Home Cerpen Fantasi Hero - sebuah fiksyen fantasi
Hero - sebuah fiksyen fantasi
A. Darwisy
25/4/2013 21:56:14
5,280
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Berjam-jam lamanya mereka berbincang tetapi semakin diperhalusi setiap perkara, semakin kompleks jadinya. Segala bukti-bukti peninggalan artifak, fosil-fosil, manuskrip-manuskrip kuno, suhuf dan mushaf dirujuk dan digali sedalam-dalamnya. Apa saja maklumat yang mungkin punya hubungkaitnya dengan entiti yang mereka jumpa hampir dua minggu yang lalu, memaksa otak mereka untuk berfikir dan sekaligus menemui resolusi. Ya, tanggungjawab itu digalas oleh mereka. Himpunan saintis, ahli fizik, ahli biologi dan pakar sejarah negara.

“Pandangan Doktor Suraya?” semua mata tertumpu ke arah wanita berkenaan. Ilmunya dalam bidang antropologi perlu diambil kira. Suraya meneliti seimbas lalu laporan tebal di hadapannya dan menyemak beberapa catatan penting yang sempat ditulisnya sepanjang mesyuarat penting itu berdurasi.

“Dari penemuan-penemuan signifikan yang kita ada, saya dapati apa yang dikatakan oleh profesor emeritus ada benarnya.” Terbelalak mata masing-masing apabila wanita itu condong kepada pendapat yang dikemukakan oleh Profesor Malik, tokoh sejarawan negara yang sudah menghasilkan puluhan buku dan ada di antaranya melalui proses penterjemahan ke bahasa-bahasa asing. Pun begitu, buah fikiran yang dilontar figura hebat yang sudah bersara dalam bidang disiplinnya itu, dipandang sepi.

“Ada benarnya, awak cakap? Saya rasa kebanyakannya tidak munasabah.” Profesor Doktor Bakri menyampuk. Pandangan kurang senangnya sengaja dilemparkan kepada Profesor Malik yang tetap tenang wajahnya. Dia tidak cepat melatah meski asyik diperlekeh oleh doktor falsafah dalam bidang fizik itu.

“Dari timeline yang kita capai kata sepakat, nyata entiti ini datangnya lima juta tahun sebelum...”

“Sebelum manusia pertama diturunkan ke Bumi? Awak jangan jadi gila, Doktor Suraya!” Profesor Doktor Bakri menghentak meja dengan buku limanya. Masing-masing terperanjat. Lelaki itu tidak dapat mengawal amarahnya. Baginya, itu semua tidak masuk akal!

“Boleh profesor bersabar? Beri peluang kepada saya untuk bercakap dulu.” Doktor Suraya cuba bertegas lalu disambut rengusan kasar lelaki itu. Profesor Doktor Bakri terasa tercabar. Dia nekad meninggalkan bilik mesyuarat itu dan menyebabkan semua yang masih berada di dalam bilik tersebut terpinga-pinga dengan tindakan tidak profesional itu.

Doktor Suraya mengeluh halus. Nampak gayanya, tertunda lagilah mesyuarat penting itu akibat tiada kata muafakat dan jawapan konkrit yang dapat dirumuskan. Mesyuarat bersurai beberapa minit kemudian. Tinggallah Doktor Suraya dan Profesor Malik yang masing-masing memandang tampang antara satu sama lain.

“Awak kena biasakan diri dengan Bakri tu, Suraya. Perangainya sudah saya hadam sejak dulu lagi,” pujuk Profesor Malik dengan segaris senyuman di wajah. Doktor Suraya menganggukkan kepala. Dia tidak berkecil hati pun cuma berasa terkilan dan sedikit geram. Setiap orang di dalam mesyuarat itu diberi ruang dan peluang untuk bercakap. Tetapi bila sampai gilirannya, paling tidak berilah dia menzahirkan pandangannya terlebih dulu. Dan kemudian, hendak hentam, hentamlah! Doktor Suraya menyimpan sekelumit rasa tidak puas hati di dalam susuk badannya yang kecil itu.

“Saya tak apa-apa, prof. Hmm... tapi apa yang prof bentangkan tadi, bagi saya secara teorinya betul.” Doktor Suraya berhujah. Profesor Malik berlapang dada. Paling tidak, ada seorang yang menyokong pembentangannya tadi.

