"Bangun!! Kau ingat dunia ni apa? Satu mimpi?! Senang-senang kau tidur untuk melupakan segalanya?!!” Tempik Nicky, kawan perempuanku yang berperwatakan tomboy, sambil menarik kedua belah tanganku dengan kasar, membuatkan aku terduduk dari pembaringan dengan rambut yang meremang. Aku hanya tunduk memandang ke bawah. Dan Nicky pula masih tidak habis-habis membebel sambil menampar-nampar tubuhku macam budak-budak kecil.
Iya, semua ini berlaku adalah disebabkan aku. Semua orang marah pada aku disebabkan apa yang telah aku buat sebelum ini. Kalaulah aku tidak membatalkan perkahwinan sendiri pada hari itu, pasti semua ini tidak akan berlaku. Pasti aku tidak perlu menumpang dirumah sewa Nicky dan menyembunyikan diri daripada keluargaku. Dan sekarang semua orang pandang serong pada aku, pada keluargaku. Masih terbayang lagi riak kekecewaan yang terpamer di wajah kedua ibu bapaku saat itu. . Betapa mereka menanggung malu yang besar disebabkan seorang anak seperti aku. Maafkan Wahida mak, ayah! Wahida anak yang gagal! Dan bagai terbayang riak kekecewaan di wajah lelaki itu saat dia berlalu pergi dengan hampa.
“Sakitlah Nicky! Kau ingat aku suka ke dengan apa yang berlaku?” Pantas aku menahan tangan Nicky yang masih galak menampar-nampar badanku.
“Memang kau suka kan! Kalau kau tak suka tak adalah kau buat macam ni kan?! Dah elok-elok ada lelaki yang serius nakkan kau, senang-senang je kau buang dia macam sampah kan! Kalau aku tahu, dah lama aku rembat Ahmad Zulfakar tu dari kau! Perempuan tak sedar diri! Tak reti bersyukur! “luah Nicky geram sambil bingkas dari katil sebelum berlalu keluar dari bilik, lalu menghempas pintu sekuat mungkin.
Aku hanya tertunduk bisu. Memang betul pun apa yang di perkatakan Nicky. Memang aku perempuan yang tidak sedar diri. Memang aku tidak reti bersyukur. Sungguh, akulah punca semua ini berlaku. Dan tidak pasal-pasal hubungan kekeluargaan di antara keluargaku dan keluarga Ahmad Zulfakar menjadi keruh. Bagai terbayang wajah kecewa papa dan mama Zulfakar diruang mataku. Ah, Wahida kau memang tak guna!
Ramai yang tertanya-tanya kenapa aku membatalkan perkahwinan sendiri dan ramai yang kata aku memang gila sebab tidak terima lelaki yang punya segalanya macam Zulfakar tu. Tapi, ya sebab aku ada alasan tersendiri. Semuanya adalah kerana.....
* * * * *
“Nur Wahida..” pantas aku menoleh. Hampa rasanya bila orang yang aku harapkan tiada di situ. Lantas, aku memandang lelaki bermata sepet dan berwajah kacukan cina itu. ‘Huh! Tak hensem betul!’ Sempat pula hatiku mengomen.
“Iya...,” lambat aku jawab, acuh tak acuh.
“Awak tunggu saya ke?”
“Eh taklah. Buat apa saya nak tunggu awak?”
“Mana tahu awak tengah tunggu bakal suami awak ni kan?” usik Zulfakar lagi, namun ku balas dengan senyuman hambar.
“Kenapa awak nak kahwin dengan saya ya?” soalku, agak pelik.
“Sebab saya tahu awaklah jodoh saya,” jawab dia sambil tersenyum nakal, membuatkan aku sedikit mencebik mendengarnya. Eleh, ada hati nak bergurau manja dengan aku. Eiii.. menyampahnyaaa.. Eh, bakal laki kau tu kan!
‘Eh, habistu kenapa aku pulak nak kahwin dengan dia?’ Dan hatiku pula tertanya sendiri.
“Kak Wida?!” seseorang menyentuh bahuku dari belakang dan lantas membuatkan aku tersedar dari lamunan. Hatiku berdebar-debar secara tiba-tiba. Suara itu, cukup ku kenali. Pantas aku menoleh ke belakang.
“Irine!”
