2,177
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Surat Cina dari ICU

Januari 2020. Faqihah selamat diijabkabul bersama Hakimi. Akad nikah di Masjid Abu Bakar itu disaksikan oleh keluarga dari kedua-dua pihak. Bahagianya ibu dan bapa Faqihah kerana anak perempuan tunggalnya menikah jua. Airmata kegembiraan bercucuran pada hari bahagia itu.

 

Sebuah kenduri kesyukuran diadakan di Dewan Serbaguna Hang Kasturi, Taman Kejayaan. Pelbagai juadah disajikan kepada hadirin dan hadirat yang datang. Nasi tomato, ayam masak merah, kerutut daging, ikan keli berlada diiringi papadom, buah semangka dan sambal belacan. Walaupun tiada bersanding, apabila Faqihah dan Hakimi mula berjejak untuk makan beradab, ramai terpesona.

 

Faqihah, seorang ustazah di Darul Syabab. Hakimi pula seorang doktor di Hospital Besar Amavalu. Mereka berdua sangat secocok. Bagai pinang dibelah dua.Tak pernah bercinta, jodoh ditentukan ibu bapa. Tentukan bahagia pabila saat perkenalan pertama.

 


 

Coronavirus Disease 19 atau COVID-19 mula tersebar dari kota Wuhan, China. Bermula dari China, pandemik ini merebak hampir ke seluruh dunia. Kerana ianya benda baharu, mengejutkan separuh manusia di muka bumi.

 

Kes meningkat dari hari ke hari. Graf membeban. Para doktor mula bersiap-siaga, menerima pesakit COVID-19 hari ke hari.

 


 

“sayang, abang dipanggil untuk perjuangan ini. Doakan abang ya,” kata Hakimi, sayu manis pada Faqihah. Faqihah redha pada bulan-bulan pertama perkahwinan, dia dipisahkan atas nama perjuangan.

 

Hakimi mula meninggalkan kediamannya. Dia sendiri tak tahu, bila dia akan pulang.

 

Setibanya di Hospital Besar Amavalu, dia pergi ke bilik persalinan. Dari jersi Juventus dan seluar slack, dia menukar pakaian. Dipakainya pakaian khas Personal Protective Equipment (PPE). Baju hijau uniform dipakai. Disarungnya PPE berlapis-lapis. Sarung tangan pakai buang dan topeng muka turut dikenakan. Dan yang terakhir, diikatnya perisai muka. Baru pakai pun sudah berpeluh, namun dia yakin ini adalah jihad.

 

Dia keluar. Menerjah wad isolasi bersama sahabatnya Nazim, Fahmi dan Kamal. Merawat tanpa jemu. Ventilator silih berganti. Keletihan memercik namun apakan daya, tanggungjawab. Melihat dada-dada yang tercungap-cungap, itulah kebiasaan.

 

Kegembiraan apabila dapat discaj pesakit. Hakimi bahagia memberitakannya. Pesakit apatah lagi. Namun, ada masa, dia turut maklum akan kematian pesakit kepada waris. Lagilah. Tiada kucupan terakhir. Masakan waris dapat menerimanya? Terima sahaja, hakikat pemergian sendirian tanpa kunjungan.

 


 

Sudah 10 hari Hakimi tidak pulang ke rumah. Dia tertidur di sofa di hadapan dewan kecemasan. Dia rindu isterinya.

 

Kepulangannya ke rumah menggembirakan Faqihah. Hakimi menahan dari jauh.

 

“sayang, jangan dekati abang,” kata Hakimi. Faqihah faham, Hakimi tak mahu menyebarkan virus padanya. Mereka saling mencintai. Hakimi tak sanggup namun dia redha. Berlambaianlah mereka berdua di antara pagar rumah.

 

“abang, saya ada buatkan pengat nangka,” kata Faqihah sayu. Dia hiba meletakkan bekas makanan berisi pengat nangka di atas lantai. Dia menjauh. Hakimi mula mendekati bekas makanan itu. Diambilnya sayu. Airmata pasangan bercucuran. Hakimi makan pengat nangka itu. Sesekali, titis tangis menitik masin jatuh ke dalam pengat. Sedihnya tak tertahan lagi.

 

“sedap tak bang,” tanya Faqihah yang merenung wajah Hakimi makan sedari tadi.

 

“sedap sayang, cenggini ha,” dalam kebasahan airmata, Hakimi mengangkat ibu jari tanda bagus. Sempat lagi berjenaka. Faqihah semakin tenang. Dapat melihat wajah suami tercinta cukup baginya.

 


 

Hakimi kembali ke hospital. 9 kes baharu hari ini. Dia diarahkan untuk duduk di bilik konsultansi sahaja. Dapatlah dia berehat sedikit.

 

“masuk,” Hakimi memanggil tatkala mendengar ketukan pintu.

 

“ya akak, ada apa,” tanya Hakimi.

 

“macam ni, akak ada demam sikit, batuk dua tiga hari ni,” terang perempuan itu.