“Teorinya betul. Timelinenya pun tepat. Tinggal lagi, hukum fiziknya tidak logik. Itu yang Bakri marah-marah. Saya faham.”

“Sejujur-jujurnya, prof fikir terlalu absurd ke apa yang kita sedang berdepan sekarang ni?”

“Awak fikir? Antropologi bukankah bidang awak, Suraya?” balas Profesor Malik sambil tersenyum mesra. Sudahnya, Doktor Suraya ketawa.

“Saya pun hendak pitam memikirkannya, prof. Boleh pecah kepala.”

***

21 hari sebelum...

Seawal pukul 8.00 pagi, Suraya sudah berada di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri bagi memberi sokongan kepada Shuib, adik lelakinya yang merupakan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia. Shuib akan terlibat di dalam pertunjukan udara dan persembahan aerobatik sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa yang berlangsung di Langkawi. Suraya bersama-sama ribuan pengunjung lain yang datang, cukup teruja meski cahaya matahari pastinya tidak lama lagi akan menyebarkan bahang panasnya.

Binokular di tangan, sudah siap-siap dibawa Suraya dari rumah. Khabarnya, Shuib akan membuat persembahan duo menggunakan pesawat Extra 300L atau lebih dikenali sebagai Krisakti. Selesai saja lintas hormat pesawat-pesawat pejuang di hadapan tetamu kenamaan, maka bermulalah pertunjukan. Langit biru yang sepi pagi itu digegarkan dengan bunyi enjin pesawat terbang yang menjadikan langit tanpa sempadan sebagai medan membuat persembahan. Aksi maneuver yang ditunjukkan membentuk satu formasi seragam yang mengkagumkan. Ditambah lagi dengan efek bomb burst yang dilepaskan, membuatkan semua yang sedang menonton tergamam. Kedengaran tepukan tangan daripada sebahagian besar pengunjung.

Suraya meneropong aksi udara yang sedang berlangsung tetapi pengamatannya beralih sejenak apabila dengan secara tidak sengaja, dia menggerakkan binokularnya 90 darjah ke kanan. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya di situ. Suraya mengejapkan kelopak matanya dan kemudian mengamati lagi akan objek yang dilihatnya. Tidak mungkin dia tersilap pandang. Namun belum sempat Suraya hendak mensahihkan apa yang terzahir di pandangan mata dan menjawab kemusykilan di benaknya, satu bunyi letupan bergempita di udara. Suasana menjadi kecoh tiba-tiba.

Bertempiaran semua orang lari lantaran khuatir perlanggaran di antara dua pesawat Krisakti yang sedang membuat persembahan di udara itu, akan menyebabkan serpihan-serpihan besi pesawat itu terpelanting ke bawah. Suraya terpempan. Dadanya berdebar. Jantungnya berdegup lebih laju dari biasa. Tiada apa yang terlintas di dalam kepalanya sekarang ini melainkan keselamatan Shuib. Jeritan para pengunjung yang kedengaran sana sini membuatkan Suraya bertambah panik. Lekas dia melekapkan semula binokular pada kedua-dua belah mata, mengharap si adik berjaya menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

“Lihat sana!!!” jerit seorang lelaki sambil jari telunjuknya menuding ke satu arah. Suraya lekas menghalakan binokularnya ke arah yang dimaksudkan. Masing-masing ternganga tidak percaya. Dari jauh, sayup-sayup kelihatan satu kelibat bersayap sedang merentasi langit biru, sambil mendakap sesusuk tubuh yang berlumuran darah. Para wartawan dari beberapa stesen televisyen yang sedang membuat liputan, bergegas merakam kejadian yang nescaya menjadi skop hangat berita esok hari.

Semakin kelibat itu menjunam terbang rendah, bidikan lensa kamera di lapangan pusat pameran itu semakin menjadi-jadi. Suraya pula kian resah memikirkan perihal Shuib. Selamatkah adik lelakinya itu? Pertembungan dua pesawat yang sedang melakukan aksi aerobatik sebentar tadi, antara kemalangan paling dahsyat yang pernah disaksikan sepanjang hidupnya. Meski mustahil untuk mengharap ada yang terselamat tetapi Suraya berdoa adiknya itu dipanjangkan umur. Sedar tidak sedar, airmata Suraya sudah mengalir ke pipi.