* * * * *
“Sebab kak percaya yang cinta sejati wujud kat dunia ni. Sebab kak dah sukakan orang lain. Akak takut, andai perkahwinan ni akak teruskan, akak akan menyesal suatu hari nanti. Sedangkan akak sedikit pun tak ada niat untuk melukai hati abang Irine...,” Ujarku kepada Irine, satu-satunya adik perempuan Zulfakar. Sama seperti abangnya. Kedua-dua mereka memiliki wajah yang mirip kecinaan. Mungkin mewarisi bapanya yang berketurunan cina mualaf.
Dan aku tidak pasti kenapa Irine tetap tenang. Masih mahu mendengar penjelasan aku meskipun aku telah menjatuhkan air muka mereka sekeluarga. Aku masih tidak percaya kenapa Irine tidak menyerang aku mahupun menarik-narik tudung aku tika kami bertembung secara tidak sengaja sebentar tadi. Kenapa dia begitu tenang, sedangkan aku dah melukai hati satu-satunya abang kesayangannya dan menjatuhkan maruah mereka sekeluarga.
“Irine, akak betul-betul mintak maaf. Akak masih sayangkan Irine macam adik akak sendiri,”
“Kalau akak sayang mesti akak tak akan buat macam ni kan?”
“Apa?” Aku terpinga seketika kerana tidak berapa jelas dengan kata-kata Irine sebentar tadi.
“Tak adalah kak. Irine betul-betul tak faham. Kenapa mesti waktu hari akad nikah, tetamu semua dah sampai baru akak batalkan? Kenapa tak sebelum tu? Sekurang-kurangnya seminggu sebelum, sehari sebelum ke? Kenapa mesti hari akad nikah tu baru akak nak batalkan? Irine just....urgghhh..,” Ucap Irine panjang lebar, jelas terpamer riak kekesalan di wajahnya.
“Entahlah Irine... sebelum tu.. sebelum tu akak takut.. akak takut nak meluahkan apa yang terbuku. Bila akak tengok semua orang dah bersusah-payah buat persiapan, akak takut nak cakap yang akak memang tak nak kahwin... Tapi, masa hari pernikahan tu, akak tak tahu dari mana akak dapat kekuatan untuk batalkan semuanya. Entah syaitan apa yang menghasut. Sekarang, akak rasa betul-betul menyesal sebab dah jatuhkan maruah family dan susahkan semua orang. Dah dua bulan akak tak jumpa mereka Irine. Akak takut dan akak malu...,” Panjang-lebar aku meluahkan perasaanku pada Irine. Aku tahu dia marah sebenarnya dan kesal dengan apa yang berlaku.
“So, akak dah jumpalah dengan cinta sejati akak tu? Bila nak kahwin?” soal Irine, kedengaran sinis. Namun, aku hanya tersenyum hambar. Perlahan-lahan aku menggeleng.
“Tak Irine. Akak silap. Selama ni akak sangkakan senior akak tu sukakan akak. Akak ingat kami suka sama suka. Semuanya sebab cara dia berkata-kata dan cara dia layan akak. Dia selalu cakap dia rindukan akak, sukakan akak. Rupa-rupanya suka sebagai kawan je. Bila akak luahkan perasaan pada dia, tiba-tiba dia cakap sebenarnya dia dah ada orang lain dan selama ni hanya anggap akak sebagai seorang kawan je. Itu aje. Jujur akak kecewa... Sedangkan akak betul-betul ingat dia cintakan akak. Apatah lagi muka dia macam kecewa je bila akak bagi kad jemputan kahwin. Bila dia macam bergurau dan cakap dia dah melepas sebab biarkan akak jatuh di tangan orang lain, semua tu buatkan akak jadi keliru. Sebabnya kak pun sukakan dia sangat-sangat. Tapi, rupanya.... Itu semuanya adalah ayat manis belaka. Akak yang salah tafsir.” Terangku jujur kepada Irine. Ku lihat wajah Irine berubah, merah padam. Seolah-olah cuba menahan marah.
“So, akak batalkan perkahwinan just for nothing lah?!” sedikit melenting nada suara Irine pada ketika itu. Lantas, segelas air kosong dihadapannya diteguk sampai habis. Fuhhh.. ingatkan nak simbah dekat aku tadi.