 

“akak ni baru balik dari luar negara atau ada sertai mana-mana perhimpunan ke?,” tanya Hakimi.

 

“eh, mana ada. Kan tak boleh keluar rumah. Mana je akak pergi.,” jawab perempuan itu selamba.

 

“maksud saya sebelum P-K-P ni akak ada tak pergi mana-mana tempat orang ramai?” Hakimi semakin serius.

 

“tak! Doktor, kalau ada pun, akak pergi rumah mak ayah je,” jawab perempuan itu tenang tanpa menyedari Covid bukanlah benda yang main-main.

 

“dah habistu kenapa tak cakap dengan jururawat kat depan tu ada pergi rumah mak ayah?” Hakimi menjegil.

 

“alah, ramai orang, jururawat tu pulak suara bukan main kuat nanti ramai dengar malulah akak,” jenis ikut kepala dia je perempuan ni. Sanggup menipu demi nak masuk ke dalam bilik konsultansi. Dia tak fikir masa doktor dah disiakan begini.

 

“beginilah akak, akak masuk wad dulu. Nanti saya jumpa kat sana,” Hakimi kalau ikutkan malas nak jumpa dia, namun apakan daya, tanggungjawab.

 

Hakimi memanggil jururawat yang membenarkan perempuan itu masuk tadi.

 

“ya doktor,” kata Yasmin, jururawat yang memberi kebenaran kepada perempuan itu untuk masuk tadi.

 

“Yasmin, perempuan yang awak benarkan masuk tadi, ada sejarah perjalanan. Boleh jadi dia adalah generasi jangkitan pertama dan seterusnya,” terang Hakimi. Yasmin terkejut. Dia kena tipu hidup-hidup. Dia membenih kebimbangan. Mohon dijauhkan.

 

Hakimi juga bimbang. Penipuan begini sangat bahaya. Baru semalam, sahabatnya di Hospital Kagalaram positif COVID-19. Sebabnya, kena tipu dengan pesakit. Acah duduk rumah, tapi sebenarnya baru balik dari Jerman terus lepak makan di tepi sungai.

 


 

Pesakit perempuan itu mula menunjukkan simptom-simptom COVID-19. Dia mula batuk dan sesak nafas. Dia tu pula ditempatkan di wad biasa. Tanpa disedari, seorang tua disebelahnya yang kencing manis kena, remaja disebelahnya pun terkena sebaran COVID-19. Hakimi dan Yasmin mula mendatanginya. Lalu mengambil ujian dibimbangi terkena COVID-19.

 

Ya, dia seorang positif COVID-19. Dia mengaku yang dia baru balik dari Rome, Itali. Dia tidak kuarantin 14 hari di rumah. Dia jenguk ibu bapanya di Pulau Chamban.  Baru nak mengaku?

 

Perempuan itu segera dipindahkan ke wad COVID-19. Hakimi dan Yasmin mula membuat ujian saringan COVID-19. Tidak ketinggalan pesakit yang berjiran dengan perempuan itu.

 

Hasilnya, Hakimi, Yasmin serta dua orang pesakit itu disahkan positif COVID-19. Angkara seorang yang menipu, empat terkena. Hakimi dan Yasmin mengakui, mereka tak pakai PPE. Namun apakan daya, takdir.

 

Status Hakimi berubah sekelip mata. Dari seorang doktor kepada seorang pesakit. Dia redha. Dia menghubungi Faqihah.

 

(nada dering)

 

“Assalamualaikum abang, apa khabar?” gembiranya Faqihah setelah 3 hari suaminya tidak menghubunginya. Hakimi menjawab salam dengan nada biasa.

 

“abang nak beritahu sesuatu, harap isteri kesayangan abang tabah ya,” kata Hakimi sayu. Faqihah mula meronta hati.

 

“ya, kenapa abang?”

 

“abang positif………,” Hakimi bernada sedih dah tak sanggup menyambung. Dia mematikan panggilan.

 

Faqihah bagaikan jantung berhenti degupannya. Apakah? Suami tercintanya…… dia mula menangisi. Seakan dunia sudah terbalik. Apa erti kehidupannya lagi? Dia segera mengambil wudhu’, bersembahyang sunat menenangkan diri. Dia redha dan memohon kesembuhan suaminya.

 

Dia percaya, suaminya kuat. Suaminya mampu berhadapan dengan sang korona. Sebagaimana gagahnya cinta mereka, begitulah pendinding menahan jangkitan korona ini.

 

Hakimi tahu Faqihah seorang yang kuat. Dia mampu menerima takdir ini. Dia tahu cintanya sangat utuh, perisai menentang korona.

 

Hakimi kini terbaring di wad isolasi. Dia tenang. Sahabatnya sendiri Nazim, Fahmi dan Kamal memantaunya setiap hari.

 

“mi, aku nak minta satu benda boleh?,” pinta Hakimi pada sahabatnya Fahmi.