Suasana di lapangan pusat pameran tiba-tiba saja bertiup kencang, bagaikan sebuah helikopter sedang mendarat dan menyebabkan masing-masing tertunduk-tunduk. Suraya meraup rambutnya ke belakang.

“Ke belakang! Ke belakang! Ini amaran!” perintah salah seorang anggota tentera berpangkat tinggi, menyekat sekumpulan wartawan yang cuba mara ke hadapan. Dari jarak beberapa meter dari tempat kerumunan orang ramai, tubuh terkulai layu beruniform juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia dibaringkan dengan cermat. Suraya menutup mulutnya dengan telapak tangan. Dia cukup pasti itu Shuib meski hampir sebahagian wajahnya dilumuri darah merah. Suraya berlari mahu mendapatkan adiknya itu tetapi dihalang beberapa orang pegawai tentera yang membuat barisan benteng supaya tiada siapa-siapa yang bertindak di luar kawalan.

“Dia adik saya! Dia adik saya!” pekik Suraya, tidak dapat membendung emosi dalam diri. Airmatanya sudah mencurah-curah.

“Sila bawa bertenang, cik!”

Suraya tidak mempedulikan arahan pegawai tentera itu. Dia mengerah segala kudrat yang ada, cuba meloloskan diri dari bentengan itu. Suraya tidak menghiraukan lagi bahaya yang kemungkinan akan membawa mudarat kepada dirinya. Suraya berlari deras sebaik sahaja susuk tubuhnya berjaya melepasi kepungan beberapa pegawai tentera. Para wartawan tidak tunggu lama untuk membidik setiap tindakan nekad lagi berani Suraya itu.

“Adik!!!” jerit Suraya penuh perasaan. Tangan kanan Shuib terangkat tidak bermaya. Suraya berlari mendapatkan satu-satunya darah daging yang dia ada di dunia ini. Tubuh Shuib dirangkul dan kepala pemuda itu dipautnya lembut lalu diletakkan ke riba. Darah yang menyaluti wajah Shuib, Suraya sapu dengan telapak tangannya. Airmatanya tidak sudah-sudah mengalir. Kakak mana yang tidak sedih melihatkan adik kandung sendiri dalam keadaan sedemikian rupa. Suraya menggeletar tubuhnya.

“Shu...ib... o...key... A...kak... jangan ri...sau...” meski dalam keadaan payah hendak mengungkap kata-kata, Shuib masih mampu memujuk. Dia tidak mahu kakaknya itu risau berlebih-lebihan. “Dia selamatkan Shu...ib...” luah Shuib sebelum perlahan-lahan matanya pejam. Pengsan di ribaan Suraya. Suraya mendongakkan kepalanya ke atas. Sesusuk tubuh tegap berdiri di hadapannya. Suraya terkasima untuk seketika. Lelaki itu punya sayap. Ya, bersayap! Dan matanya berwarna biru seperti sebutir sapphire yang cantik lagi memukau.

“Te...rima kasih selamatkan adik saya...” teragak-agak Suraya hendak melafazkan ucapan terima kasih itu. Pemilik mata biru dan bersayap itu menganggukkan kepala dan tersenyum. Dan kemudian, lelaki itu mengembangkan kedua-dua belah sayapnya sebelum tubuhnya ringan melayang ke udara. Hilang di balik awan. Suraya dan yang lain-lain tergamam tidak percaya. Bunyi siren van ambulans yang berkumandang sejurus itu tidak mengalihkan tumpuan mereka semua dari terus menengadah ke langit. Tetapi kelibat bersayap itu, sayangnya sudah tiada lagi.

***

Gambar Suraya dan Shuib terpampang di muka hadapan semua suratkhabar utama negara. Bahkan kejadian yang berlaku semalam, menjadi viral di laman sesawang Yahoo dan Google. Di laman YouTube pula, klip berdurasi dua minit yang sempat dirakam dan dimuatnaik oleh beberapa orang yang sempat merakam peristiwa semalam, menjadi tontonan jutaan manusia dalam beberapa minit cuma. Satu dunia hendak mengetahui akan kesahihan cerita yang cukup sensasi itu. Bahkan, pada hari ini juga kerajaan Malaysia menerima kehadiran rombongan dari pucuk kepimpinan tertinggi pemerintahan dari beberapa buah negara yang memegang kuasa veto dunia.