“... Irine maafkan akak sayang.. Akak betul-betul mintak maaf. Kalau Irine nak pukul akak, nak hukum akak , hukumlah Irine! Akak betul-betul tak ada niat nak lukakan hati kamu semua. Akak terkhilaf. Akak tak tahu semua akan jadi macam ni.. ” Sambungku lagi bila kulihat Irine hanya terdiam seribu bahasa.
“Entahlah kak. Kalau Irine pukul akak, hukum akak.. apa yang Irine dapat? Pasti abang akan lebih terluka dengan tindakan kami... sebab dia dah mula sayangkan akak sejak akak jadi tunang dia lagi. Benda dah jadi kan? Akak, actually abang tu okay orangnya kak. Kalau awal-awal akak bincang dengan dia baik-baik tak nak teruskan, mesti dia boleh terima. Tapi, bila dah jadi macam ni.... Hurm, nak kesalkan pun, benda dah jadi kan? Akak pun dah besar kan , dah boleh fikir apa yang patut. Apapun Irine rasa, kalau akak nak mintak maaf. Akak mintak maaflah pada abang. Sebab dia yang paling terluka sekarang ni kak dan Irine pun dah lama maafkan akak,” luah Irine , mendalam sekali kata-katanya sebelum dia meminta diri untuk berlalu dari situ. Namun, cepat-cepat ku tahan.
“Irine, boleh akak tahu... Abang Irine kat mana sekarang?”
“ Dah dua bulan dia pergi UK tak balik-balik kak. Irine pun tak tahu sampai bila dia nak bawak diri. Okaylah kak, Irine dah lewat ni. Jumpa lagi. Byee..,” Dan kata-katanya itu mengakhiri perbualan kami pada petang itu.
Buat seketika aku terpaku disitu. Memikirkan betapa bodohnya apa yang telah aku buat sebelum ini. Disebabkan cinta yang tak pasti, aku korbankan segalanya. Aku susahkan semua orang. Dan aku lukai hati seorang lelaki yang betul-betul serius mahukan aku. Betapa pendeknya akalku ketika aku membuat keputusan terburu-buru tika itu. Bodohnya aku mempertahankan cinta yang tidak pasti, sedangkan permata sudah terbentang luas di hadapan mataku. Tergamaknya aku membuatkan permata itu berkecai seperti kaca. Disebabkan satu keputusan bodoh, akhirnya bahananya entah sampai ke bila akan ku tanggung. Saat ini, barulah aku sedar yang hidup ini bukan mimpi, bukan angan-angan dan bukan jua fairytale yang sewenangnya untuk kita gadaikan.
* * * * *
Setahun kemudian...
Aku memandang sepi peti inbox aplikasi Whatssapp messenger. Dah lama aku cuba menghubungi Zulfakar, tetapi gagal. Lantas aku membuka profile whatssap dia dan melihat ‘last seen’ dia. Hurm.. setahun yang lalu. Mungkin jua dia sudah menukar nombor telefon bimbitnya. Entahlah. Aku pun tidak tahu. Tetapi, untuk apa aku mencari dia semula? Untuk menagih kasih dia balik? Sebab tak ada orang nak aku? Ek eh, memandai-mandai je. Taklah. Tapi, sebab aku nak mintak maaf dekat dia. Pertama, sebab bagi harapan palsu dekat dia. Kedua, sebab batalkan perkahwinan kami. Dan ketiga sebab buat dia macam sampah, bak kata Nicky. Keempat sebab lukakan hati dia. Sudah lah dia tu baik dan tak ada dosa pun dekat aku. ‘Okay, baru sekarang kau sedar kan dia tu baik. Waktu nak menikah dulu, sedikit pun kau tak nak ambik tahu hal dia kan? Lepastu pepandai batalkan pernikahan pulak!’
Selepas setahun berlalu, kes aku membatalkan pernikahan sudah tidak hangat lagi diperkatakan oleh penduduk taman mahupun kampung. Namun, pandangan serong mereka tetap tidak berubah terhadap aku. Bila nampak aku je.. ha mulalah. ‘Tulah budak perempuan yang buat malu keluarga dia tu... Sok sek sok sek.. bla bla bla.’ Hurm.. sabar jelah. Eh nak sabar apanya?! Macamlah aku mangsa kan! Memang padan dengan muka aku pun! Memang aku layak dan patut terima balasan ni.
