.
Kisah Adreena: Rumah Darul Huda.
Azmatul Faiza
15/11/2015 11:31:13
4,975
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

“NAIK bas.” Puan Lidya membisikkan sesuatu ke telinga Adreena. Matanya tiba-tiba terbuka luas. Adreena teringat sesuatu lantas dia melompat turun daripada katil.


“Naik bas.” Adreena mengulang semula bisikan Puan Lidya dalam hati.


Pagi itu Adreena membawa dua beg untuk pergi ke sekolah. Sebuah beg kecil berisi alat tulis dan sebuah buku latihan bersama sebuah lagi beg besar berisi makan minumnya. Puan Lidya ingin memastikan yang Adreena tidak lapar sepanjang perjalanan semasa menaiki bas nanti. Kesemuanya empat bekas makanan telah disediakan.


“Satu bekas nasi goreng, dua bekas roti sardin dan satu bekas kuih talam berlauk udang. Empat botol air kosong dan dua air kotak. Em, sedap-sedap. Cukup semuanya.” Adreena berpuas hati.


TEPAT jam 7.45 pagi dua buah bas telah pun sampai. Semua kanak-kanak yang akan mengikuti rombongan prasekolah berbaris di satu kawasan yang ditetapkan mengikut kelas masing-masing. Adreena dan rakan-rakan sekelasnya menaiki bas yang kedua. Di sepanjang perjalanan Adreena bergurau-senda dengan kawan-kawannya. Ada di antara mereka yang menyanyi kegembiraan. Ada juga yang nyenyak tidur.


Kedua-dua bas sampai ke Rumah Darul Huda lebih kurang jam 9.00 pagi. Mereka terus dibawa untuk menikmati juadah perkenalan yang telah disediakan oleh pihak Rumah Darul Huda di dewan makan. Mereka dihidangkan dengan nasi lemak telur goreng dan air sirap.


“Pedasnya.” Adreena merungut.


Dahinya mula berpeluh-peluh. Cepat-cepat Adreena menghabiskan minumannya yang hanya tinggal separuh gelas. Kemudian dia memandang sekeliling memerhatikan rakan-rakan lain yang sedang asyik menikmati juadah masing-masing. Adreena berkira-kira untuk meninggalkan tempat itu sebentar.


Perlahan-lahan Adreena beredar daripada tempat duduknya menuju ke bilik sebelah yang menempatkan beg-beg yang dibawa mereka. Seketika kemudian Adreena masuk semula bersama sebuah beg yang berisi makanan ke dalam dewan makan. Adreena kemudiannya mengatur keempat-empat bekal makanan yang dibawanya di atas meja.


“Jemputlah makan bekalan Adreena sama-sama.” Adreena menjemput rakan-rakannya sambil tersenyum. Matanya bersinar girang.


“Eh, Adreena buka bekallah…” Ammar berbisik kepada rakan-rakan lain yang berdekatan dengannya.


Sekumpulan kanak-kanak prasekolah mula membuka bekalan yang dibawa mereka. Suasana yang senyap tadi bertukar menjadi riuh-rendah dengan aktiviti kanak-kanak prasekolah yang mula bertukar-tukar makanan antara sesama mereka.


Sementara itu, anak-anak Rumah Darul Huda hanya tunduk sambil menghabiskan juadah masing-masing. Ada beberapa orang dalam kalangan mereka mula menangis tersedu-sedu. Melihat keadaan itu guru-guru dari prasekolah mula memberi isyarat dengan mengetuk-ngetuk sudu dan agar anak murid mereka senyap. Kemudian kesemua bekal makanan yang dibawa kanak-kanak prasekolah diambil oleh guru mereka, Cikgu Lina.


“Kenapa cikgu nak simpan makanan Adreena?” Adreena mula menyoal dengan nada yang tidak puas hati.


“Betul tu…cikgu tak boleh simpan makanan kami.” sokong Ammar dan Su Yin menyokong kata-kata Adreena. Mereka hanya sekadar ingin menghabiskan bekalan yang disediakan emak masing-masing. Salah ke?