Nyata, Malaysia sudah menjadi satu fenomena. Kematian seorang lagi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia turut mengundang simpati masyarakat. Inilah kali pertama dalam sejarah LIMA, terjadinya kemalangan dahsyat ini. Sementara Suraya dan Shuib pula dikawal ketat oleh pegawai tentera dan polis negara. Shuib yang baru dirawat oleh pihak hospital, menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya ke mana-mana. Suraya bersyukur sangat-sangat kerana adiknya itu tidak mengalami kecederaan yang membimbangkan.

“Tolong beri privasi pada mereka berdua. Sila keluar sebelum saya mengarahkan anda berdua diheret keluar dari hospital ini.” Salah seorang pegawai tentera yang mengawal pintu bilik wad Shuib mengeluarkan arahan tegas. Dua orang wartawan yang berjaya curi-curi masuk ke dalam hospital itu, terpaksa akur biarpun kecewa lantaran tidak mendapat skop berita.

“Akak rasa dia manusia?” tanya Shuib kepada Suraya yang cuma mereka berdua saja di dalam bilik wad kelas VVIP itu. Dia tahu, Suraya lebih arif dalam hal ini.

“Susuk tubuhnya mirip manusia biasa, cukup semua anggota termasuk kaki dan tangan tapi... dia bersayap...” perinci Suraya akan apa yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Sudahnya, dua beradik itu senyap terdiam. Suraya mencapai tabletnya dan terus melungsuri laman sesawang NASA. “Lihat ni, menurut laporan pihak NASA... mereka tak mengesan sebarang aktiviti luar biasa di luar atmosfera Bumi,”

“Maksudnya, manusia bersayap ni memang diami Bumi? Sejak bila?”

That’s a big question mark.”

Perbualan dua beradik itu terhenti sebaik bunyi ketukan di pintu hinggap di pendengaran. Terjengul di muka pintu, wajah bimbang kedua-dua orang tua mereka yang baru sampai ke Kuala Lumpur selepas menempuhi perjalanan yang panjang dari Perlis, sedari pagi tadi. Puan Latifah dan Encik Karim menerpa memeluk satu-satunya anak lelaki yang mereka ada. Betapa risaunya mereka hanya Tuhan yang tahu. Apatah lagi, berulang-ulang kali stesen televisyen menyiarkan sedutan berita yang memaparkan momen-momen Shuib diselamatkan sebelum pesawat yang dipandunya terhempas. Berita paling hangat mendapat liputan seluruh dunia.

Shuib rancak bercerita dengan kedua-dua orang tuanya dan sesekali Suraya turut mencelah. Puan Latifah dan Encik Karim bersyukur kerana kedua-dua anak mereka selamat. Beberapa ketika kemudian, mereka anak-beranak diam tidak bersuara. Di dalam kepala masing-masing berfikir tentang manusia yang cukup sifat tetapi bersayap itu. Siapa atau apa sebenarnya makhluk itu?

***

7 hari selepas...

Pulau Langkawi masih dikerumuni wartawan seluruh dunia meski kelibat manusia bersayap yang tiba-tiba muncul di pulau lagenda itu tidak lagi memperlihatkan diri. Terlalu banyak teori yang bersifat spekulasi kedengaran di sana sini. Shuib dan Suraya, pastinya menjadi sasaran utama walaupun kedua-dua mereka sudah letih bercakap perkara yang sama saban kali diaju soalan oleh para wartawan. Hingga ke satu tahap, mereka adik-beradik berasa sangat-sangat tertekan. Suraya sudah seminggu tidurnya tidak tenteram. Sekejap-sekejap, terjaga di tengah malam.

Suraya cuba melupakan ingatannya terhadap manusia bersayap yang memiliki sepotong mata berwarna biru seperti sebutir sapphiretetapi entah kenapa pada malam ini, bagai ada dorongan dari dalam dirinya untuk mengingati detik-detik pertama pertemuan mereka tempoh hari. Senyuman manusia bersayap itu meski aneh pada pandangan matanya tetapi seakan-akan menyampaikan satu mesej yang kurang jelas.