Tentang cinta sejati aku pula? Semuanya bertebaran macam angin sepoi-sepoi bahasa. Menjadi mimpi yang hanya tinggal mimpi. Tahu-tahu, Akif lelaki yang aku suka sejak dari kolej lagi, kini sudah pun berumah tangga. Siap bagi kad jemputan lagi dekat aku. Siapa yang tidak kecewa? Memang aku kecewa sangat-sangat dan terlalu malu. Malu kerana selama ni aku yang terhegeh-hegeh pada yang tak sudi. Mungkin perasaan ini jualah yang dirasai Zulfakar suatu ketika dulu.
Hanya kerana ayat-ayat manis yang mungkin diucapkanAkif pada semua perempuan, lantas aku terbuai dan mengambil serius kata-katanya sehingga sanggup mengadaikan perkahwinanku sendiri demi sesuatu yang tidak pasti. Bodohnya aku. Iya, begitulah perempuan. Begitu mudah menyimpan harapan, begitu mudah terpedaya dan begitu mudah dibuai perasaan hanya disebabkan ayat-ayat manis yang diucapkan oleh seorang lelaki. Arghhh..!! Benci!! Sungguh aku bencikanAkif!! Kerana dia hidup aku jadi begini. Sedangkan dia kini sedang meniti hari-hari bahagia. Lelaki. Memang lumrah dan mudah mempermainkan perasaan wanita. Membuat wanita terbuai dengan kata-kata manis mereka meskipun sedikit pun tidak punyai perasaan terhadap wanita itu. Sungguh, andai boleh diulang semula waktu, aku pasti akan membenarkan sahaja pernikahan itu berjalan lancar. Pasti kini, aku sudah pun bergelar isteri kepada seorang lelaki yang benar-benar inginkan aku.
Namun, walau apapun, aku sangat-sangat bersyukur sebab keluarga aku sudi juga terima dan maafkan aku walaupun mak aku sampai sekarang dingin terhadap aku. Tapi, nampaknya keluarga aku sudah serik dan mungkin tidak akan mencarikan jodoh untuk aku lagi. Sudah tidak sibuk bertanya seperti dulu. Manakala mama Zulfakar pula masih tidak mahu berjumpa dan memaafkan aku kerana memalukan mereka sekeluarga. Apatah lagi semenjak peristiwa itu, Zulfakar sudah hampir setahun membawa diri. Aku mendapat tahu daripada Irine hanya sesekali sahaja dia akan berhubung dan bertanya khabar tentang keluarganya. Mujurlah hubungan kekeluargaan diantara keluargaku dengan keluarga mereka masih dalam keadaan baik kerana keluarga mereka tidak menyalahkan keluarga aku di atas apa yang berlaku. Terubat sedikit kegusaran di hati aku.
Sedang aku menatap profile whatssap Zulfakar, perlahan-lahan, mataku mula terasa berat sambil menaip-naip kata-kata maaf meskipun ku tahu dia tidak akan membacanya.
“Maafkan aku, Zulfakar....,” Dan sekali lagi kata-kata itu kubisik sendirian. Air hangat terasa membasahi pipi. Di mana Zulfakar? Terlalu pedihkah luka di hatinya sehingga setahun sudah membawa diri? Atau mungkinkah dia sudah berumah tangga dan membina hidup baru di UK?
Andai diberi peluang kedua.... aku mahu menebus segalanya. Tidak akan kubenarkan semua itu berlaku. Namun, tidak semua perkara punyai peluang kedua. Pesan aku, hargailah setiap peluang yang ada. Gunakanlah sebaik mungkin. Kerana tidak semua perkara ada peluang kedua. Usah hidup seperti aku. Bersama penyesalan yang tak berkesudah. Perit dan pedih akan sesekali datang dan merobek-robek hati...