Jamuan makan terhenti dengan serta-merta. Suasana menjadi tegang dengan tangisan anak-anak Rumah Darul Huda dan rasa tidak puas hati kanak-kanak prasekolah. Namun mereka tidak membantah apabila disuruh berkumpul dalam dewan perhimpunan.


“SEBELUM kita menyambung kembali jamuan dan aktiviti lain, cikgu mahu kita benar-benar berkenalan dengan menjawab soalan-soalan cikgu secara jujur. Faham tak” Cikgu Lina memandang ke arah kumpulan kanak-kanak dari prasekolah dengan wajah yang agak serius. Suara keibuan cikgu berubah tegas.


“Faham!” Cikgu Lina mengulangi.


“Faham cikgu….” Kanak-kanak prasekolah menjawab dengan perlahan.


“Apa yang membuat kamu kecoh-kecoh tadi?” Cikgu Fahmi dari rumah Darul Huda menyoal dengan tegas.


Adreena memandang kawan-kawan disekelilingnya. Mereka hanya menunduk sedih seperti menunggu hukaman daripada Cikgu Lina. Adreena segera mengangkat tangannya. Cikgu Fahmi memberi isyarat membenarkan Adreena untuk bangun dan bercakap.


“Adreena nak makan bekalan emak. Emak masak sedap tapi Cikgu Lina ambil makanan Adreena.” Cikgu Fahmi menggangguk-angguk mendengar kata-kata daripada seorang pelajar perempuan yang agak montel itu.


“Mama Ammar pun masak sedap.” Ammar pula menyampuk.


“Fairuz, tadi cikgu nampak kamu menangis tersedu-sedu. Mesti kamu ada apa-apa yang hendak dicakapkan kepada kawan-kawan yang baru.” Cikgu Fahmi menunjukkan jarinya kepada salah seorang murid daripada Rumah Darul Huda.


Fairuz yang masih tersedu-sedu cuba menyorokkan mukanya dengan terus tunduk memandang ke lantai. Selepas beberapa kali dipanggil Fairuz tetap tidak memberi tindak-balas. Fairuz sebak untuk memberi kebenaran yang amat menyakitkan hati kecilnya.


“Kami semua di sini tidak mempunyai emak atau bapa. Kami tidak ada makanan istimewa atau makanan yang macam-macam untuk dikongsi. Kami sedih.” Ujar Sofea yang berusia sembilan tahun bercakap dengan petah dan jelas.


“Fairuz nak ibu. Nak makan sedap-sedap.” Fairuz yang tadinya diam membisu mula berkata-kata. Suaranya tersekat-sekat.


“Ali pun nak ibu. Tapi ibu buang Ali dalam beg plastik. Orang jumpa Ali dan hantar Ali ke sini.” Serak dan dalam suara Ali semasa menuturkan perkataan “ibu”.


Dari hadapan dewan terdengar ada di antara anak-anak Rumah Darul Huda yang mula teresak-esak menangis. Semua murid-murid prasekolah terdiam dan mula mengerti. Hati mereka tersentuh.


“Kami minta maaf.” Kedengaran permohonan maaf secara serentak daripada seluruh kanak-kanak prasekolah.


Ada diantara mereka yang mula menitiskan air mata dan teresak-esak sambil mengelap air mata dengan lengan baju. Dengan langkah yang perlahan Adreena dan sekumpulan pelajar prasekolah berjalan menuju ke arah kumpulan anak-anak Rumah Darul Huda lalu menghulurkan tangan mereka memohon maaf.


“Nanti Adreena datang bawa makanan banyak-banyak.” Suaranya kedengaran sayu.


Anak-anak Rumah Darul Huda menggangguk-anggukkan kepala mereka.


“ADREENA kasihan tengok anak-anak yang tinggal di Rumah Darul Huda. Entah bagaimana sebenarnya perasaan mereka. Kecil-kecil dah hidup tanpa emak dan bapak” Adreena menutup ceritanya kepada Puan Lidya dan Encik Harith sewaktu pulang dari sekolah. Wajah Adreena kelihatan kusut dan muram sepanjang hari itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.