Tidak mahu terlalu memikirkannya, Suraya ke dapur membancuh segelas susu panas. Lalu dibawa batang tubuhnya ke beranda kondonya yang terletak di tingkat 27. Pemandangan dari atas sana, sedikit sebanyak memberi terapi minda kepada dirinya. Angin sepoi-sepoi bahasa yang menjamah kulitnya, terasa begitu nyaman sekali. Suraya yang berpakaian tidur dari kain jenis satin, berseorangan menghayati keindahan malam sambil mencicip manis dan hangat segelas susu di hujung lidah.

Asyik dirinya menikmati sepinya malam, tidak semena-mena angin yang tadinya bertiup lembut, berhembus kuat. Suraya yang mahu berpatah balik masuk ke dalam kondonya, tidak jadi berbuat demikian apabila kelibat manusia bersayap yang cuba disingkirkan dari kepalanya, terapung-apung di hadapannya. Berhalusinasikah aku? Suraya mengejapkan kelopak matanya berkali-kali. Dan apabila kelibat itu mengibar-ngibarkan sayapnya, Suraya sudah jadi tidak keruan. Gelas yang masih berbaki separuh susu, terlepas dari tangannya.

“Apa kau nak dari aku, ha?” spontan soalan itu yang keluar dari mulut Suraya. Suraya mengigil-gigil ketakutan. Sudahlah dia keseorangan dan berada pula di beranda, apa-apa saja boleh jadi. Dibuatnya makhluk itu menyauk tubuhnya yang kecil itu dan menghilang di balik kepekatan malam, menjerit sehingga hilang suara pun tidak berguna.

“Jangan takut. Aku datang bukan mahu mengapa-apakan kau.” Suraya menutup mulutnya dengan kedua-dua telapak tangan. Dia benar-benar terperanjat. Tampangnya sudah memucat.

“K... kau bo...leh... bercakap...” tergagap-gagap Suraya dibuatnya. Jantungnya sudah berdegup laju. Terundur-undur langkah perempuan itu ke belakang.

“Aku boleh bertutur dalam semua bahasa di dunia ini.” Manusia bersayap itu kelihatan selesa terawang-awang di udara sambil sesekali menggerak-gerakkan sayapnya. Suraya masih tidak surut perasaan takutnya.

“Kau ni manusia atau...”

“Aku bukan manusia, bukan juga jin mahupun malaikat. Aku generasi terakhir bangsa Al Hin.”

“Bangsa Al Hin?” Suraya masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Apatah lagi dia sedang berkomunikasi dengan makhluk yang entah dari mana datangnya itu.

“Ya, bangsa sebelum penciptaan manusia. Bangsa aku mendiami Bumi terlebih dulu daripada bangsa manusia.” Suraya terbeliak matanya. Yalah, kalau benar manusia bersayap di hadapannya ini adalah makhluk yang wujud sebelum penciptaan manusia, bermakna makhluk ini sudah berjuta tahun usianya!

“Apa kau nak dari aku?” Sekali lagi soalan yang serupa dilontarkan Suraya. Manusia bersayap dan mempunyai sepasang mata berwarna biru sapphire itu tersenyum hambar.

“Aku mengharapkan pertolongan kau. Aku tidak mahu hidup lagi.” Suraya tertelan air liur. Makhluk ini mahu membunuh dirinya sendirikah?

“Kau selamatkan nyawa adik aku dan kemudian kau datang jumpa aku, meminta supaya nyawa kau dicabut? Ironinya?” persoal Suraya semula. Sedikit demi sedikit, dia sudah memperolehi keberaniannya semula.

“Bangsa Al Hin diberi kelebihan yang terkadang aku merasakan ia sungguh melelahkan. Kami diberi umur yang panjang, sangat panjang hingga melangkaui beberapa kurun. Malah kami diberi penglihatan yang sangat baik hingga boleh menembusi apa saja yang ada di sebelah gunung yang besar. Kami juga boleh menjadikan diri kami halimunan. Tapi... hidup aku sangat-sangat kesunyian. Lebih baik mati dari terus hidup tanpa hala tujuan.” Manusia bersayap itu meluahkan apa yang barangkali selama ini terpendam dalam hati. Suraya terkelu lidahnya.

“Selain kau, berapa ramai lagi yang seperti kau di luar sana?”