* * * * *
“Nur Wahida...” satu suara menegurku dari belakang. Bagai pernah kudengari. Siapa ya? Zulfakar?! Lantas aku menoleh. Iya, benar. Zulfakar yang berdiri di belakang aku ketika ini. Hampir sahaja aku memeluknya disebabkan terujanya untuk bertemu dengan dia. Senyuman dibibirku terukir seluas mungkin. Apatah lagi tatkala melihat dia juga sedang tersenyum manis ke arahku dengan mata sepet dan wajah persis cina itu. Tapi, kenapa nampak macam handsome sangat ni? Seperti biasa, senyumannya masih sama seperti dahulu. Senyuman yang aku rindu-rindukan. Eh? Apahal lak rindu? Maksud aku yelah sebab aku rasa bersalah kan dengan dia. So, aku harap sangat dia maafkan aku dan tersenyum macam ni.
“Wahida cari saya ke?” ujar Zulfakar, masih mesra. Sama seperti dulu. Membuatkan aku berasa senang dengannya. Kalau dulu, mungkin aku akan cebik-cebikkan ayat-ayat dia, tapi, tidak kini.
“Iya, Zulfakar. Dah lama saya cari awak... Mana awak pergi? Awak tahu tak saya rasa bersalah sangat-sangat bila awak pergi macam tu je? Saya benar-benar nak mintak-maaf Zul. Saya tak ada niat pun untuk melukakan hati lelaki yang baik macam awak. Maafkan saya Zul.. Maafkan saya..,” Ujarku , sebak dan pantas memohon maaf. Entah mengapa tiba-tiba air mataku mengalir deras dihadapan Zulfakar. Kenapa aku macam takut je kehilangan dia ni??
“Tak apa Wida. Saya dah lama maafkan awak. It’s okay Wahida I’m fine,” ucap Zulfakar seolah-olah cuba memujuk sambil menepuk-nepuk lembut bahuku. Indahnya saat ini...
“Cikgu Wahida! Cikgu Wahida!” tiba-tiba kedengaran suara seorang kanak-kanak memanggil-manggil namaku. Adehh... sape pulak yang kacau daun ni?? Dan entah mengapa terasa bahuku di tepuk kuat pulak.
Pantas mataku terbuka. Ah, aku tertidur rupanya. Aku bermimpi ke tadi? Pasal apa eh? Saat itu, terjengul wajah Zulaikha, gadis kecil yang merupakan salah-seorang anak muridku di rumah anak-anak yatim Nurul Iman, Sepang. Setiap kali pada waktu lapang, aku pasti akan menggunakan masa yang ada untuk menjadi sukarelawan dan guru tuisyen kepada kanak-kanak dirumah anak-anak yatim ini. Hanya dengan itu, aku akan dapat melupakan segala masalahku dan mengisi masa dengan aktiviti berfaedah. Lantas aku memandang ke sekeliling. Hurm, macam manalah aku boleh tertidur dekat atas tilam budak-budak ni? Mengambil kesempatan betullah!
“Cikgu Wahida, kenapa cikgu tidur menangis?” tegur gadis kecil itu lagi. Pantas aku mengesat air jernih yang bersisa di mata. Aku menangis ke dalam tidur? Tapi, kenapa?? Tiba-tiba wajah Zulfakar berserta cebisan mimpi sebentar tadi perlahan-lahan bermain-main diruangan mata. Senyuman dia... Aku sangka aku betul-betul dapat jumpa dia tadi, dapat bercakap dengan dia. Tapi, mimpi rupanya? Aku rasa kecewa.. Dan tiba-tiba aku teresak-esak di situ.
* * * * *
Beberapa bulan kemudian.....
“Tahniah Irine! Moga dipermudahkan segalanya. Terima-kasih sebab sudi jemput akak..” Ucapku sebaik sahaja kad jemputan perkahwinannya tiba di tangan aku. Tak sangka sekejap je masa berlalu. Dan kini Irine pula yang akan berumah tangga.
“Sama-sama, kak. Alaaa.. tak ada apa-apalah kak. Irine dah anggap akak macam kawan Irine dah,” ucap Irine sambil tersenyum bahagia. Tapi, kenapa kata-katanya itu seolah-olah membuatkan aku terluka? Iya, ayat ‘kawan’, dan bukannya ‘kakak’. Arghhh... apa yang aku harapkan sebenarnya ni?
“Okaylah kak, Irine nak jumpa tunang Irine. Irine mintak diri dululah,”
“Irine kejap...,” pantas aku mencapai tangannya.
“Kenapa kak?”
“Abang Zul... masih tak ada apa-apa berita ke? Maksud akak ... dia balik tak masa Irine kahwin nanti?”