 

“boleh, nak apa?,”

 

“boleh tak bagi aku sebatang pen dengan sehelai kertas?,”

 

Dihulurkan pada Hakimi diletakkan di atas meja. Fahmi meninggalkannya sambil menunjukkan simbol semoga kuat menghadapi penyakit ini. Hakimi mengukir senyum.

 

Hakimi mula menulis sesuatu. Pada meja sajian berbunyi pena berjalan. Esak-esak tangis kedengaran sayup-sayup dibalik langsirnya.

 


 

Keadaan Hakimi semakin kritikal. Dia dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi(ICU). Dia telah diberikan alat bantuan pernafasan.

 

Namun apakan daya, hidup mati urusan Ilahi. Hakimi kembali kepada pencipta pada petang itu setelah beberapa hari dimasukkan ke dalam wad.

 

“Faqihah, aku harap kau dapat menerima ya,” kata Fahmi sayu. Faqihah tersungkur. Dia harus menerima bahawa dia sudah berstatus janda di usia perkahwinan yang terlalu muda. Dia menahan airmatanya. Panggilan telefon terakhirnya bersama Hakimi masa dia disahkan positif. Dia memandang wajah suaminya secara langsung ketika memberi pengat nangka. Hari ini, dia menerima berita bahawa Hakimi telah pergi buat selama-lamanya.

 


 

Tubuh Hakimi sedang diuruskan untuk pengebumian. Tiada siapa yang boleh mengunjungi pemakaman melainkan petugas-petugas yang memakai PPE. Fahmi redha dengan pemergian sahabat karibnya. Frontliners telah berkurang seorang apabila dia sakit. Kalau sehari seorang doktor jatuh sakit, hospital tentunya semakin lumpuh. Wahai manusia yang keras kepala, tipulah lagi frontliners ni, jenis tak kisah aniaya orang.

 

Jenazah mula diusung ke bilik pengurusan jenazah. Ustaz-ustaz sukarelawan mula menyediakan body bag. Setelah ditayammum, jenazah kemudiannya dimasukkan ke dalam keranda khusus. Diletakkan mengiring, dipaku keranda tersebut. Jenazah disembahyangkan oleh 4 orang petugas di dalam bilik itu.

 

Jenazah diusung keluar untuk dibawa naik ke van jenazah. Proses sanitasi segera dilakukan pada keranda, van jenazah dan bilik pengurusan jenazah.

 

Setibanya di tanah perkuburan, sebuah liang lahad menanti. Diturunkan perlahan-lahan menggunakan tali. Dikambus. Tiada talkin. Faqihah tidak dibenarkan untuk datang.

 


 

Ketika sedang menguruskan katil yang diduduki arwah Hakimi, Fahmi menjumpai sehelai kertas. Isi kandungan surat itu adalah untuk Faqihah. Dia mengambil surat itu, sanitasi ia dengan alkohol, dibungkus dalam plastik dan dimasukkan dalam sekeping sampul.

 

“Faqihah, arwah ada tulis surat untuk kau,” Fahmi menghulurkan sampul surat kepada Faqihah ketika dia datang untuk menguruskan pengesahan kematian Hakimi.

 

“terima kasih Fahmi,”

“sama-sama,”



 

Di rumah. Faqihah sudah 2 hari kehilangan suami tercintanya. Dia membelek album kecil perkahwinannya. Indah sungguh. Dia bergambar di banyak tempat. Air Terjun Sungai Tabosan, Pantai Rindu dan Muzium 5D Amavalu. Dia mengimbau kenangan berbulan madu di Pulau Langkawi, Kedah. Bersantai di Pantai Cenang, gayat menaiki kereta kabel di Gunung Machinchang mahupun comot-comot makan coklat Daim berlatar belakang burung helang kebanggaan kota Kuah. Inilah secebis kenangan manis lakaran bersama. Mana mungkin dapat dilupa begitu sahaja.

 

Faqihah mencapai surat yang diberikan Fahmi tempoh hari. Surat itu menitiskan airmata Faqihah.

 

“Assalamualaikum Faqihahku yang tercinta,

 

Tinta kecil ini sebagai pengganti andainya bukan aku yang kembali kepangkuanmu. Duhai cinta, aku maafkan andai panggilan telefon itu, meresah hati. Apakan daya, kuasa penentu ada pada Maha Esa. Aku tak sanggup menumbuhkan air masin matamu, namun aku telah. Sayang, abang minta maaf seandainya kebahagiaan yang abang berikan selama 3 bulan ini tidak memadai. Abang cuba sehabis baik. Senyum sayang adalah permata. Kini, ia sudah hilang dari pandangan. Jika abang ada berbuat kesalahan, maafkan abang ya. Sayang adalah cinta pertama dan terakhir abang.

 

Salam sayang suamimu, Hakimi.”

 

Faqihah menangis semahunya. Sepanjang 3 bulan perkahwinannya, mereka sangat bahagia. Namun apakan daya, tuhan lebih menyayangi suaminya.

 

Diusap perut, anak mereka berdua baru 4 minggu dalam kandungan. Dia redha, anaknya sudah bergelar yatim sebelum dapat melihat wajah ayahnya.

 

-tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh