Home Cerpen Islamik Kita Pengembara
Kita Pengembara
Mohd Hafiz Bin Abdullah Saini
8/4/2019 21:43:16
730
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Bab 1 

           Mata beningnya memancarkan cahaya. Cahaya terik sebuah perjuangan. Jejaka itu benar-benar ralit menyusun kertas yang berteraburan di atas meja. Kemudian jari-jemarinya kembali menari pada keyboard laptop yang setia menemaninya tiap-tiap masa. Aku tahu sukmanya yang walang namun dihijab rapat oleh semangatnya yang kental. Aku berdikit-dikit ke arahnya lalu menyergah. Bahunya sedikit terjongket lantas istighfar kedengaran. Bergema tawa dari bibirku.

       “Khairul, kamu rupanya!” Ucap Sulaiman. Aku tidak membalas kata-katanya dan tawaku pecah lagi. Sulaiman Mursi sahabatku. Cepu kepalaku masih keliru. Cintanya terhadap jihad terlalu menggunung. Pada saat aku mengenalinya dulu, aku menyangka bahawa dia ialah pelajar jurusan agama atau dakwah. Sesiapa sahaja yang mengamati penampilannya, pasti tidak akan menyangka bahawa jejaka yang sering memakai Kurta atau Jubah yang dilengkapi dengan serban sebenarnya ialah pelajar jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Malah, yang lebih mengejutkan aku , Sulaiman Mursi bukanlah mantan pelajar mana-mana sekolah agama tetapi dia hanya bersekolah di sekolah harian biasa sahaja. Setiap aksaranya sarat dengan bilhikmah dan akhlaknya terpuji nalar harum mewangi.

        “Khairul mahu ke kuliah?” Suara halus Sulaiman memecah demensi sepi.

        “Ya, nanti temankan saya hantar assignment kepada Encik Fauzi boleh?” Aku menggaru-garu dagu yang tidak gatal. Sulaiman pegun jeda.

        “Maaf Khairul, saya perlu siapkan research ini dulu.” Matanya yang bundar itu dikecilkan. Sesekali dia mengepam bibir. Aku mengerti. Sulaiman agak sibuk benar dengan kajiannya tentang keruntuhan dunia Islamik. Dia begitu tertekan di atas kekejaman Kamal Attartuk yang menodai Turki. Bahkan hingga kini Turki masih kucar-kacir dan hukum-hukum Islam yang dianggap sekadar juzuk kecil dalam kehidupan. 

         Namun, apa yang paling membekas di hati Sulaiman adalah kegoyahan bahasa Arab. Pelbagai wacana dihasilkan oleh Sulaiman untuk menyedarkan teman-teman sekampusnya tentang keagungan bahasa mukjizat itu. Tetapi dakwah bukannya mudah. Amat perit dan payah. Sulaiman pencinta bahasa syurga. Biarpun tidak fasih dia tegar berusaha. Pernah seorang teman menyindirnya kerana tidak senang akan tindak-tanduknya.

“Macam bagus sangat. Kenapa kau menyusahkan diri dengan masalah umat begini?” begitu kata-kata yang melucur laju dari mulut Shahrul. Sulaiman diam. Aku tahu fikirannya sedang mencerna sesuatu. Sebaliknya darahku membuak. Mukaku merah padam menahan amarah. Aku ingin membalas semula kata-kata Shahrul yang menjengkelkan itu tetapi tangan mulus Sulaiman menepuk-nepuk lembut bahuku sambil jari telunjuknya diletakkan di bibir. Aku patuh. Sulaiman memandang semula ke arah Shahrul.

      “Lapangkanlah hatimu Shahrul.” Sulaiman menarik nafas dalam-dalam. 

      “Dulu Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman bersolat dalam keadaan mabuk kerana mereka tidak akan memahami apa yang dilafazkan ketika menghadap Allah SWT.” Kata Sulaiman Mursi.

     “Khairul, masih ingat ceramah Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi beberapa tahun lepas di Fakulti Pengajian Islam?” Sulaiman Mursi membuahkan tanya kepadaku. Aku yang sekian lama membisu, tergagap-gagap menjawab.

      “Ya, ya.” Senyuman Khairul makin lebar.

      “Beliau menghuraikan manusia kini, walaupun tidak mabuk tetapi tetap tidak memahami apa yang dilafazkan dalam solat. Pasti kamu tahu mengapa Shahrul, lapangkanlah hatimu.” Bicara Sulaiman berbaur kekesalan langsung menerbitkan ritma yang mencengkam jiwa. Aku lihat Shahrul tidak bergetik. Sulaiman menarik lenganku dan kami beredar meninggalkan Shahrul sendiri.


Bab 2

“Jauh termenung.” Suara Sulaiman menerjah ke gegendang telingaku. Aku menggosok-gosokkan mata dan melepaskan keluhan.

“Sulaiman, sampai bila mahu menulis?” Aku menyuarakan rasa yang bersarang di kalbu.

“Sampai mati Khairul.” Tutur Sulaiman Mursi perlahan namun menusuk atmaku.

“Khairul, selagi saya terdaya, pena ini akan bermakna, berbakti sentiasa.” Aku terkedu, menerima aksaranya yang padu.

Deras sahaja air mataku menjerum. Tulisan Sulaiman Mursi terlalu mantap, malah mampu mencairkan keegoan sesiapa sahaja yang membacanya. Dek kerana tulisan-tulisannya, dia nyaris digantung pengajian oleh pihak Universiti kerana keberaniaannya membidas tentang pihak yang pada fikirannya akan mencemarkan kesucian Islam. Dan itu pasti berhaluan kiri. Sulaiman Mursi amat berani. Terlalu berani!

Segala dugaan yang mampir, langsung tidak menjejaskan usaha barang sezarah pun. Malah, benteng kesungguhannya makin kukuh, tidak rapuh.

“Ayuh Khairul! Forum sudah bermula.” Sulaiman Mursi sudah bersiap ringkas mengenakan jubah berwarna hijau dilengkapi dengan serban berwarna putih. Hari ini, forum yang agak menarik perbincangannya diadakan di kampus kami. Sulaiman Mursi dan majlis ilmu memang tidak boleh dipisahkan. Mataku meliar mengamati isi dewan.

“Cuba sahaja forum ini diganti dengan konsert, pasti dewan ini bakal penuh.” Keluh Sulaiman Mursi. Aku diam sahaja.

“Forum yang bertajuk ‘Maruah Bangsa dan Tanah Air’ itu dibincangkan oleh salah seorang mahasiswi Universiti kami iaitu Noraisyah Husna. Mahasiswi yang telah mencuri hatiku, meragut rinduku. Ah! Aku terlalu banyak berkhayal. Noraisyah Husna hanya mencintai Sulaiman Mursi, sedangkan Sulaiman Mursi tidak pernah menyambut lambaian mahabbahnya.  

“Khairul!” Nada suara Sulaiman Mursi sedikit keras. “Ayat 110 Surah Ali Imran itu tepu makna.” Aku terpinga-pinga.

“Err, err..apa ya?” Dahi Khairul berkerut-kerut.

“Masya-Allah, Khairul tidak mendengar? Begini, Surah Ali Imran ayat 110 menyatakan bahawa ‘kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk mengajak amar makruf nahi mungkar dan beriman kepada Allah SWT.’ Giliran aku mengangguk.

“Jadi?” Sulaiman Mursi menepuk bahuku. Aku mengaduh.

“Jadinya wahai Khairul, ayat ini jelas menunjukkan kita bertanggungjawab memakmurkan dunia ini walau dengan apa cara sekali pun. Dan saya mahu menulis lagi!”. Jawabnya lagi.

Bab 3

       Aku berteleku di birai katil. Jam sudah pun menunjukkan pukul 10 malam dan Sulaiman belum pulang. Aku dihimpit gelisah. Sulaiman kerap hilang. Kami sudah jarang-jarang dapat berbual mesra. Bunyi daun pintu ditolak kedengaran. Sulaiman tersenyum padaku.

“Tidak boleh berikan salam?” Entah mengapa aku diserang emosi. Wajah itu redup sekali.