“Kak...., akak masih tak dapat lupakan perkara tu lagi ke? Akak, abang kata dia dah lama maafkan akak dan lupakan perkara tu. Mama and papa pun macam dah boleh terima. So, akak tak payah risaulah.”
“Akak bukan apa Irine. Akak tahu dia dah maafkan. Tapi, kalau boleh akak nak mintak maaf depan-depan dia. Boleh tak Irine bagi nombor dia ke?” pintaku lagi. Entah kenapa macam terdesak je aku ni.
“Akak... actually abang dia dah.....,” kata-kata Irine terhenti di situ tatkala seseorang tiba-tiba menegurnya.
“Irinee!! Hi!!! How are you?? ” Dan suara itu, agak ku kenali. Entah mengapa hatiku berdebar tiba-tiba. Pantas aku menoleh kebelakangan. Mata kami bertentangan. Dan aku jua dapat melihat riak terkejut dan jua seakan tidak selesa yang terpamer di seraut wajah itu saat matanya menangkap wajahku. Tidak banyak yang berubah. Hanya berjambang sedikit. Dan kemudian mataku beralih pula kearah seorang wanita yang sedang mengendong bayi di sebelahnya. Macam pernah kulihat. Tapi di mana? Entah. Akalku pantas membuat percaturan sendiri. Isteri dia? Hatiku terasa sakit dan pedih tiba-tiba. Entah mengapa kepala aku terasa berpinar-pinar tiba-tiba. Tapi, kenapa? Kenapa aku perlu berasa begini? Sedangkan aku tidak punyai perasaan terhadap dia? Sedangkan akulah insan bertanggungjawab yang membatalkan perkahwinan kami. Tapi, kenapa aku rasa sedih sangat ni bila melihat dia sudah dimiliki? Ya Allah, kuatkanlah hambamu ini. Usah biarkan air mataku mengalir dihadapan mereka. Okay, Wahida , tunaikan hasrat kau untuk meminta maaf pada dia and then move on okay? Perlahan-lahan aku cuba mengukir senyuman. Sedaya melebarkan senyuman aku pada kedua pasang suami isteri itu. Tapi, pandanganku terasa kabur. Kabur dan semakin kabur... Gelap.
* * * * *
Sedar-sedar, aku kini berada di dalam sebuah wad di Hospital Putrajaya. Aku nampak Zulfakar duduk di sisi katil, sebelah aku. Aku pandang dia. Dia juga pandang aku. Lama. Masing-masing diam tanpa kata. Dan tiba-tiba dia terus menuju ke jendela. Lama dia merenung ke luar jendela. Belakangnya masih sama. Cara dia berpenampilan kemas, sama seperti dulu. Perlahan-lahan aku menguatkan diri , bingkas dari katil dan mendekati dia.
“Zulfakar.....,” lantas namanya ku panggil. Dia masih lagi memandang ke luar jendela sambil membelakangkan aku. Macam orang merajuk lagaknya.
“Iya...,” sahut dia perlahan.
“Saya... saya nak mintak maaf sangat-sangat di atas apa yang berlaku sebelum ni... Saya tahu saya tak layak untuk terima kemaafan daripada awak. Tapi, hati saya tak tenang Zulfakar....,”
“Saya dah lama maafkan awak Wahida... dan lupakan segalanya..,”
“Semudah itu?” soalku, agak tidak berpuas hati dengan jawapan dia.
“Ya...”
“Tapi, kalau macam tu kenapa lama awak bawa diri, Zul?” soalanku dibiarkan berlalu sepi. Dan hanya kesepian yang memenuhi ruang di antara kami. Zulfakar yang dulunya mudah tersenyum dan tidak pernah membelakangkan orang lain ketika berbicara, kini sudah jauh berubah. Dingin sekali.
“Apapun saya ucapkan tahniah,” Akhirnya aku kembali memecah kesunyian antara kami.
“For what??”
“Atas perkahwinan awak dan anak awak yang comel. Beruntung isteri awak,”
“Beruntung?” Dia tanya lagi, macam pelik nadanya.
“Sebab dapat suami yang baik dan penyayang macam awak,” jawabku jujur. Saat itu, tiba-tiba dia menoleh. Pandangan mata kami bertentangan buat seketika. Tajam dia merenung ke arahku. Lantas cepat-cepat aku mengalih pandangan. Entah mengapa tidak sanggup pula aku untuk terus menentang matanya.