“Tidak ramai. Bangsa Al Hin yang masih hidup, yang tinggal lebih kurang sepuluh ribu saja.”

“Sepuluh ribu???” Suraya terjerit kecil. Serta-merta matanya memandang ke langit yang hitam pekat pada waktu itu. Manalah tahu, segerombolan manusia bersayap yang lain sedang berada di atas sana.

“Jangan risau. Cuma aku saja di pulau lagenda ini. Bangsa-bangsa aku yang lain berada di seluruh pelusuk dunia. Berterbangan merentasi dari gunung ke gunung.”

“Err... bagaimana aku boleh tolong kau... err...”

“Nama aku Hud,”

“Macam mana caranya aku boleh tolong kau, Hud?”

“Biarpun bangsa Al Hin merupakan bangsa yang punya banyak kelebihan tetapi ada satu kekurangan yang ada pada aku dan bangsa aku yang lain. Kami akan mati kalau sayap di belakang badan kami dikeluarkan dari tubuh kami. Aku mahu kau buat begitu atas aku. Tolong aku. Aku sudah bosan hidup bersendirian terlalu lama.”

Suraya tergemap. Mana mungkin dia mahu jadi pembunuh kepada makhluk bangsa Al Hin ini? Suraya menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali.

***

Sekarang...

Suraya baru balik dari menghadiri mesyuarat tergempar yang melibatkan dirinya sekali. Sungguhpun tidak mencapai kata sepakat di akhir perbincangan, Suraya berharap apa yang dihujahkan oleh Profesor Malik, paling tidak dapat membuka mata dunia. Hujah yang bakal mencetus fenomena dalam sejarah peradaban manusia. Hujah yang menyatakan bahawa selain bangsa manusia, terdapat bangsa awal sebelum penciptaan manusia yang terlebih dulu wujud di muka bumi ini.

“Dia bagaimana sekarang, prof?” tanya Suraya sebaik saja mereka berdua sudah berada di dalam limousin yang dipandu oleh pemandu peribadi Profesor Malik.

“Masih tidak sedarkan diri. Saya harap dia boleh bertahan.”

Mendengar jawapan itu, menular satu perasaan yang aneh dalam diri Suraya. Perasaan yang selama ini cuba dielakkan hingga usianya sudah terlajak tanpa dia menyedarinya. Sebuah perasaan halus yang dia sendiri tidak fahami.

“Awak okey, Doktor Suraya?” soal Profesor Malik apabila melihat doktor perempuan itu termenung dan berbening matanya. Suraya berpura-pura tersenyum bagi menjawab pertanyaan lelaki tersebut.

“Sampai sekarang, saya terasa seperti bermimpi prof...”

“Maksud awak?”

“Yalah, tentang projek gila yang kita buat sekarang.”

“Ha ha ha. Ini bukan projek gila, Doktor Suraya. Tapi projek kemanusiaan.”

Profesor Malik ketawa sederhana. Limousin yang dinaiki terus melata kemas di atas jalan raya. Dan beberapa minit kemudian, sampailah mereka di sebuah kediaman tersergam indah yang letaknya agak jauh ke dalam dan terasing dari persekitaran dunia luar. Sebuah rumah agam milik Profesor Malik yang dibina di atas bidang tanahnya sendiri. Halamannya saja sudah seluas hamparan padang di sebuah stadium barangkali. Begitu luas sekali.

Kediaman mewah lelaki itu pula sekali pandang, tidak ubah seperti sebuah rumah pada era kolonial. Penuh dengan nilai estetiknya tersendiri. Ralit pula Suraya memerhati luar dan dalam kawasan rumah itu. Profesor Malik terus membawa tetamunya itu ke dalam rumah lalu menuju ke tingkat bawah tanah menggunakan satu pintu khas. Di aras bawah, seorang wanita barangkali sebaya dengan usia Profesor Malik, menyambut kehadiran mereka berdua dengan senyuman di wajah.