“Assalamualaikum Tuan.” Sulaiman seakan mengusik. Aku mencebik dan menjawab pendek salam yang diberikan. 

“Maaf saya punya projek yang harus dibincangkan bersama rakan-rakan tadi.” Aku memandangnya dengan dahi berkerut seribu.

“Projek apa?” Khairul sedikit terpana.

“Adalah Khairul, biarkanlah rahsia buat tika ini.”

Aku mendengus kecil kerana berasa tidak berpuas hati terhadap jawapan yang diberikan. Aku mengutil rusuk kiri Sulaiman Mursi lantas dia jerit kecil. Malam itu, kami tidak sedar bila disapa lena. Apabila aku membuka mata sahaja, Sulaiman Mursi sedang bersujud di atas tikar sejadah. Biarpun dihambat tugasan dan deadline, Sulaiman nalar bertahajud. Aku ikut berwuduk. Aku perasan bahu Sulaiman Mursi terhincut-hincut melawan tangis. Dia menekup wajah dengan kedua-dua belah tangannya. Kalbuku sebu. Aku menghampirinya dan kami berdakapan.

“Khairul, saya belum jadi muslim yang baik yang taat pada perintah Allah dan Rasul-Nya.” Dia tenggelam dalam keharuan. Tangis itu mencetuskan gelombang keinsafan dalam sukma lantas beralun ombak penyesalan.

“Shh..Sulaiman, selagi hayat dikandung badan, kita telusuri agama suci.” Aku cuba menguatkan diri biarpun jiwaku terikut goyah. Setiap kelakuan Sulaiman Mursi amat membekas di sanubariku. Pesonanya memukau.

BAB 4

Perut yang berkeroncong sudah pun diisi. Tiba-tiba jantungku seakan berhenti berdegup. Noraisyah Husna mendekati meja kami.

“Sudah terima surat saya?” Noraisyah Husna bersuara dalam debar. Aku tahu hatinya galau tatkala ini.

“Eh! Belum baca lagi.” Kata Sulaiman sambil menepuk dahinya. Aku berpura-pura tidak mendengar apa-apa.

“Kenapa belum baca?”

Sulaiman berlagak selamba. “Maaf, saya terlupa.”

Terpampang kekecewaan pada wajah jernih gadis itu. Kemudian, Noraisyah Husna meninggalkan kami, lantas aku mengusik Sulaiman.

“Nampak itu? Dari segi perlakuannya, gadis itu seperti memendam perasaan terhadap kamu Sulaiman.” Aku mula memecah kebisuan sebentar tadi.

“Itu bukan cinta wahai sahabatku Khairul. Tiada siapa yang akan mengecap cinta manusia sebelum meniti gerbang perkahwinan.” Ujar Sulaiman Mursi mantap.

“Benar ke Sulaiman?” Aku mengusiknya lagi seakan bernada sinis. 

Sulaiman Mursi yang seakan sedar akan usikan sahabatnya itu lantas berkata;


“Kasih berpaling gadis terpana

Cinta tidak ke hujung usia

Kicau murai lagi mempersona

Inikanlah pula cerita manusia”


“Wah, sungguh tidakku sangka! Sahabatku ini puitis orangnya. Maklumlah laut madu berpantai gula orangnya.” Aku mengusiknya lagi dengan mainan kata-kata.

“Khairul, misiku belum selesai. Masih banyak lagi tanggungjawab yang belum saya lunasi.” Sulaiman menunduk. Sesaat kemudian, dia mengangkat jemala dan menggenggam tanganku dengan erat.

“Manusia itu sekadar pengembara Khairul. Selagi hidup, takdir adalah teka teki yang tidak akan terungkai sehinggalah tibanya saat kematian.”  

Terlakar semangat luar biasa hebatnya pada raut wajah putih bersih itu. Hatiku berdoa.

“Ya Allah, lindungilah sahabatku.”

Bab 5

Sulaiman Mursi hilang lagi! Fikiranku dikelabui oleh bayang-bayangan jahat. Apakah Sulaiman Mursi bukan muslim sejati seperti yang aku sangkakan? Astaghfirullah! Tegar amat aku meragui sahabatku sendiri. Hari ini genap seminggu Sulaiman tidak muncul di hadapanku. Panahan khuatir menginjak-injak jemala.