“Kalau beruntung.. tak adalah bakal pengantin perempuan saya batalkan perkahwinan kan?” kedengaran sinis kata-katanya, tiba-tiba. Iya, aku memang berhak disindir, disiniskan atau apa sahaja. Teruskan... teruskan melayan aku macam ni. Aku memang patut dihukum.
“Saya mintak maaf Zul. Saya mintak maaf andai semua ini benar-benar beri kelukaan pada hati awak. Tapi, apa yang saya boleh cakap... saya memang sangat menyesal dengan apa yang saya dah buat. Tulah.. orang kata terlajak perahu, boleh di undur. Terlajak perbuatan, memang buruk padahnya. Time tu saya tak tahu untuk membezakan mana kaca dan mana permata. Saya terlalu bodoh dan percaya pada cinta monyet. Kalau boleh diulang balik waktu dan kalau masih ada peluang kedua, saya pasti akan meneruskan perkahwinan kita dan saya tak akan sesekali layan awak macam tu. Kalau tak mesti sekarang ni kita dah kahwin kan dan saya jadi isteri awak kan? Mesti kita dah ada anak dah pun.. Oppsss..., Maaf.Tak sepatutnya saya cakap macam ni pada suami orang kan..,” Akhirnya terluah juga semua benda yang terbuku dihatiku selama ini. Pantas aku menekup mulut di atas keterlanjuran kata-kataku sebentar tadi. Bukan apa macam terkilan je sebab tak dapat nak kahwin dengan dia kan? Padahal lelaki tu dah ada anak bini woiii! Bila orang tu dah kahwin, barulah kau terhegeh-hegeh nak dekat dia balik kan!
“.....Benda ni betul-betul beri pengajaran pada saya. Tapi , tulah.. kadangkala tak semua benda ada peluang kedua. Dan saya memang tak layak dapat semua tu. Saya memang deserve untuk hidup macam ni. Dah dapat peluang mintak maaf depan-depan dengan awak ni pun dah macam satu rahmat buat saya apatah lagi kalau awak pun dah maafkan saya,” sambungku, agak kesal dengan apa yang berlaku. Aku pandang Zulfakar semula. Lama dia pandang aku sambil diam seribu bahasa lagi. Eh, aku ada silap cakap dekat mana-mana ke?
* * * * *
“Wahida...,” Dia panggil nama aku lagi, sama seperti dulu. Entah mengapa hatiku terasa bahagia dan suka bila dia menyebut nama aku macam tu lagi. Buat seketika aku tenggelam dalam angan-angan. Namun, cepat-cepat aku mengembalikan diri ke alam realiti. Laki orang tu kan?! Marahku pada diri sendiri.
“Iya... ?” Lantas aku menyahut.
“Kalau saya beri peluang kedua pada awak... Awak nak tak?” ujar dia tiba-tiba. Aku terpinga-pinga buat seketika. Tak faham apa maksud dia. Peluang kedua? Untuk apa?
“Maksud awak?” soalku, agak blur.
“Kita kahwin lagi?” ujar dia selamba, membuatkan aku tersedak-sedak mendengarnya. ‘Gurauan apa ni? Dia nak kenakan aku balik ke apa ni? Atau nak balas dendam? Dengan cara ini baru dia akan maafkan aku?? ‘getus hatiku,kehairanan. Manakala Zulfakar membantu menepuk-nepuk di belakang badan aku bila tengok aku tidak berhenti terbatuk-batuk.
“Apa maksud awak? Jadi isteri kedua ke? Tak mahu Zulfakar. Saya tak nak porak-porandakan rumah tangga orang lain, lag-lagi rumah tangga awak. Cukuplah dengan apa yang berlaku. Saya tak nak sakitkan hati sesiapa lagi...”
“Apa yang awak mengarut ni? Saya belum kahwin lagilah. Yang awak nampak tu kakak sepupu sayalah dengan anak dia. Suami dia pun ada masa awak pengsan tu. Dia pun pernah datang time hari pernikahan kita dulu..” Terang Zulfakar lagi. Ni sorang manusia yang pelik, dah jadi macam ni dan pernah kena reject dengan teruk dengan aku pun masih nak lagi ajak aku kahwin? Dan aku pula blur lagi... masih blur dan blur.. Owh, patutlah macam pernah nampak perempuan tu!
“Tapi, kenapa awak nak kahwin dengan saya lagi lepas apa yang saya buat pada awak? Sepatutnya awak bencikan saya kan?”
“Penting ke semua itu? Jadi awak nak ke tak nak ni?” Soal dia lagi, macam nak takutkan aku je.
“Nak! Nak! Nak!” jawab aku laju-laju sambil cepat-cepat pegang lengan dia, seerat mungkin. Seolah-olah takut andainya dia di sambar orang. Aku tersenyum bahagia. Namun, tiba-tiba senyumanku termati seketika.
“Tapi, macam mana dengan family kita? Family saya, family awak? Mesti mereka tak setuju kan? Yelah lepas apa yang saya buat tu, siapa yang tak trauma?” beritahu aku, agak risau. Senang-senang boleh kahwin dengan dia, semua orang restu, pergi buat hal pulak. Bila dah jadi macam ni, baru nak kahwin dengan dia balik! Dengan orang yang aku reject time akad nikah dulu! Gila! Memang satu kerja gila!
“Tak apa. Setiap hari kita datang jumpa mereka dan minta restu mereka. Kita berusaha sampai mereka terima. Okay?” cadang Zulfakar, segera menenangkan aku.
“Maafkan saya sebab dah banyak susahkan awak. Awak tak bersalah pun untuk harung semua ni. Kalau tak... kita dah kahwin dah sekarang ni,” luahku, kesal.
Dan nampaknya langkah seterusnya untuk aku mendirikan rumah tangga bukanlah mudah. Iya, semua disebabkan aku. Elok-elok jalan yang mudah terbentang luas depan aku, jalan yang susah juga aku pilih.
“Shhh... It’s okaylah. Takpe, mencabar apa macam ni? Tapi, lepas ni kalau awak buat lagi, tiada peluang kedua okay?” pujuk dia, cuba menenagkan aku, namun sempat lagi dia mengugut sambil memandangku penuh makna.
“Okay.. okay. I promise tak buat lagi,” jawab aku sambil tersenyum bahagia. Ya Allah bahagianya saat ini. Alhamdulillah! Thank you Allah kerana berikan aku satu peluang lagi. Akan ku hargainya dengan sebaik mungkin. Dan sesekali aku cubit-cubit pipi sendiri untuk memastikan yang aku tidak bermimpi. Ya, benar. Ini bukan mimpi. Tapi, realiti. Alhamdulillah.
* * * * *
Dan malam itu seperti biasa, sudah menjadi rutin, aku tengok profile Whatssap Zulfakar lagi. Even tahu dia dah tak pakai lagi nombor tu lagi, tapi aku suka send message dan meluahkan isi hati aku kat situ. Macam dah jadi habit pun ada. Bagai nak tersedak aku bila nampak ‘last seen’ dia adalah bertarikh hari ini dan waktunya adalah pagi tadi! Biar betul?Dia pakai no ni lagilah eh? Habis! Semua luahan bodo aku, penuh emosi dan macam-macam lagi dia dah baca! Maluuu... Adess. Tapi, mungkinkah itu juga yang membuatkan dia terima aku? Entah. Yang itu, hanya Allah je yang tahu. Dan buat pertama kali aku mendapat reply daripada nombor itu lagi setelah beratus-ratus mesej ku hantar sebelum ini.
‘ I love u too...’Pendek je dia balas whatssap, namun cukup membuatkan aku tidak boleh tidur pada malam itu.
Sampai disinilah kisah aku. Perempuan pelik yang bertanggungjawab membatalkan perkahwinan sendiri dan kemudian bersusah-payah nak kahwin balik dengan lelaki yang sama. Pesan aku, kahwinlah dengan lelaki atau orang yang bersungguh-sungguh nakkan kau. Bukan orang yang kau bersungguh-sungguh nakkan dia. Sekian dari aku.
* * * * *
¬TAMAT¬
Nota kaki : Hai.. Terima kasih sudi baca tulisan kak Nadhie :) Jika ada sebarang komen mahupun pandangan bolehlah dibuat di : http://nadhiewueen.blogspot.my