“Inilah Doktor Suraya tu ya, bang?” Suraya mengangguk tersenyum. Kedua-duanya bersalaman. Inilah kali pertama Suraya bertemu empat mata dengan isteri Profesor Malik yang bukan calang-calang orangnya. Zakiah merupakan pakar anatomi dan juga bergelar profesor. Pendek kata, memang sepadanlah mereka suami isteri. “Mari Suraya, kita ke bilik sana...” Profesor Doktor Zakiah menuding jari telunjuknya ke sebuah bilik khas yang merupakan bilik surgeri moden dan dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih. Suraya tergamam dibuatnya. Tetapi apalah hendak dihairankan, lelaki itu memang kaya-raya. Pun begitu, Profesor Malik lebih selesa untuk bersederhana apabila berada di khalayak ramai.

Suraya mengikut pasangan suami isteri itu dari belakang memasuki sebuah bilik yang menempatkan Hud di dalamnya. Aneh sekali melihat manusia bersayap itu terbaring lemah di atas katil pesakit dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri. Suraya berdebar-debar dadanya menghampiri sekujur tubuh yang begitu dingin kulitnya apabila disentuh.

“Ini satu keajaiban, Suraya. Keadaan Hud stabil. Tinggal lagi, kita tunggu saja dia buka mata...” Profesor Malik memberitahu lalu memaut pergelangan tangan isterinya lembut. Kedua-dua beredar keluar dari bilik tersebut, memberi ruang kepada Suraya untuk melihat Hud dari dekat.

Suraya tersentuh hatinya. Perasaan halus dalam dirinya datang kembali. Lebih-lebih lagi mengenangkan susuk yang terkedang kaku itulah yang menyelamatkan adik kesayangannya tidak lama dulu. Hati perempuannya terus-terusan bergetar. Rasa sayu mula terpalit dalam jiwa.

“Bangunlah Hud. Aku setiap hari berdoa supaya kau selamat dan dapat hidup seperti manusia biasa...” Airmata Suraya akhirnya menitis perlahan, menuruni pipi. Suraya larut dalam emosi. Dia tidak sedar, jari-jemari Hud sedikit demi sedikit menunjukkan sedikit pergerakan. Dan semakin lama, pergerakan itu kian ketara.

“Su...” lemah panggilan itu tetapi cukup jelas di pendengaran Suraya. Suraya lekas berkalih pandang. Wajah Hud ditatapnya gembira.

“Alhamdulilah, kau dah sedar...” Suraya tidak dapat mengawal betapa bahagia hatinya. Dia mengalir airmata kegembiraan. Hud cuba bangun dan tiba-tiba dia dapat merasakan sesuatu kelainan pada tubuhnya. Dia terasa ringan sekali.

“Sayap aku...” Suraya mengangguk-anggukkan kepala. Seperti sudah tahu akan apa yang bakal keluar dari mulut Hud. “Tapi... aku masih hidup lagi? Bukankah...” Sekali lagi Hud tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Hidup mati itu bukan di tangan kita, Hud. Hargailah peluang kedua ini... dan awak tidak akan hidup bersendirian lagi. Saya ada bersama awak...”

Suraya malu dengan bicaranya sendiri. Dan untuk kali pertama dalam usianya yang sudah melangkaui jutaan tahun, Hud terasa hatinya bergetar hebat. Perasaan yang begitu asyik sekali.

***

20 tahun kemudian...

Suraya berdoa sungguh-sungguh dengan linangan airmata. Multazam yang terletak di kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah, menjadi tempat untuk perempuan itu berbicara dengan Tuhan. Doa Suraya cuma satu. Semoga ditempatkan orang yang disayanginya itu di kalangan orang-orang beriman.

“Sudahlah Suraya... jangan dikenang orang yang dah lama pergi...” Suraya termengkelan. Dia benar-benar sayu.

“Tapi saya tak sempat nak beritahu dia sesuatu...” lirih Suraya meluahkan perihal hati.

“Apa dia?”

“Saya tak sempat nak ucapkan terima kasih saya pada mereka suami isteri. Kerana mereka berdua, dengan izin ALLAH... saya punya awak, Hud.”

“Sabarlah... Saya yakin Profesor Malik dan isteri sekarang ini di taman syurga ALLAH yang abadi. Mereka antara manusia budiman yang pernah saya jumpa.”

Hud memujuk Suraya lembut yang sekarang ini sudah bergelar permaisuri hidupnya. Siapa menyangka, dua bangsa yang berlainan menyatu atas dasar cinta. Cinta agung yang berlandaskan pada keizinan ALLAH, sudah tentunya.

TAMAT


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.