“Sulaiman, kamu di mana?” Batinku merintih.

Aku keseorangan meladani buku-buku yang pernah mengiurkan Sulaiman Mursi dahulu. Esok cuti semester bakal berlabuh. Kegusaranku kian bercambah lalu tumbuh rimbunan kebimbangan. Aku harus ke rumahnya! Nekadku bulat.

Kakiku melangkah ke Kota Damansara tepat jam 2 petang. Sinaran mentari seakan menyengat kulitku. Aku mencari-cari rumah bernombor 20.

“Ah! Ini dia.” Hatiku menempik.

“Assalamualaikum.” Aku terjenguk-jenguk ke dalam rumah batu dua tingkat itu. Sayup-sayup kedengaran salamku berbalas. Kelihatan perempuan separuh umur berjalan ke arahku.

“Cari siapa?” Dia merenungku lama.

“Saya teman sebilik Sulaiman Mursi mak cik. Dia ada?” 

Aku bertanya dalam kepanasan. Titis-titis peluh membentuk di dahi.

“Masuklah dulu.” Wanita itu mempelawaku dan aku menurut sahaja.

“Sulaiman ke mana mak cik?” Aku menghamparkan segenap persoalan yang terpendam. Mak cik Kiah tersenyum hambar lalu menunjukkan aku sampul surat jingga. Tercatat sesuatu di atasnya.

‘Buat Khairul, sahabatku.’

“Mak cik sudah redha, harap anak pun sama.” Wajah itu cukup tenang namun menjunam juga titisan manik jernih di pipi. Kalbuku diamuk persoalan.

Assalamualaikum sahabat, semoga kamu sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat-Nya.

Khairul, jangan bersedih. Aku terlalu sayangkan kamu. Maafkan sahabatmu ini Kharul, kerana sering meninggalkanmu sendirian. Ada sebabnya dan aku tidak mahu kamu dibalut kebimbangan.

Khairul, aku pernah berkata kepadamu bahawa manusia itu pengembara sebetulnya. Masih ingat? Sudah bertahun-tahun aku merancang ke Palestin bagi menyambung kesinambungan perjuangan arwah ayahanda yang terbunuh di bumi ini tatkala bertugas sebagai sukarelawan dulu.

Tunggu Khairul! Aku tidak keseorangan. Aku pergi bersama naungan cinta sang Murabbi, restu ibu tersayang dan ukhwah kita berdua. Khairul, dunia makin pekak dan tuli. Kalau boleh aku ingin menjadi seperti Hasan Al Banna. Teringin amat! Saat masyarakat Amerika sedang berpesta meraikan pembunuhan Hasan Al-Banna, hatinya bergolak. Usai rasa keinsafan membugar dalam diri, beliau menghasilkan Ma’alim fi al-Thariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang menyebabkan ramai orang membuka mata tentang Islam. Kesudahannya, dia dihukum gantung oleh kerajaannya sendiri.

Aku mahu begitu Khairul, Syahid itu teramatlah indah rupanya. Syahid itu syurga! Teruskan mendalami Islam, mendaki pelangi iman, dan menggali perigi ihsan. Terima kasih Khairul kerana menjadi pendampingku. Ingat Khairul, manusia itu hanya sekadar pengembara. - Sulaiman Mursi


Kaku. Kelu. Mindaku beku. Jasadku bungkam. Tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi hendaknya.

“Nak, Sulaiman Mursi terbunuh ketika askar Israel meletupkan sebuah masjid di sana.” Mak cik Kiah meleraikan pautan syahdu.

Bab 6

“Bilalah agaknya selesai kerja kita ni?” Suara Shahrul mengheretku keluar dari dunia kenangan dan memori semalam.

Aku akan meneruskan perjuanganmu duhai sahabatku. Terasa semangat Sulaiman Mursi bertebaran di segenap alam. Kata-katanya menerobos atma.

Manusia itu hanya sekadar pengembara! Selagi hidup takdir adalah teka-teki yang tiada penghujungnya.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mohd Hafiz Bin Abdullah Saini
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham